SOLAT SUNAT SUBUH PAHALANYA LEBIH DARI DUNIA DAN ISINYA


Dari Aisyah R.A. berkata,
Sabda Rasulullah S.A.W. " Dua rakaat solat sunat sebelum (solat) subuh lebih baik daripada dunia dan isinya."
(Hadis riwayat Muslim).

INGINKAN PAHALA HAJI DAN UMRAH SETIAP HARI?



Sabda Rasulullah S.A.W.
" Sesiapa yang solat subuh berjemaah di masjid kemudian duduk berzikir kepada Allah S.W.T. sehingga terbit matahari, lalu dia solat sunat dua rakaat maka dia mendapat pahala seperti pahala haji dan umrah secara sempurna, sempurna, sempurna."
(Hadis riwayat At-Thirmizi).

PAHALA BERJALAN MENUJU KE MASJID UNTUK BERSOLAT


Sabda Rasulullah S.A.W.
"Sesungguhnya orang yang paling besar pahalanya di dalam solat adalah orang yang paling jauh jarak perjalanannya dari tempat solat, kemudian yang agak jauh, Dan orang yang menunggu solat untuk berjemaah bersama imam itu lebih besar pahalanya daripada orang yang solat sendiri kemudian tidur."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

TUJUH GOLONGAN MANUSIA YANG DI JAMIN MASUK SYURGA


Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dijamin masuk syurga dan akan dilindungi Allah S.W.T. di saat tidak ada lagi pelindung selain Dia,
iaitu:



1. Pemimpin yang adil.

2. Seorang pemuda yang hidupnya selalu beribadah kepada Allah S.W.T.

3. Laki-laki yang hatinya terikat dengan masjid.

4. Dua orang yang saling menyayangi kerana Allah S.W.T.. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

5. Seorang laki-laki yang apabila dirayu oleh wanita cantik, berkedudukan dan kaya, ia berkata: “Tidak ... saya takut kepada Allah.”

6. Laki-laki yang bersedekah dengan rahsia, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.

7. Laki-laki yang berzikir kepada Allah S.W.T.  secara sembunyi, air matanya berlinang kerana takut kepada Allah S.W.T.

IBLIS MEMBERI CERAMAH KEPADA PENGHUNI NERAKA


DALAM sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis itu dengan tali dari api.



Kemudian dikatakan kepada Iblis laknat: “Wahai Iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka.”


Setelah Iblis menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai para penghuni neraka.” Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang mereka kepada ketua mereka iaitu Iblis.


Kata Iblis: “Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa’ir.”


Berkata Iblis lagi: “Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat.”


Berkata Iblis lagi: “Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah S.W.T. sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?”


Akhirnya Iblis berkata: “Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam.”


Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata Iblis itu maka mereka melaknati Iblis itu. Setelah itu Iblis dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.


Malaikat Zabaniah berkata: “Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya.”


Janganlah kita menjadi orang yang bodoh apabila kita tahu bahawa Iblis itu hanya menipu kita, Iblis itu adalah musuh ketat kita. Oleh itu janganlah sekali-kali kita ikut menjadi ahli keluarganya, selagi kita bernafas cepatlah kita kembali ke pangkal jalan kalau nafas sudah berhenti maka segala-galanya tidak berguna lagi.


Mereka yang takut kepada Allah S.W.T. adalah orang yang akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, oleh itu sembahlah hanya kepada Allah S.W.T.. Orang yang takut kepada Allah S.W.T/ adalah mereka ini disebut orang yang amanah, orang yang bersopan santun, orang yang menganggap semua orang Islam itu sebagai saudaranya.


Mereka yang mencabar kekuasaan Allah S.W.T. dengan berketuakan Iblis dan Syaitan adalah mereka ini dikenali sebagai kaki bohong, kaki pencuri, kaki judi, kaki arak, kaki dadah dan sebagainya. bagi mereka ini setiap yang sama dengan mereka adalah ahli atau kakitangan Iblis. Kerja mereka adalah menjatuhkan maruah mereka sendiri dan menghancurkan Islam.



