BERASAL SEBAGAI AHLI IBADAT TETAPI BERTUKAR MENJADI PENDERHAKA


Azazil bukanlah malaikat, ia adalah iblis yang asalnya dari golongan jin yang kuat beribadat.

Al-Kahf [50] "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…"

Iblis pada mulanya bernama Azazil dan tinggal di bumi. Azazil adalah jin yang taat kepada Allah. Dia menyembah Allah selama 1000 tahun, lalu Allah swt mengangkatnya ke langit pertama. Di langit pertama, Azazil beribadah menyembah Allah swt selama 1000 tahun. Kemudian dia diangkat ke langit kedua. Begitu seterusnya hingga akhirnya dia diangkat menjadi imam kepada para malaikat. Apa pun perintah Allah kepada malaikat juga adalah perintah baginya, kerana dialah imam para malaikat yang memimpin malaikat.

Azazil adalah imam kepada kepada seluruh malaikat. Ibadahnya kepada Allah banyak. Ada riwayat yang menyatakan Azazil beribadah kepada Allah selama 80,000 tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak dijadikan tempat sujudnya ke hadrat Allah.

Dalam satu riwayat menceritakan, akan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat satu suratan :

Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”

Maka menangislah Israfil kerana bimbang makhluk yang tersurat di Loh Mahfuz itu adalah dirinya. Maka diceritakanlah Israfil kepada segala malaikat pengalamannya melihat apa yang tersurat di Loh Mahfuz. Maka menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang nasib mereka. Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi imam kepada para malaikat, agar Azazil akan mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat. Azazil pun mendoakan keselamatan di dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat dengan doa :

Ya Allah, Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)”

Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. Selepas mendoakan kesemua para malaikat, Azazil terus menuju ke syurga. Di atas pintu syurga, Azazil terlihat suratan yang menyatakan :

Ada satu hamba dari kalangan hamba-hamba Allah yang muqarrabin yang telah diperintahkan Allah untuk membuat satu tugasan, tapi hamba tersebut mengengkari perintah Allah. Lalu dia tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat”

Lalu Allah Menciptakan Adam a.s., dan memerintahkan malaikat untuk sujud menghormat kepada Adam a.s. Azazil, sebagai imam para malaikat, sepatutnya lebih dahulu bersujud memimpin para malaikat. Tetapi, dia menolak, kerana dia merasa bahawa dirinya lebih baik dari pada Adam. Sementara para malaikat lain terus sujud tanpa dipimpin oleh Azazil.

Bukan sahaja dia enggan sujud, malah sombong dan menjawab kepada Allah :-

Israa [61] "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?"

Keengganan sujud ini berpunca dari hasad dengki iblis@Azazil, yang irihati apabila Allah hendak melantik nabi Adam sebagai khalifah di bumi kerana ia dijadikan dari api sedangkan manusia dijadikan dari tanah yang busuk dan melekat. Ia derhaka kepada Allah, takabbur dan lupa daratan.

Maka terhalaulah Azazil dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya.

Israa [62] "Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)"

Israa [63] "Allah berfirman (kepada iblis): Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup".

SETIAP PERBUATAN KITA SEDANG DIREKOD OLEH MALAIKAT


Rasulullah s.a.w bersabda: “Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang di sebelah kiri; maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan, dituliskan baginya kebaikan itu menjadi sama dengan sepuluh kebaikan yang tersebut, dan apabila ia melakukan sesuatu kejahatan, lalu Malaikat yang di sebelah kiri hendak menulisnya, berkatalah Malaikat yang disebelah kanan: “Tunggu dahulu;” lalu ia menunggu selama enam atau tujuh jam; kemudian jika orang itu beristighfar dari perbuatan jahat itu, tidaklah dituliskan sesuatu pun; dan jika ia tidak meminta ampun kepada Allah Taala, dituliskan baginya satu kejahatan sahaja.”

Ulama mengatakan Raqib dan Atid, dan Kiraman Katibin adalah 2 malaikat yang sama, cuma dalam quran dibezakan dari segi tugasnya.. Raqib dan Atid merekodkan percakapan manusia, Kiraman Katibin merekodkan perbuatan manusia.

