BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENDEKATKAN DIRI KITA KEPADA ALLAH S.W.T ?



Hassan al-Basri berkata: “Sesungguhnya hati dapat hidup dan mati. Apabila dia hidup, kerjakanlah amalan sunat dan apabila ia mati cukuplah mengerjakan amalan fardu.”

Apabila iman berkurangan, maka kuranglah kesungguhan beribadah. Hati disibukkan dengan perkara melalaikan. Kenikmatan beribadat pula bertukar menjadi suatu bebanan. Mustahil untuk terus bangkit daripada penyakit ‘lemah iman ini’.

Untuk memulihkan hati, maka buatlah amalan wajib yang berkualiti. Sembahyang fardu mesti tetap dijaga khusyuk dan rukunnya.

Jika ubat yang ditelan itu menampakkan hasil, anda akan beransur-ansur pulih dan sihat. Tetapi, jangan terlalu lama meninggalkan ibadat sunat kerana ia umpama vitamin bagi hati, makanan tambahan untuk hati yang sihat. Ibadat sunat berfungsi menjaga kesegaran hati supaya tetap sihat dan bertenaga.
Jika mahu memilih tempat yang paling mulia di sisi Allah, tentulah pengorbanan yang dilakukan mesti sesuai dengan upah. Mana mungkin pengorbanan yang sedikit mengharap upah yang banyak. Kerana itulah syurga memiliki beberapa tingkatan (kelas) dan lapan pintu semuanya. Kalau mahukan terbaik, lengkap dengan kemudahan paling hebat milik tetamu kenamaan istimewa (VIP), anda harus menjadikan diri anda layak mendapatkannya.

Antara amalan sunat yang menjadi kegemaran jiran Rasulullah SAW di syurga daripada kalangan sahabat, syuhada dan salihin :

1. Tahajjud untuk mendapatkan kedudukan mulia di sisi Allah.
Bangun di tengah malam, sangat berat dilakukan oleh orang yang terlalu kenyang dengan nafsu syahwatnya, terlalu letih dan sibuk mengejar dunia. Bagi orang yang susah bangun bermunajat, cubalah amalkan resipi ini. Tanamkan keyakinan dalam diri bahawa malam sentiasa menyimpan kejahatan makhluk-Nya. Kalau anda asyik dibuai mimpi, siapa yang boleh menolong jika unsur jahat itu masuk ke dalam rumah anda. Bangunlah, jaga rumah anda dengan sembahyang, nanti Allah akan menjaga anda. Semua alat keselamatan yang dicipta manusia itu sungguh lemah, hanya kuasa Allah satu-satunya penyelamat.

2. Sembahyang sunat sekurang-kurangnya 12 rakaat setiap hari.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tidaklah seseorang melakukan sembahyang sunat kerana mengharapkan keredaan Allah sebanyak 12 rakaat setiap harinya, melainkan Allah membina sebuah rumah untuknya di syurga.” (Hadis riwayat Muslim).

Solat sunat 12 rakaat ini tidak semestinya dikerjakan terus dalam satu masa. Pilihlah masa yang sesuai dan tidak memberatkan anda melakukannya. Dua rakaat yang ringan amat memadai asalkan dilakukan dengan khusyuk, dibandingkan dengan banyak rakaat tetapi hati lalai.

3. Puasa untuk menjauhkan diri daripada azab neraka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba berpuasa satu hari kerana Allah melainkan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Muslim)

Puasa berfungsi untuk melemahkan nafsu jahat dan menyerap aura iman ke dalam diri. Sesiapa yang panas baran, gelojoh, tamak, kedekut, ujub dan takbur, ubatilah penyakit yang membunuh ini dengan berpuasa. Semakin lapar perut, semakin menurun tekanan kejahatan yang dihembuskan syaitan. Semakin haus dan kurang tenaga, semakin anda berasa perlukan Allah.

4. Membaca al-Quran dan zikrullah.
Bagaimanakah membaca al-Quran yang baik? Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik suara yang membaca al-Quran, apabila kamu mendengarnya membaca, menjadikan kamu takut kepada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

5. Sedekah.
Uthman bin Affan pernah membawa berpuluh-puluh unta bersama barang dagangannya, kemudian datang rombongan peniaga hendak membeli daripada beliau. Seseorang berkata: “Aku akan ganti satu barang dengan harga dua kali ganda. Yang lain berkata: Aku ganti satu barang dengan harga tiga kali ganda. Hingga ada yang menawarkan harga yang tertinggi: Aku ganti satu barang dengan harga lima kali ganda. Uthman bin Affan bertanya kepada mereka: “Siapakah yang boleh menggantikan satu dengan harga 10 kali ganda? Sesungguhnya Tuhanku menggantikan semua barang ini dengan 10 kali ganda. Aku memilih tawaran yang paling baik daripada kalian. Aku sedekahkan semuanya di jalan Allah.”

Demikianlah hamba Allah yang membiasakan dirinya dengan amalan sunat. Buatlah amal menurut kesanggupan, tetapi nanti jangan menyesal jika berada di syurga yang lebih rendah daripada syurga yang tertinggi. Seolah-olah kita melihat bintang yang cantik berkilauan, boleh dilihat tidak boleh dicapai. Ingatlah semua amalan yang dilakukan hanya kerana satu cita-cita terbaik dalam hidup iaitu berada di sisi Allah sebagai insan teristimewa.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang mana Allah berfirman yang maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling Aku sukai yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Ku untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku selain melakukan yang fardu, dan mereka sentiasa mengerjakan yang sunat sehingga Aku mencintainya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

KEADAAN MANUSIA DI PADANG MAHSYAR


BAGAIMANAKAH cara manusia ke Padang Mahsyar? Bagi menjelaskan perkara ini, Allah berfirman pada ayat 86, Surah Mariam; ayat 102, Surah Taha dan ayat 97, Surah al-Isra'. Ayat itu maksudnya menyatakan bahawa cara manusia ke Padang Mahsyar ada tiga bahagian:

Orang yang pergi dengan berkenderaan iaitu orang bertakwa.

Orang yang berjalan kaki dan keadaan muka mereka biru keruh, kerana hati masing-masing sebak dengan kedukaan, iaitu orang yang mati dalam keadaan berdosa.

Orang yang berjalan dengan mukanya, sambil matanya tidak dapat melihat sesuatu yang menyukakannya. Lidahnya tidak dapat menuturkan hujah atau alasan yang boleh diterima daripadanya dan telinganya tidak dapat mendengar perkara yang menyenangkan hatinya.

Mereka ialah orang yang pada masa hidup di dunia tidak berusaha menggunakan matanya, lidahnya dan telinganya untuk mencapai kebahagiaan akhirat.

