KECELAKAAN PENZINA



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya”. (Riwayat al-Bazzar)


Di antara sifat orang-orang mukmin yang sebenar adalah menjaga kemaluannya dari perbuatan zina kerana zina adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar (al-kaba’ir) disamping menyekutukan Allah, meminum minuman keras, berjudi, mencuri dan membunuh.


Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”. (Al-Israa’: 32)


Larangan zina yang digunakan di dalam al-Quran ini mempunyai makna yang sangat mendalam iaitu bukan hanya perzinaan sahaja dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah itu adalah dilarang sama sekali seperti memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara, bergaul bebas antara lelaki dan wanita, berdua-duaan dengan orang yang bukan muhrim dan sebagainya. Etika berpakaian juga harus dititikberatkan di mana pakaian seorang muslimah itu wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang dari dorongan berahi kerana jika aurat tidak ditutup dengan sempurna ia akan mengundang berlakunya kejadian rogol atau perbuatan zina yang boleh merosakkan maruah individu yang terlibat. Hari ini seakan menjadi “trend” kebanyakan pakaian yang dipakai terlalu pendek, ketat dan nipis. Fenomena seperti ini patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat. Segala saluran yang dikira boleh membawa manusia kepada perzinaan seperti rumah-rumah pelacuran, disko-disko, rumah-rumah urut dan sebagainya hendaklah dicegah dan ditutup keseluruhannya. Jika tidak akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.

SAKARATUL MAUT



Dari Anas r.a katanya : “Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya” : “Bagaimana keadaanmu?” Pemuda itu menjawab : “Aku berharap kepada (rahmat) Allah – Ya Rasulullah! – dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku”. Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti”. (Anas r.a)


Apabila menghadapi sakaratul maut setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut. Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakaratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

BERJIHAD MENENTANG NAFSU


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya”. (Riwayat al-Bukhari)

Di samping faktor-faktor luaran seperti dunia, manusia dan syaitan, faktor dalaman iaitu nafsu turut mendorong manusia melakukan maksiat kepada Allah S.W.T. Mengendalikan hawa nafsu merupakan jihad terbesar yang sangat berat dan wajib dilakukan manusia. Tanpa kemampuan mengendalikan hawa nafsu, manusia akan jatuh ke jurang kehinaan kerana nafsu sentiasa mengajak kepada keburukan dan kemudaratan.

Orang yang mengikut hawa nafsu sering kali semakin asyik dengan kesesatannya itu bahkan sampai tidak merasa berdosa dengan maksiat yang dilakukan sehingga sanggup dan tanpa malu melakukan tindakan yang melampaui batas.

Contohnya muda-mudi hari ini didapati begitu banyak yang berkelakuan tidak senonoh seperti bercumbu-cumbuan di khalayak ramai dan yang seumpama dengannya sedangkan kita mengetahui bahawa menurut hawa nafsu mengakibatkan kehidupan moral dan akhlak mulia manusia menjadi rosak.

Justeru itu, adalah amat penting bagi setiap umat Islam memiliki nafsu yang selalu memperoleh petunjuk dari Allah S.W.T sebagaimana nafsu yang telah dimiliki oleh Nabi Yusuf a.s sehingga beliau dapat menghindarkan dirinya dari segala bentuk kemaksiatan.

PERBEZAAN ORANG PINTAR DAN ORANG BODOH



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah”. (Riwayat at-Tirmidzi)


Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”. (Surah al-Anbiyaa’ : Ayat 35).


Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ialah ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya

BALASAN MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya: “Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (Riwayat Muslim)

Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim (apabila memenuhi segala syarat-syaratnya). Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar’i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain daripada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah SWT, ia juga merupakan satu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

PAHALA BERJALAN KE MASJID


Dari Ubai bin Kaab r.a katanya: “Ada seorang lelaki yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan bersolat jamaah. Kata orang kepadanya: “Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap atau di panas terik”. Dia menjawab: “Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan masjid kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku”. Sabda Rasulullah SAW : “Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi mu”. (Riwayat Muslim)

Begitu indah ‘panggilan Allah’ sehingga orang yang benar-benar beriman akan segera berganjak dari kesibukan mereka untuk segera menyahut panggilan-Nya. Demikian juga banyak sekali keutamaan yang diberikan kepada mereka yang memakmurkan rumah Allah (masjid). Maka sesuai dengan kemajuan hari ini juga, banyak surau-surau dan masjid yang cantik dibina bagi memudahkan kita untuk solat berjemaah. Apatah lagi jika surau atau masjid itu terletak berdekatan dengan kediaman kita. Tidak perlu kita berkenderaan untuk ke sana.