Raqib dan Atid

Qaf [17] "Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya.[18] Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".

Kiraman Katibin
Al-Infitar [10] "Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,[11](Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu) [12] Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan".

IBLIS TELAH BERSUMPAH UNTUK MENYESATKAN MANUSIA


Allah S.W.T berfirman : "Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya)". (Saba: 20)

Benar sangkaan Iblis bahawa ramai daripada manusia yang akan mengikutinya, iaitu mengikut pujukannya.

Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam sepertimana yang diperintahkan Allah. Maka Allah telah memberi peluang kepadanya untuk memohon keampunan daripada Allah, tetapi dia enggan dan meminta agar ditangguhkan laknat Allah (hukuman dan azab) sehingga hari kiamat nanti:

Allah S.W.T berfirman: "Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat." (Hijr:35)

"Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)." (Hijr:36)

Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh." (Hijr:37)

"Hingga ke hari (masa) yang termaklum". (Hijr:38)

Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya," (Hijr:39)

"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik (ikhlas)". (Hijrr:40)

Dalam ayat yang lain pula disebut:
"…Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)". (Isra: 62)

Allah berfirman (kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup". (Isra:63)

"Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata". (Isra: 64)

Pujukan Iblis Syaitan dalam menyesatkan manusia adalah melalui suaranya, kaki dan tangannya. Ulama mentafsirkan suara itu adalah muzik, manakala kaki dan tangan pula adalah joget atau tarian.

"Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu". (Saba:21)

Pada hakikatnya Iblis Syaitan tidak berkuasa menyesatkan manusia, melainkan dengan izin Allah. Allah memberi manusia pilihan dalam menentukan dan memilih masa depan samada yang cerah atau yang gelap.

"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? "(Balad:10)

Iblis Syaitan juga tidak mampu menyesatkan hanba-hamba Allah yang Ikhlas. Oleh itu jadilah hamba Allah yang sejati, dunia dan akhirat.

Allah S.W.T berfirman: "Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka)". (Isra:65)

ALLAH S.W.T. MENYUKAI HAMBANYA YANG PEMURAH DAN BERAKHLAK MULIA


Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Pemurah, Dia menyukai orang yang pemurah, dan Dia menyukai ketinggian akhlak (budi pekerti) dan tidak suka kepada akhlak yang rendah.” (Riwayat Naim melalui Ibnu Abbas r.a.)

Sifat Pemurah

Allah itu sifatnya pemurah. Dia menyukai orang yang bersifat pemurah.
Dalam sebuah hadith daripada Sayyidina r.a. Usman disebut mana-mana 99 nama Allah, sekiranya diamalkan 1 pun daripadanya, maka masuk syurgalah (balasannya).

Rasulullah s.a.w. juga bersabda “Sakhi (Murah hati) adalah pohon yang tumbuh di syurga, Oleh kerana itu tidak akan masuk syurga kecuali orang yang murah hati. Dan bakhil adalah pohon yang tumbuh di neraka. Oleh kerana itu, tidak akan masuk neraka kecuali orang bakhil.”

“Sifat bakhil adalah pokok yang ada di neraka yang dahan berserta cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke neraka. “Demikian pula kemurahan hati adalah pokok yang ada di dalam syurga yang dahan dan cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke dalam syurga, kerana syurga adalah rumah bagi para pemurah.”

Seorang pemurah hati dekat kepada Allah, dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga. Seorang yang bakhil itu pula jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan jauh dari syurga tetapi dekat dengan neraka.

Namun berpada-padalah dalam memberi:

Allah S.W.T. berfirman: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Furqan [67])

Allah S.W.T berfirman : "… dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau."(Israa [26])

Akhlak Mulia

Dari Abu Al-Darda’ r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: “Tidak ada sesuatu pun yang ditimbang pada hari Kiamat yang lebih berat daripada akhlak dan budi pekerti yang baik. ” (Riwayat Abu Daud & Tirmizi).

Akhlak adalah sesuatu yang abstrak (tidak boleh dipegang), yang tidak boleh ditimbang secara zahirnya. Namun Allah boleh menimbang perkara yang abstrak, misalnya amalan puasa dan sembahyang. Hanya Allah yang boleh menimbang dan menilai berat pahala amalan-amalan tersebut.