Cara itu diterangkan pula oleh Rasulullah SAW dalam hadis berikut:
Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud:
"Manusia yang dihimpunkan ke Padang Mahsyar pada hari kiamat adalah tiga golongan.
"Pertama golongan yang berjalan kaki; kedua, golongan berkenderaan dan ketiga, golongan yang berjalan dengan (berkakikan) mukanya."
Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana mereka dapat berjalan dengan mukanya?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya Tuhan yang telah menjadikan mereka boleh berjalan dengan kaki, berkuasa menjadikan mereka berjalan dengan muka mereka." (Hadis riwayat at-Tarmizi).

Bagaimana pula keadaan manusia ketika pergi dan berada di Padang Mahsyar?

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! Kamu sekarang telah datang kepada Kami dengan keadaan sebatang kara seperti keadaan Kami ciptakan kamu keluar dari perut ibu kamu dulu, tidak berkain baju, tidak berkasut, tidak berkhatan dan tidak berharta benda." (Surah al-An'am, ayat 94).

Dan firman-Nya lagi pada ayat 29 Surah al-A'raf, maksudnya: "Sebagaimana Tuhan telah mulakan penciptaan kamu dengan keadaan yang tertentu, maka demikianlah pula kamu bangkit hidup kembali kepada Tuhan."

Mengenai keadaan yang disebut itu, Rasulullah menerangkan dalam hadis berikut:
Daripada Ibn Abbas, katanya, Rasulullah berdiri berucap kepada kami, sabdanya: "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya kamu dihimpunkan di Padang Mahsyar dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup." (Kemudian Baginda membaca firman Allah bererti: Seperti Kami ciptakan manusia pada mulanya, demikian pula Kami ulangi ciptaannya, itulah janji yang sesungguhnya Kami akan lakukan) Ketahuilah! Sesungguhnya orang yang mula-mula sekali diberi pakai pakaian pada hari kiamat ialah Ibrahim al-Khalil." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Aisyah, bahawa Nabi bersabda: "Dihimpunkan manusia di Padang Mahsyar pada hari kiamat dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup." Aisyah berkata: "Ya Rasulullah! adakah orang perempuan dan lelaki semuanya melihat satu sama lain?" Nabi menjawab: "Wahai Aisyah! Kedahsyatan keadaan pada masa itu menghalang masing-masing daripada melihat satu sama lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Pada satu riwayat oleh al-Nasa'i dan al-Haakim daripada Aisyah, katanya: Aku bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana pula keadaan aurat?" Nabi menjawab: "Tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya saja."

Maksud dua hadis itu ialah Rasulullah menerangkan bahawa manusia akan ke Padang Mahsyar dengan keadaan sebagaimana Tuhan menjadikan mereka keluar dari perut ibu dulu - tidak berpakaian, tidak berkasut dan tidak berkhatan.

Mendengarkan keterangan itu, Saidatina Aisyah bertanya: "Bagaimana hal aurat masing-masing ya Rasulullah! Adakah orang lelaki dan perempuan memandang satu sama lain?"

Rasulullah menjawab: "Wahai Aisyah! Kedahsyatan huru-hara kiamat menghalang manusia dari memandang satu sama lain, usahkan hendak memerhatikan aurat, tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya saja.”

3 PERKARA YANG BOLEH MEMBUATKAN KITA MENANGIS

Ada 3 perkara yang boleh menyebabkan kita menangis bagi orang yang beriman iaitu :-

1) Nikmat Kehidupan Sempurna Yang Telah Diberikan Oleh Allah s.w.t ; Kita tentu akan merasa insaf jika kita fikirkan dengan kehidupan yang sempurna yang telah diberikan oleh Allah kepada kita jika dibandingkan dengan penderitaan yang dihadapi oleh golongan manusia yang lain di dunia ini yang berdepan dengan isu kelaparan, bencana alam dan sebagainya.

2) Bila Memikirkan Kehidupan Di Alam Kubur. Kehidupan dan suasana di alam kubur tidaklah sehebat kehidupan kita di dunia iaitu mungkin kita mempunyai rumah yang luas dan besar serta disinari cahaya lampu yang terang benderang, mempunyai sanak saudara atau rakan-rakan yang sering menemani kita atau harta yang mengunung. Tetapi di alam kubur; tempat tinggal kita ruangnya sempit dan suasana yang gelap gelita, tiada lampu yang menerangi kita. Kita hanya ditemani oleh cacing dan mungkin binatang berbisa dan tiada harta kemewahan yang menemani kita. Dan suasana ini kekal sehingga kita dibangkit semula pada hari kiamat. Bagaimana hidup pada malam pertama di alam kubur?, Mampukah kita menjawab soalan bocor yang akan ditanyakan oleh Malaikat Munkar & Nankir ; hanya amalan kita di dunia yang akan membantu kita menjawab soalan yang telah kita ketahui di dunia lagi. Kehidupan malam pertama di alam kubur tidaklah semanis kehidupan malam pertama di dunia iaitu selepas kita bernikah.

3) Bila Memikirkan Nasib Kita Di Padang Mashyar Nanti. Tentu kita akan menangis bila segala amalan baik kita yang telah kita buat di dunia diberi kepada orang yang kita umpat, yang kita caci dan hina. Dan dosa-dosa yang dibuat oleh orang yang kita umpat dan caci itu diberikan kepada kita. Sia-sia sahaja amalan baik dan pahala yang telah kita perolehi jika kita suka mengumpat, memburukkan serta mencaci seseorang kerana kita akan perolehi sebaliknya.

KERUGIAN ORANG YANG TIDAK BERSOLAT SUBUH SECARA BERJEMAAH DI MASJID


Berikut adalah kerugian yang akan dialami oleh orang yang tidak melakukan solat Subuh dan solat lain secara berjemaah:

1) Memiliki sifat-sifat orang munafik.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak." (Muttafa Alaih)

2) Kesengajaan tidur hingga tidak solat subuh dan meninggalkan solat berjemaah merupakan perbuatan kufur dan diancam dengan ancaman yang sangat berat. Allah S.W.T. berfirman bermaksud:
"Maka celakalah orang-orang yang melakukan solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya.
" (Al Ma'un 4-5)


3) Seorang lelaki berada di sisi Nabi SAW dan dia tidur hingga pagi, lalu Nabi SAW bersabda bermaksud: "Itulah lelaki yang kedua telinganya dikencing syaitan.“ (Muttafa Alaih)

Allah SWT sendiri mengatakan bahawa mereka yang susah untuk solat Isyak dan Subuh adalah orang munafik.


Datangilah ke masjid-masjid dan surau-surau untuk bersolat Subuh.

JAUHILAH DIRI ANDA DARI MAKSIAT BATIN


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Dalam hati manusia ada seketul daging, jika baik dia maka baiklah yang lain, jika rosak daging ini maka akan rosaklah anggota lain, daging seketul itu adalah hati.”

