PENTINGNYA SOLAT SUBUH BERJAMAAH


Solat subuh merupakan pengukur nilai sebuah umat. Umat yang melalaikan solat subuh berjamaah adalah umat yang tidak berhak untuk mendapat kejayaan, akan tetapi berhak untuk digantikan dengan umat yang lain.
Umat ynag menjaga solat Subuh secara berjamaah adalah umat yang berhak untuk tegak kukuh di muka bumi.

Pernah salah seorang pemimpin Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu hal, iaitu bila jumlah jamaah solat Subuh menyamai jumlah jamaah solat Jumaat. (Insya Allah akan menjadi satu kenyataan dalam masa yang terdekat).

Sabda Rasulullah S.A.W, "Sesungguhnya solat yang paling berat untuk orang munafik adalah solat isyak dan solat subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung didalamnya, nescaya mereka akan datang kepada keduanya sekalipun dalam keadaan merangkak." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dari Uthman Bin Affan r.a berkata, Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, "Barangsiapa yang solat isyak berjamaah maka seakan-akan dia telah solat sunat setengah malam. Dan barangsiapa solat subuh secara berjamaah maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam satu malam yang penuh." (Hadis riwayat Muslim).

Allah S.W.T berfirman: "Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan Malaikat. Dan pada sebahagian malam hari solat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji......" (al-Isra' : 78 - 79).

TUNDUKKANLAH PANDANGAN MATA


Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan".

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya". (Surah an-Nur ayat 30-31)

MASUK SYURGA HANYA DENGAN RAHMAT ALLAH S.W.T


Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: ”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka. ” (Riwayat Muslim)

Allah S.W.T. berfirman: "..bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat". (Al-Hujuraat: 10)

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya).” (Surah al-A’raf: 5)

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya." (A-li 'Imraan: 8)

"Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): "Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!" (Al-Mu'minun: 118)

HATI MENJADI TENANG APABILA KITA INGAT KEPADA ALLAH S.W.T.


Sabda Nabi S.A.W, "Mahukah aku beritahu kamu tentang amal yang paling bersih di sisi Tuhanmu dan paling tinggi mengangkat darjatmu, dan lebih baik bagimu dari berperang melawan musuh, kamu memenggal leher mereka dan mereka pun memenggal leher kamu?"

Para Sahabat menjawab, "Khabarkan kepada kami."

Rasulullah S.A.W. pun bersabda, "Zikir (ingat) kepada Allah"
.

(HR Hadis At-Tirmizi dan Ibnu Majah)


Firman Allah S.W.T, "
Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah di masa berdiri, di masa duduk dan di masa berbaring." (An-Nisa' 103)

Firman Allah S.W.T, "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang." (Al-Ahzab 41-42)

Allah S.W.T.berfirman yang bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

LANGIT DAN BUMI SENTIASA BERTASBIH MEMUJI ALLAH S.W.T.


Allah S.W.T. berfirman : "Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun."   (Al-Israa' , 44)

SOLATLAH WALAUPUN JIKA ANDA SEDANG DISIKSA





Allah S.W.T berfirman: “Maka ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu.” (Al-Baqarah (2): 152) 

ALLAH S.W.T. MENANGGUHKAN SIKSAAN TERHADAP HAMBANYA YANG BERDOSA


Sengaja Allah SWT menunda-nunda siksaan terhadap hamba-Nya yang berbuat dosa sebagai tanda cinta-Nya dan untuk memberikan kesempatan kepada hamba-Nya agar segera bertaubat.

Allah S.W.T berfirman: “Jika Allah menghukum manusia kerana kezalimannya, niscaya tidak akan ditinggalkan-Nya di muka bumi sesuatu pun dari makhluk yang melata, tetapi Allah menangguhkan mereka sampai kepada waktu yang ditentukan. Maka apabila telah tiba waktu (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukannya.” (Al-Nahl : 61)

Allah S.W.T berfirman: “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta-merta, bahkan) Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya..” (Faatir:45)

TIDAKLAH BERGUGURAN SEHELAI DAUN PUN MELAINKAN ALLAH S.W.T MENGETAHUINYA



Ramai insan yang kurang sedar betapa alam semesta ini dan segala isinya, setiap masa dan ketikanya, tenggelam asyik di dalam irama Tasbih, Tahmid, Tamjid dan Taqdis memuji Khaliqnya, Allah Tabaraka Wa Ta’ala.