Orang yang berakhlak rendah adalah mereka yang tidak malu kepada Allah. Mereka ini berperibadi rendah.

ALLAH S.W.T ADALAH MAHA PEMURAH DAN LAGI MAHA PENGASIHANI


Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah telah menulis di dalam Ummul Kitab (Loh Mahfuz) sebelum dia menciptakan langit dan bumi iaitu “Sesungguhnya Akulah Yang Maha Pemurah, Akulah yang menciptakan rahim (persaudaraan), dan aku pecahkan daripada nama-Ku, sesiapa yang menyambungnya maka Aku menyambung orang itu dan sesiapa yang memutuskannya maka Aku putuskan dia.” (Riwayat Thabrani melalui Jabir)

Dalam hadith yang lain Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menulis takdir sekelian makhluk sebelum ia mencipta langit dan bumi selama 50,000 tahun. (Muslim)

Allah S.W.T itu bersifat Ar-Rahman iaitu maha pemurah. Allah S.W.T juga bersifat Ar-Rahim iaitu maha Pengasihani. Dia jugalah yang menciptakan rahim ibu. Malaikat juga melaporkan kepada Allah apabila air benih berada di dalam rahim.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: “Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi: “Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?” (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya.” (Anas r.a)

Oleh kerana Allah S.W.T bersifat Ar-Rahim, maha pengasihani maka dia juga menyukai orang yang bersifat pengasih. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang pengasih akan dikasihi Zat yang Maha Pengasih, kasihilah yang di bumi, maka yang di langit (Malaikat) akan mengasihimu.”(HR. Tirmidzi)

SEBUAH PERINGATAN TENTANG API NERAKA


70 tahun perjalanan ke bawah

Daripada setiap 1000 manusia yang meniti Sirat di Hari Kiamat hanya 1 sahaja yang akan terus berada di titian sirat (iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh) untuk meneruskan perjalanan ke syurga (sepantas kilat bagi mereka yang beriman). 999 manusia akan jatuh ke bawah dari sirat dan akan tiba di dasar neraka setelah 70 tahun.

Kata Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, maksudnya:
Kami bersama-sama Rasulullah Saw, maka kami mendengar suara yang sangat hebat lagi dahsyat. Beliau bersabda: “Tahukah kamu sekalian suara apakah ini.Kami menjawab: “Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui”.Beliau bersabda: “Ini adalah suara batu yang dilontarkan ke dalam neraka Jahannam sejak 70 tahun dan sekarang baru sampai ke dasarnya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka? (Hadis Riwayat At-Tarmizi, An-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad)

Nereka itu umpama lubang perigi yang panas, ada 70 gunung berapi dan asapnya pula hitam.

40 tahun perjalanan lebarnya.

Dari Abu Said Al-Khudri r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda," pembatas neraka itu terdiri dari empat dinding yang tebal. Setiap dinding jaraknya sejauh empat puluh tahun perjalanan" (Riwayat Tirmidzi)

Neraka itu juga makhluk Allah.

Neraka hidup dan diceritakan dalam hadith dan al-quran.. Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
Di bawa Neraka jahanam pada hari itu dengan tujuh puluh ribu tali penarik, pada tiap-tiap satu tali penarik ada tujuh puluh ribu Malaikat menariknya. (Bukhari)

Kepanasan neraka

Neraka mempunyai 7 pintu yang ditutup rapat supaya suhu panasnya kekal pada tahap yang maksimum. Api neraka itu 69 kali kepanasan api di dunia. Para sahabat pernah mengatakan bahawa cukuplah kalau api neraka itu sepanas api dunia. Jawab Rasulullah “Kalau api neraka itu sepanas api dunia, ahli neraka masih boleh tidur di dalamnya“..

