CARA-CARA MENGAWAL DIRI DARIPADA MELAKUKAN KEMAKSIATAN



1. Pastikan makanan dan minuman yang masuk ke dalam tubuh kita adalah halal dan baik kerana ia akan mempengaruhi jiwa kita.

2. Pastikan kita tidak berada pada tempat dan suasana yang mudah menjerumuskan kita kepada maksiat.
Oleh itu, bergaullah dengan kalangan orang yang soleh dan sentiasa menghadiri majlis ilmu.


3. Tetapkan usaha mengerjakan solat berjemaah di masjid.

4. Banyakkan beristighfar dan berzikir.

5. Banyakkan bersedekah.

6. Hubungkan silaturahim.

7. Tanamkan keinginan untuk mendalami Al-Quran dan Al-Sunnah.

HADIS UNTUK RENUNGAN KITA BERSAMA



Daripada Buraidah bin al-Aslami r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Berilah khabar gembira kepada mereka yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid, dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat".
(riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi).

Daripada Abu Hurairah r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu kurang ketawa dan banyak menangis".
(riwayat Al-Bukhari).

Daripada Jubair bin Mu'tim r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Tidak masuk syurga pemutus silaturahim"
(riwayat Al-Bukhari dan muslim).

Daripada Abdullah bin Abbas r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab di antaranya dengan Allah".
(riwayat Al-Bukhari).

Daripada Ibn Abbas r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Dua mata yang tidak disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam mengawal jalan Allah".
(riwayat Al-Tharmizi).

Daripada Thauban r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya seorang insan terhalang daripada mendapat rezeki lantaran dosa yang dilakukannya".
(riwayat Ibn Majah).

Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya walau sebesar zarah perasaan takabbur".
(riwayat Muslim).

Daripada Abu Said al-Khudri r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Ziarahilah pesakit dan iringilah jenazah, nescaya ia boleh mengingatkan kamu kepada akhirat".
(riwayat Al-Haithami).

Daripada Abu Hurairah r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Perbanyakkan mengingat pemutus kelazatan (mati)".
(riwayat al-tharmizi dan al-Nasa'i).

Daripada Abdullah bin Amr r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Orang yang bersifat kasihan, dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka di bumi, nescaya yang di langit akan mengasihi kamu".
(riwayat Abu Daud dan Al-Tharmizi).

Daripada Abu Hurairah r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat".
(riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

INSAFLAH WAHAI DIRI KU



Jangan kita berbangga dengan pakaian kita yang cantik dan mahal,
Kerana pakaian terakhir kita nanti adalah kain kapan yang berwarna putih.

Jangan kita berbangga dan angkuh dengan kenderaan kita yang mewah,
Kerana kenderaan terakhir kita nanti adalah van jenazah dan papan keranda.

Janganlah kita terlalu seronok dengan tempat tidur kita yang empuk dan nyaman,
Kerana tempat tidur terakhir kita adalah di liang lahat.


Janganlah kita ego dan sombong kerana mampu memiliki rumah yang mewah seperti istana,
Kita mesti ingat bahawa rumah terakhir kita nanti adalah kubur bertiang dua.

Janganlah kita bermegah dengan pangkat dan darjat,
Kerana bila kita sudah tiada nanti kita akan mendapat gelaran Al-Marhum.


Janganlah kita terlalu berlagak dengan wajah kita yang kacak atau cantik,
Kerana bila kita telah mati nanti, wajah kita akan berubah menjadi tengkorak.......

APABILA ALLAH S.W.T. MENCINTAI KITA MAKA KITA AKAN DI UJI OLEH ALLAH S.W.T.


Allah S.W.T. berfirman: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah: 214)
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Az-Zumar: 10)
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan)…” (Ali-Imran: 200)
Allah SWT menjanjikan pertolongan saat menghadapi kesulitan, dengan syarat kita mestilah bersabar menghadapinya. Jangan sesekali kita berpaling dari Allah SWT, atau menjauhkan diri dariNya. Dibimbangi kita akan terjerumus ke lembah kehinaan dengan mengikuti jalan sukar yang dihembuskan Syaitan durjana. Syaitan sama sekali tidak akan senang kepada hamba-hambaNya yang sabar dan senantiasa berpegang teguh kepada tali Allah SWT. Biarkan Syaitan kecewa dengan sikap kita yang keras menentang bisikan-bisikannya. Perbanyakkan doa dan solat agar tali yang mengikat kepada Rabbi bertambah utuh dan kuat.

Sifat sabar sebenar adalah kesabaran yang menyebabkan kita semakin dekat dengan Allah SWT, jelas matlamat dan tujuan hidup, bercita-cita untuk menuju ke syurga melalui siratol mustaqim (jalan lurus). Gambaran ini boleh dikutip dari kisah kesabaran Bilal bin Rabah menahan derita disiksa dan dihempap batu besar tatkala mempertahankan keimanan kepada Azza Wajalla. Begitu juga kisah keluarga Yasir yang disula hingga menemui ajal semata-mata bersabar menahan siksaan atas keengganan kembali kepada kepercayaan Jahiliyyah lagi Taghut. 
Lantas Rasulullah SAW bersabda:
Sabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita, bahawa apabila Allah SWT menyayangi suatu kaum, pasti Allah SWT akan menurunkan ujian dan cubaan. Alhasil, Allah SWT akan menilai sejauh mana takat kesabaran yang terbentuk. Kadangkala, ada sesetengah manusia membenci kesusahan, kesakitan, bebanan yang ditimpakan ke atasnya sehingga bertempik benci dan mengeluh panjang kepada Allah SWT. Maka, jika itulah keadaannya, ini bererti manusia itu telah menempah murka Allah SWT. Tatkala itu, Allah SWT akan menimpakan kemurkaanNya dengan nilaian dosa. Dosa akibat lemahnya rasa sabar manusia terhadap ujian yang dihadapi.

Hadis yang telah dikeluarkan oleh Ahmad melalui jalur Mahmud bin Labid menyatakan, Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah Azza Wajalla jika menyintai suatu kaum, maka Allah akan memberikan cubaan kepada mereka. Barangsiapa yang sabar, maka dia berhak mendapatkan (pahala) kesabarannya. Dan barangsiapa marah, maka dia pun berhak mendapatkan (dosa) kemarahannya"