TERJEMAHAN SURAH AL-FATIHAH



1. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
2. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.
3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
4. Yang menguasai hari pembalasan.
5. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.
6. Tunjukilah kepada kami jalan yang lurus.
7. (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.


KISAH IBLIS LAKNATULLAH MENGGODA NABI AYUB A.S.



Para malaikat memuji akan sikap dan keperibadian Nabi Ayub A.S. yang suka beribadah dan mengingat Allah S.W.T.  Hidupnya penuh dengan rasa kesyukuran yang mendalam atas nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.  kepadanya. Iblis mendengar pujian para Malaikat tersebut yang membuat hatinya menjadi panas kerana ia telah bersumpah dengan Allah S.W.T. untuk menggoda setiap anak cucu Adam. Oleh sebab itu ia tidak rela melihat manusia yang berada di permukaan bumi ini beriman, beribadah dan beramal soleh.


Kemudian Iblis menjumpai Ayub A.S. untuk melihat sendiri tentang apa yang diperkatakan oleh malaikat itu. Ternyatanya memang benar bahawa Nabi Ayub A.S.  memang patut menerima pujian tersebut. Nabi Ayub hidup dalam keadaan yang serba mewah dengan harta kekayaan yang banyak, hidup rukun dengan anak dan isterinya. Namun begitu Nabi Ayub A.S. tidak terlena dengan kekayaan dan anak isterinya itu, siang malam bibirnya tidak lepas dari mengingat Allah S.W.T.  bersujud dan bersyukur kepada-Nya, serta memiliki rasa kasih sayang yang tinggi terhadap sesama makhluk.

Iblis berusaha untuk menggoda Nabi Ayub A.S. tetapi gagal, namun ia tidak berputus asa untuk menggoda Nabi Ayub. Kemudian ia pergi menghadap kepada Allah S.W.T. dan ia berkata: “Wahai Tuhan, sesungguh Ayub menyembah dan bertasbih kepada Mu bukan lantaran ia ikhlas dan tulus kerana cinta dan taat kepadaMu. Ia melakukan itu hanya kerana takut kehilangan semua kesenangan duniawi yang Engkau berikan kepadanya. Di samping itu ia masih mengharapkan agar kekayaannya bertambah berlipat ganda. Untuk itu ia menyembah Mu, andai kata ia ditimpa musibah sehingga hartanya menjadi musnah tentu ia akan berpaling daripadaMu.”

Kemudian Allah S.W.T. berfirman kepada Iblis: “Sesungguhnya Ayub adalah hambaKu yang sangat taat kepadaKu, ia seorang mukmin sejati, apa yang ia lakukan untuk mendekatkan diri kepadaKu semata-mata didorong oleh keimanan yang teguh dan ketaatan kepadaKu. Engkau memang tidak rela melihat anak cucu Adam berada di jalan yang benar dan lurus. Untuk menguji hati Ayub dan keimanannya kepadaKu, Aku izinkan engkau untuk mencuba menggodanya serta memalingkannya daripada Ku.”

Iblis mengumpul para sahabatnya untuk menguji dan memalingkan keimanan Nabi Ayub A.S. Untuk pertama kali ia berusaha menghancurkan harta benda Nabi Ayub A.S.  Dengan berbagai cara akhirnya Iblis dengan kawan-kawannya para syaitan itu berhasil memusnahkan binatang ternak, ladang-ladang serta bangunan-bangunan milik Nabi Ayub A.S.. Dengan waktu yang singkat Nabi Ayub A.S. yang kaya raya itu menjadi miskin. Yang ada hanya segumpal hati yang penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Setelah itu Iblis pun datang menemui Nabi Ayub A.S. dengan menyamar sebagai orang tua yang bijaksana, dan berkata: “Sesungguhnya musibah yang menimpa mu ini sangat mengerikan, dalam waktu yang singkat segala harta mu jadi musnah, tentu sahabat-sahabat menjadi sedih dan bertanya apa sebabnya Ayub A.S. menerima musibah seburuk ini. Sementara musuh-musuh mu ada yang berkata; musibah ini datang mungkin Ayub A.S. tidak ikhlas dalam beribadah, dan ada lagi yang berkata, kalau Tuhan Ayub benar-benar berkuasa nescaya Dia dapat menyelamatkan Ayub dari bencana ini.