Namun kelazimannya manusia sentiasa tidak bersyukur di atas nikmat tersebut yang jika direnungkan amat ketara sekali pengabaiannya. Ini terbukti apabila kebanyakan masjid tinggal terbiar, sunyi sepi tanpa dimakmurkan oleh ahli kariah masing-masing sedangkan fungsi masjid amat luas iaitu selain menjadi tempat mendirikan solat ia juga berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti ceramah, majlis ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Hari ini apa yang menjadikan masjid meriah hanyalah jika tiba bulan puasa dan hari raya. Meskipun kedudukan masjid tidak jauh ternyata kita tidak tertarik untuk ke sana. Kata orang, hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tetapi jika hendak ke masjid, meskipun tidak hujan, panas, jauh sekali ribut petir kita tetap tidak pergi ke masjid. Betapa kita menilai bahawa pemberian gaji dan pemberian pahala itu seakan sesuatu yang asing. Kerja untuk dunia dan solat untuk akhirat. Sedangkan kerja juga suatu ibadah yang ganjarannya selain datang dari manusia yang berupa gaji, ia juga datang daripada Allah yang dengan sifat Pemurah-Nya memberikan kita rezeki (melalui kerja tersebut) dan Dia jugalah yang memberikan kita pahala jika kerja itu diniatkan sebagai ibadah yang dilakukan kerana Allah.

Maka kita selaku manusia sewajarnya bersyukur kepadanya dengan datang beramai-ramai ke masjid untuk memakmurkan rumah-Nya yang sekalipun kita tidak diberi gaji untuk itu tetapi yang penting kita dikurniakan pahala dan keberkatan oleh-Nya. Bukankah itu sebaik-baik jalan bagi manusia menuju kesejahteraan hidup memandangkan bahawa bumi ini adalah milik Allah dan kita hanyalah makhluk yang kerdil yang menumpang sementara di atasnya. Justeru hidupkanlah masjid sebagai tempat untuk menunaikan ibadah secara berjemaah.

KEWAJIPAN DALAM MENUNAIKAN SOLAT FARDHU


Dari Anas r.a katanya : “Nabi Muhammad SAW telah bersabda : (selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang, lalu aku memohon kepadaNya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja) maka Allah SWT berfirman : “Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya). KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti”. (Riwayat Bukhari)

27 Rejab mencatatkan lakaran sejarah penting yang berlaku ke atas Rasulullah S.A.W kerana pada tarikh tersebutlah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ke atas baginda. Ia berlaku pada tahun yang dinamakan “Tahun Dukacita”, di mana baginda telah kehilangan dua orang insan yang telah banyak memberi pertolongan dan bantuan sepanjang menjalankan dakwah suci iaitu isteri baginda Siti Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Talib.

Di dalam peristiwa ini banyak perkara telah berlaku dan yang paling utama adalah mengenai sembahyang yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Baginda S.A.W telah menerima kewajipan sembahyang lima waktu ketika Mikraj sebagaimana yang digarapkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya.

Jika kita perhatikan mengenai kewajipan ini maka fahamlah kita tentang betapa besarnya ganjaran dan peranan sembahyang di mana sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna mampu mencegah umat Islam daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Peringatan Rasulullah S.A.W mengenai sembahyang ini harus dititikberatkan memandangkan sekarang ini ramai di kalangan umat Islam yang mengabaikan solat dan memandang mudah terhadap sembahyang lima waktu apatah lagi menunaikannya secara berjemaah. Pengaruh keduniaan telah menghantui mereka sehingga sanggup meninggalkannya demi mengejar habuan dunia yang tidak seberapa.

SENYUM ITU SEDEKAH


Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman)”. (Hadis Riwayat Muslim)

Memberi senyuman tidak kira kepada siapa pun ketika bertemu mungkin dianggap perkara kecil atau remeh tetapi senyuman ikhlas yang diberikan itu mempunyai nilai sedekah kerana menimbulkan kegembiraan orang lain dan mengeratkan ukhuwah sesama Muslim. Mengukir senyuman adalah kebaikan yang tidak memerlukan modal, namun ganjarannya besar dan begitu memberi kesan positifnya dalam kehidupan bermasyarakat.

DI ATAS HAMPARAN SEJADAH


Nabi s.a.w bersabda: “Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: “Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya.” (Abu Hurairah r.a)

Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T. Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya. Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.

