HANYA ALLAH S.W.T. SAHAJA YANG LAYAK MEMENUHI HATI KITA



Sebagaimana disimpulkan di dalam kalimat LAA ILAHA ILLALLAH, kita perlu kosongkan hati kita daripada sesuatu selain Allah S.W.T.


Kalimat LAA ILAHA ILLALLAH adalah kalimat yang mengandungi nafi (menidakkan) iaitu tiada tuhan dan ithbat (menetapkan) iaitu melainkan Allah .S.W.T.

LAA ILAHA ILLALLAH ini menuntut supaya kita mengosongkan apa jua sesuatu selain Allah S.W.T. daripada hati kita. Hanya Allah S.W.T. sahaja yang layak memenuhi hati kita.

Di dalam sebuah hadis Qudsi ada disebut:
Allah S.W.T. berfirman:,"Wahai hambaku, Hatimu adalah tamanKu dan SyurgaKu adalah tamanmu, Sekiranya engkau tidak bakhil kapadaKu dengan tamanmu bahkan engkau tempatkan makrifatKu di dalam hatimu, nescaya Aku tidak akan bakhil kepadamu dengan tamanKu dan Aku akan tempatkan engkau di dalamnya".



Oleh itu, kita mestilah membuat penafian yang sempurna bahawa tiada yang hebat melainkan Allah, tiada yang dapat memberi manfaat dan mudarat melainkan Allah, tiada yang berkuasa melainkan Allah, tiada yang memberi rezeki melainkan Allah, tiada rasa cinta melainkan kepada Allah, tiada berharap melainkan kepada Allah, segalanya hanya Allah S.W.T.


Kita menafikan segala kebesaran kecuali kebesaran Allah, segala kehebatan melainkan kehebatan Allah, segala keyakinan kecuali keyakinan kepada Allah, segala rasa cinta kecuali cinta kepada Allah S.W.T.

Hanya Allah yang memberi manfaat, hanya Allah yang memberi mudarat, Allah yang menghinakan sesuatu perkara dan yang memuliakan sesuatu perkara. Tidak akan berlaku satu perkara melainkan semuanya telah diizinkan oleh Allah S.W.T.
Semuanya berada dalam pengetahuan dan hitungan Allah S.W.T.
Hati kita hendaklah dipenuhi dengan keyakinan bahawa hanya dengan mengikut perintah Allah S.W.T. kita akan berjaya dan jika kita melanggar perintah Allah pasti akan ditimpa kehinaan.

Janji Allah adalah benar, Akhirat adalah benar, Alam Barzakh adalah benar, Padang Masyar adalah benar, Syurga adalah benar, Neraka adalah benar, Segala janji Allah pasti akan berlaku kerana sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah S.W.T.