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:“Kepanasan api yang digunakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah sepertujuh puluh kepanasan api Neraka Jahanam.” Sahabat-sahabat Baginda berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyeksa. ”Baginda s.a.w., bersabda: “Meskipun demikian, kepanasan Neraka jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini. “

Neraka sendiri tidak tahan dengan kepanasnya, ia meminta izin dari Allah untuk menghembuskan nafasnya ke dunia, lalu diizinkan. Satu nafas neraka yang dihembuskan cukup untuk kegunaan dunia selama satu tahun.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Neraka mengadu kepada Tuhannya. Kata neraka: Ya Tuhanku, sebahagianku memakan sebahagian yang lain. Allah lalu mengizinkan neraka untuk menghembuskan dua nafas, nafas pada musim dingin dan nafas pada musim panas. Nafas yang kedua adalah hawa paling panas yang biasa yang engkau rasakan. Nafas yang pertama adalah hawa paling dingin yang engkau rasakan.

Matahari itu sangat juga panas kerana cahayanya berasal dari api neraka.
Rasulullah s.a.w. bersabda “Telah diwakilkan kepada sembilan malaikat khas untuk melontar salji tiap-tiap hari kepada matahari. Kalau tidak dibuat demikian, terbakarlah alam ini”. (Riwayat Tabrani dari Abu Umamah)

JANGANLAH MENSIA-SIAKAN UMUR KITA


Allah S.W.T sentiasa mencurahkan nikmatNya kepada kita hambaNya dalam berbagai-bagai nikmat yang mana tidak dikira kurniaan nikmat itu kepada hambanya yang soleh atau tidak dan seterusnya nikmat tersebut itu tadi tidak dapat dihitung banyaknya.
Walaupun kita jadikan air dilautan sebagai dakwat dan segala ranting dan batang kayu menjadi penanya masih lagi tidak dapat dihitung jumlah nikmat Allah yang kita gunakan setiap hari, mulai dari terbit nya matahari sehingga terbenamnya.

Dalam hal ini Allah S.W.T. berfirman,
"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah nescaya kamu sesekali tidak dapat menentukan jumlahnya." (An-nahlu : 18 )

Sungguh benar Firman Allah itu, andai kata kita ingin menghitung satu persatu segala nikmat Allah S.W.T. keatas kita samada yang telah menjadi makanan kita dari sejak kecil atau sebagainya rasanya terlalu sukar. bahkan setelah dikurniakan Allah nikmat yang banyak tersebut manusia sering kali atau terlalu mudah untuk melupakan Allah bahkan segala nikmat yang diberikan itu dijadikan sebagai alat untuk membelakangi Allah..nauzubillah.

Saudara ku sekalian,diantara sekian banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita antara nya ialah nikmat umur dan usia yang masih lagi kita pakai sampai hari ini.

Umur yang dikurniakan kepada kita hari ini adalah sebuah nikmat yang terlalu besar dan paling tinggi nilai harganya ,tidak dapat kita nilai harganya dengan emas yang berbukit dan wang yang berjuta.

Oleh yang demikian,umur yang Allah S.W.T beri kepada kita sebagai pinjaman ini yang ianya berterusan sampai sekarang perlulah kita usahakan untuk melakukan kebaikan,mencari dan mengharap keredhaanya dengan maksud kita sentiasa bersedia dalam menegakkan hukum-hukum syariat Allah disamping tidak kita lupa segala amal soleh dan kebajikan kita itu kita letakkan diatasnya niat semata-mata ikhlas kerana Allah S.W.T.

Sebenarnya dalam tidak kita sedari ,semakin bertambah umur kita semakin kita dekat dengan kematian, semakin rapat kita dengan tanah tempat yang mana kita dijadikan dan disitu jua kita akan dikebumikan.kerana itu hendaklah umur kita yang ada ini kita pergunakan sebaiknya sebelum berpisah nya roh daripada jasad. jangan kita terlewat, jangan pula kita terpedaya dengan kekuatan ,keindahan,kekayaan,kuasa yang besar,pengaruh yang banyak kerana semua itu akan tetap berakhir bila malaikat maut sudah menceraikan roh kita dari badan.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W :
"sebaik-baik manusia itu adalah orang yang diberikan umur yang panjang dan umur itu dikerjakan dengan melakukan sebanyak-banyak kebaikkan,dan seburuk-buruk manusia ialah orang yang diberi tuhan umur yang panjang tetapi dia pergunakanya untuk membuat kejahatan". (Hr .Ahmad)