AMALAN YANG LEBIH UTAMA


Dari Ibnu Mas’ud RA bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW : “Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab : “Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah”. (Hadis Bukhari)

Di dalam al-Qur’an dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah SWT. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya amat besar ganjarannya.

Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan.

Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah SWT sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk (neraka).

BERSABARLAH APABILA DICACI


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mendengarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.


Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?


Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.
(Hadis Riwayat Ahmad)


Sebagai umat Islam kita telah diajar oleh Rasulullah saw supaya sentiasa bersabar dan menahan kemarahan kerana dengan tidak bersabar dan marah membuka ruang kepada syaitan untuk menghasut kita. Berdasarkan hadis di atas jelas menceritakan bagaimana malaikat membalas setiap cacian orang terhadap kita. Namun apabila kita membalas cacian tersebut maka syaitan telah mengambil alih dalam usaha untuk menghasut dan memburukkan lagi keadaan.

REDHA MENERIMA UJIAN DARI ALLAH S.W.T


Nabi s.a.w bersabda : “Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”. (Anas r.a)

Setiap manusia hendaklah menerima segala ujian Allah dengan hati yang tabah, sabar dan redha kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan pada dirinya. Jika ia membiasakan dirinya dengan amalan yang baik semasa ia sihat atau senang kemudian tidak dapat melakukannya disebabkan kesakitan atau kemalangan yang menimpanya, maka Allah memerintahkan malaikat amal mencatat amalan yang baik yang tidak dapat dikerjakannya itu.

Sekiranya Allah menyembuhkan sakitnya atau menghilangkan bencana yang menimpanya itu maka Allah jadikan ujian-Nya itu sebagai “kaffarah” (yang menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu) serta dijadikan hidupnya berkeadaan baru, suci dan bersih daripada dosa. Namun sekiranya Allah S.W.T sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia akan dikurniakan keampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.

10 GANGGUAN SYAITAN KETIKA BERSOLAT


1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram
Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.
Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.
Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.


2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.
Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.
“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).


3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan
Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada anda bersolat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada anda mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan
Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.
Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.
Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).


5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat
Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.
Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.
Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


6) Melakukan gerakan yang tidak perlu
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.
Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).


7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat
Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).


8) Menguap dan mengantuk
Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


9) Bersin berulang kali ketika solat
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).
Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”


10) Terasa ingin buang angin atau buang air
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).
Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan syaitan.

MELIHAT ALLAH S.W.T DI SYURGA


Dari Abu Hurairah R.A, para manusia bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “Ya Rasulullah, apakah kita semua dapat melihat Allah pada hari kiamat nanti?” Nabi menjawab, “Apakah kamu ragu-ragu dapat melihat bulan pada waktu purnama, melihat matahari apabila tidak dilindungi awan?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kamu semua akan melihat Allah sebagaimana kamu jelas melihat bulan purnama dan matahari yang tidak dilindungi awan”.

Rasulullah pernah bertanya kepada Jibril, “Hai Jibril pernahkah kamu melihat Allah?” Jawab Jibril, “Bahawa di antara aku dan Allah ada 79 hijab yang terdiri dari lapisan-lapisan cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, maka akan terbakarlah aku memandangNya. Sedangkan antara engkau dan Allah ada 71 lapisan hijab dari cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, engkau akan terbakar pula memandangnya.”

Dari sini kita dapat lihat amat mustahil untuk melihat Allah di dunia ini. Nabi Musa A.S pernah meminta kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini membuktikan gunung yang kuat lagi kukuh akan hancur bila Allah menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah.

Diriwayatkan setelah para penghuni syurga selesai menikmati susana paling indah dan berbeza pada hari pertama di syurga, lalu mereka dipakaikan dengan pakaian yg serba indah yang dihadiahkan oleh Allah. Setelah itu Allah memerintahkan malaikat Jibril menghantar bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Kemudian muncul pula burung ajaib yang rupanya terlalu cantik terbang di udara taman syurga.

Burung ajaib itu mengembangkan sayapnya maka terperciklah bau-bauan harum semerbak merenjis pada tubuh dan pakaian ahli syurga. Maka bertambah harum dan nyaman susana waktu itu. Tercengang para penghuni syurga melihat keajaiban yang berlaku. Ia sebagai balasan kepada janji Allah untuk orang yang beriman.

