ANDA INGIN MEMBELI RUMAH DI SYURGA?



Abu Ayyub al-Ansari berkata bahawa pada malam Israk, Baginda Nabi S.A.W. berlalu melintasi Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Ibrahim bertanya kepada Malaikat Jibrail: "Siapakah orang yang bersamamu itu wahai Jibrail?".
Jibrail menjawab: "Ini Muhammad".

Nabi Ibrahim lalu berkata: "Wahai Muhammad, perintahkan umatmu untuk memperbanyak menanam pokok di syurga, sebab tanahnya sangat subur dan kawasannya sangat luas".

Nabi S.A.W. bertanya: "Bagaimanakah menanam pokok-pokok di syurga?".

Nabi Ibrahim menjawab: " Ucapkan kalimat `LA HAWLA WALA QUWWATA ILLA BILLAH".
(Maksudnya : Tiada daya upaya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan sesuatu yang manfaat) selain Allah S.W.T.).

(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan disahihkan oleh Ibn Hibban).

Syurga ialah tempat kediaman terakhir untuk hamba-hamba Allah yang berbakti. Hadis di atas mengisyaratkan bahawa kita sendiri yang akan membangunkan tempat kediaman tersebut.
Sesiapa yang menginginkan rumah yang megah dan dengan taman-taman yang indah di syurga, dia boleh menempahnya dari sekarang.

Harga yang diminta bukanlah wang ringgit ataupun emas permata, akan tetapi amal soleh dan zikir yang kita lakukan. Amalan inilah yang akan menjadi bahan untuk pembinaan rumah-rumah di syurga.

Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Hakim al-Ahmasi:
"Aku mendengar bahawa syurga dibangunkan dengan zikir. Apabila zikir itu terhenti, maka berhenti juga malaikat yang bekerja membangunkannya. Apabila mereka ditanyakan: "Mengapa kamu berhenti berkerja?". Mereka menjawab: "Kami sedang menunggu bahan-bahannya".

Pada saat ini, semua para pekerja binaan itu sedang giat bekerja. Apabila telah selesai semua yang hendak disiapkan, pemilik rumah pun dijemput untuk mendiaminya.

SYAITAN MENGEJUTNYA UNTUK BERSOLAT SUBUH




Satu hari, akibat keletihan yang amat sangat, Syeikh Abdul Qadir al-Jilani hampir terlewat bangun tidur walaupun waktu solat hampir tiba.

Melihat keadaan itu, syaitan telah menyamar seekor kucing dan menggigit ibu jari kaki Syeikh Abdul Qadir.
Dalam pandangan mata hatinya Syeikh dapat melihat syaitan yang berupa seekor kucing itu.

"Mengapa kau kejutkan aku untuk solat Subuh, padahal kau amat benci kepada orang yang solat?"

"Aku bimbang sekiranya kau terlewat bangun Subuh", jawab syaitan.

Kehairanan, Syeikh Abdul Qadir lalu bertanya, "Kenapa?".

Syaitan terpaksa menjawab kerana dia takut kepada orang yang takutkan Allah S.W.T.

"Aku takut jika kamu terlewat untuk solat Subuh, Kau akan menampung kelewatan itu dengan amalan-amalan yang lain yang lebih banyak dan lebih serious". kata syaitan.

Tambah syaitan itu lagi, "Kau akan bersedekah, kau akan membantu orang lain, kau akan mengajar lebih lama, kau akan membaca al-Quran untuk menampung kesalahanmu yang sedikit. Dengan itu nanti, aku dan kawan-kawanku pun akan bertambah susah, kerja kami akan bertambah dan sukar. Jadi, lebih baik kamu solat Subuh tepat pada waktunya, dan kami tidak akan terpaksa menghadapi banyak kerja untuk menyekat amalan-amalan baikmu itu nanti".

Begitulah kreatif dan inovatifnya syaitan dalam menyesatkan manusia.
Dia bukan sahaja arif tentang amalan baik dan jahat tetapi dia juga arif tentang keutamaan amal.


ADAKAH KITA AKAN MATI DALAM KEADAAN BERIMAN?




Walaupun kita hidup sekarang ini dalam keadaan beriman dan mematuhi segala perintah Allah S.W.T, tetapi yang menentukan kita mati beriman atau mati kafir ialah di penghujung hidup kita, saat itulah yang dinilai oleh Allah S.W.T.

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda:
"Demi Allah, dan tiada Tuhan yang lain daripadanya, bahawa sesungguh salah seorang kamu yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada lagi di antaranya dengan syurga kecuali sehasta sahaja lagi, mana telah terdahulu atasnya suratan (takdir) Allah, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka ketika itu ia mati, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang itu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada di antaranya dengan neraka kecuali sejengkal, maka terdahulu atasnya takdir (ia mati dalam iman) lalu beramallah ia akan amalan ahli syurga, ketika itu ia mati, maka matinya beriman dan masuklah ia ke dalam syurga".
(Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa kita tidak boleh menentukan yang kita akan mati beriman atau mati kafir. Segala-galanya telah ditakdirkan. Cuma kita berhak mengharap rahmat dan taufiq daripada Allah S.W.T.

