APABILA MATAHARI TERBIT DARI ARAH BARAT........




Jika matahari terbit dari arah barat, maka keimanan tidak lagi di terima dari seseorang yang sebelumnya tidak beriman, sebagaimana tidak di terimanya taubat orang yang melakukan maksiat.

Terbitnya matahari dari barat adalah salah satu tanda besar Kiamat yang dapat dilihat oleh setiap orang yang ada pada zaman tersebut.

Ketika itu mereka akan menyaksikan segala kegoncangan yang memaksa mereka untuk membenarkan Allah S.W.T. dan tanda-tanda Kebesaran-Nya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata; "kami beriman hanya kepada Allah saja dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah". Maka iman mereka tiada berguna bagi mereka tatkala mereka melihat siksa Kami. Itulah sunnah Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan di waktu itu binasalah orang-orang kafir".
(Al-Mu'min: 85).

Ketika matahari terbit dari arah barat, perasaan takut yang teramat sangat di dalam hati akan mematikan segala syahwat dan nafsu dan setiap kekuatan dalam badan akan menjadi lemah.

Maka, semua manusia kerana keyakinan mereka akan dekatnya Kiamat menjadikan mereka bagaikan orang yang sedang menghadapi sakaratul maut, dan terputusnya segala ajakan untuk melakukan kemaksiatan.

Maka orang yang bertaubat pada masa itu tidak akan diterima taubatnya, sebagaimana tidak diterima taubat orang yang sedang menghadapi sakaratul maut.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Taubat itu dibentangkan selama matahari belum terbit dari barat".
(Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir ath-thabari dari Abdullah bin Mas'ud).

HARTA PUSAKA RASULULLAH S.A.W.




Pada suatu hari, Hazrat Abu Hurairah pergi ke pasar dan mengumumkan kepada orang ramai:

"Wahai saudara-saudaraku, kamu sedang duduk-duduk saja di sini dan harta pusaka Rasulullah S.A.W. sedang dibahagi-bahagikan di masjid".

Orang ramai pun berkejaranlah ke masjid dan mereka mendapati tidak ada suatu harta benda pun yang sedang dibahagikan disitu dan mereka kembali dengan perasaan sedih.

Hazrat Abu Hurairah bertanya kepada mereka:

"Apakah yang sedang berlaku di masjid?".

Mereka menjawab:

"Ada beberapa orang sedang membaca Al-Quran dan ada beberapa orang sedang memuji serta membesarkan Allah S.W.T.".

Hazrat Abu Hurairah berkata:

"Inilah yang kami panggil harta pusaka Rasulullah S.A.W."



NERAKA MEMPUNYAI 7 TINGKATAN




Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka".
(Al Hijr : 44).

Maksudnya, Neraka itu mempunyai 7 tingkatan, sebahagian yang satu di atas sebahagian yang lain. Di antara tiap-tiap tingkatan yang satu ke tingkatan yang lain berjarak sekitar perjalanan 70 tahun.

1) Tingkatan pertama adalah Neraka Jahannam. 
Neraka ini disediakan untuk orang-orang Islam yang derhaka.

2) Dibawahnya adalah Neraka Ladzo
Ertinya Neraka yang menyala-nyala apinya sehingga mengupas kulit-kulit.

3) Dibawahnya adalah Neraka Huthamah.
Menghancurkan para penghuninya sehingga mereka binasa.

4) Dibawahnya adalah Neraka Sa'ir.
Ertinya Neraka yang menyala-nyala apinya sehingga sebahagian memakan sebahagian yang lain.

5) Dibawahnya adalah Neraka Saqar.
Yang menghancurkan kulit-kulit dan daging-daging.

6) Dibawahnya adalah Neraka Jahim.
Ertinya bara api yang tebal.

7) Dibawahnya adalah Neraka Hawiyah.
Sesiapa yang masuk ke dalamnya tidak akan dapat keluar darinya tetapi akan jatuh di dalamnya selama-lamanya.

Neraka yang pertama kali penuh adalah Neraka Hawiyah, kemudian atasnya hingga penuh kesemuanya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
".......Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka".
(Al Hijr : 44).

Maksudnya, tiap-tiap pintu dari para pengikut syaitan telah ditentukan bahagiannya. Ertinya, tiap-tiap tingkatan (Neraka), Allah telah menjadikan ada penghuninya.

Sesungguhnya tiap-tiap tingkatan itu lebih pedih seksaannya daripada tingkatan yang berada di atasnya terpaut 70 kali ganda.




Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Api yang dinyalakan oleh anak Adam, (panasnya) satu berbanding tujuh puluh panasnya Neraka Jahannam".
Para sahabat bertanya: "Demi Allah, wahai Rasulullah, apabila jelas demikian pastilah sudah cukup."
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya api itu digandakan 76 kali, dan semua panasnya sama".



NABI IBRAHIM MENOLAK PERTOLONGAN DARI MALAIKAT




Ketika Nabi Ibrahim a.s. akan dilempar oleh Raja Namrud ke dalam kawah api yang akan membakarnya, tiba-tiba Malaikat Jibrail datang untuk menawarkan pertolongan.

"Wahai Ibrahim! Apakah engkau memerlukan pertolongan ku?" tanya Malaikat Jibrail.

"Kalau dari mu, aku tidak perlu sebarang pertolongan. Cukuplah penolongku hanya Allah semata-mata, dan Allah adalah sebaik-baik Penolong". jawab Nabi Ibrahim a.s.

Kemudian datang pula Malaikat Mikail menawarkan bantuan.

Malaikat Mikail berkata:
"Wahai Ibrahim, apabila engkau inginkan, aku akan padamkan api ini kerana kunci-kunci hujan dan air berada dalam genggamanku".

"Kalau pertolongan darimu, tidak ku perlukan". jawab Nabi Ibrahim a.s.

Datang lagi Malaikat lain yang bertugas meniup angin menawarkan bantuan.

Katanya: "Wahai Ibrahim, kalau engkau inginkan, aku akan tiupkan angin yang boleh memadamkan api itu".

"Tidak darimu", jawab Nabi Ibrahim a.s.

Maka, Malaikat Jibrail datang lagi dan berkata:
"Kalau begitu, mohonlah dari Allah S.W.T".

"Hanya kepadaNya dan hanya dariNya tempat aku bermohon; dan Dia Maha Mengetahui tentang keadaanku....." jawab Nabi Ibrahim a.s.


Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim".
(al-Anbiya (21) : 69).

Akhirnya dia pun keluar dari api itu dengan selamat dan terhindar dari tipu muslihat kaum durjana itu.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang diantara para penyayang".
(Yusuf (12) : 64).


GURUH PUN BERTASBIH MEMUJI ALLAH S.W.T.




Anas r.a. menerangkan bahawa suatu hari,

Rasulullah S.A.W. telah mengutus seorang sahabat untuk menemui pembesar kaum jahiliah untuk berdakwah.

Pembesar itu berkata:
"Apakah Tuhanmu yang kamu ajak aku menyembah-Nya itu terbuat dari besi, tembaga, perak atau emas?".

Utusan Rasulullah S.A.W. itu pulang untuk melaporkan peristiwa itu kepada Rasulullah S.A.W.

Lalu, ia diutus kembali, hingga ia datang dan pergi hingga 3 kali.

Pada kali yang ketiga, Allah S.W.T. mengutus petir untuk menyambar hingga mati pembesar jahiliah itu.

Maka, turunlah ayat ini:

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan guruh pun bertasbih memuji-Nya, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki, sementara mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia Maha keras siksaan-Nya".
(Ar-Ra'd : ayat 13).


MALAIKAT JIBRAIL MENERANGKAN TENTANG ERTI TAWAKAL



Nabi Muhammad S.A.W. pernah bertanya kepada Malaikat Jibrail apa erti tawakal kepada Allah S.W.T. dan apa batasnya?

Malaikat Jibrail berkata:
"Tawakal adalah suatu kesedaran bahawa seluruh makhluk tidak mendatangkan sebarang mudarat atau manfaat kepadamu, tidak memberi atau mengambil sesuatu darimu, dan engkau tidak menggantungkan sebarang harapan kepada mereka.