Hati kotor ini akan berjangkit dalam bentuk emosi yang akhirnya akan melakukan tindakan tidak rasional. Inilah yang dinamakan dengan maksiat batin. Di sini timbul seribu satu perangai negatif yang akhirnya akan menjurus kepada berlakunya konflik.

Antara maksiat batin itu seperti:

1) Maksiat perut iaitu seseorang itu terlalu banyak makan makanan yang tidak halal atau haram seperti meminum arak dan makanan yang dimakan dari punca rezeki yang tidak halal.

2) Maksiat mata iaitu seseorang yang suka melihat kepada bahan lucah dan haram.

3) Maksiat lidah yakni bercakap perkara-perkara yang tidak elok seperti mengumpat dan memfitnah.

4) Maksiat faraj bermaksud melakukan hubungan jenis di luar nikah dan lain-lain perhubungan jenis yang tidak dibenarkan.

5) Maksiat tangan yang bermaksud mencuri harta orang lain, menyeleweng kuasa yang diamanahkan dan juga mendapatkan harta secara haram.

6) Maksiat kaki bermaksud sentiasa mengunjungi ke tempat maksiat seperti ke kelab malam, tempat pelacuran dan tempat perjudian.

7) Maksiat telinga bermaksud mendengar perkara-perkara yang tidak elok seperti mendengar orang sedang mengumpat, memfitnah dan memburuk-burukkan orang lain.

Maksiat batin ini seterusnya akan berjangkit pula ke arah maksiat zahir, antaranya:

- Bercakap banyak
- Suka marah-marah
- Berhasad dengki
- Bakhil
- Suka bermegah-megah
- Sombong dan takbur dengan diri sendiri
- Cintakan dunia
- Suka memfitnah
- Ujub iaitu menyangka dirinya terlalu sempurna
- Riak iaitu perbuatan yang dilakukan semata-mata kerana terlalu inginkan pujian.

Apabila seseorang Islam itu melakukan maksiat yang dinyatakan di atas, maka akan bertambahlah titik dosa dalam dirinya yang menjadikan dirinya mengalami lebih konflik.

Bagi mengatasi masalah dan konflik itu mestilah berbalik kepada Islam dengan menghayati hak orang lain seperti mengawal hati dengan ibadat khusus serta sunat dalam ibadat umum. Mesti merasai roh ukhuwah yang mendalam dengan ikatan akidah yang kuat serta percaya kepada hari akhirat.

SYAITAN TIDAK PERNAH BERPUTUS ASA UNTUK MEMBAWA KITA KE NERAKA


Syaitan adalah musuh yang agak 'pelik' kerana mereka tidak pernah berputus asa daripada rancangannya walaupun sedetik, sebaliknya sentiasa mencari kesempatan untuk menunaikan tugasnya.

Syaitan boleh melihat kita daripada sudut yang kita tidak dapat melihatnya. Mereka cuba pelbagai cara bagi memerangkap kita.

Salah satu daripada sifatnya ialah secara bersembunyi. Taktik dan perangkapnya mungkin berbeza kepada seseorang. Taktik yang digunakan juga bergantung kepada masa, tempat dan situasi.

Berlawanan daripada apa yang majoriti manusia fikir, syaitan bukanlah makhluk khayalan. Sebahagian daripada ujian di atas muka bumi ini, seorang itu perlu berjaga-jaga daripada syaitan.

Ini kerana selepas menderhaka kepada Allah, syaitan bersumpah untuk menyesatkan hamba Allah. Kedegilan syaitan ini dinyatakan di dalam al-Quran sebagai perkara penting untuk diingati.

Syaitan tidak mempunyai kuasa bebas tanpa Allah. Mereka diciptakan Allah dan berada di bawah kuasa Allah sepenuhnya. Syaitan juga hamba Allah dan hanya boleh melakukan sesuatu dengan keizinan daripada Allah.

Mereka ditugaskan untuk membezakan manusia yang benar-benar beriman daripada mereka yang tidak beriman. Mereka hanya boleh bertindak dengan izin Allah.

Apabila masa yang diberikan kepadanya tamat, dia akan dihumban ke dalam neraka bersama mereka yang disesatkannya.

Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya." (Surah S d ayat 85).

Oleh itu, ingatlah bahawa syaitan sebenarnya tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat berikutnya, mereka hanya mempunyai kuasa ke atas mereka yang tidak beriman dengan ikhlas dan sebenarnya.

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka." (Surah al-Hijr ayat 39-40)

Syaitan tidak boleh menyesatkan manusia yang beriman kepada Allah. Memang benar, orang-orang yang beriman juga cenderung melakukan kesalahan, tetapi mereka tidak pernah putus asa daripada mengharapkan rahmat daripada Allah, dan secepat mungkin meminta perlindungan kepada Allah dan bertaubat dengan seikhlasnya.

Kita diberitahu di dalam al-Quran mengenai mereka yang boleh disesatkan syaitan: "Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah". (Surah an-Nahl ayat 99-100)

Ingatlah, syaitan mahu kita menjadi angkuh, sombong dan derhaka kepada Allah seperti dirinya. Mereka mengarahkan kita melakukan kejahatan melakukan sesuatu yang dimurkai Allah dan berkata sesuatu tentang Allah tanpa ilmu.

Syaitan cuba menghalang kita daripada memahami kebesaran dan kekuasaan Allah yang sebenarnya. Allah menerangkan tentang bahaya ini di dalam al-Quran seperti berikut: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui." (Surah al-Baqarah ayat 168-169)

"Syaitan menjanjikan (menakut-nakut) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui". (Surah al-Baqarah ayat 268)

Taktik utama syaitan ialah melalui tipu daya. Allah menerangkan tentang tipu daya ini "...dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia." (Surah an-Nas ayat 4-5).

Sebagaimana diterangkan oleh ayat itu, syaitan mendekati manusia secara senyap-senyap, melalaikan manusia dengan perkara remeh dan tidak penting dan menampakkan kesalahan yang dilakukan seolah-olah baik kepada mereka.

"Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka bagus apa yang selalu mereka kerjakan." (Surah al-An'am ayat 43)

Lebih penting lagi, mereka yang mempunyai hati yang keras dan berasa dirinya berada di dalam kebenaran, walaupun sebenarnya mereka terpesong, membawa diri mereka jauh daripada Al-Quran.

Dengan membelakangi Allah, mereka lebih rapat dengan syaitan, mengikuti caranya, dan menjadi semakin biadab.