Sebahagian yang lain ada yang berkata, mungkin amal ibadah Ayub A.S. tidak diterima oleh Tuhan sebab dilakukan bukan dengan hati yang bersih, serta mempunyai sifat riya’ dan ingin dipuji. Aku pun merasa berdukacita kepada mu hai Ayub dengan nasib mu ini.” Kemudian Iblis merayu dan memujuk Nabi Ayub A.S. dengan kata-katanya yang manis.

Kemudian Nabi Ayub A.S. berkata: “Ketahuilah bahawa apa yang telah aku miliki, semuanya itu barang pemberian Allah S.W.T. yang dimintanya kembali setelah aku cukup menikmatinya dan menggunakannya. Segala puji dan kesyukuran hanya untuk Allah S.W.T. yang telah memberikan kurniaNya kepada ku dan mencabutnya kembali. Dia Maha Kuasa yang dapat berbuat sesuai dengan kehendakNya. Sebagai hamba kita harus menerima takdirNya itu.” Setelah selesai berbicara Nabi Ayub A.S. pun bersujud kepada Allah S.W.T.

Iblis segera meninggalkan rumah Nabi Ayub A.S. dengan rasa kecewa dan hampa. Namun begitu dia masih berhasrat untuk mencelakakan Nabi Ayub A.S..  Kembali ia menghadap kepada Allah S.W.T.  dan meminta izin untuk meneruskan usahanya. Iblis berkata: “Wahai Tuhan, Ayub tidak mahu menerima hasutan ku, bahkan sedikitpun tidak goyah imannya kepada Mu, walaupun segala harta dan kekayaannya telah musnah. Mungkin kerana dia masih memiliki harapan, bahawa anak-anaknya yang sihat dan kuat akan meneruskan kehidupannya untuk hari tua.

Menurut ku Ayub tidak akan sanggup menerima musibah, jika kecelakaan itu ditimpakan kepada anak-anak yang sangat dicintainya itu. Oleh sebab itu ya Tuhan, izinkan aku sekali lagi untuk mencuba kesabarannya, dan keteguhan imannya. Godaan yang ku lakukan ini terhadap keluarganya dan putera-putera yang sangat disayanginya itu.”

Allah S.W.T. mengizinkan permintaan Iblis itu. Iblis pun pergi bersama-sama kawan-kawannya untuk memusnahkan putera-putera Nabi Ayub A.S.  Rumah yang diduduki oleh putera-putera Nabi Ayub A.S. menjadi hancur begitu pula putera-puteranya meninggal semuanya.

Kemudian Iblis pun pergi ke rumah Nabi Ayub A.S. menyamar sebagai sahabat Nabi Ayub, untuk mengucapkan rasa dukacita atas musibah yang menimpa Nabi Ayub serta keluarganya itu.

Iblis berkata; “Hai Ayub sudah engkau melihat putera-putera mu yang mati ditimbus oleh bangunan rumah-rumahnya akibat dari gempa bumi itu? Sudah jelas hai Ayub bahawa Tuhan tidak menerima ibadah mu selama ini dan tidak menjaga dan melindungi mu sebagai balasan dari amal soleh mu.”

