BAGAIMANA UNTUK KHUSYUK SOLAT?



Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadatnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, " Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam berkata, " Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, " Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu mambasuh semua anggota wudhu' dengan air."

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-

1. Bertaubat

2. Menyesali dosa yang telah dilakukan

3. Tidak tergila-gilakan dunia

4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. Tinggalkan sifat berbangga

6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, " Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:

1. Aku sedang berhadapan dengan Allah SWT,

2. Syurga di sebelah kananku,

3. Neraka di sebelah kiriku,

4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan

5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

"Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

ALLAH SWT MANJADIKAN MANUSIA DAN MEMBERIKAN HIDAYAT KEPADANYA



Firman Allah SWT (bermaksud): "Bukankah manusia pernah melalui satu ketika (di mana) dia tidak pernah disebut orang (masih belum wujud lagi)." (al-Insan, 76: 1).



Firman Allah SWT (bermaksud): " Sesungguhnya Kami mencipta manusia dari setitis mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); kerana itu Kami jadikan dia (boleh) mendengar dan melihat". (al-Insan, 76: 2).


Firman Allah SWT (bermaksud): " Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus; sama ada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (al-Insan, 76:3).

TIGA PERINGATAN UNTUK ORANG ISLAM


1. Mesti menanamkan dalam hati bahawa Allah S.W.T. sentiasa melihat segala apa yang kita lakukan bersembunyi atau terbuka.

2 Kita akan dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan fizikal yang asal.

3 Kita akan diperhitungkan segala amal kita di akhirat kelak dan akan disaksikan oleh telinga, mata, kaki, tangan dan lain-lain. Manakala mulut tidak dapat menyangkalkan segala apa yang telah dilakukan. Ini disahkan oleh Ayat 65 Surah Yaasin Juz 23 yang bermaksud; "Pada hari itu kami meterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan."