MAHA SUCI ALLAH S.W.T. YANG TELAH MENCIPTAKAN LANGIT YANG TERBENTANG LUAS.




Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis, engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu, dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?".
(Surah al-Mulk (67) : 3).

Langit yang diciptakan oleh Allah S.W.T. tidak bertiang dan terbentang luas serta menjadi saksi kebesaran Allah S.W.T. yang Maha Agung.

Di langit terdapat bintang-bintang yang tidak bertembung, tidak pula gugur, tidak juga musnah tanpa izin-Nya, malah menyerlahkan kemilau cahayanya, mewarnai kegelapan malam, sedang bintang-bintang di cakerawala tersangat banyak bilangannya.

Di Galaksi Milky Way kita terdapat kira-kira 400 billion bintang. (Bumi kita terletak di dalam Galaksi Milky Way). Bagaimana pula Galaksi-Galaksi yang lain?, Tentu tidak dapat dibayangkan oleh akal pemikiran manusia. Kesemuanya diletakkan dalam peraturan Allah S.W.T,  berada dalam keseimbangan, ditentukan jarak antara satu sama lain, tidak pula berubah-ubah jarak tersebut.

Tatkala manusia merenungi langit yang membiru di siang hari, kelihatan langit itu berdiri tanpa tiang dan paksi, ia terbentang hingga tiada penghujungnya. Sekali lagi renungan mata hati terhadap kejadian langit tersebut menginsafkannya serta memberi kedamaian pada hatinya, lalu ia tunduk dan sujud pada kebesaran Allah S.W.T., bersyukur dengan segala kurniaan nikmat yang tiada terhitung daripada sifat Rahman-Nya kepada sekelian manusia.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah hendak kamu dustakan?".
(Al-Rahman : 13).



BINATANG PUN TAHU BERSYUKUR KEPADA ALLAH S.W.T.




Allah S.W.T. yang menciptakan langit dan bumi dengan segala isinya yang penuh dengan hikmah kehidupan.

Semuanya patuh dan taat sesuai dengan sunnatullah, sesuai dengan cara dan tujuannya masing-masing. Bahkan gugurnya sehelai daun dari atas pohon dan jatuh ke atas batu, semuanya berlaku atas perintah dari Allah S.W.T.

Seekor ulat yang menyusur dari daun ke daun itu merasa puas dengan badannya yang lemah tidak bertulang itu kerana dapat hidup bergerak, makan, minum serta mengembangkan zuriat keturunan berkat adanya nikmat Allah S.W.T. kepadanya.

Seekor gajah yang besar dan kuat juga merasa puas dengan badannya yang demikian itu, sebab ia dapat bergerak dengan bebas di hutan-hutan. Itupun berkat rahmat Allah yang diberikan kepadanya, lalu iapun bertasbih memuji Allah S.W.T.

Burung-burung juga merasa bahagia dengan adanya sayap yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepadanya, sehingga ia dapat terbang di alam bebas, dari bukit ke bukit serta dari pohon ke pohon.

Begitu juga ikan yang ada di dalam laut merasa puas dengan insang yang dianugerahkan Allah kepadanya, sehingga ia dapat berenang dengan bebas di celah-celah batu karang yang indah. Semuanya merupakan nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.


Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan juga burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui cara sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan".
(An Nuur: 41).


Jika seluruh makhluk yang ada di alam ini merasa bersyukur terhadap pemberian Allah terhadap mereka, maka sudah pasti manusia harus melebihi makhluk-makhluk yang lain dalam mengucapkan kesyukuran terhadap Allah.


ALLAH S.W.T. WUJUD TANPA PERMULAAN DAN TIADA BERAKHIR.




Qidam ertinya "sedia", iaitu Allah S.W.T. tidak dengan permulaan. Sebab jika Allah berpermulaan bererti ada yang menjadikan dan jika sesuatu itu ada yang menjadikan maka sudah pasti itu bukan Tuhan.

Allah S.W.T. tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, kerana Allah Dia-lah yang awal dan Dia-lah yang akhir.

Zat-Nya tidak dapat disaksikan dengan mata begitu juga akal dan hati tidak mampu untuk mengetahui tentang-Nya.


Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dialah yang awal dan yang akhir, yang zahir dan yang batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu".
(Al Hadid: 3).


Akal fikiran manusia tidak mampu untuk menganalisa hakikat Allah itu Dia-lah yang paling Awal dan Dia-lah yang akhir.

Jika manusia masih memikirkan tantang Zat Allah maka akan membawa kepada kerosakan kepada akal dan mindanya.


Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Wahai Tuhanku, Engkaulah yang awal, tidak ada sesuatupun sebelum Engkau. Engkaulah yang akhir, tidak ada sesudah Engkau sesuatu apapun".
(Riwayat Muslim).


SIAPAKAH MANUSIA YANG PALING PINTAR ?




Daripada Ibnu Umar r.a.:

Pada suatu hari aku telah datang berjumpa Rasulullah S.A.W. dan ketika itu beliau sedang berada di tengah-tengah sahabat-sahabatnya yang terkemuka. 
Tiba-tiba salah seorang sahabat dari Ansar berdiri dan bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

"Ya Nabi Allah, siapakah manusia yang paling pintar dan siapa pula yang paling cerdas otaknya?".

Rasulullah S.A.W. lalu menjawab:
"Yang paling cerdas dan yang paling pintar ialah orang yang paling banyak mengingat-ingati mati, dan yang paling banyak menyediakan bekalan untuk menghadapi kematian. Mereka itulah sebenarnya orang-orang yang pintar sekali. Mereka telah membolot kemuliaan dunia serta ketinggian darjat di akhirat". 
(Riwayat at-Tabarani).

Orang yang paling banyak mengingati mati itulah dianggap oleh Rasulullah S.A.W. sebagai orang yang paling pintar dan cerdas kerana orang yang paling banyak ingat mati itulah yang paling lengkap persediaan untuk mati, sehingga dialah orang yang mendapat kemuliaan di dunia dan kehormatan di Akhirat nanti.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Bila hati seorang sudah dimasuki oleh Nur (cahaya iman), maka hati itu akan menjadi lapang dan terbuka". 

Setelah mendengar ucapan Rasulullah S.A.W. itu orang ramai lalu bertanya:
"Apakah tandanya hati yamg lapang dan terbuka itu wahai Rasulullah?"

Rasulullah S.A.W. menjawab:
"Ada perhatiannya terhadap kehidupan yang kekal di Akhirat nanti, dan timbul kesedaran dan pengertiannya terhadap tipu daya kehidupan dunia sekarang ini, lalu bersedia-sedia menghadapi mati sebelum datangnya mati itu".
(Riwayat Ibnu Jarir).