Mendengar ucapan Iblis itu, menangislah Nabi Ayub A.S. tersedu-sedan sambil berkata: “Allah lah yang memberi dan Dia pulalah yang mengambil kembali. Segala puji bagi-Nya Tuhan Yang Maha Pemberi dan Maha mencabut kembali.”

lblis pergi meninggalkan Nabi Ayub A.S. yang sedang dalam keadaan sujud kepada Allah S.W.T. Kemudian Iblis kembali mengadap Allah S.W.T. . “Wahai Tuhan, Ayub telah kehilangan harta benda bahkan putera-puteranya namun ia masih tetap memiliki keimanan yang kuat. Izinkan aku ya Tuhan untuk menguji sekali lagi terhadap kesihatan dirinya. Kerana jika sudah sakit dan lumpuh sudah tentu ia akan malas mengerjakan ibadah kepada Mu.”

Allah S.W.T. mengizinkan kehendak Iblis tersebut. Iblis memerintahkan kepada pengikut-pengikutnya supaya menaburkan benih-benih penyakit ke dalam tubuh Nabi Ayub A.S. . Sehingga Nabi Ayub A.S. menjadi orang yang tidak bermaya, semua orang menjauhinya disebabkan penyakit yang menimpanya itu dapat berjangkit kepada orang lain. Hanya isterinya yang setia menjaga dan merawat nabi Ayub A.S.

Iblis masih melihat walaupun Nabi Ayub A.S. dalam keadaan yang tidak berdaya itu ia masih tetap beribadah kepada Allah S.W.T.  bibirnya terus menyebut nama Allah S.W.T. 
Iblis menjadi kesal dengan sikap Nabi Ayub A.S. tersebut, sehingga ia meminta pendapat terhadap teman-temannya bagaimana cara untuk menghancurkan keimanan Nabi Ayub A.S. itu.

Di antara mereka ada yang berkata Engkau telah berhasil mengeluarkan Nabi Adam dari syurga bagaimana engkau dapat melakukan hal itu?” Iblis baru teringat hal itu dilakukan dengan jalan menggoda isteri Adam. Mungkin idea ini dapat dilakukan terhadap isteri Nabi Ayub.

Pergilah ia menemui isteri Nabi Ayub dengan menyamar sebagai seorang sahabat Nabi Ayub. Iblis membisikkan rayuannya kepada telinga isteri Nabi Ayub. Akhirnya isteri Nabi Ayub pergi menemui Nabi Ayub A.S. yang sedang menanggung penderitaan itu dan sedang bertasbih kepada Allah S.W.T.  Kemudian ia berkata; “Wahai suami ku sampai bilakah engkau diseksa oleh Tuhan mu, yang mana segala harta dan putera-putera kita telah musnah, begitu juga sahabat-sahabat mu telah menjauhkan diri. Mohonlah wahai suami ku Ayub kepada Tuhan mu, supaya kita dibebaskan dari penderitaan yang terus menerus ini.”

Kemudian Nabi Ayub A.S. berkata; “Wahai isteri ku engkau menyesali akan peristiwa yang terjadi, aku ingin bertanya kepada mu berapa tahunkah kita menikmati kesenangan dan kemewahan yang diberikan oleh Allah S.W.T ?”
Isterinya menjawab 80 tahun.
Kemudian Nabi Ayub A.S. bertanya lagi; “Berapa lamakah kita dicuba oleh Allah seperti ini?” Isterinya menjawab tujuh tahun.”

“Aku malu untuk memohon kepadaNya untuk bebas dari cubaan ini, jika dibanding nikmat yang kita rasakan dengan cubaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. tidak sebanding. Kiranya engkau telah mendengar hasutan Iblis yang durjana sehingga imanmu menjadi menipis. Tunggulah ganjaran mu nanti, setelah aku sihat aku akan mencambuk mu sebanyak seratus kali. Tinggalkan aku seorang diri di sini menunggu takdir Ilahi!”

Setelah itu, Nabi Ayub A.S. hidup sendiri ia bermohon kepada Allah SWT. “Wahai Tuhan ku, Iblis telah mengganggu ku, dengan berbagai godaan yang dilakukannya hanya Engkaulah wahai Tuhan ku yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”

Kemudian Allah S.W.T.  menerima doa Nabi Ayub as kemudian Allah berfirman, “Hentakkanlah kaki mu ke tanah. Dari situ akan keluar air, dan dengan air itu engkau akan menjadi senang dan sihat dari penderitaan penyakit mu jika engkau gunakan untuk minum dan mandi.” Dengan kekuasaan Allah, Nabi Ayub sihat dari penyakitnya, bahkan kelihatan lebih sihat dari ketika ia masih muda.