Inilah yang amat dikhuatiri sekali oleh orang-orang yang soleh. Setiap masa mereka merintih memohon dan mengharapkan `Rahmat' daripada Allah S.W.T.
Kerana yang menentukan dan berhak meletakkan kita sama ada di dalam neraka atau syurga atau memasukkan seseorang yang derhaka ke dalam neraka adalah harus bagi Allah S.W.T, bukan wajib bagiNya. Demikian sebaliknya.

Apa yang menjadi tugas kita, selain daripada selaku hamba Allah melaksanakan tanggungjawab dan meletakkan `harapan baik' terhadap Allah S.W.T, kita juga hendaklah selalu berdoa agar Allah S.W.T mematikan kita dalam beriman dan jangan matikan kita dalam kafir.

Nabi Muhammad S.A.W. telah mengajarkan doa yang baginda sendiri selalu berdoa dengan itu, iaitu:

"Ya Allah, akhirkanlah hayat kami (matikan kami) dalam keadaan HUSNUL KHATIMAH dan janganlah akhiri hayat kami dalam keadaan SU-UL KHATIMAH. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau sesatkan hati kami setelah engkau memberi petunjuk dan berikanlah kepada kami kurniaan RahmatMu. Sesungguhnya Engkaulah yang banyak memberi kurniaan".

SOLAT PARA SAHABAT YANG MASYHUR



Mujahid menceritakan mengenai solat Abu Bakar as-siddiq dan Abdullah bin Zubair,
beliau berkata;
"Mereka berdiri tegak tanpa bergerak seolah-olah mereka telah terpaku ke bumi".

Para ulama semuanya berpendapat bahawa Abdullah bin Zubair telah belajar bersolat daripada Abu bakar as-siddiq. Manakala Abu bakar pula mempelajarinya daripada Rasulullah S.A.W.

Mengikut ceritanya, Abdullah bin Zubair apabila dia bersujud, sujudnya itu terlalu panjang sehingga burung-burung dapat bertenggek di atas badannya. Kadang-kadang dia rukuk dan bersujud sepanjang malam. Pada suatu masa dia telah diserang oleh musuh. Akibat serangan itu, tembok masjid telah pecah dan serpihannya telah terkena lehernya. Pada ketika itu dia sedang bersolat. Dia teruskan juga solatnya tanpa sebarang perasaan takut.

Pada suatu masa pula, ketika dia sedang mengerjakan solat sedangkan anaknya masih tidur berdekatan dengannya. Tiba-tiba seekor ular jatuh dari atas bumbung lalu membelit-belit anaknya yang sedang tidur itu. Budak itu terpekik-pekik ketakutan. seisi rumah berlari-lari untuk mendapatkan budak itu. Merekalah yang membunuh ular itu. Tetapi Abdullah kelihatan tenang mengerjakan solat.

Setelah selesai bersolat, dia pun bertanya;
"Apa yang kamu hebohkan semasa aku bersolat tadi?".
Isterinya menjawab; "Semoga kamu dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.,budak itu nyaris-nyaris mati dan kamu tidak menghiraukannya".
Maka Abdullah menjawab; "Apa akan terjadi kepada solatku kalau aku memberi perhatian terhadapnya".

Umar r.a. telah ditikam oleh musuh. Badannya berdarah dan terkadang-kadang dia pengsan selama beberapa ketika. Tetapi apabila diberitahu tentang tibanya waktu bersolat, dia pun bangun lalu mengerjakan solat.
Umar r.a. berkata;
"Tidak ada tempat dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat"
Akhirnya beliau meninggal dunia akibat kesan tikaman dibadannya.

Apabila tiba waktu solat, Ali r.a. akan menggeletar dan wajahnya menjadi pucat. Telah bertanya seorang hamba Allah tentang sebab-sebabnya ia berperasaan demikian.

Maka Ali r.a. menjawab;
"Telah tibalah masanya untuk saya tunaikan amanah yang telah dipersimpankan kepada saya oleh Allah dan yang enggan diterima oleh langit, Bumi dan bukit-bukau".



MENGAPA ALLAH S.W.T MENCIPTAKAN SYAITAN?



Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
"Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia sudah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari Syurga". (Al A'raaf, 7:27).

Mengapa Allah S.W.T menciptakan syaitan?
Apakah syaitan ada dan diciptakan untuk menyerang manusia?

Syaikh Muhammad Mutawalli Asy-Sya'rawi menjawab;
"Jika tidak ada sesuatu yang mendorongmu untuk bermaksiat, maka ketaatan menjadi sesuatu yang biasa, ketaatan menjadi sesuatu yang luar biasa dan besar kerana ada yang mengusik dan menggoda untuk melakukan maksiat, lalu godaan itu ditolak dengan berkata tegas, "TIDAK!"