5 SYARAT UNTUK MEMBUAT DOSA


Ibrahim Adham berwasiat : “Jika kamu mahu menerima 5 perkara serta mampu melaksanakannya nescaya kemaksiatan tidak akan mampu menyerang dirimu dan kamu tidak mudah untuk dihancurkan oleh kelazatan duniawi iaitu :

1. Apabila kamu hendak melakukan penderhakaan kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia maka janganlah kamu memakan rezekiNya

2. Apabila kamu hendak berlaku derhaka kepadaNya maka jangan sampai kamu memijak bumiNya

3. Jika kamu hendak melakukan sesuatu kemaksiatan sedangkan kamu masih berada dalam rezeki dan wilayahNya maka sekarang cuba carilah suatu tempat yang mustahil diketahui olehNya di mana tempat itu kamu dapat bebas berbuat maksiat

4. Apabila malaikat pencabut nyawa datang hendak mengambil nyawamu maka cuba mintalah kepadanya agar diberi tempoh hingga dapat bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya serta beramal soleh kerana Allah

5. Jika pada hari kiamat nanti ketika malaikat Zabaniyah penjaga neraka datang kepadamu untuk membawamu ke neraka maka usahakan untuk menolaknya

JIN TERPESONA MENDENGAR BACAAN AL-QURAN DARIPADA RASULULLAH S.A.W.


FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepada-Ku." (Surah az-Zariyaat, ayat 56)

Begitu penegasan Allah dalam al-Quran mengenai tujuan-Nya menciptakan jin dan manusia, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah Yang Maha Esa. Golongan jin dan manusia terbahagi kepada dua, iaitu Islam dan kafir.

Jin menyatakan keIslaman mereka yang diterangkan dalam al-Quran surah Jin bermaksud : "Katakanlah (wahai Muhammad): Sudah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin sudah mendengar (al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran yang susunan (ayatnya) dan kandungannya sungguh menakjubkan. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami." (Surah Jin, ayat 1-2)

Peristiwa ini terjadi ketika Rasulullah SAW bersama sahabat sedang melaksanakan solat Subuh. Ketika itu Baginda membaca surah ar-Rahman, ayat 1-78. Dalam surah ar-Rahman ini ada beberapa ayat yang bermakud: "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?"

Ketika ayat ini dibacakan, jin yang hadir saat itu langsung menjawabnya dengan kalimah: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami tidak mendustakan nikmat-Mu sedikit pun. Segala pujian hanya bagi-Mu yang sudah memberikan nikmat zahir dan batin kepada kami."

Ibnu Masud menyatakan bahawa ia turut menyaksikan malam turunnya ayat Jin ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku didatangi juru dakwah daripada kalangan jin. Lalu kami pergi bersamanya dan aku bacakan al-Quran kepada mereka."

Peristiwa ini terjadi di sebuah masjid yang terletak di Kampung Ma'ala, tidak jauh dari perkuburan kaum Muslim di kota Makkah. Kini masjid itu dinamakan Masjid al-Jin atau Masjid al-Bai'ah atau juga Masjid al-Haras. Ia dibaik pulih kembali pada 1421 hijrah. Di sini jin berbai'ah atau menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah SAW untuk beriman kepada Allah SWT dan al-Quran.

Masjid Jin menjadi monumen terpenting antara Rasulullah dan jin. Diterangkan, jin ketika itu bercadang menuju Tihamah. Namun, mereka mendengar bacaan al-Quran. Mereka sangat takjub mendengarnya dan kemudian berdialog dengan Rasulullah, lalu menyatakan keimanan mereka. Kemudian mereka menyampaikan hal itu kepada jin lain.

Ketika Rasulullah sedang membaca ayat al-Quran, terdapat beberapa jin. Sebahagian riwayat menyatakan jumlahnya ada sembilan jin dan sebahagian lain menyebutkan tujuh jin yang turut mendengarkan bacaan al-Quran daripada Rasulullah. Kemudian salah satu daripada jin itu mengingatkan temannya dan berkata: "Diamlah, perhatikan bacaannya." Setelah itu mereka kembali kepada kaum mereka untuk mengingatkan pada jalan yang benar. Salah satu daripada jin itu bernama Zauba'ah. Demikian menurut Ibnu Masud.

Dalam kitab Fathul Bari, disebutkan, jin itu berasal dai Nasibain, iaitu sebuah daerah yang terletak di perbatasan antara Iraq dan Syria, iaitu dekat Mosul.

Jin terbahagi dua iaitu jin kafir dan jin Islam (mukmin). Jin yang beriman ditempatkan di syurga, manakala jin kafir ditempatkan di neraka. Rasulullah menggambarkan jin itu terbahagi tiga golongan iaitu yang boleh terbang di udara, golongan ular dan anjing serta golongan bermukim dan hidup berpindah-pindah. (Hadis sahih riwayat Ibnu Abi Dunya, dalam Maqasid as-Syaitan)

Seperti manusia dan haiwan, jin juga makan dan minum, berkahwin, beranak serta mati. Menurut Syeikh Abdul Mun'im, jin penghuni dunia yang hidup di tempat sepi daripada manusia dan di padang pasir. Ada jin yang hidup di pulau di tengah laut, di tempat sampah dan bersama manusia. Jin memiliki kemampuan yang tidak dimiliki manusia, seperti terbang, naik ke langit, mendengar apa yang tidak boleh didengar manusia dan mereka juga melihat apa yang tidak dapat dilihat manusia. Wallahualam

DOSA AKAN MERACUNI HATI DAN PERASAAN KITA


MENJADI nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa yang tenang. Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum menghadapinya.

Jiwa tenang tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.

Ia memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman.

Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.
Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.

Perut mesti diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.

Jika kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan 'menetap'.

Sifat tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.

Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.

Begitu juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.

Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus ayat 57).

Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah' (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya." (Riwayat Bukhari )

Semua cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa dikenali sebagai gangguan psikologi.

RAHMAT DISEBALIK PENYAKIT YANG KITA HADAPI


1) Menghapus dosa

Ini adalah keutamaan yang besar daripada Allah s.w.t kerana dengan sakit yang dideritai seorang Muslim, dosa yang pernah dilakukannya terhapus kerana penderitaannya dalam menghadapi penyakit menjadi kifarah (penebus) dosanya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang mukmin yang rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya” (Hadis riwayat Bukhari).

Tetap mendapatkan pahala daripada amal kebaikan yang biasa dilakukannya ketika sihat

Ini kerana orang yang sakit tidak dapat menjalankan amal kebaikan itu bukan kerana dia tidak mahu tetapi dalam keadaan sakit.

Umpamanya jika kita selalu ke masjid untuk solat berjemaah, kita mendapat pahala yang besar, setiap langkah kita ke masjid diangkat sebagai darjat dan dihapuskan satu kesalahannya.

Malah malaikat pasti berselawat kepada kita. Tetapi, ketika kita sakit, kita tidak mampu untuk ke masjid, Allah tetap bagi pahala kepada kita sama seperti kita solat di masjid.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang hamba sakit atau berpergian (safar), maka Allah mencatat pahalanya seperti pahala amal yang dikerjakannya ketika dia tidak berpergian atau sihat.” (Hadis riwayat Bukhari).