Nabi Ayub A.S. telah bersumpah akan memukul isterinya seratus kali apabila ia telah sembuh, ia merasa wajib untuk melaksanakannya walau timbul rasa kasihan untuk melakukannya. Sebab isteri beliau sangat setia dan baik hati. Di dalam keraguan Nabi Ayub A.S. tersebut maka turunlah wahyu Allah S.W.T. “Hai Ayub ambillah dengan tangan mu seikat rumput dan pukullah isteri mu dengan rumput itu sebanyak seratus kali sehingga dengan demikian tertebuslah sumpah mu itu.”

Akhirnya Nabi Ayub A.S.  hidup rukun dan damai seperti semula, bahkan Allah S.W.T. mengganti putera-puteranya sebanyak itu juga. Begitulah bukti dari kesabaran seorang hamba Allah S.W.T. yang tidak tergoda dengan pujuk rayu Iblis. (kisah ini dapat dibaca dalam Al-Quran surah Sad ayat 41-44 dan surah Al Anbiya ayat 83-84).

Begitulah tipu daya Iblis yang pandai menggoda, membisik sesuatu yang indah ke dalam setiap hati dan telinga umat manusia. Ia akan merasa cemburu dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta bersujud hanya kepada Allah S.W.T. Sebaliknya ia akan tertawa dan berbangga hati jika orang-orang yang telah beriman dapat dirayunya dan mengikuti jalan yang sesat.


KEUTAMAAN SAF DEPAN KETIKA SOLAT BERJEMAAH


Rasulullah S.A.W. bersabda, " Sesungguhnya Allah S.W.T. dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama."
(Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya."
(Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah S.A.W. bersabda, " Kehadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah S.W.T. akhirnya memasukkan mereka ke dalam neraka."
(Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah S.A.W. bersabda, " Hadiri solat jumaat dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seseorang  lelaki yang berterusan menjauhkan dirinya (dari imam), akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun dia akan memasukinya."
(Hadis riwayat Imam Ahmad).

HIKMAH KERANA BERBAKTI KEPADA IBUBAPA


Selain seorang nabi, Sulaiman a.s. juga merupakan seorang raja terkenal. Atas izin Allah S.W.T. ia berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin ifrit-Nya. Dia dikenal sebagai manusia boleh berdialog dengan segala binatang.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman a.s. sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu.



Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan,
"Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah S.W.T , Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.


"Sipakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan.


"Aku adalah manusia", jawab pemuda itu perlahan.


"Bagaimana engkau boleh memperolehi karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Kemudian pemuda itu menceritakan riwayatnya sampai kemudian memperolehi karomah dari Allah S.W.T. boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.


Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan supaya anaknya diberi rezeki dan perasaan puas hati. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.


"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di tepi pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya." Tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman a.s.


Nabi Sulaiman a.s yang dikenali boleh berjalan di antara bumi dan langit itu menjadi kagum terhadap pemuda itu.


"Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.


"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah."


"Bagaimana Allah S.W.T. memberi makan kepadamu?"


"Jika aku merasa lapar, Allah S.W.T. menciptakan pohon di dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."


"Bagaimana engkau mengetahui perbedaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman a.s yang merasa semakin hairan.


"Bila telah terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Bila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam." Tuturnya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah S.W.T , maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.