Jadi, adanya syaitan adalah untuk meningkatkan suhu dalam menjalankan perintah dan mengimbangi keadaan penghambaan diri kepada Allah S.W.T. dengan sesuatu yang berasal dari ciptaan Allah S.W.T.

Jika tidak ada syaitan, maka ketaatan akan menjadi sebuah budaya yang membosankan. Kita, umat islam, mungkin tidak pernah berfikir untuk makan daging babi. Namun pencegahan diri kita untuk tidak memakan daging babi ini sering timbul kerana tradisi dan rutin, bukan kerana kesedaran akan rasa takut dan penghambaan kepada Allah S.W.T.

Pencegahan diri kerana kesedaran inilah yang diinginkan Allah S.W.T., bukan kerana pengaruh tradisi dan rutin.

Dengan kata lain, penghambaan yang sesungguhnya menescayakan adanya provokasi yang kuat untuk menempuh jalan kesesatan lalu kita berhasil menolak dan mencegah diri untuk tidak terpesona, mengenal pasti sikap permusuhan syaitan terhadap anak manusia.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):Hai adam, Ssesungguhnya ini adalah musuh bagimu dan bagi isterimu, maka sekali-kali janganlah sampai ia mengeluarkan kamu berdua dari Syurga, yang menyebabkan kamu menjadi celaka". (Thaahaa, 20 : 117).

Jadi, inilah pangkal taklif yang dibebankan kepada kita hingga hari kiamat, iaitu: perintah, larangan, dan peringatan diri akan permusuhan syaitan kepada manusia.


KENAPA IMAM SAFIE BERTONGKAT PADA USIA 40 TAHUN?



Ketika mencapai usia 40 tahun, Imam Safie mula berjalan menggunakan tongkat.
Ketika ditanya apa sebabnya, padahal tubuhnya masih gagah, beliau berkata:

"Supaya aku selalu ingat bahawa aku adalah musafir menuju akhirat. Demi Allah, aku melihat diriku umpama seekor burung yang dipenjarakan dalam sangkar yang terbuka pintunya, tetapi kakiku masih terikat di sangkar itu. Sesungguhnya, aku tidak ingin lagi untuk terus bermukim di dunia, tidak ku izinkan lagi teman-temanku memberi hadiah, atau mengingatkan aku akan nikmat dunia ini......kecuali sekadar keperluan yang wajib bagiku!".

KESAN SOLAT YANG MEMPUNYAI ROH



Seorang wanita daripada satu kabilah Arab telah membuat keputusan untuk memeluk Islam. Cahaya hidayat telah memenuhi ruang hatinya. Seluruh orang kampungnya telah menjadi berang. Bagi mereka, wanita ini telah menconteng arang ke kampung mereka. (memalukan mereka).

Wanita tersebut telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah. Lalu dibawa bersama anak lelakinya yang masih kecil. Setelah sampai di Madinah dan Rasulullah S.A.W. telah dimaklumkan tentang kehadirannya. Lalu Rasulullah S.A.W. telah menawarkan kepada mana-mana keluarga untuk mengambil wanita itu sebagai keluarga angkat untuk diajar dan didedahkan dengan ajaran-ajaran dan suasana Islam yang sebenar.

Selang beberapa hari, wanita muallaf itu tinggal di Madinah, terjadi satu peristiwa.
Suatu hari, anaknya sedang bermain-main dengan rakan-rakan barunya di sekitar kawasan masjid.
Sedang bermain-main, tiba-tiba anak itu telah terjatuh dan meninggal dunia.

Oleh kerana anak itu tidak dikenali ramai, maka para sahabat telah mengambil keputusan untuk menguruskan sahaja jenazah kanak-kanak tersebut. Setelah selesai dikafankan dan hendak disembahyangkan, tiba-tiba perkara ini telah sampai ke pengetahuan ibunya. Lalu ibunya dibawa kepada jenazah anaknya.

Apabila melihat jenazah anaknya, ibu tersebut terus menunaikan solat dua rakaat lalu berdoa:

"Ya Allah, Sesungguhnya aku mencintaiMu. Engkau mengetahui bahawa aku memeluk agamaMu. Kaumku telah mencercaku dan menyumpahku serta antara sumpahan mereka ialah mereka mengatakan bahawa anakku akan mati kerana aku telah meninggalkan agama nenek moyangku. Oleh itu wahai Allah!, Kau hidupkanlah kembali anakku ini agar ia tidak menjadi fitnah kepada agamaMu."

Selesai sahaja doanya itu, tiba-tiba kaki anaknya kelihatan bergerak-gerak dan anaknya mula hidup kembali.
ALLAHU AKBAR!

Inilah yang dikatakan Kudratullah dan kesan daripada solat yang mempunyai roh dan hakikat.
Keimanan yang tulin dan solat yang mempunyai hakikat khusyuk, mampu menggerakkan nizaamul-ghaib (peraturan ghaib) Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan minta tolonglah kamu (kepada Tuhan) dengan kesabaran dan (mengerjakan) solat dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang tunduk (kepada Allah).
(Al-Baqarah, ayat 45).