Semuanya mengulang-ulang penuh kesyahduan : “Allah Tuhanku. Dialah sebaik-baik Pencipta”. Subhanaka Ya Rabb.

Para Ulul Albab nescaya melihat sekelian alam ini meriah dengan zikir dan wirid mereka, bersahut-sahutan tanpa henti. Sebaliknya si mulhid atau si kafir musyrik, dengan jiwa mereka yang ‘mati’ telah dan akan terus beranggapan bahawa semesta alam ini kaku, bungkam, tiada jiwa, jumud persis jiwa mereka.

Alangkah menyimpang fikiran mereka. Alangkah buta hati mereka dari tanda-tanda kebesaranNya.

Bercakap tentang DAUN sahaja, nescaya akan menyerlahkan tanda-tanda kebesaran yang Esa, walaupun orang yang mulhid melihat ia sebagai satu tajuk yang remeh-temeh, buang masa dan kacau DAUN!

Pernahkah kita membaca sebaris firman Allah yang bermaksud: Tidaklah berguguran sehelai daun pun melainkan Dia (Allah) mengetahuinya”. (Ayat 59: Al An’am).

Pernahkah kita semua merenung ‘kesyumulan’ tajuk penciptaan DAUN ini? Nescaya kita akan takjub dan menjadi amat teruja di hadapan keagunganNya.

Pada satu-satu masa adakah hanya sehelai daun sahaja yang jatuh gugur ke bumi? Nescaya tidak! Dari satu pokok pun kita sudah jahil dan letih untuk mengira berapa helaian daun yang berguguran ke bumi.

Pendek kata, tak terbilang jumlahnya dan akhirnya otak kita menjadi letih lantaran keterhadannya untuk memikir apalagi menjangkauinya.

Apapun kita harus beriman, yakin dan percaya penuh kemampuan ‘ilmu’ dan ‘tadbir’ Allah SWT berkenaan makhluk ciptaanNya. Ilmunya meliputi segala sesuatu.

Tiada sehelai daun pun yang berguguran di muka bumi ini melainkan Dia Maha Tahu kenapa daun itu gugur, di mana daun itu gugur bahkan bilakah saatnya daun itu gugur. Ya ‘Aliim Ya Khabir..

Lalu apa daya kita dan apa pemilikkan kita berbanding kebesaranNya?, melain akhirnya kita hanya akan tunduk mengaku, menangis keharuan, bercucuran airmata seterusnya mendekat kepadaNya, tersembam sujud di hadapan Qudrah dan JabarutNya.

KISAH IMAM ABU HANIFAH DAN SEEKOR ULAR



Ibnu Mubarak sekali bercerita mengenai kesolehan Imam Abu Hanifah Rahimahullahu Ta’ala.

“..Ketika al Imam sedang solat berjamaah di dalam masjid, tiba-tiba jatuh seekor ular dari syiling menyebabkan para makmum habis bertempiaran dan ada yang sampai keluar daripada masjid, sedangkan Imam Abi Hanifah tidak berganjak sedikit pun dari tempat solatnya kerana beliau sedang tenggelam (asyik) dalam kelazatan beribadah kepada Allah swt".

MAKANAN AHLI NERAKA YANG AMAT MENYAKITKAN



Wajah ahli neraka kelihatan berduka nestapa. Tangisan dan lolongan mereka tak henti-henti. Setiap masa bergelumang azab. Nak kata hidup pun tidak, nak kata mati pun tidak.

Saat mereka merintih hiba dek kelaparan yang amat, dalam kesakitan dan kegelisahan, mereka ke sana kemari tanpa haluan mencari sesuatu yang boleh dimakan namun akhirnya tahukah anda makanan apakah yang disogokan kepada mereka?

Mereka diberikan makanan terkeji yang bergelar Zaqqum. Bukan sekadar keji bahkan amat menyakitkan.

Di dalam al quran perkataan Zaqqum telah disebut sebanyak tiga kali. Di dalam surah As Saffat, surah Ad Dukhan dan surah Al Waqi’ah. Perhatikanlah di dalam setiap pengkhabaran mengenai Zaqqum (di dalam surah-surah tersebut) diceritakan bahawa ia menjadikan makanan yang cukup menyiksakan bagi orang-orang kafir yang mendustakan Hari Kebangkitan dan juga Hari Pembalasan Amal, orang yang berbuat zalim dan para pelaku dosa besar yang tidak bertaubat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “(Makanan syurga) itulah hidangan yang lebih baik ataukah pohon Zaqqum? Sesungguhnya kami menjadikan pohon Zaqqum itu sebagai siksaan bagi orang-orang yang zalim. Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang keluar dari dasar neraka jahim. Mayangnya (buahnya) seperti kepala syaitan-syaitan. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu, maka mereka memenuhi perutnya dengan buah Zaqqum itu. Kemudian sesudah makan buah pohon Zaqqum itu pasti mereka mendapat minuman yang bercampur dengan air yang sangat panas. Kemudian (setelah mereka dibawa minum) sesungguhnya tempat kembali mereka benar-benar ke neraka jahim”. (As Shaffat: 62 – 68 )

Kesakitan yang berganda. Azab di atasnya azab. Tidak cukup dengan azab Zaqqum, minuman ahli neraka juga turut menambah penderitaan. Allahumma Ajirna Minan Nar!

Firman Allah SWT: “(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum; (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam Neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut; Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Surah Ad Dukhan ayat 43-46).

Wal’iyazu billah. Cerita pasal neraka semuanya azab belaka. Semuanya kesakitan dan penderitaan yang tiada penghujungnya. Bila semuanya azab, memakan buahan neraka sahaja sudah cukup mengazab dan menyakitkan.

Firman Allah SWT: “Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,

“Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu", (Surah Al Waqi’ah ayat 51-53).

Sebagaimana yang digambarkan bahawa Zaqqum adalah buah dari pepohon berduri. Memakannya tidak menjadikan seseorang gemuk dan tidak pula menghilangkan kelaparan. Jika pohon ini diletakkan didunia, maka akan hancurlah bumi beserta isinya.

Rasulullah SAW bersabda: Seandainya setitik dari zaqqum diteteskan di dunia, nescaya akan menghancurkan kehidupan semua penghuninya. Lalu bagaimana dengan keadaan orang yang menjadikan zaqqum sebagai makanannya?” (HR At-Tirmidzi, Ibnu Majah dalam sunannya, kitab Az-Zuhud, bab Sifat An Nar, 8/4325.)

Penghuni neraka akan selalu lapar, mereka akan selalu tergesa-gesa meluru kedasar neraka, untuk memakan apapun yang dapat mereka temukan. Di dasar neraka ini mereka akan dipaksa memakan buah dari pohon Zaqqum. Dahsyatnya Zaqqum. Belum pun disentuh, bibir penghuni neraka akan terbakar sehingga nampaklah gigi-gigi mereka.

Tidak sekadar itu. Jika ia dimakan juga, buah tersebut akan membakar wajah beserta organ dalam tubuh mereka manakala duri Zaqqum yang ditelan akan serta merta merobekkan kerongkongan mereka saat ia ditelan. Sebelum buah itu sampai ke dasar perut, ia akan segerakan membakar dan mengeluarkan isi perut.

Andai bumi boleh hancur lebur dek kepanasan setetes sahaja dari buah buah Zaqqum itu, bayangkan bagaimanakah keadaan mulut, bibir, kerongkong, perut dan usus ahli neraka setiap kali ia cuba menjamah buah dari pepohon neraka ini? Allahu Akbar!

Nota: Zaqqum dalam masyarakat Arab jahiliah adalah sejenis makanan penduduk Makkah yang diadun dari kurma dan keju.

Ibnu Abbas rdhma berkata: Ketika Firman Allah SWT turun: “Sesungguhnya (buah) pohon Zaqqum itu, (adalah) makanan bagi orang yang banyak berdosa dosa.” (Surah Ad Dukhan ayat 43-44), maka Abu Jahal pun berkata: “Kurma dan keju itu kami sebut Zaqqum.” maka Allah pun menurunkan ayat: “Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang keluar dari dasar neraka yang menyala.”

SYAITAN BENCI KEPADA ORANG YANG MENDIRIKAN SOLAT


Syaitan cukup benci pada orang yang tekun mendirikan solat. Dia amat seteru dengan orang yang bergegas ke masjid dan ke surau setiap kali azan dikumandangkan. Bagi komuniti syaitan sedunia, merosakan solat seorang muslim merupakan agenda mereka yang paling penting dan utama sementara ter’lungkup’nya solat seseorang muslim merupakan keuntungan besar juga kejayaan cemerlang bagi sekelian makhluk yang terlaknat itu.

Menurut hadis Nabi saw, memang ada syaitan yang khusus datang mengganggu dan mahu merosakan solat yang didirikan. Selain mewas-waskan solat seseorang dengan kelupaan terhadap bacaan, pergerakan ataupun jumlah rakaat, syaitan tersebut berhempas pulas mengoyak rabakan saki baki kekhusyukan yang ada di dalam jiwanya.

Kita saja yang tidak nampak. Tapi syaitan punyalah sibuk dan bertungkus lumus untuk ‘memangsa’kan kita sejak permulaan solat lagi. Rutin tugasan jahat syaitan itu bermula seawal takbiratul ihram sehinggalah selesai salam. Hati orang yang bersolat mahu diterbalikan, kekhusyukan dan keimanannya mahu dirobohkan, minda dan hatinya mahu disibukkan dan dibiarkan menerawang ke sana kemari dengan kekalutan dan hambatan duniawi yang tidak pernah habis.

Lalu, jadilah solat seseorang itu bagaikan keadaannya terlena dan terbuai dek mimpi. Sedar sedar, imam sudahpun memberikan salam yang bermakna telah berakhirlah solat. Solat yang terbina adalah solat yang gagal, kaku bagaikan tidak bernyawa. Khusyuknya entang hilang ke mana. Tiada pahala yang tercatat di buku amalannya. Di sudut yang lain syaitan yang bertanggungjawab merosakan solat itu, duduk tersandar kepuasan, terkekeh-kekeh dengan hilai tawanya meraikan kemenangan berganda.

Siapakah nama syaitan si penghancur solat itu?

Rasulullah SAW telah mendedahkan namanya buat pengetahuan kita semua semenjak 1500 tahun yang lalu. Sama-sama kita ambil perhatian.

Dari Anas bahawa Ustman ibn Abi ‘As datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulallah, sesungguhnya syaitan merintangi (mengganggu) diriku, solatku serta bacaanku dengan cara mengaburinya.”

Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Itu adalah syaitan yang biasa disebut Khonzab. Bila engkau merasakan (kehadirannya) maka berlindunglah kepada Allah (yakni bacalah ta’awwuz) dan ludahlah ke arah (sisi) kiri sebanyak tiga kali."

‘Ustman berkata: “Akupun melaksanakannya (sebagaimana yang suruh Nabi SAW) dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku.” (Riwayat Imam Muslim dari Anas sebagaimana tercatat di dalam Mukhtasar Sahih Muslim).

Ya, namanya Khonzab..demikianlah gerak kerjanya yang berterusan tanpa aduan penat lelah maupun asyik memberi seribu alasan. Motivasi syaitan hanya satu! Dendam membara, permusuhan dan perseteruan terhadap Bani Insan yang tidak ada noktahnya. ‘Kalau aku masuk neraka, engkau pun kena masuk juga,” sumpah syaitan berulang kali.

Kerana solat itu merupakan tiang induk bagi agama seseorang muslim yang menjadikan dirinya terus gagah, berketerampilan serta mampu menempuh apa jua rintangan, maka tiang itulah jugalah yang mahu dirobohkan syaitan. Runtuh solat, maka runtuhlah agama. Runtuhnya agama seseorang itulah yang menjadi objektif syaitan.

Bilamana kita bersolat tanpa hadirnya kesedaran dan keinsafan di dalam hati betapa permusuhan tradisi ini masih membara, terus bergolak dan sentiasa berterusan, maka ketahuilah bahawa solat kita saat itu adalah di antara solat-solat yang berjaya dirosakan. Jesteru, berhati-hatilah!