Di dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang menguatkan lagi hadis di atas: “Apabila seorang hamba sakit sedang dia biasa melakukan suatu kebaikan, maka Allah berfirman kepada malaikat: “Catatlah bagi hamba-Ku pahala seperti yang biasa ia lakukan ketika sihat.” (Hadis riwayat Abu Hanifah).

2) Memperoleh pahala kebaikan

Segala sesuatu yang terjadi pada manusia pasti ada hikmahnya. Seorang Muslim yang sabar dalam menghadapi sakit maka baginya pahala kebaikan.

Rasulullah bersabda: “Tiada seorang Muslim tertusuk duri atau yang lebih daripada itu, kecuali Allah mencatat baginya kebaikan dan menghapus darinya dosa.” (Hadis riwayat Bukhari).

Di dalam hadis lain yang mempunyai maksud yang sama, Rasulullah bersabda: “Barang siapa dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, maka dia (diuji) dengan suatu musibah. “(Hadis riwayat Bukhari).

3) Memperoleh darjat tinggi di sisi Allah s.w.t

Hal ini kerana di dalam syurga ada darjat tertentu yang harus dicapai, apabila seorang Muslim tidak mampu mencapainya dengan suatu amal, maka dia pasti dapat memperoleh darjat itu dengan musibah atau penyakit yang dideritai.

Umpamanya mati syahid yang adalah mati yang sangat mulia. Tetapi, jika dia tidak pergi berperang, dia pasti mendapat darjat mati syahid sekiranya dia meninggal kerana penyakit yang dihidapinya.

Rasulullah bersabda: “Wabah adalah syahadah (mati syahid) bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari).

Di dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang hamba memiliki suatu darjat di syurga. Ketika dia tidak dapat mencapainya dengan amal-amal kebaikannya, maka Allah menguji dan mencubanya agar dia dapat mencapai darjat itu.” (Hadis riwayat Thabrani).

4) Memperoleh ganjaran syurga

jika seorang Muslim menghadapi penyakit dengan penuh kesabaran. Contohnya penyakit yang sangat menyulitkan penderitaannya dalam kehidupan ini seperti buta matanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan membutakan kedua matanya dan dia bersabar, maka Aku ganti kedua matanya itu dengan syurga.” (Hadis riwayat Ahmad).

Namun demikian, jika sakit itu tidak menyenangkan, sakit adalah ujian yang dapat memberikan keutamaan dan manfaat yang besar, baik bagi si penderita mahupun keluarganya.

Lantaran itu, penyakit harus dihadapi dengan sikap, pemikiran dan perilaku yang positif.
Umpamanya ketika sakit, kita berfikiran positif dan cakap pada diri sendiri bahawa kita sihat, kuat dan sabar. Insya-Allah, kita pasti cepat sembuh.

MARILAH KITA BERIKTIKAF DI MASJID UNTUK MENCARI KEREDHAAN ALLAH S.W.T


Daripada Ibnu Abbas R.A daripada Nabi SAW ia bersabda :" Dan barangsiapa yang beriktikaf satu hari kerana menuntut keredhaan Allah, nescaya Allah jadikan di antaranya dan di antara api neraka (berjauhan) tiga buah parit, di mana jarak di antara tiap-tiap satu parit lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin". (Dikeluarkan oleh At-Tabrani dan Al-Hakim, ia berkata : Sohih Al-Isnad (At-targhib wa At-tarhib 2/149 – 150)

Di antara hikmah dan tujuan iktikaf ialah :

1. Meluangkan diri daripada kesibukan dunia dan anak isteri, demi mencari kejernihan jiwa dan membina kekuatan sebagai bekalan jentera dalam melancarkan kegiatan hidup secara lebih baik. (Syarah Sohih Muslim 8/69, Bada’i As-Sona’i li Al-Kasani 1/107)

2. Kalaulah Ramadhan merupakan sebulan ujian yang penuh dengan rahmat bagi masa setahun, maka iktikaf pada sepuluh hari akhir Ramadhan adalah beberapa hari yang merupakan ujian khas yang lebih tinggi kepada orang-orang yang telah berjaya menempuh ujian Ramadhan secara umumnya, untuk mendapatkan kejayaan khusus yang lebih cemerlang.

3. Berusaha untuk mendapatkan Lailatul Qadar menurut sunnah Rasulullah SAW.

Marilah kita sama-sama membawa diri kita dan keluarga kita untuk mengurung diri beriktikaf dalam sebaik-baik tempat di bumi Allah ini, iaitu masjid, dan di waktu yang sebaik-baik, iaitu sepuluh akhir Ramadhan … kerana menyahuti dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Daripada Siti Aisyah RA, ia berkata : "Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan, bersungguh-sungguhlah baginda pada mengerjakan ibadat (dengan meninggalkan tidur dengan isterinya), baginda menghidupkan malamnya dan menggerakkan isteri-isterinya, (supaya bangkit beribadat bersama-samanya)". (Muttafaq ‘Alaih : Sohih Al-Bukhari 2/255, Muslim 2/832)

Subhannallah !!! Hairan sekali kepada umat Islam yang telah mendapat kurniaan rezeki Allah SWT secara melimpah ruah, kesihatan badan yang segar bugar, waktu yang cukup lapang dan keadaan yang cukup mengizinkan. Tetapi, pada waktu yang sama, mereka tidak juga beriktikaf !!!.

Sedangkan Rasulullah SAW telah menyeru, mengajak dan menekan untuk beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan … bahkan dalam kesibukan kerja yang penuh – Baginda tetap beramal dengan amalan yang tidak hanya menjadi Qudwah sekadar sekali gus … tetapi berkekalan sehingga diwafat oleh Allah S.W.T.

AMALAN YANG MENJADI TEMAN DI ALAM KUBUR


Daripada Anas b. Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiga perkara mengiringi jenazah; dua daripadanya akan kembali manakala hanya satu akan tinggal bersamanya. Yang mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan amalan-amalannya. Kaum kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tinggal bersamanya".(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasululullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya liang kubur adalah awal perjalanan akhirat. Jika seseorang selamat dari (siksaan) nya maka perjalanan selanjutnya akan lebih mudah. Namun jika ia tidak selamat dari (siksaan)nya maka (siksaan) selanjutnya akan lebih kejam.” (HR. Tirmidzi)

Dua perkara penting yang dapat menyelamatkan manusia di alam Barzakah ialah akidah dan amalan, terutamanya amalan sembahyang yang mencukupi. Manusia akan dibangkitkan semula mengikut akidah semasa mereka dimatikan.

Allah S.W.T berfirman, "Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya." (Ibrahim: 27)

Dalam satu riwayat disebut, Apabila seseorang sembahyang dengan tama’ninah, setelah selesai sembahyang keluarlah cahaya putih lalu berdoa “Semoga Allah selamatkan kamu sebagaimana kamu selamatkan aku. Apabila seseorang itu sembahyang tanpa tama’ninah, setelah selesai sembahyang keluarlah cahaya hitam lalu berdoa “Semoga Allah mensia-siakan kamu sebagaimana kamu mensia-siakan aku”.