Umur yang kita gunakan ini akan dipertanggunjawabkan dihadapan Allah iaitu untuk apa umur ini kita gunakan, untuk apa ianya kita habis kan, semuanya akan ditanya dimahkamah Allak kelak nanti.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W :
"Belum lagi habis jejak telapak kaki seorang hamba sehingga kepadanya disoal tentang umurnya kemana dia habisi". (Hr. Tarmizi)

Marilah kita sama-sama menggunakan kesempatan atau saki baki usia kita yang ada ini untuk memperbaiki langkah-langkah kita yang lalu.agar kita mencapai kehidupan yang mulia disisi Allah S.W.T dan seterusnya mendapat kemenangan di dunia & akhirat.

KELUASAN API NERAKA JAHANNAM



Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s. a. w.: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya."

Lalu nabi s. a. w. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Qur'an itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi s. a. w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s. a. w.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"

Jawab Jibrail: "Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a. s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah. Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar. Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha, pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.

Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir." Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s. a. w. sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?" Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat."

Maka nabi s. a. w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s. a. w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar nabi saw bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?"

Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu." Kemudian nabi s. a. w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s. a. w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.

(dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yg Lalai")

12 WAKTU MUSTAJAB UNTUK BERDOA


Selain usaha dan tawakal, doa ialah satu-satunya cara untuk mencapai sesuatu hajat. Ada waktu-waktu tertentu paling mustajab untuk berdoa kepada ALLAH s.w.t. Di antaranya ialah:

1) Semasa Lailatul-Qadar.

2) Ketika hujan turun.

3) Ketika memulakan dan setelah selesai solat.

4) Ketika menghadapi barisan musuh di medan peperangan.

5) Di tengah malam.

6) Di antara azan dan iqamah.

7) Ketika sujud dalam solat.

8) Ketika iktidal akhir dalam solat.

9) Ketika khatam (tamat) membawa 30 Juz al-Quran.

10) Sepanjang malam, paling utama sepertiga awal dan sepertiga akhir (waktu sahur).

11) Malam Jumaat dan sepanjang hari Jumaat kerana mengharapkan bersua dengan saat ijabah (diperkenankan doa) yang terletak di antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat.

12) Di antara waktu zuhur dan asar dan antara waktu asar dan maghrib.

SENTIASALAH BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI KEMATIAN


Setiap orang tahu bahawa dia akan mati, tak ada seorangpun yang mengingkarinya. Tapi kenyataannya sedikit sekali yang mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian. Sebahagian besar manusia bahkan berusaha melupakannya dengan berbagai hiburan dan kegiatan. Kematian menjadi misteri yang ditakuti. Padahal dengan perjalanan waktu, saat kematian yang tidak mungkin kita hindari ini hanya akan menjadi semakin dekat lagi. Padahal bagi mereka yang sedar, dan berniat untuk menghadapinya, sesungguhnya ingat akan kematian merupakan pendorong yang sangat kuat untuk mencapai kehidupan yang berjaya.

Lebih dari 160 kali kata kematian disebut dalam al Qur'an. Mengapa peristiwa ini mendapat banyak perhatian dalam kitab Allah ini? Untuk menjawab pertanyaan ini mari kita perhatikan beberapa ayat yang mengandung kata kematian tersebut.
" Setiap jiwa akan merasakan kematian" (ali Imran 185)

Ayat ini mengungkapkan fakta kematian sebagai suatu kenyataan. Tanpa menutupi ataupun menakuti, tetapi membicarakannya sebagai suatu hal yang pasti terjadi, yang pasti akan kita alami. Pernyataan tersebut dilanjutkan dengan huraian mengenai apa yang akan kita hadapi setelah mati:

"Dan sesungguhnya hanya pada hari kiamat sajalah akan disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang diselamatkan dari api neraka dan dimasukkan kedalam syurga sesungguhnya dialah yang benar benar beruntung. Sesungguhnya kehidupan didunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan" (Ali Imran 185)

