BATU PUN AMAT TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T.


Andai kita tidak takut pada kebesaran Allah S.W.T, maka kita patut rasa malu.

Malu dekat siapa?

Kita patut malu pada ciptaan-ciptaan Allah S.W.T yang lain. Mereka amat takutkan Allah S.W.T. Mereka amat gementar dengan keagungan dan kekuasaan Allah S.W.T.

Sementara manusia, terus menerus tenggelam dalam lautan dosa dan maksiat, walhal ke atas pundak merekalah diamanahkan kekhalifahan bumi.

Sebagai khalifah yang diamanahkan, manusialah yang sepatutnya lebih takut dan gerunkan Allah S.W.T.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kami bentangkan AMANAH kepada langit dan bumi dan bukit bukau, tetapi semuanya tidak mahu memikulnmya kerana takut kepadanya, walhal manusia memikulnya; ia zalim lagi jahil (bila ia mengkhianati amanah dalam hidupnya)” (Surah Al Ahzab ayat 72).

Yang berlaku sebaliknya, ciptaan-ciptaan Allah yang lain pula (yang bukan khalifah Allah di muka bumi) yang amat takut kepada Allah.

Batu yang sifatnya keras pun amat takut kepada Allah.

Kalau hati manusia tidak takutkan Allah, tidak gerun pada azab Allah, maka hatinya lebih keras daripada batu. Tak begitu?

Allah berfirman yang bermaksud: Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 74).

KISAH NAFSU YANG DEGIL PADA PERINTAH ALLAH S.W.T.


Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke 13 Hijrah, menerangkan bahawa:

Sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud :

"Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal, berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal, Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."

Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.

Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

HIDUP KITA CUMA DI DALAM MASA 3 HARI.


HIDUP KITA CUMA DI DALAM MASA 3 HARI:

1. Semalam - Sudah menjadi sejarah
2. Hari Ini - Apa yang sedang kita lakukan
3. Esok - Hari yang belum pasti

Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS :

1. Nafas Naik
2. Nafas Turun

Hargailah Nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dan carilah keredhaanNya dalam menggunakannya.

Bertaubatlah dalam Nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama Nyawa dan Roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN :

1. Hidup dalam keredhaan Allah
2. Hidup dalam kemurkaan Allah

HIDUP YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT :

1. Kekal di dalam neraka
2. Kekal di dalam syurga

Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan dan kita hanya diyakinkan oleh keyakinan kita kepada rukun IMAN. Rukun Iman itu pula ada 6 dan hilang salah satu darinya maka hilanglah ia.

Kelazatan dan kesejahteraan syurga itu maha HEBAT. Tidak terduga oleh fikiran kita dan untuk mendapatkannya terjemahkan rukun ISLAM yang 5 itu dan puncaknya adalah SOLAT... Amat sukar untuk dipercayai bagi yang ingin ke SYURGA tetapi tidak bersolat, umpama seorang yang mahu menaiki kapalterbang tetapi tidak mempunyai BOARDING PASS.

ALLAH S.W.T SAYANG KEPADA HAMBANYA YANG BANGUN UNTUK SOLAT MALAM


DALAM menjelaskan kelebihan sembahyang malam, Allah berfirman dalam surah, al Isra , ayat 79 yang bermaksud: "Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji."

Firman Allah dalam surah as-Sajdah, ayat ke-16 dan 17, bermaksud: "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, bahkan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka."

"Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (pelbagai nikmat) apa yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan."

Banyak hadis turut menerangkan kelebihan sembahyang malam. Di antaranya, hadis diriwayatkan Abu Hurairah, sabda Rasulullah saw bermaksud: Solat yang paling afdal selepas solat fardu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling afdal selain puasa Ramadan ialah puasa bulan Muharam.

Bilal pula meriwayatkan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang pada waktu malam kerana yang demikian adalah amalan orang salih sebelum kamu.

