TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T.



Sesungguhnya hati yang tidak takut kepada Allah S.W.T. bukanlah sebenar-benarnya hati. Orang yang hidup tetapi tidak mengharapkan janji Allah, sebenarnya adalah orang yang mati.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Apakah orang yang sudah mati (orang yang mati hatinya, seperti orang-orang kafir) kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan."
(al-An'am (6): 122).

Tidak ada satu hari pun manusia berbuat di bumi melainkan akan dimintai pertanggungjawaban di hadapan Allah S.W.T. Sementara itu, dia akan terjebak dalam masaalah yang sangat sulit, rumit dan cukup pelik yang tidak dapat diselesaikan dan tidak dapat diputuskan kecuali dengan takut kepada Zat yang Maha Hidup lagi Maha Mengatur semua urusan hamba-Nya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu." (adz-Dzariyat (51): 50).

Pekerjaan yang paling utama dari seorang hamba adalah beribadah kepada Allah yang Maha Esa. Tidak ada jalan keluar dari permasalahan yang rumit kecuali jika dia benar-benar menjadi hamba Allah. Oleh kerana itu, Allah memuliakan Rasul-Nya, Muhammad S.A.W. dan menempatkannya pada posisi orang yang paling mulia dalam beribadah.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maha Suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kapada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam."
(al-Furqan (25) : 1).

Orang yang tidak menyibukkan dirinya dengan beribadah, kelak akan berada dalam kesesatan di dunia dan akhirat. Dia akan sangat menyesal dan rugi ketika Allah S.W.T. mengumpulkan seluruh manusia dari yang pertama sehingga yang terakhir menuju suatu hari yang tidak diragukan lagi kedatangannya.

Oleh kerana itu, Allah S.W.T. meminta kita untuk sentiasa takut kepada-Nya dan Allah menjelaskan bahawa Dia telah menyediakan dua syurga bagi orang yang takut kepada-Nya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?".
(ar-Rahman (55): 46-47).

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Adapun orang-orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya." (an-Nazi'at (79):40).

ADAKAH ANDA SAYANG KEPADA RASULULLAH S.A.W ?



Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Sesiapa membaca selawat sepuluh kali pada pagi hari dan sepuluh kali pada waktu petang, maka ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat". (Riwayat al-Tabarani daripada Abu Darda' r.a.)



Tempat dan waktu dianjurkan berselawat:

1) Sesudah laungan azan.

2) Ketika hendak masuk dan ketika keluar masjid.

3) Dalam solat jenazah,

4) Dalam takbir-takbir hari raya.

5) Sewaktu membaca tahiyat (tasyahud) akhir dalam solat.

6) Pada awal dan akhir bacaan doa.

7) Pada malam dan siang hari jumaat.

8) Dalam khutbah dan semasa bacaan qunut.

9) Ketika orang menyebut nama Rasulullah S.A.W.

10) Tiap pagi, petang, ketika mengadakan majlis ceramah, ketika susah, sakit.

JANGANLAH BERSEDIH WAHAI HAMBA ALLAH S.W.T.




Bersedih hati itu tidak mendatangkan manfaat, justeru itu ia dilarang dalam agama sebagaimana telah ditegaskan dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu)." (Surah Ali Imran: 139).

Bersedih hati hanya akan memadamkan semangat, melemahkan azam dan membekukan jiwa. Dan kesedihan itu tidak ubah seperti penyakit demam yang membuat tubuh menjadi lemas tidak berdaya.

Kesedihan merupakan satu hal yang paling disenangi syaitan. Justeru itu, syaitan selalu berusaha supaya seorang hamba bersedih hati untuk menghentikan tiap-tiap langkah dan niat baiknya. Hal ini sudah pun diperingatkan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) syaitan, untuk memjadikan orang-orang yang beriman berdukacita." (Surah Al-Mujadalah: 10).

Baginda Rasulullah S.A.W. sentiasa memohon perlindungan dari Allah supaya dijauhkan dari kesedihan. Beliau selalu berdoa dengan doa seperti ini:

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kesedihan dan dukacita".

SEGALA KESENGSARAAN ATAU KENIKMATAN DI DUNIA INI HANYALAH SEMENTARA SAHAJA




Jika selama di dunia ini anda kebuluran, jatuh miskin, sentiasa dilanda kesedihan, mengidap penyakit yang tidak kunjung sembuh, selalu mengalami kerugian atau diperlakukan secara zalim maka peringatkan diri anda pada nikmat syurga yang kekal selamanya.

Apabila anda betul-betul meyakini jalan ini dan mengamalkannya dengan benar, nescaya anda akan mampu mengubah setiap kerugian menjadi keuntungan dan setiap bencana menjadi nikmat.