KELEBIHAN SOLAT SUBUH SECARA BERJEMAAH

Diriwayatkan dari Uthman bin Affan r.anhu bahawasanya
Nabi s.a.w bersabda:
“ Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah akan mendapat pahala seolah-olah bangun separuh malam dan sesiapa yang solat subuh berjemaah akan mendapat pahala bangun seluruh malam.[ HR Imam Muslim]


Diriwayatkan daripada Anas R.anhu ,
Nabi S.A.W. bersabda, "Sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, kemudian dia duduk mengingati Allah S.W.T. sehingga terbit matahari, kemudian dia mengerjakan solat sunat sebanyak dua rakaat, dia akan mendapat pahala seperti pahala haji dan umrah, sempurna. Sempurna. sempurna ".
 
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.anhu berkata,
bersabda Nabi s.a.w :
“Tidak ada solat yang lebih berat ke atas orang munafiq dari solat subuh dan Isyak. Sekiranya mereka mengetahui tentang kelebihan dua solat ini, nescaya mereka akan datang walaupun merangkak.”

KEMATIAN TETAP MENGEJAR KITA WALAU DI MANAPUN KITA BERADA


Di suatu pagi, Nabi Sulaiman A.S. mengadakan majlis bersama dengan menteri yang bernama Jalil Al-Qadri.
Kemudian seorang lelaki telah masuk memberi salam dan membisikkan sesuatu ke telinga Nabi Sulaiman A.S.
Lelaki ini memandang tajam kepada menteri Jalil Al-Qadri sehingga menteri itu berada dalam ketakutan. Ketika lelaki itu keluar dari majlis, menteri Jalil Al-Qadri bertanya kepada Nabi Sulaiman A.S., " Wahai Nabi Allah, siapakah lelaki yang baru keluar tadi?, sungguh pendangan matanya membuat ku ketakutan."

Nabi Sulaiman A.S. menjawab, " Beliau adalah malaikat maut yang menjelma sebagai manusia. Ia mendatangiku."
Seketika itu gementarlah menteri itu dan terus menangis. Kemudian menteri itu memberitahu kepada Nabi Sulaiman A.S.  " Wahai Nabi Allah, demi Allah aku memohon kepadamu agar kau perintahkan angin bertiup membawaku ke tempat yang paling jauh, ke India."

Nabi Sulaiman A.S. memenuhi permintaannya. Menteri itu diterbangkan oleh ingin ke India.
Keesokan harinya, malaikat maut datang kembali ke hadapan Nabi Sulaiman A.S..
Berkata Nabi Sulaiman A.S. " Semalam kau telah membuat sahabatku gementar. Mengapa kau memandangnya begitu tajam?".

Malaikat itu berkata, " Wahai Nabi Allah, aku mendatangimu di waktu pagi semalam, aku terkejut melihat menteri itu masih bersamamu di sini. padahal Allah S.W.T. telah memerintahkan aku untuk mencabut nyawa menteri itu selepas zohor di India."

"Lalu apa yang kau lakukan?" tanya Nabi Sulaiman A.S.
"Aku pergi ke tempat yang Allah S.W.T. telah perintahkan kepadaku untuk mencabut nyawa menteri itu di India. Ternyata ku dapati memteri itu telah menungguku, lalu aku mencabut nyawanya di situ." jawab malaikat maut.

Allah S.W.T berfirman, " Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan".
(Al-Jumu'ah: 8).

MATA ADALAH ANAK PANAH SYAITAN UNTUK MENGGODA MANUSIA

MATA adalah satu pancaindera yang terpenting. Menerusi mata kita dapat melihat dan menatap segala kejadian alam. Bagaimanapun, mata juga adalah pintu pertama dimasuki syaitan.



Sebesar-besar tujuan dijadikan mata ialah untuk merenung kejadian alam semesta ini (tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T). Alam terbentang ini yang ditatap oleh mata setiap hari adalah untuk memberi fikiran kepada manusia.


Rasulullah S.A.W. bersabda: "Melihat kecantikan perempuan itu adalah panah beracun daripada panah-panah iblis. Siapa yang dapat mengawasi matanya, maka Allah S.W.T. akan memberikannya merasa satu kenikmatan ibadat yang membahagiakannya."


Manakala Imam Ghazali berkata: "Nasihatkanlah kepada orang mukmin supaya mengawasi pandangan mata mereka."


