TAUBAT SEORANG PENZINA



Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Al-Zuhri barkata:

Pada suatu hari Umar telah berjumpa Nabi Muhammad S.A.W sambil menangis, maka ditanya oleh Rasulullah;
"Ya, Umar, mengapakah kau menangis?"

Jawab Umar; "Ya Rasullullah, di muka pintu ini ada seorang pemuda telah membakar hatiku".
Rasulullah S.A.W. bersabda; "Ya Umar, bawakan dia kepadaku".

Pemuda itu datang berjumpa Rasulullah S.A.W. sambil menangis dan apabila ditanya oleh Rasulullah S.A.W; "wahai pemuda, apakah yang menyebabkan engkau menangis?".

Jawab pemuda itu; "Ya Rasulullah, saya menangis kerana dosa-dosaku banyak padahal saya takut kepada Allah yang Maha Perkasa sedang murka kepadaku".

Rasulullah S.A.W. bertanya; "Apakah engkau mempersekutukan Allah, wahai pemuda?"

Pemuda itu menjawab; "Tidak".

Rasulullah S.A.W. bertanya; " Adakah kau membunuh jiwa tanpa hak?

Pemuda itu menjawab; "Tidak".

Sabda Nabi S.A.W; "Maka Allah akan mengampunkan dosamu walaupun sebesar tujuh petala langit dan bumi dan bukit-bukit".

Pemuda itu berkata; "Ya Rasulullah, dosaku lebih besar dari langit, bumi dan bukit-bukit".

Rasulullah S.A.W. bertanya; "Dosamu lebih besar ataukah AL-Kursi?".

Pemuda itu menjawab; "Dosaku lebih besar".

Rasulullah S.A.W. bertanya; "Dosamu lebih besar ataukah Arasy?"

.Pemuda itu menjawab; "Dosaku lebih besar".

Rasulullah S.A.W. bertanya; "Dosamu lebih besar ataukah kemaafan Allah?"


Pemuda itu menjawab; "Kemaafan Allah lebih besar".


Sabda Nabi S.A.W; "Sungguh tidak ada yang dapat mengampunkan dosa besar kecuali Allah Yang Maha Besar, Yang Besar maaf dan ampunan-Nya". "wahai pemuda, ceritakan kepadaku apakah dosamu itu".

Pemuda itu menjawab; "Saya malu kepadamu wahai Rasulullah".

Rasulullah S.A.W. bersabda; "Ceritakan kepadaku apakah dosamu itu".

Pemuda itu mula bercerita;
"Saya seorang tukang gali kubur sejak tujuh tahun dan pada suatu hari, sewaktu saya menggali kubur seorang gadis dari Ansaar dan setelah saya telanjangi kain kafannya, saya tinggalkannya tetapi tidak lama selepas itu tiba-tiba bangkit hawa nafsuku, maka saya kembali dan menyetubuhi mayat gadis itu hingga puas kemudian saya tinggalkannya. Tiba-tiba gadis itu bangkit dan berkata kepadaku;

"Celakalah kau hai pemuda, tidakkah engkau malu kepada Allah yang akan membalas pada hari pembalasan kelak, bila tiba masanya setiap orang zalim akan dituntut oleh orang yang dianiaya. Kau telah biarkan saya telanjang dan kau hadapkan aku di hadapan Allah sebagai orang yang berhadas besar".

Rasulullah S.A.W mendengar keterangan itu lalu segera bangkit bagaikan ditolak dari belakang, sambil berkata;
"Wahai fasik, alangkah layaknya engkau masuk neraka, keluarlah dari sini".

Maka keluarlah pemuda itu sambil bertaubat kepada Allah selama empat puluh hari, dan pada malam keempat puluh , dia melihat ke langit sambil berdoa;

"Ya Tuhan kepada Nabi Muhammad dan Nabi Adam, jika engkau telah mengampunkan aku maka beritahukan kepada Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya. Jika tidak maka kirimkanlah padaku api dari langit dan bakarlah aku di dunia ini, dan selamatkanlah aku dari seksa akhirat".

Maka turun Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad S.A.W dan sesudah memberi salam, Jibrail berkata;
"Ya Muhammad, Tuhanmu memberi salam kepadamu".

Rasulullah S.A.W. menjawab; "Dialah Assalam, dan daripadaNya salam dan kepada-Nya segala keselamatan."

Jibrail berkata; "Allah S.W.T. bertanya: Apakah engkau menjadikan makhluk?"

Rasulullah S.A.W. menjawab; "Bahkan Allah yang menjadikan aku dan semua makhluk".

Jibrail berkata; "Allah S.W.T. bertanya: Apakah engkau yang memberi rezeki kepada mereka?"

Rasulullah S.A.W. menjawab; "Bahkan Allah yang memberi rezeki kepadaku dan kepada mereka".

Jibrail berkata; "Allah S.W.T. bertanya: Apakah engkau yang memberi taubat kepada mereka?"

Rasulullah S.A.W. menjawab; "Bahkan Allah yang memberi taubat kepadaku dan kepada mereka".

Jibrail berkata; "Allah S.W.T. berfirman: Maafkanlah hamba-Ku itu, kerana Aku telah memaafkan padanya".

Maka Nabi Muhammad S.A.W. segera memanggil pemuda itu dan memberitahu kepadanya bahawa Allah S.W.T. telah memberi taubat kepadanya dan memaafkannya.

ALLAHU AKBAR !