Seketika kemudian terdengar satu suara yang paling ganjil dan menakjubkan memenuhi ruang taman syurga yang luas. Suara itu merupakan kalimah dari Allah S.W.T sendiri yang pertama kali didengar oleh manusia. Firman Allah, “Apakah lagi permintaan kamu kepada Aku wahai hamba-hambaKu? Mintalah kepada Aku dan Aku akan memenuhi kehendak kamu semuanya”.

Semua penghuni syurga ketika itu tergamam, terdiam, tercengang dan terperanjat apabila mendengar kalimah dari Allah. Ia suatu nikmat yang paling berharga. Kemudian seluruh manusia yang memenuhi ruang taman syurga itu berkata, “Wahai tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah sempurnakan janjiMu tentang kenikmatan yang akan Engkau anugerahkan ke atas hamba-hambaMu yang mengsyukuri setiap nikmat di dunia dahulu. Demikian pun wahai tuhan kami, izinkanlah kami untuk melihatMu di hari akhirat yang telah Engkau janjikan ini”.

Seketika kemudian secara tiba-tiba, muncullah sebuah mimbar yang amat ajaib di taman syurga. Lalu muncul malaikat Jibril membimbing tangan Nabi Musa naik ke atas mimbar yang indah itu untuk membacakan kitab Taurat supaya dapat dihayati oleh seluruh umat manusia di dalam syurga. Selesai membaca kitab Taurat dengan bacaan yang lembut itu, maka Jibril menjemput pula Nabi Isa memperdengarkan bacaan kitab Injil yang pernah diturunkan Allah kepada beliau.

Kemudian Jibril mempersilakan Nabi Daud membacakan kitab suci Zabur dan beliau membaca dengan suara yang enak sekali didengar. Selesai kitab Zabur dibacakan, Jibril akhirnya menjemput junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ke atas mimbar untuk membacakan kitab suci Al-Quran. Rasulullah membaca dengan suara yang paling merdu dan lembut serta tak pernah didengari oleh sesiapa pun sewaktu di dunia dahulu sehinggakan semua penghuni syurga terpegun.

Setelah selesai pembacaan keempat-empat kitab suci yang pernah diturunkan kepada umat manusia di dunia dahulu, maka terangkatlah suatu hijab (halangan) di langit syurga ketika itu. Apabila terbuka sahaja hijab itu, maka keluarlah angin yang lembut bersama sejenis bauan yang sangat harum dan menakjubkan. Sekalian manusia di syurga berasa terkejut melihat suatu kejadian paling ajaib yang tak pernah terfikir oleh akal.

Kemudian terbuka lagi sebuah hijab yang lebih besar iaitu hijab yang menghalang setiap makhluk melihat Allah S.W.T. Di sinilah saat paling nikmat dan paling berharga bagi setiap penghuni syurga kerana di sinilah tempat pertemuan yang sebenarnya antara manusia dengan Allah. Allah lalu memberi salam kepada sekalian manusia dan seluruh manusia menyambut salam dengan rasa nikmat dan syukur tak terperi.

Berkatalah seluruh manusia kepada Allah yang Maha Pencipta, yang Maha Berkuasa, yang Maha Pengasih dan Penyayang, “Wahai tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini”. Allah lalu berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan suatu hari untuk kamu semua rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat kamu semua berbuat ibadat, tetapi ia merupakan tempat mulia untuk kamu merasa kesenangan nikmat yang berkekalan. Walaupun begitu, demi keagunganKu, Aku izinkan kamu semua sujud sekali kepadaKu pada hari ini”.

Dari Shuhaib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, Allah berfirman,Apakah kalian ingin tambahan sesuatu dariKu?” Kata mereka, “Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?” Lalu Allah membuka hijabNya, maka tidak ada pemberian yang paling mereka cintai melainkan melihat wajah Allah Azza wa Jalla. Kemudian Rasulullah S.A.W membaca ayat ini, “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” [Yunus: 26]

Melihat Allah S.W.T merupakan puncak untuk segala kenikmatan untuk penghuni syurga. Selain itu, keistimewaan syurga Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat Allah S.W.T dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.

WAHAI SAUDARAKU, JANGANLAH MELEPASKAN PELUANG UNTUK MELIHAT ALLAH S.W.T DI SYURGA.
BERUSAHALAH DARI SEKARANG UNTUK MENCARI KEREDHAAN ALLAH S.W.T.


INGATLAH, MANUSIA YANG PALING RUGI ADALAH MEREKA YANG TIDAK MENDAPAT PELUANG UNTUK MELIHAT ALLAH S.W.T SELAMA-LAMANYA.