Selepas sessi soal jawab di dalam kubur oleh Malaikat Mungkar dan Nakir, sembahyang yang cantik akan menjelma dalam bentuk lembaga yang cantik rupanya dan bercakap dengan bahasa yang baik. Lalu simati bertanya “Siapakah kamu ini, sungguh cantik rupamu?” Lalu jawab lembaga itu “Akulah sembahyang kamu

Sembahyang yang buruk pula akan menjelma dalam bentuk lembaga yang sangat hodoh rupanya dan bercakap dengan bahasa yang kasar. Lalu simati bertanya “Siapakah kamu ini, sungguh hodoh rupamu?” Lalu jawab lembaga itu “Akulah sembahyang kamu

Setelah sesi soal jawab dua Malaikat itu berkata kepada ahli syurga: “Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya". Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu.

MALULAH KEPADA ALLAH S.W.T


Rasulullah S.A.W bersabda, ”Malulah kepada Allah dengan sebenar-benarnya.” Para sahabat menjawab, ”Wahai Nabi Allah, kami memang malu kepada Allah dan sentiasa memuji-Nya.” Nabi bersabda, ”Bukan begitu yang saya maksudkan. Tetapi, orang yang malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya mestilah menjaga kepala dan fikiran yang terkandung di dalamnya. Hendaklah juga menjaga perut dan apa yang dikumpulkan di dalamnya, dan hendaknya dia mengingati maut dan bencana yang akan menimpanya. Siapa yang menginginkan akhirat, maka dia mesti sanggup meninggalkan kegemerlapan hiasan dunia.” (Riwayat Imam At-Tirmizi)

Rasulullah S.A.W selalu berusaha memahamkan para sahabatnya tentang hakikat malu kerana malu merupakan salah satu sifat mulia dan terpuji. Bahkan, ia merupakan teras keimanan. Sabdanya,
Tidak ada iman bagi orang yang tidak punya malu.”

Untuk memupuk dan memelihara rasa malu yang positif, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, umpamanya;

[1] Menjaga kepala dan fikiran. Maksudnya adalah menjaga seluruh deria atau pancaindra yang dikendalikan oleh kepala. Ia tidak mempergunakan pancaindra itu kecuali dalam perkara dan urusan yang diredhai Allah Ta’ala. Fikirannya tidak akan digunakan untuk mencetus idea-idea yang menjurus kepada maksiat. Matanya tidak akan digunakan untuk melihat aurat atau apa jua larangan Allah Ta’ala. Telingganya tidak akan digunakan untuk mendengar gosip, umpatan atau perkara-perkara yang sia-sia dan melalaikan seperti muzik dan nyanyian. Mulutnya tidak akan digunakan untuk berdusta, mengumpat, mencela, menfitnah, menyanyi dan seumpamanya.

[2] Menjaga perut dan isinya, ertinya ia tidak memakan sesuatu kecuali yang halal kerana itulah yang diperintahkan Allah Ta’ala dalam firman-Nya :
‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu.” (Al-Baqarah : 172)

Makanan yang tidak halal yang masuk ke dalam perut akan mengakibatkan kerosakkan pada hati. Bahkan akan meningkatkan nafsu serakah untuk melakukan perbuatan hina dan keji.

[3] Mengingati mati dan kehancuran tubuh setelah mati serta membayangkan kematian selalu ada di depan mata. Rasulullah S.A.W bersabda,
”Perbanyaklah mengingati si pemusnah kenikmatan, iaitu kematian.” (Riwayat Imam At-Tirmizi).

Mungkinkah seorang yang sentiasa mengingati mati melakukan larangan Allah Ta’ala? Umpamanya seorang wanita yang menyedari hakikat bahawa lambat-laun ia pasti akan mati dan tubuh badan akan hancur bercampur tanah, pastinya tidak akan menyalah-gunakan kecantikan atau kejelitaan dirinya, kerana segala kecantikkan dan kejelitaan itu akan berakhir apabila maut datang kepadanya. Tambahan pula ia yakin bahawa jika ia tidak menutup auratnya, jika ia tidak menjaga batas pergaulannya, jika ia tidak menjauhi perbuatan maksiat, pastinya nanti apabila ia bersemadi berseorang di dalam liang lahad, berbagai azab seksaan yang amat berat sedang menantinya di sana. Ia sentiasa menyedari bahawa tubuh badannya yang lemah, kejelitaan yang sementara dan apa jua kelebihannya di dunia ini tidak akan berupaya mengurangkan atau menghilangkan kesakitan yang bakal ditanggung di alam Barzakh.

[4] Meninggalkan perhiasan dunia. Ertinya, ia tidak terperdaya oleh janji-janji manis dunia, sehingga ia tidak disibukkan oleh hal-hal itu dari mengingati Allah Ta’ala dan akhirat yang merupakan tempat kembalinya.

Allah Ta’ala berfirman:
Maka, janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu. Dan janganlah penipu (syaitan) memperdaya kamu terhadap Allah.” (Luqman: 33)

Abu Hurairah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana caranya malu kepada Allah itu? Lalu Rasulullah SAW menjawab,
Kamu berasa malu denganNya, sebagaimana kamu berasa malu dengan lelaki yang soleh dalam kalangan kamu.”

Sememangnya apabila berhadapan dengan orang yang lebih alim dan soleh, kita akan automatik berasa malu untuk melakukan perkara-perkara mungkar. Di hadapan naqib kita, bolehkah kita bermesra dan bergurau senda dengan wanita yang bukan muhrim? Di hadapan ustaz atau ustazah, bolehkah kita membuang sampah sesuka hati? Apabila bersama dengan sahabat yang soleh, bolehkah kita melewat-lewatkan solat kita dan membiarkan dia solat seorang diri?

Inilah yang dikatakan malu pada orang soleh. Kita malu untuk jadi diri sendiri yang banyak dosa dan kekurangan. Kita malu untuk berkelakuan kurang sopan dan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Inilah asas kita untuk membentuk sifat malu pada Allah SWT. Rabb yang menciptakan kita semua. Kalau kita malu untuk melanggar perintahNya di hadapan orang-orang soleh, kita harus lebih-lebih lagi malu untuk melanggarinya sewaktu bersendirian. Kerana Rasulullah SAW sendiri mengatakan malu pada Allah itu ibarat malu pada orang yang paling soleh di kalangan kita.

Malulah kita pada diri kita sendiri apabila kita mampu untuk malu pada orang alim, tetapi tidak mampu untuk malu pada Allah SWT. Malulah kita pada diri kita sendiri jika kita hanya mampu untuk taat padaNya dihadapan hambaNya yang lain, tetapi tidak mampu untuk taat ketika bersendirian.

SIAPAKAH ORANG YANG MUFLIS DI AKHIRAT?


Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”
Para sahabat menjawab: "Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”.
Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah S.W.T akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah S.W.T campakkan dia ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).

Kalau orang menuduh kita dalam sesuatu perkara yang kita tidak terlibat, janganlah membalas tuduhannya, (walaupun kita mengetahui yang dia yang sebetulnya terlibat) kerana dia yang akan menanggung dosa.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Kamu harus bertaqwa kepada Allah, jika seseorang mencelamu dengan sesuatu yang diketahuinya ada pada diri maka janganlah kamu membalas mencelanya dengan sesuatu yang ada pada dirinya, nescaya dosanya kembali kepadanya dan pahalanya untuk kamu, dan janganlah kamu mencela sesuatu.” (HR Ahmad dan Thabrani)

Jikalau telah melakukan penganiayaan atau kezaliman, selesaikan dahulu semasa di dunia ini agar tidak muflis di sana.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: “Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya;bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal salih, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal salih, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya
."

MULUT MANUSIA DITUTUP DI PADANG MASYAR (AKHIRAT)


Di padang masyar (akhirat), Mulut manusia ditutup kerana mulut boleh memutar belitkan sesuatu. Di dunia hakim buat keputusan mengikut percakapan mulut manusia, tanpa mengetahui yang batin. Di akhirat, manusia dibicarakan dihadapan Allah S.W.T. yang mengetahui segalanya zahir dan batin. Namun Allah S.W.T. tetap mengadakan perbicaraan sebagai pengajaran kepada manusia

Allah S.W.T berfirman, "Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan". Yassin [65]

Setiap Manusia di sertai 2 malaikat

"Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: Yang satu menjadi) pembawa dan (yang satu lagi menjadi) saksi" Qaf [21]

Sabda Rasulullah S.A.W: "Di hari akhirat manusia lemah seperti anak kambing dan perlu dipapah. Allah hantar malaikat untuk membawa manusia ke padang mahsyar."

Bumi turut menjadi saksi

"Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya" Zalzalah [4]

AMALAN YANG PERTAMA DISOAL DI PADANG MASYAR (HARI KIAMAT)

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda:
Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari qiamat mengenainya ialah sembahyangnya, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia".

Kiranya terkurang dari sembahyang fardunya sesuatu, Tuhan berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain
.”

Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya maka hendaklah kamu perhatikan apakah yang dimunajatkannya dan janganlah kamu menguatkan suara dengan membaca al-Quran. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Sembahyang ialah ‘munajat’ atau ‘hubungan peribadi’ (personal contact dengan Allah), yang wajibnya ialah 5 waktu sehari semalam. Nabi Musa perlu ke Bukit Thur untuk bermunajat kepada Allah. Umat Nabi Muhammad s.a.w. tidak perlu ke mana-mana kerana mereka boleh sembahyang di mana sahaja, walaupun di rumah masing-masing untuk bermunajat kepada Allah. Namun sembahyang berjemaah di Masjid atau Surau diberikan pahala gandaan tempat dan juga pahala melangkahkan kaki ke sana.

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan iaitu sembahyang yang terakhir sepertimana orang melakukan tawaf wada’ (tawaf perpisahan). Maka lakukanlah ia sebaik mungkin kerana selepas ini mungkin tiada lagi peluang untuk sembahyang.

NASIB PEMINUM ARAK DI NERAKA

Dalam hadith disebut peminum arak (yang tidak bertaubat sebelum meninggal dunia) akan diseksa dengan diberi minum air dari kemaluan penzina perempuan yang juga tidak bertaubat sebelum meninggal dunia.

Rasulullah S.A.W. bersabda: “Siapa mati dalam keadaan tidak berhenti minum arak, nescaya Allah ta’ala akan memberinya minum air sungai Ghuthah. Iaitu sungai di neraka yang bersumber dari kemaluan para pelacur (wanita-wanita penzina).”(Hadith riwayat Imam Ahmad)

Oleh itu bertaubatlah sebelum nyawa sampai ke halkum, sebelum matahari naik di sebelah barat dan sebelum dihilangkan al-Quran.

Sabda Nabi S.A.W:”Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Riwayat At-Tirmizi)

SEMUA MAKHLUK DI LANGIT DAN DI BUMI SENTIASA BERTASBIH MEMUJI ALLAH S.W.T


Semua makhluk Allah berzikir dan bertasbih (subhanallah) mengingatiNya.

Al-Israa [44] "Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun".

Semut dan katak juga berzikir kepada Allah. Dari Ibn Abbas bahawa nabi SAW telah melarang daripada membunuh 4 jenis binatang: semut, lebah, belatuk dan nuri.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Dari Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih".

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar “Janganlah kamu membunuh katak kerana bunyi menguaknya adalah tasbih”.

Dalam hadis disebut binatang yang tidak bertasbih memuji Allah akan menjadi buruan manusia, manakala pokok yang tidak bertasbih akan menjadi kering.

Malah anjing juga beriman kepada Allah dan menjadi pembela sahabat Nabi. Anjing juga digunakan oleh Allah untuk menasihati seorang wali.

Kiamat tidak akan berlaku selagi ada orang zikir, tasbih dan sebut nama Allah. Tidak berlaku kiamat sebelum Allah tamatkan perkhidmatan orang Islam. Allah buat dunia ini bulat supaya setiap masa (24 jam) ada sahaja orang beribadat dan mengingatinya. Sebab itulah waktu solat,puasa dan raya tidak sama di semua tempat. Dunia tidak boleh kosong dari hubungan dengan Allah. Kita (umat Islam) ini penawar kepada dunia. Selama mana kita patuh pada Allah, selama itulah dunia bertahan. Bila dekat kiamat, Allah matikan semua orang Islam, cabut Al-Quran dari hati orang Islam.

Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang menyebut perkataan “Allah, Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

GANTILAH SOLAT YANG TERTINGGAL SELAGI MASIH BERNYAWA


Dari Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu , Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solahnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solah yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:”Dirikanlah solah untuk mengingati Aku”. (Hadith riwayat Muslim).

Nabi S.A.W. dan para sahabat ketika dalam musafir pernah tertidur sehingga terlepas waktu Subuh. Apabila mereka terjaga, Nabi mengarahkan supaya berjalan keluar daripada lembah tempat mereka tidur, kemudian mereka qadha’ solah Subuh mereka. (Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. pernah qadha solat semasa membuat persiapan Perang Ahzab (parit) kerana sibuk untuk menyelamatkan nyawa ummah bukan kerana sebab dunia. Nabi qadha solat zuhur, asar dan maghrib dalam waktu Isya’. Nabi qadha ikut tertib waktu solat iaitu zuhur dahulu kemudian asar. Bila sahabat tanya bagaimana nak qadha (sebab mereka tak pernah tinggal sembahyang), Nabi jawab “Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang”. Dibuat azan sekali sahaja pada waktu Isya’, kemudian qamat, Sembahyang Zohor, qamat, Sembahyang Asar, qamat, Sembahyang Maghrib, qamat, Sembahyang Isya’. (Perkara ini berlaku sebagai panduan untuk umat yang akan datang).