Ia dapat mendekatkan diri kepada Allah, mencegah perbuatan maksiat, menghapuskan dosa dan menghilangkan penyakit dari badan.

Sabda Rasulullah saw lagi bermaksud: "Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang.

Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya

SIAPAKAH DIA PENCURI DALAM SOLAT ?



Orang-orang yang menunaikan solat mereka dalam keadaan kelam-kabut akan hilang penghayatan dan khusyuk mereka. Mereka ini disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai pencuri.

Sabda Rasulullah SAW :"Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri dari solat mereka. Maka sahabat pun bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana mereka mencuri dari solat mereka? Maka Rasulullah menjawab: Mereka yang tidak sempurna ruku` dan sujud mereka (iaitu mengerjakan solat mereka dengan pantas)." (Riwayat Ahmad, Thabrani dan Ibn Khuzaimah)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Nasaa`i, Rasulullah SAW melarang dari solat yang dikerjakan seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat.

Dalam hadis yang lain Rasulullah juga bersabda: "Allah SAW tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara ruku` dan sujud." (Hadith riwayat Thabrani).

Maka marilah kita mengerjakan solat kita dalam khusyuk, tenang dan tanpa kelam-kabut agar solat kita tidak menjadi sia-sia dan agar kita dapat meraih fadhilat-fadhilat dan anugerah-anugerah yang telah dijanjikan oleh Allah SAW.

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila seseorang darimu hendak mendirikan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang laksana sembahyang orang yang memberi selamat tinggal, iaitu orang yang sama sekali tidak fikir ia akan dapat kembali bersembahyang lagi."
(Riwayat Al-Dailami dari Ummi Salamah)

SYAITAN AKAN MELARIKAN DIRI APABILA MENDENGAR AZAN


Hadis Abu Hurairah r.a:

Nabi s.a.w bersabda: "Apabila syaitan mendengar azan, dia akan lari bertempiaran sehingga tidak mendengarnya lagi. Setelah azan selesai, dia kembali lagi untuk menghasut. Begitu juga apabila mendengar iqamat. Dia akan lari sehingga tidak mendegarnya lagi dan sebaik sahaja iqamat selesai, dia kembali sekali lagi untuk menghasut".

(Hadis Dalam Sahih Muslim)


SAAT BERMULANYA SOLAT 5 WAKTU YANG DIFARDUKAN OLEH ALLAH S.W.T


Hadis Anas bin Malik r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis.

Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah. Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit.

Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.

Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.

Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya.

Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau Sidratul Muntaha yang dicipta oleh Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.

Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan sembahyang lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Sembahyang lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka.

Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu sembahyang dari baginda.
Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu sembahyang dariku.
Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi.

Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud:
"Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu sembahyang fardu sama dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya".

Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya

(Hadis Dalam Sahih Muslim)



RASULULLAH S.A.W TIDAK PERNAH MELIHAT ALLAH S.W.T.


Hadis Saidatina Aisyah r.a:

Diriwayatkan daripada Masruq r.a katanya: Ketika aku duduk bersandar berhampiran dengan Aisyah, Aisyah berkata: Wahai Abu Aisyah iaitu Masruq! Ada tiga perkara, sesiapa yang memperkatakan salah satu daripadanya bererti dia telah melakukan pembohongan yang amat besar terhadap Allah s.w.t.
Aku bertanya: Apakah tiga perkara itu?
Aisyah menjawab: Pertama: Sesiapa yang mendakwa bahawa Rasulullah s.a.w melihat Tuhannya bermakna besarlah pembohongannya terhadap Allah s.w.t.

Aku yang duduk bersandar dari tadi mula duduk dengan baik lalu aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Dengarlah kata-kataku ini terlebih dahulu, bukankah Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: "Dan Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan kerana demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata." Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah melihat malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal sekali lagi".

Kemudian Aisyah berkata: Akulah orang yang pertama bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini dari kalangan umat ini. Baginda telah menjawab dengan bersabda: "Aku tidak pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya kecuali dua kali sahaja iaitu semasa dia turun dari langit dalam keadaan yang terlalu besar sehingga memenuhi di antara langit dan bumi."

Kemudian Aisyah berkata lagi: Adakah kamu tidak pernah mendengar firman Allah yang bermaksud: "Dia tidak dapat dilihat oleh penglihatan mata, sedangkan Dia dapat melihat dan mengetahui hakikat segala penglihatan mata dan Dialah Yang Maha Bersifat Lemah Lembut dalam melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya". Atau adakah engkau tidak pernah mendengar firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu dengan diberi ilham atau mimpi atau dari sebalik dinding dengan mendengar suara sahaja atau dengan mengutuskan utusan Malaikat lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi Keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana".

Kemudian Aisyah berkata lagi: Sesiapa yang mendakwa bahawa Rasulullah s.a.w telah menyembunyikan sesuatu dari kitab Allah, maka ketahuilah sesungguhnya dia adalah pendustaan yang paling besar terhadap Allah, sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya dengan menyampaikan semuanya, maka bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya."

Kemudian Aisyah berkata lagi: Sesiapa yang mendakwa bahawa baginda menceritakan perkara yang berlaku pada besok harinya, maka ketahuilah dia merupakan suatu pendustaan yang besar terhadap Allah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah lagi, tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah"


(Hadis Dalam Sahih Muslim )

MALAIKAT TIDAK MENCATAT JIKA KITA BERNIAT UNTUK MEMBUAT DOSA.


Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat pencatat amalan: Apabila hambaKu berniat ingin melakukan kejahatan, maka jangan lagi kamu menulisnya sebagai amalan kejahatan. Apabila dia melakukannya barulah kamu menulisnya sebagai satu amalan kejahatan. Jika hambaKu berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi dia tidak lagi melakukannya, maka catatkanlah sebagai satu amalan kebaikan. Jika dia melakukannya maka catatkanlah kebaikan itu sepuluh kali ganda.

Hadis Ibnu Abbas r.a:
Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w tentang hadis Qudsi yang baginda riwayat daripada Allah s.w.t di mana Allah telah berfirman: Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan. Kemudian baginda menerangkan hal itu: Sesiapa berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi tidak lagi melakukannya, maka Allah mencatatkan niat itu sebagai kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika seseorang itu berniat ingin melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, maka Allah mencatatkan di sisi-Nya sepuluh kebaikan hingga sampai tujuh ratus kali ganda seterusnya hingga kepada gandaan yang sebanyak-banyaknya. Jika seseorang berniat ingin melakukan kejahatan tetapi tidak melakukannya, maka Allah mencatatkannya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika dia berniat untuk melakukan kejahatan lalu melakukannya maka Allah mencatatnya sebagai satu amalan kejahatan sahaja

IMAN ADALAH SUATU ANUGERAH DARI ALLAH S.W.T



Hadis Al-Musayyab bin Hazn r.a katanya:

Rasulullah s.a.w menziarahi Abu Talib di saat-saat beliau tenat menghadapi sakaratul maut. Baginda dapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin Al-Mughirah turut berada di sana.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Pak cik! Ucaplah Dua Kalimah Syahadat, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah s.w.t. "
Lalu Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mencelah: "Wahai Abu Talib Sanggupkah kamu meninggalkan agama Abdul Muttalib? "

Rasulullah s.a.w tidak berputus asa malah tetap mengajarnya mengucap Dua Kalimah Syahadat serta berkali-kali mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib menjawab sebagai ucapan terakhir kepada mereka bahawa dia tetap bersama dengan agama Abdul Muttalib malah enggan mengucapkan Kalimah Syahadat.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Demi Allah, aku akan pohonkan keampunan dari Allah untukmu" sehinggalah Allah menurunkan ayat yang bermaksud: "Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun bagi orang-orang yang syirik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri. Telah nyata bagi mereka bahawa orang-orang syirik itu adalah ahli Neraka."

Firman Allah bersempena dengan peristiwa Abu Talib yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayat iaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya iaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam"

TAKDIR ALLAH S.W.T. MENGATASI SEGALA PERANCANGAN MANUSIA


Dari Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a : " Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW ( di atas binatang tunggangannya ), lalu sabda baginda :

' Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan:
Peliharalah ( perintah ) Allah,
nescaya Dia akan memelihara kamu,
peliharalah ( kehormatan ) Allah,
nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu.
Jika engkau memohon,
pohonlah kepada Allah semata-mata.
Jika engkau meminta pertolongan,
mintalah kepada Allah semata-mata.
Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat,
nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu,
melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah.
Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan
suatu mudharat untuk kamu,
nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya,
melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu.
Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan".

PERINGATAN DARI MALAIKAT MAUT


Nabi Yakub adalah putra Nabi Ishak dan cucu Nabi Ibrahim. Ia dikenal juga dengan nama Isra’il, sehingga anak keturunannya disebut Bani Isra’il.

Suatu hari, Malaikat Maut datang mengunjungi Nabi Yakub. Melihat kedatangan malaikat itu, Nabi Yakub bertanya, “Wahai Malaikat Maut, engkau datang untuk mencabut nyawaku atau hanya sekedar berkunjung?”

Aku datang hanya untuk berkunjung saja,” jawab Malaikat Maut.

Baiklah kalau begitu,” kata Nabi Yakub. Dalam percakapan selanjutnya, Nabi Yakub bertanya pada Malaikat Maut, “Bolehkah aku memohon satu permintaan kepadamu?”

Apa permintaanmu, wahai Nabi Allah?”

Jika sudah tiba waktunya nanti, ketika engkau telah diutus untuk mencabut nyawaku, tolong berilah tanda kepadaku sebelumnya.”

Baiklah,” jawab Malaikat Maut menyanggupi permintaan Nabi Yakub.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan tahun pun berganti tahun. Malaikat Maut datang kembali dan bertemu Nabi Yakub. Seperti biasa, Nabi Yakub bertanya, “Apakah kedatanganmu untuk mencabut nyawaku atau sekedar berkunjung?”

Kali ini aku diutus untuk mencabut nyawamu.”

Bukankah engkau telah berjanji untuk memberi tanda sebelum saat ini terjadi?” kata Nabi Yakub.

Benar, dan aku telah melakukan itu. Hanya saja kamu tak menyedarinya. Aku telah pun mengirim utusan kepadamu. Rambutmu yang dulu hitam kini telah memutih. Tubuhmu yang dulu kuat kini telah lemah. Dulu kamu berjalan dengan tubuh tegak sekarang menjadi bongkok. Tidakkah kau sedar, semua itu adalah utusan ku pada anak Adam sebelum ajal menjemputnya?” « [imam]

(Dinukil dari kitab al-Buka’ min Khasyatillah karangan Syaikh Abdurrahman as-Sinjari. Juga kisah dari kitab Zahri Riyadh.)

ALLAH S.W.T MEMBERI PERHATIAN KHAS KEPADA HAMBANYA YANG SENTIASA MENGINGATINYA.


Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirmanAku bersama hambaku selagi dia mengingatiku dan kedua bibir mulutnya bergerak menyebutku (Riwayat Ahmad melalui Abu Hurairah r.a.)

Allah S.W.T. bersama hambanya dimana sahaja mereka berada:

Hadid [4] ……Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Tidak perlulah difikirkan bagaimana Allah S.W.T. bersama dengan hambanya kerana Allah tidak bertempat. Allah meliputi seluruh alam sepertimana ruh (nyawa) meliputi seluruh badan. Nyawa atau ruh bukan terletak dijantung, cuma sistemnya berada disitu.

Dalam hadith qudsi di atas Allah S.W.T. berfirman bahawa dia bersama hambanya selagi mereka berzikir kepadanya, ini bermaksud Allah S.W.T. memberikan perhatian yang khas kepada mereka. Zikir pula terbahagi kepada dua jenis iaitu zikir secara senyap (dalam hati) dan zikir secara nyaring (melalui mulut). Dalam ilmu tarikat pada permulaanya, guru akan mengajar muridnya berzikir secara nyaring. Apabila zikir itu sudah melekat dalam hatinya barulah mereka berzikir secara senyap.

Bahkan hati kita juga tidak dapat mengingati Allah kecuali dengan kehendaknya.

Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dialah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya dan Dialah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat). (Al-Muddaththir:56)

Sesiapa yang dibenci Allah akan dijadikan penyembah berhala dan kafir. Mereka ini langsung tidak dapat mengingati Allah.

Maidah [60] Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul.

DI TANGAN MANAKAH KITA AKAN MENERIMA KITAB AMALAN KITA?

Semasa bersembahyang di dunia ini manusia akan mengangkat tangannya dan bertakbir. Di hari kiamat pula, tangan-tangan manusia akan terangkat untuk menerima suratan amal (kitab catitan amalan) yang datang sendiri dari Arasy dengan kuasa Allah terus kepada tangan-tangan mereka.

Suratan amal itu ada yang diberi ke tangan kanan tuannya dan ada yang diberi ke tangan kirinya. Orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kanannya merasa besar hati dan berbangga dengan yang demikian sehingga ia menyeru orang-orang lain supaya membacanya;

Allah S.W.T berfirman, "Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!" Haqqah [19] .

"(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun." Israa [71].

Sebaliknya orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kirinya merasa runsing hati dan merungut-rungut kerana keburukan nasibnya;

Allah S.W.T berfirman, "Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku" Haqqah [25]


RASULULLAH S.A.W. DAN SEORANG WANITA TUA

Suatu hari ketika sedang berjalan, Rasulullah S.A.W. melihat bahawa wanita tua yang suka menyakiti baginda Rasulullah tidak ada di tempat biasanya. Di tempat yang biasa baginda lalui selalu saja wanita itu menaburkan duri dan najis. Baginda Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya kepada orang perihal wanita tua itu. Ternyata wanita tua itu telah jatuh sakit. Tiada seorang pun menziarahinya Lalu baginda Rasulullah datang menziarahinya. Dibawanya hadiah.

Ketika berjumpa Rasulullah S.A.W, wanita tua itu menyangka bahawa Rasulullah akan balas dendam dengannya. Wanita tua itu berkata, " Wahai Muhammad (dia memanggil Rasulullah dengan Muhammad saja), engkau hendak membalas dendam kepadaku ya! Mentang-mentang aku sakit?"

Baginda Rasulullah menjawab, " Tidak, saya dengar Ibu sedang sakit, saya datang untuk ziarah. Ini ada hadiah untuk Ibu".

Maka menangislah wanita tua itu dan berkata, " Baru aku tahu bahawa orang yang paling aku tentang itu adalah orang yang paling baik."

Akhirnya wanita tua itu masuk Islam. Halus benar akhlak baginda Rasulullah S.A.W, sebab itulah perjuangannya cepat berhasil. Akhlaklah yang berperanan penting. Orang boleh masuk Islam hanya karena terpikat oleh akhlak beliau.

SENTIASALAH BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH S.W.T.


Bila Allah S.W.T. cepat makbulkan Doa mu, Maka DIA Menyayangi mu,

Bila DIA Lambat Makbulkan doa mu, Maka DIA Ingin Menguji mu,

Bila DIA Tidak Makbulkan Doa mu, Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untuk mu.

Oleh itu, Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH S.W.T. Dalam Apa Jua Keadaan Pun... Kerana Kasih sayang ALLAH Itu Mendahului Kemurkaan Nya.

Ambillah sedikit masa dan anda sudah pasti memberi keceriaan kepada seseorang atau mungkin mengubah hidup mereka kepada yang lebih baik, Insya ALLAH