Orang yang paling berakal ialah orang yang sentiasa melakukan sesuatu untuk akhirat dengan keyakinan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal selamanya. Sebaliknya, manusia yang paling bodoh di dunia adalah mereka yang memandang dunia ini sebagai segalanya; tempat dan matlamat akhir dari semua harapan. Justeru, tidak menghairankan kalau anda mendapati mereka paling gelisah ketika menghadapi sesuatu musibah dan juga paling mudah hanyut dalam penyesalan sewaktu malapetaka meragut semua kepunyaan mereka.

Itu semua sudah tentu disebabkan mereka hanya mementingkan tiap-tiap sesuatu yang berkaitan dengan urusan hidup dunia yang sangat singkat, fana dan tidak bernilai ini.

Pernahkah kita merenungkan secara mendalam bahawa sesungguhnya para penghuni syurga itu tidak akan sakit, tidak mungkin bersedih hati, tidak akan mati, tidak akan menjadi tua dan pakaian mereka tidak akan lusuh sedikitpun. Sungai-sungainya yang mengalir deras, istana-istananya yang indah dan megah, buah-buahannya tergantung rendah hingga mudah dipetik, mata airnya mengalir deras.

Mengapa kita sering melupakan semua itu dan tidak berbuat apa-apa untuk mencapainya?

Apabila matlamat akhir dari perjalanan seorang manusia adalah menuju ke tempat yang kekal selamaya, nescaya setiap bencana akan terasa ringan, pelbagai beban hidup akan tetap dilalui dengan hati yang tabah.

Justeru itu, wahai hamba-hamba Allah yang sedang dilanda kemiskinan, diliputi kesusahan, teruskanlah menuju kepada keredhaan Allah S.W.T.
Dengan begitu, nescaya anda akan tinggal di syurga Allah, berdekatan dengan-Nya dan sentiasa mensucikan nama-nama-Nya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu". (Surah Ar-Ra'd: 24).

SYUKURLAH KEPADA ALLAH S.W.T. KERANA KITA MASIH HIDUP LAGI.



Masih dapat hidup adalah nikmat yang luar biasa. Sayangnya, jarang-jarang manusia mensyukurinya. Mereka menganggap hidup adalah nikmat yang biasa-biasa. Justeru, ramai yang tidak berterima kasih kepada Allah S.W.T kerana masih dihidupkan. Padahal Rasulullah S.A.W. telah mengajar kita supaya membaca doa ini sebaik sahaja kita bangun daripada tidur:


"Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nyalah kita akan dikembalikan." (Riwayat Ahmad dan al-Nasa'i).


Dapat bangun daripada tidur dan hidup lagi pada setiap hari wajib disyukuri. Ini kerana tidur itu hakikatnya separuh daripada kematian. Berapa ramai manusia yang tidur pada malamnya, terus tidak bangun-bangun lagi kerana ajalnya telah sampai.


Walau bagaimanapun, cara mensyukuri nikmat hidup tidak cukup sekadar membaca doa sahaja. Tetapi apa yang lebih penting adalah menggunakan nikmat hidup selaras dengan tujuan Allah menghidupkan kita.


Jadi gunakanlah hidup untuk menunaikan amanah sebagai hamba Allah S.W.T. dan khalifah di muka bumi ini.

TANGISAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB



Diriwayatkan bahawa pada suatu hari, anak Khalifah Umar Al-Khattab pulang dari sekolah sambil menangis. Ketika ditanya oleh ayahnya, anak itu menjawab: "Teman-temanku di sekolah menghitung tampalan bajuku dan mengejekku. Kata mereka, lihatlah anak Amirul Mukminin bajunya bertampal-tampal seperti ini".

Mendengar pengaduan anaknya itu menimbulkan rasa kasihan dalam hati Umar terhadap anaknya. Oleh kerana itu beliau mengirim sepucuk surat kepada Bendahari negara, meminta agar beliau dipinjamkan wang empat dirham dengan jaminan gajinya bulan depan dipotong.

Maka Bendahari negara itu mengirimkan surat jawapan yang berbunyi:
"Wahai Umar, adakah engkau sudah dapat memastikan bahawa engkau akan hidup sampai bulan depan? Bagaimana kalau kau mati sebelum membayar hutangmu? Apa yang akan kamu perbuat terhadap hutangmu itu di hadapan Allah S.W.T ?"

Membaca surat itu maka Umar tersungkur menangis, lalu berkata kepada anaknya:
"Pergilah engkau wahai anakku ke sekolah sebagaimana biasanya kerana aku tidak dapat memperhitungkan umurku walaupun sejam lagi".