Oleh itu buatlah kira-kira dan agak-agaklah bilangan sembahyang yang ditinggalkan dan gantilah. Setidak-tidaknya kita sudah mengganti sebahagian sembahyang yang ditinggalkan.

Kalau meninggal dunia sebelum cukup bilangan sembahyang untuk diganti, moga-moga dimaafkan Allah S.W.T.

AZAB KUBUR UNTUK ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT


Dalam Kitab Jauharul Mauhub diceritakan 3 jenis seksaan di dalam kubur bagi mereka yang meninggalkan sembahyang.

1. Dipersempitkan kuburnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.

2. Api dari lubang neraka disalurkan melalui satu lubang yang halus ke dalam kubur. Pada bulan Ramadhan, saluran ini ditutup dan seksaan dihentikan buat sementara.

3. Dihantar (Suja’ Al-Akra’) ular Akra’ yang menyeksa mereka yang meninggalkan sembahyang (yang tidak diqadha)

Matanya daripada api neraka dan kukunya daripada besi. Panjang setiap satu kukunya adalah setengah hari perjalanan. Bersamanya adalah pemukul yang diperbuat daripada besi. Maka ia berkata kepada mayat itu, suaranya seperti petir yang amat kuat. Ia berkata, ”Aku disuruhkan oleh Tuhanku untuk memukul engkau kerana meninggalkan sembahyang Subuh hingga sampai kepada waktu Zohor.”

"Kemudian,aku memukul engkau kerana meninggalkan sembahyang Zohor hingga Asar.Aku memukul engkau kerana meninggalkan sembahyang Asar hingga Maghrib. Dan aku memukul engkau kerana meninggalkan sembahyang Maghrib hingga Isya`.Dan aku memukul engkau kerana meninggalkan sembahyang Isya` hingga Subuh".

Bagi setiap satu pukulan, mayat itu akan tenggelam ke dalam bumi sedalam 70 hasta.
Selepas itu ular itu akan memasukkan kukunya ke bumi dan mengeluarkannya kembali; kemudian dipukul lagi.

Mereka itu sentiasa dalam pukulan ular itu sehingga hari kiamat.

SOLAT ADALAH SUATU HUBUNGAN PERIBADI ANTARA MANUSIA DENGAN ALLAH S.W.T

Sembahyang itu adalah munajat, iaitu “personal contact” atau hubungan peribadi dengan Allah dan kontrak sembahyang wajib ialah 5 waktu sehari semalam. Nabi Musa perlu ke Bukit Thur untuk bermunajat kepada Allah. Umat Nabi Muhammad s.a.w. tidak perlu ke mana-mana kerana mereka boleh sembahyang di mana sahaja, walaupun di rumah masing-masing untuk bermunajat kepada Allah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya ….." (diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

Sembahyang adalah hubungan peribadi manusia dengan Allah (hablun minallah). Apabila hubungan manusia dengan Allah itu baik (melalui ibadah sembahyang), maka dia menjadi seorang yang baik. Sembahyang yang betul mempunyai “power” untuk mencegah seseorang dari melakukan perkara yang keji dan mungkar. Al-Ankabut [45]"…..sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar."

Berbanding malaikat yang dijadikan daripada cahaya, manusia dan jin dijadikan daripada tanah dan api. Untuk meningkatkan taraf manusia dan jin setaraf dengan malaikat, mereka diberi peluang untuk report secara terus kepada Allah tanpa melalui sebarang perantaraan. Melalui ibadat seperti sembahyang, mereka berhubung secara terus dengan Allah SWT.

Sembahyang itu seperti berkata-kata dengan Allah, maka berhati-hatilah dalam percakapan dengan Allah agar apa yang dicakap itu sama dengan apa yang difikir atau diingati. Hendaklah “hadir hati” iaitu ingat kepada Allah semasa sembahyang. Bagi orang awam, hendaklah cuba sedaya upaya untuk ingat Allah semasa sembahyang. Kalau ada lintasan (teringat perkara lain), cepat-cepatlah ingatkan balik kepada Allah. Walaupun tidak 100%, cubalah untuk “control” gangguan dalam hati semasa sembahyang (lebih banyak ingatkan Allah dari benda lain). Dalam sembahyang kita wajib mengingati Allah, kalau terlalai cepat-cepat ingatkan Allah:-

Ta-Ha [14] "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku."

Umat terdahulu cuma sembahyang dua waktu sehari semalam (sebelum naik matahari dan selepas jatuh matahari). Allah sayang kita umat Muhammad s.a.w., bagi kontrak solat 5 waktu. (seperti kontrak dunia, lagi banyak kerjanya, lagi banyak bayaran). Lebih banyak waktu sembahyang bererti lebih kerap kita menemui Allah dan lebih rapatlah hubungan peribadi dengan Allah. Seperti di dunia ini, manusia yang selalu bertemu dengan para VIP biasanya lebih rapat dengan mereka. Selain itu syurga juga dipenuhi oleh majoriti umat Muhammad s.a.w

JANGANLAH KITA LUPA KEPADA ALLAH S.W.T WALAUPUN SESAAT


Al-Munafiqun [9] "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."

Anak-pinak dan harta benda itu adalah ujian dan ia boleh menjadi musuh kalau tidak dijaga.

At-Taghabun[15] "Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar."

Al-An’am [165]" Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "

Daripada Abu Said r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya dunia adalah manis dan hijau (yakni menyenangkan sekali) dan sesungguhnya Allah menjadikan engkau semua sebagai pengganti di bumi itu (untuk mengolah dan memakmurkan). Maka Allah akan melihat bagaimana yang engkau semua lakukan -untuk dibalas menurut masing-masing amalannya. Oleh sebab itu, bertaqwalah dalam mengemudikan harta dunia dan bertaqwalah dalam urusan kaum wanita.” (Riwayat Muslim)

Allah menciptakan bumi ini sebagai “testing ground” (medan ujian) untuk kita, untuk kita mengetahui apa yang kita telah lakukan semasa hidup di dunia. Kalau Allah mahu, DIA boleh saja memasukkan kita terus samada ke syurga atau ke neraka. Allah mahu kita melihat dan mengira sendiri apakah amalan kita melayakkan kita untuk ke syurga atau neraka.

Al-Isra [14] "(Lalu Kami perintahkan kepadanya): bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)."

Zalzalah [7]" Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! [8]Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)"

Ingatlah kepada Allah sebelum kita mati. Mereka yang lupa kepada Allah adalah mereka yang rugi.

An-Nabaa [23] "Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. [24] mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman. [25] Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir,[26] Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).[27] Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal"

Sembahyang adalah cara mengingati Allah yang paling besar.

Ta-Ha [14] "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku."

Jumaah [9]"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"