Dengan nada keterbukaan yang sama, ayat diatas menyajikan beberapa prinsip dasar Islam. Bahwa kematian bukanlah akhir dari riwayat kita. Masih ada kehidupan setelah mati, suatu kehidupan yang justru jauh lebih panjang dari hidup yang sekarang ini. Juga disebutkan dalam ayat ini apa ukuran keberhasilan yang sebenarnya. Kejayaan yang hakiki adalah selamat dari api neraka dan masuk kedalam syurga. Kejayaan bukanlah keberhasilan meraih suatu gelaran, kejayaan juga bukan berarti pangkat, ataupun kekayaan, semua kejayaan dunia itu hanya seperti fata morgana dibandingkan kenyataan yang akan kita alami di akhirat.

Pesanan yang sama juga kita dapati dalam ayat berikut (Al Anbiya 35):
"Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan kami akan uji engkau dengan kejahatan dan kebaikan. Hanya kepada kamilah engkau akan kembali"


Tidak ada kesamaran ataupun keraguan dalam pesanan ini. Bahawa hidup ini sementara, hidup hanyalah suatu masa percubaan, suatu ujian saja. Setiap orang mendapatkan ujiannya masing-masing. Ada yang diuji dengan musibah kemalangan ada juga yang diuji dengan keberuntungan didunia ini. Tapi pada akhirnya semua kita tanpa kecuali akan dinilai dan diberi ganjaran kehidupan akhirat yang sesuai dengan hasil ujian ini.

Kisah lengkap kehidupan kita secara ringkas diceritakan dalam al Quran sebagai berikut:

"Sesungguhnya telah kami ciptakan manusia dari tanah, Kemudian dari setitis mani yang disimpan dalam tempat yang kukuh (rahim) Lalu dari setitis mani itu Kami jadikan ia segumpal darah, Lalu dari segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, Lalu dari segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang Lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk lain. Maha suci Allah, Pencipta yang paling baik. Kemudian sesudah itu kamu semua akan mati kemudian sesungguhnya pada hari kiamat engkau akan dibangkitkan lagi" (Al Mu'minun 23:12-16)

Hanya yang Maha Pencipta yang dapat memaparkan riwayat kita selengkap itu. Dari huraian itu nampak bahawa apa yang kita jalani didunia ini hanya merupakan sebahagian saja dari seluruh riwayat hidup kita. Jauh lebih panjang lagi masa yang akan kita alami di akhirat nanti. Perlu diingat juga bahawa apa yang kita lakukan dalam masa hidup yang pendek didunia ini akan menentukan kehidupan kita di akhirat nanti. Inilah fungsi sebenarnya dari kehidupan dunia, sebagai ladang yang hasilnya akan kita nikmati diakhirat nanti.

Dalam bahagian lain, ditegaskan pula bahwa tidak ada jalan keluar yang dapat menghindarkan kita dari kematian. Surat an Nisa ayat 78 memaparkan: "Dimanapun engkau berada, kematian akan menjumpaimu. Walaupun engkau berada didalam menara yang kukuh dan tinggi sekalipun."

Demikianlah kematian itu, semua kita akan mengalaminya pada saat yang sudah dipastikan. Tak dapat ditunda walau hanya satu detik pun. Tak ada yang dapat menghentikannya. Lalu bagaimana kita harus mensikapinya? Dalam al Quran diberikan petunjuk untuk menghadapi kematian:

"Wahai orang-orang beriman, takutlah pada Allah dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam" (3:102)

Islam, inilah satu satunya yang dapat menyelamatkan kita dalam menempuh proses kematian. Allah memerintahkan kita agar tidak menjumpai kematian kecuali kita dalam keadaan muslim. Kematian tidak dapat kita tolak, dan kita tidak tahu bila kematian itu akan datang menjumpai kita. Bererti setiap saat kita harus selalu dalam keadaan muslim. Kita harus menjaga agar kita tetap muslim dalam bekerja, muslim ketika dirumah, baik waktu sendirian maupun didepan umum. Muslim waktu senang, dan tetap muslim pula waktu ditimpa kesusahan. Pada setiap saat dan situasi hendaknya kita selalu dalam keadaan menyerah (Islam) kepada Allah, sehingga kalau sewaktu kematian itu datang kita sudah siap dan dapat menghadapinya dengan tenang. Janganlah kita seperti orang yang digambarkan Allah dalam ayat berikut:

"Wahai orang yang beriman janganlah kekayaan dan anak anakmu mengalihkan perhatianmu dari mengingati Allah, agar engkau tidak menjadi orang yang merugi. Dan nafkahkan sebahagian dari harta yang kami berikan kepadamu sebelum datangnya kematian, sehingga engkau tidak berkata " Ya Tuhan, berikan kami tanguh beberapa saat. Niscaya aku akan bersedekah dan berbuat baik". Tapi tidak pada satu jiwapun Allah memberi tangguh ketika saatnya sudah tiba. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang engkau perbuat. (al Munafiqun 63: 9-11)

Jadi ketika kematian tiba, tidak akan ada lagi kesempatan kedua ataupun tambahan waktu. Kalau kita ingin berbuat baik, lakukanlah sebelum kematian itu tiba. Tak ada yang diberi tangguh, tak ada perkecualian.

Ketika kematian itu tiba pada salah seorang dari mereka, ia akan berkata. "Ya Tuhanku kembalikanlah aku, kembalikanlah aku, niscaya aku akan berbuat kebaikan yang selama ini aku lupakan." Tidak, tidak mungkin lagi. .... (Mu'minun 23:99-100)

Selalu ingat akan mati, memaksa kita sedar akan terbatasnya waktu kita didunia dan membuat kita selalu ingat akan tugas kita, apa yang seharusnya kita perbuat didunia. Banyak hal baik yang timbul dari ingatan akan mati. Karena itulah Islam mengajarkan agar kita sering melakukan ziarah kubur, Islam juga menganjurkan kita untuk mengiring jenazah ke kuburan dan membantu memandikan jenazah.


Disamping itu dengan membaca al Quran setiap hari, kita pun akan selalu diingatkan akan kematian ini. Kesedaran dan ingatan akan mati ini akan memberi kesan yang sangat dalam bagi kita: Tak ada lagi rasa keterikatan dan rasa ingin memiliki dunia. Tak ada lagi rasa takut untuk menyampaikan kebenaran. Hilang pula rasa cemburu dan iri hati yang biasa muncul ketika melihat orang yang lebih beruntung dari kita. Dendam dan sakit hati dengan mudah akan berganti dengan maaf yang tulus ikhlas.

Kita sedar giliran kita akan segera tiba. Semoga Allah S.W.T memberi kita kesempatan untuk menemui kematian dengan sebaik baik cara yang diredhaiNya.

10 WASIAT DARI IMAM SYAFIE


SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)

Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)

Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)

Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)

Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW

Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT

Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

YAKINLAH BAHAWA ALLAH S.W.T SEDANG MELIHAT KITA


Kita semua mengetahui bahwa Allah SWT : Al-Bashir (Maha Melihat) dan Al-Syahid (Maha menyaksikan).Meyakini Allah sedang melihat kita, disebut juga dengan kesedaran muraqabah, Pengertian muraqabah adalah : menerapkan kesedaran bahawa Allah S.W.T selalu melihat dan mengawasi kita dalam segala keadaan. Bahawa Allah S.W.T selalu mengetahui apa yang kita rasakan, ucapkan dan kita lakukan.

Bila kita tidak dapat menerapkan keyakinan bahwa Allah S.W.T sedang melihat kita, (muraqabah), maka kita akan menjadi hamba yang lupa akan pengawasan Allah, karena kita mengira bahwa Allah tidak mengetahui apa yang kita kerjakan. Sehingga ada dari kita yang sering membuat dosa seperti berzina, minum arak, menipu, berjudi, meninggalkan solat dan banyak lagi.