Apabila seorang hamba Allah memiliki sifat demikian, dia tidak akan melakukan sesuatu melainkan kerana Allah S.W.T. semata-mata, tidak akan berharap atau takut kepada sesuatu melainkan kepada Allah S.W.T. semata-mata, dan dia tidak akan menaruh harapan kepada siapa pun kecuali kepada Allah S.W.T. semata-mata. Itulah yang disebut sebagai tawakal".


Besar kecilnya tawakal seseorang kepada Allah S.W.T. sangat bergantung kepada kepercayaannya kepada Allah S.W.T.

Apabila rasa percayanya kepada Allah sangat kecil, maka sikap tawakal kepadaNya juga akan sangat sedikit.

Dan apabila rasa percayanya kepada Allah S.W.T. amat tinggi, maka sikap tawakalnya kepada Allah juga akan sangat tinggi.

Imam Ali pernah berkata:
"Bagus tidaknya tawakal seseorang hamba kepada Allah, bergantung pada kadar kepercayaannya kepada Allah S.W.T"


Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Apabila Allah menolong kamu, tidak adalah orang lain yang dapat mengalahkan kamu, apabila Allah membiarkan kamu, siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal".
(Ali Imran: 160).

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah: sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal".
(At Taubah: 51).


ADAKAH SOLAT KITA TELAH SEMPURNA?




Anas r.a. meriwayatkan:

Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Apabila seseorang bersolat pada waktu-waktu yang telah ditetapkan dengan wudhu yang sempurna , dengan rasa penuh hina dan tawadhu'(rendah diri)  dan dengan qiam, ruku' dan sujud dilakukan dengan memuaskan, maka solat yang sedemikian itu akan naik dengan rupa yang bercahaya dan indah serta akan mendoakan orang itu dengan berkata: 

"Semoga Allah peliharamu sebagaimana kamu telah memeliharaku".

Sebaliknya pula kalau seseorang itu tidak teliti menjaga solatnya dan dia tidak mengambil wudhu dengan sempurna dan qiam, ruku' serta sujudnya tidak dilakukan dengan tertibnya, maka solatnya naik dengan rupa yang gelap lagi buruk dan ia akan mengutuk orang itu dengan berkata:

"Semoga Allah membinasakanmu sebagaimana kamu telah membinasakanku".

Lalu ia dilemparkan ke muka orang itu seumpama kain buruk dilempar".


BAGAIMANAKAH AL-QURAN DITURUNKAN KE BUMI OLEH ALLAH S.W.T.?




Al-Quran ialah kalam Allah S.W.T.
Sebelum Al-Quran diturunkan , Allah S.W.T. telah menempatkannya di Lohmahfuz.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lohmahfuz".
(Surah al-Buruj 85: 21-22).

Al-Quran diturunkan sebanyak 2 peringkat. 
Peringkat pertama, Allah S.W.T. menurunkan Al-Quran dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur.
Baitul Ma'mur ialah tempat para malaikat bertawaf.

Di sini (Baitul Ma'mur), Allah S.W.T. telah menurunkan sedikit demi sedikt kepada Rasulullah S.A.W. mengikut tahap kemampuan Baginda yang mengambil masa selama 23 tahun untuk menghabiskan keseluruhan Al-Quran.

Peringkat Pertama

Al-Quran diturunkan dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran".
(Surah al-Dukhan 44:3).

Allah S.W.T. menggunakan lafaz "inzal" dalam ayat di atas.
Ini menunjukkan bahawa al-Quran telah diturunkan keseluruhannya dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur.

Peringkat Kedua

Penurunan al-Quran adalah dari Baitul Ma'mur kepada Rasulullah S.A.W. iaitu secara sedikit demi sedikit.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
" Dan al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan perlahan-perlahan; dan Kami menurunkannya beransur-ansur".
(Surah al-Isra' 17: 106).

Dalam ayat di atas, Allah S.W.T. menggunakan lafaz "tanzil" yang menunjukkan bagaimana Allah S.W.T. menurunkan al-Quran sedikit demi sedikit kepada Rasulullah S.A.W.

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran telah diturunkan melalui 2 peringkat.

Peringkat pertama al-Quran diturunkan pada malam Lailatulqadar ke Baitul Ma'mur, dan peringkat kedua juga Allah S.W.T. menurunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar kepada Rasulullah S.A.W.