Satu perintah yang ditujukan untuk kebaikan orang mukmin itu kerana apabila melihat sesuatu yang diharamkan itu ia boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah S.W.T. dan membangkitkan hawa nafsu.


Menurut Imam Bukhari dengan mengawasi mata daripada memandang perkara haram ia dapat menyuburkan hati untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.
Orang yang beriman sentiasa menjaga dan mengawal matanya daripada melihat benda-benda haram.


Satu kebaikan orang yang berjaya mengawasi matanya ialah dapat menikmati kerehatan jiwa kerana terselamat daripada rayuan dan kepesonaan yang mengganggu hatinya.


Sejajar dengan ini, Nabi Isa A.S. pernah bersabda: "Awasilah pandangan dan penglihatan kamu kerana pandangan itu boleh memercikkan nafsu keinginan dan ini cukup membuatkan seseorang itu terpesona."


Usaha untuk menyemarakkan pucuk iman bukanlah kerja yang mudah, tetapi orang mukmin boleh mencubanya secara berperingkat. Sebenarnya, di sebalik menanam benih iman, manusia mukmin sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian dan godaan. Sesungguhnya ujian itu satu percubaan daripada Allah S.W.T. ke atas hamba-Nya.


Allah S.W.T. berfirman: "Allah mengetahui pandangan mata yang tidak jujur dan apa yang disembunyikan di dalam dadanya."  (Surah Mukmin: 19).


Sekiranya orang mukmin dapat menahan mata daripada memandang sesuatu yang diharamkan, ia semacam membangkitkan satu kenikmatan rohaniah yang cukup tinggi (tidak dapat digambarkan dengan kata-kata). Itulah hikmah yang ditiupkan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-Nya yang beriman.

SEMAKIN BERILMU SEMAKIN ZUHUD / WARAK


Rasulullah S.A.W. bersabda
“Siapa yang bertambah ilmunya tetapi tidak bertambah zuhudnya, sesungguhnya dia telah bertambah jauh dari Allah”
(Riwayat Ad-Dailami dari Sayyidina Ali KRMWJ.)



Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu akhirat (agama). Seperti kata pepatah melayu, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Semakin berilmu, semakin warak, semakin zuhud, semakin takut kepada Allah dan semakin banyak beribadat kepadanya.

ORANG-ORANG YANG MENDAPAT KEAMANAN DAN PETUNJUK


Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesiapa yang apabila diuji dia sabar, apabila diberi lalu bersyukur, apabila dianiaya lalu memaafkan, berbuat aniaya (kepada dirinya) lalu beristigfar (bertaubat), mereka adalah orang-orang yang memperoleh keamanan dan petunjuk".

(Riwayat Baihaqi melalui Samurah)

SAAT BERMULANYA KEHIDUPAN SEORANG MANUSIA

Sabda Rasulullah S.A.W.
“Sesungguhnya seseorang dari kamu dihimpunkan kejadiannya dalam rahim ibunya empat puluh hari sebagai setitis mani, kemudian dia menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama juga kemudian dia bertukar menjadi seketul daging dalam tempoh itu juga, kemudian diutuskan kepadanya malaikat untuk meniupkan ruh padanya dan diperintahkan juga kepada malaikat itu untuk menulis empat perkara iaitulah rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia orang yang celaka ataupun orang yang menderita.
( HR al-Bukhari no 3036,Muslim no 2643 )

ALLAH S.W.T. TIDAK MEMANDANG PADA RUPA PARAS KITA.


Sabda Rasulullah s.a.w:  " Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak memandang pada rupa paras dan hartamu, melainkan yang dipandang-Nya ialah hati dan amal perbuatanmu."

(Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah).

SIAPAKAH MANUSIA YANG TERBAIK DAN SIAPAKAH MANUSIA YANG TERBURUK?


Rasulullah s.a.w. bersabda:  " Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya. Adapun seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang umurnya tapi buruk amalnya."
(Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Al-hakim).