Mungkin bagi yang melakukan dosa sama ada yang kecil atau besar, lupa bahwa Allah yang Maha Menyaksikan segalanya, seperti tertulis dalam firman-Nya: “kamu sekali-kali tidak dapat bersembunyi dari penyaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu terhadapmu, bahkan kamu mengira bahwa Allah tidak mengetahui kebanyakan dari apa yang kamu kerjakan”. (Q.S. Fushshilat : 22)

Allah menciptakan telinga, mata dan kulit yang selalu menyertai kita untuk mengawasi semua gerak-gerik kita dimana pun kita berada. Sedarlah, bahwa anggota tubuh kita itu akan melaporkan semua aktiviti kita kepada Allah pada hari penyaksian nanti. Sebagaimana tertulis dalam firman-Nya : “sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa telah mereka kerjakan” (Q.S. Fushshilat : 20).

Anas bin Malik ra berkata: "suatu hari kami duduk bersama-sama Rasulullah saw, kami lihat Beliau tertawa, kemudian Beliau bertanya kepada kami, tahukah kamu apa yang menyebabkanku tertawa ?
Kami menjawab, Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.
Rasul berkata, saya tertawa karena dialog seorang hamba dengan Tuhannya (di hari pembalasan).

Di hari pembalasan, hamba itu berkata : wahai Tuhan, tidakkah Engkau akan menyelamatkanku dari kezaliman ? Tuhan menjawab, Ya. Kemudian hamba itu berkata, saya tidak akan menerima tuduhan atasku kecuali dengan bedasarkan saksi.


Tuhan menjawab : Cukup dirimu sendiri dan malaikat pencatat amal yang akan menjadi saksi. Setelah itu mulut hamba tersebut ditutup dan Tuhan mulai menanyai anggota tubuh hamba tersebut. “Berkatalah”, maka anggota-anggota tubuh itu mengisahkan semua amal perbuatan hamba tersebut. Kemudian mulut hamba tersebut diperkenankan untuk berbicara kembali, maka (sambil marah) mulut itu berkata kepada anggota-anggota badan yang lain, kalian adalah penghianat dan akan binasa, dulu didunia aku telah membela kalian."

Jadi, segeralah bertaubat agar kita tidak menjadi orang yang lalai.

Allah S.W.T. berfirman, “Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari; Kemudian Dia bersemayam di atas Arsy . Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya . Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan” (QS. Al Hadid 4)

SYAITAN MENGHALANG KITA DARI MENGERJAKAN SOLAT SUBUH


Dari Abu Hurairah r.a. disampaikan kepadanya oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda bersabda , :

"Apabila salah seorang dari kamu tidur, syaitan akan mengikatnya dengan 3 ikatan seraya berkata "bagimu malam yang panjang maka tidurlah". ( ketiga-tiga ikatan tersebut menjadikan dia terlelap dalam tidurnya sepanjang malam ). Akan tetapi apabila dia terjaga kemudian dia menyebut nama Allah, maka terpisahlah ikatan pertama. Kemudian apabila dia berwuduk , maka terlepas ikatan kedua, dan akhirnya jika dia melakukan solat (subuh), maka terlepaslah ketiga-tiga ikatan. Pada pagi itu harinya penuh bersemangat. Akan tetapi jika dia tidur sehingga subuh, maka pada pagi harinya jiwanya akan kotor dan menjadikan dirinya malas."

10 CARA UNTUK MERAIH CINTA ALLAH S.W.T


1. Membaca Al-Quran dengan tadabbur dan memahaminya dengan baik.

2. Mendekatkan diri pada Allah dengan solat sunat setelah mengutamakan solat wajib.

3. Selalu berzikir dalam segala keadaan dengan hati, lisan, dan perbuatan.

4. Mengutamakan kehendak Allah dalam segala keadaan.

5. Menanamkan dalam hati nama-nama dan sifat-sifat Allah dan memahami maknanya.

6. Bersyukur kepada Allah dalam setiap perkara yang telah ditentukan olehNya.

7. Sentiasa tawadduk (rendah diri) kepada Allah.

8. Selalu bangun malam untuk beribadah, bermunajat dan membaca kitab suciNya.

9. Banyakkan bergaul dengan orang-orang soleh juga mengambil hikmah dan ilmu dari mereka.

10. Jangan mendekati perkara-perkara yang menyebabkan kita lalai dari mengigati Allah s.w.t.