BUKTI ADANYA SIKSAAN DIDALAM KUBUR



Diriwayatkan oleh Muslim dari Zaid bin Tsabit:
Pada suatu hari, kami bersama Rasulullah S.A.W. di dalam kebun kepunyaan Bani Najjar.
Rasulullah sedang berada di atas himar (binatang tunggangan), tiba- tiba himar itu terkejut sampai miring badannya, sehingga Rasulullah hampir terjatuh. Rupa-rupanya di tempat itu terdapat 6 atau 5 atau 4 kuburan. 

Maka Rasulullah S.A.W. bertanya: "Siapakah yang mengetahui kuburan siapakah ini?"
Seorang lelaki menerangkan bahawa dia kenal akan orang-orang yang dikuburkan di tempat itu.
Rasulullah S.A.W. bertanya: "Bilakah mereka meninggal dan dikuburkan di situ?"
Lelaki itu menjawab: "Sejak sekian waktu lamanya".
Maka Rasulullah S.A.W. bersabda: "Mereka semua sedang disiksa. Sekiranya tidak dikhuatirkan yang kamu akan takut, aku akan mendoakan kepada Allah S.W.T. agar diberikan kepada kamu kemampuan untuk mendengarkan siksa kubur sebagaimana aku sendiri mendengarnya".

Lalu Rasulullah S.A.W. menghadapkan muka beliau kepada kami semua dan berkata: "Berdoalah agar Allah S.W.T. melindungi kita dari siksa Neraka".
Kami lalu berdoa memohon dilindungi oleh Allah S.W.T. dari siksa Neraka.
Rasulullah S.A.W. berkata: "Berdoalah agar dilindungi oleh Allah S.W.T. dari siksa kubur".
Kami berdoa agar Allah S.W.T. melindungi kami dari siksa kubur.
Rasulullah S.A.W. berkata: "Mohonlah perlindungan Allah S.W.T. dari segala bahaya yang nyata dan bahaya yang tidak nyata".
Lalu kami berdoa agar dilindungi oleh Allah S.W.T. dari bahaya nyata dan bahaya yang tidak nyata
Rasulullah S.A.W. berkata: "Mohonlah perlindungan Allah S.W.T. dari bahaya Dajjal".
Kami pun berdoa kepada Allah S.W.T. agar dilindungi dari bahaya Dajjal.




Diriwayatkan oleh at-Tahawy dari Ibnu Mas'ud, bahawa Rasulullah S.A.W. pernah berkata:
"Ada seorang hamba dari hamba-hamba Allah S.W.T. yang diperintahkan untuk dipukul 100 kali dalam kuburnya, tetapi oleh kerana hamba itu semasa hidupnya selalu berdoa agar dilindungi dari siksa kubur, maka dia dipukul hanya satu kali. Dengan sekali pukul itu, kuburnya dipenuhi dengan api. Setelah api hilang dan dia sembuh dari pukulan itu, ia bertanya kepada Malaikat:
"Kenapa aku dipukul?".
Malaikat menjawab: " Engkau pernah solat tanpa wuduk dan pernah melewati orang yang sedang dianiaya tetapi engkau tidak memberikan pertolongan".






HAKIKAT SOLAT ZAHIR DAN BATIN



Ada dua hakikat untuk solat, iaitu hakikat zahir dan hakikat batin. Solat seseorang itu tidak akan dikira sempurna melainkan dengan melaksanakan kedua-dua hakikat ini sekaligus.

Tugas solat yang zahir ialah bahagian badan dan anggota manakala tugas solat yang batin ialah bahagian hati dan rahsia kebatinannya. Yang kedua inilah tempat yang diperhatikan oleh Allah S.W.T. terhadap setiap hambaNya, yakni hati dan rahsia dalam dirinya.

Imam Al-Ghazali  rahimahullah berkata:

"Perumpamaan orang yang mendirikan solat secara hakikat zahir saja serta mengalpakan hakikat batinnya, umpama seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang sudah mati kepada seorang Maharaja.

Dan perumpamaan orang yang alpa dalam mendirikan hakikat solat yang zahir ialah umpama seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang kudung tangan dan kakinya dan buta matanya kepada seorang Raja.

Kedua-dua orang ini akan dimurkai oleh Raja disebabkan hadiahnya. Mereka akan disiksa dan dianiaya oleh Raja kerana menghina kedudukan Raja serta mengabaikan haknya.

Samalah perumpamaan dengan anda yang menghadiahkan solat itu kepada Tuhan. 
Awas, janganlah sampai anda menghadiahkan solat itu dengan sifat-sifat yang tersebut sehingga anda patut menerima siksaan Allah S.W.T."


PEMBAHAGIAN MANUSIA DI AKHIRAT




Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Iaitu hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala lalu kamu datang berkelompok-kelompok".
(An-Naba' :18).

Diriwayatkan bahawa ayat yang tersebut diatas pernah ditanyakan oleh Muaz bin Jabal, katanya: 
"Ya Rasulullah, apa makna ayat ini?".

Maka Rasulullah S.A.W. menangis sebelum menjawab soalan tersebut.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Ya Muaz, umatku kelak apabila bangkit dari kubur akan menjadi 12 golongan. Sebanyak 11 golongan akan memasuki Neraka dan hanya 1 golongan yang memasuki Syurga. Adapun 11 golongan yang memasuki Neraka adalah seperti berikut:

1) Mereka yang tidak mempunyai kaki dan tangan
    Ini adalah kerana mereka suka menyakiti hati jiran tetangga.

2) Mereka yang menyerupai babi.
    Ini adalah balasan bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat 5 waktu.

3) Mereka yang perutnya besar seperti gunung dan dipenuhi dengan ular dan kala.
    Inilah balasan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.

4) Mereka yang keluar darah dari mulutnya.
    Inilah balasan mereka yang berdusta.

5) Mereka yang berbau busuk seluruh badannya. 
    Ini adalah balasan mereka yang mengaut keuntungan dalam jual beli atas penipuan.

6) Mereka yang dicincang-cincang pada tengkuk dan bahu.
    Ini adalah balasan mereka yang menyaksikan maksiat atau perbuatan jahat.

7) Mereka yang keluar dengan tidak berlidah dan keluar nanah dan darah dari mulut.
    Ini balasan mereka yang tidak mahu menyaksikan kebenaran.

8) Mereka yang keluar dalam keadaan terbalik iaitu kepala dibawah dan kakinya keatas.
    Ini adalah balasan mereka yang berzina serta mati sebelum bertaubat.

9) Mereka yang berwajah hitam, bermata biru dan perutnya penuh api.
    Ini balasan mereka yang memakan harta anak yatim secara zalim.

10) Mereka yang kulitnya penuh kudis dan penyakit-penyakit lain yang menjijikkan.
      Ini adalah balasan mereka yang berani melawan kedua ibu bapanya.

11) Mereka yang buta matanya dan hatinya, giginya seperti tanduk, bibirnya berjuntai hingga ke perut, dari perut dan pehanya keluar kotoran.
      Ini adalah balasan mereka yang minum minuman keras (arak).

SATU GOLONGAN YANG SELAMAT
Hanya satu golongan yang akan selamat dan masuk ke dalam Syurga, iaitu:

"Mereka yang wajahnya bagaikan bulan purnama, berjalan di atas titian mustaqim laksana kilat. Ini balasan orang yang beramal solih dan menjauhi maksiat serta mendirikan solat lima waktu dan mati dalam keadaan bertaubat".



MATA ADALAH ANAK PANAH SYAITAN



Kita sebagai manusia yang lemah, tidak dapat lepas dari melakukan dosa setiap saat dan setiap ketika. Sebab, dosa itu berlaku dari pandangan mata, dari pendengaran telinga, dari perkataan lidah, dari perbuatan tangan, kaki, kemaluan (syahwat), perut (nafsu makan) dan juga dari fikiran dan gerak hati.

Jadi, kita memang tidak dapat elakkan dari melakukan pelbagai dosa sama ada kita sedar atau tidak, sama ada lahir mahu pun batin, sama ada dosa kecil mahu pun dosa besar.

Mata kita, bila terpandang saja aurat wanita terdedah, dosalah yang kita terima. Rasulullah S.A.W. sangat melarang kaum lelaki memandang aurat perempuan.

Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad, seorang sahabat bernama Jarir bin Abdullah pernah bertanya Rasulullah S.A.W. 
Katanya: "Ya Rasulullah, apa hukumnya memandang perempuan secara kebetulan?".
Rasulullah S.A.W. menjawab: "Palingkan mukamu".

Kemudian dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, 
Rasulullah S.A.W. berkata kepada Saidina Ali,
"Wahai Ali, jangan kamu ikut pandangan pertama kamu apabila terserempak dengan perempuan-perempuan dengan pandangan kedua. Pandangan yang pertama itu adalah bahagian kamu".

Daripada hadis tadi, jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W. melarang kaum lelaki memandang kaum perempuan tetapi, kalau terserempak, bagi pandangan pertama tidak mengapa. Tetapi, jangan lakukan pandangan kedua. Kalau diikuti pandangan kedua, hukumnya berdosa.

Apakah kita dapat mengira banyak mana dosa yang telah kita lakukan disebabkan pandangan mata kita?
Tentulah banyak sekali.

Bagi perempuan juga, haram memandang lelaki ajnabi. Sebab itulah kaum perempuan dilarang oleh syariat berjalan dengan kepala tegak sambil pandangan dilemparkan merata-rata. Kaum perempuan hendaklah berjalan dengan menundukkan pandangan.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah kepada wanita yang beriman, "hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang zahir darinya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka".
(An Nuur: 31).


JAUHI MAKSIAT KETIKA MASIH MUDA





Imam Ibn Kathir menceritakan tentang seorang ulama besar dan kadi bernama Abu al-Tayyib Tahir bin Abdullah bin Tahir bin Umar al Tabari al-Syafi'i dalam kitab "al-Bidayah wa al- Nihayah."

Ulama ini telah berumur lebih dari 100 tahun, namun memiliki kesihatan yang baik dan akal yang cerdas.

Pada suatu hari, beliau telah melompat dengan lompatan yang tinggi. Orang yang melihat ketika itu mencelanya. Kalau zaman kita, mungkin akan dikatakan: "Buang tabiat agaknya orang tua ini".

Namun apa jawapan Abu al-Tayyib Tahir?

"Aku menjaga badan ini daripada membuat maksiat ketika remaja, maka Allah S.W.T. menjaganya ketika aku telah tua."

Maksud beliau, jika kita menjaga suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya ketika usia muda, maka Allah S.W.T. akan membalas dengan memberikan kesihatan yang baik.

TIMBANGAN AMAL DI ATAS MIZAN (DI AKHIRAT)




Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Daun timbangan kebaikan itu dari Nur sedangkan daun timbangan keburukan itu dari Kegelapan".



At-Tarmizi merawikan bahawa: 
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Syurga itu diletakkan dari sebelah kanan Arasy dan neraka di sebelah kirinya, juga daun timbangan kebaikan itu dari sebelah kanannya dan daun timbangan keburukan itu dari sebelah kirinya. Oleh kerananya syurga berhadapan dengan kebaikan dan neraka berhadapan dengan keburukan".

 
Ibnu Abbas berkata: "Kebaikan dan keburukan ditimbang dalam sebuah timbangan yang mempunyai dua daun dan lisan". Dia berkata lagi, " Jika Allah S.W.T. menghendaki menimbang amal hamba, menggantikannya dengan jisim lalu menimbangnya pada hari kiamat".



At-Tarmizi meriwayatkan, dari Anas bin Malik r.a. berkata:
"Aku bermohon kepada Rasulullah S.A.W. agar memberiku syafaat pada hari kiamat", 
maka Rasulullah S.A.W bersabda:
"Insya-Allah aku akan melakukannya".
Aku bertanya: "Di manakah aku mesti mencarimu wahai Rasulullah S.A.W?".
Baginda menjawab: "Pertama kali kau cari aku pada titian Sirat".
Aku bertanya lagi: "Jika aku tidak menemuimu di Sirat?".
Baginda menjawab: "Carilah aku di Mizan".
Ku tanya lagi: "Bila aku tidak menemuimu di Mizan?".
Baginda lalu berkata: "Carilah aku di telaga. Sungguh aku akan berada di tiga tempat ini".



Al-Hakim merawikan,
"Pada hari kiamat, Mizan diletakkan. 
Kalau saja langit dan bumi ditimbang dan diletakkan tentulah boleh memuatkannya. 
Kemudian Malaikat bertanya: "Ya Tuhanku, untuk menimbang siapa ini?"
Allah S.W.T. berfirman, "Untuk makhluk-Ku yang Aku kehendaki".
Malaikat berkata, " Maha Suci Engkau, ibadahku telah menjadi hak Engkau".
Kemudian Titian diletakkan bagaikan tajamnya pisau. 
Malaikat bertanya, "Siapakah yang akan selamat meniti titian ini?".
Allah S.W.T. berfirman, "Makhluk-Ku yang Aku kehendaki".
Malaikat berkata, " Maha Suci Engkau, ibadahku telah menjadi hak Engkau".


BERSOLATLAH SEBELUM ANDA DISOLATKAN


Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Antara kita dengan orang -orang munafik ada saksi Isyak dan Subuh, dimana mereka tidak boleh mengerjakannya".



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Solat itu tiang agama. Siapa meninggalkannya, sungguh telah merobohkan agama".



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Apakah amal yang paling utama? Baginda menjawab: "Solat tepat pada waktunya".



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Kunci syurga itu ialah solat".



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Siapa sengaja meninggalkan solat, maka kafirlah dia".


ALLAH S.W.T. YANG MENGGERAKKAN KITA UNTUK BERAMAL



Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak walaupun baru sikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala.

Kita tak perasan kita sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita mesti mengawal dari serangan penyakit batin seperti riak, ujub, bongkak, sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan.

Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah S.W.T. sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita. 
Kalau Allah S.W.T. tidak gerakkan kita untuk beramal, kita tidak akan beramal.

Ini maknanya Allah S.W.T. mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah S.W.T. menggerakkan kita untuk beramal. 
Jadi soal pahala tidak timbul. Sepatutnya kita bersyukur kerana Allah S.W.T. gerakkan kita untuk beramal. 
Bagaimana kita mahu mendabik dada tentang amalan kita?


Saidina Ali yang sudah dijamin masuk syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke syurga amat jauh. Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita?
Saidina Ali menggigil mengenangkan bekalan yang sikit untuk perjalanan akhirat yang jauh.

Oleh itu kita terpaksa mengharungi kesusahan mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat adalah rahmat. 
Dengan kesusahan ini Allah S.W.T. akan mengampun dan meninggikan darjat kita.

Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di akhirat. Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah menempuh dugaan dan cabaran.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Jalan ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan, Jalan ke Neraka pula dikelilingi dengan nafsu dan syahwat".

Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu jalan ke Syurga.
Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu jalan ke Neraka.