TANGISAN MANUSIA DI PADANG MAHSYAR (AKHIRAT).



Ketika manusia terdampar di Padang Mahsyar jutaan tahun (menurut ukuran masa dunia), dikala mengharungi kesengsaraan yang amat dahsyat, ramai di kalangan penghuni Padang Mahsyar yang terkenangkan kampung halaman. Mereka menyesali diri kerana memandang sepi seruan para Rasul dahulu.

Setelah mereka menyaksikan setiap perkara di Padang Mahsyar, teringatlah mereka kebenaran hari Kiamat yang diberitahu oleh para Rasul dahulu.

Dalam ratapan ahli Padang Mahsyar, merintih merayu kepada Allah S.W.T. agar memberi peluang mereka kembali ke dunia walau sejenak untuk memperbaiki keimanan dan melakukan amal soleh, seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ( ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin".
(As-Sajadah: 12).

Kesedaran yang terlewat hanyalah penyesalan yang tidak berfaedah, kerana planet bumi untuk tempat kembali seperti yang dirayu oleh ahli Padang Mahsyar itu sudah hancur menjadi debu.

Manusia ingin pulang ke dunia, tetapi tidakkah mereka datang dari dunia?

Apakah yang menyebabkan mereka abai terhadap kesempatan yang Allah S.W.T. berikan untuk hidup di dunia dahulu?.