APABILA MULUT MANUSIA DITUTUP KETIKA BERADA DI PADANG MAHSYAR......




Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka dan berkatalah kepada Kami tangan-tangan mereka memberitahu kesalahan masing-masing, dan kaki-kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan"
(Surah Yasin : ayat 65).

Ibnu Kasir mengatakan: "Ayat ini mendedahkan perihal keadaan orang-orang kafir, musyrik dan munafiq pada hari kiamat, ketika dibicara di hadapan Allah S.W.T., mereka menafikan jenayah dosa yang telah mereka lakukan di dunia dan mereka bersumpah bahawa mereka tidak melakukan dosa-dosa tersebut. Maka Allah tutup dan menegah mulut mereka daripada berkata, lalu berkatalah pancaindera mereka mendedahkan seluruh perbuatan dosa yang telah mereka lakukan di dunia."


Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Kemudian dikatakan kepada hamba itu: "Kami utus saksi Kami sekarang juga kepada engkau". Lalu dia berfikir sendiri, siapakah agaknya saksi yang akan menyaksikan atas aku? Maka ditutup mulutnya dan dikatakan kepada pahanya, dagingnya dan tulangnya: "Bercakaplah!" Lalu bercakaplah pahanya, dagingnya dan tulangnya menerangkan amalannya. Dan yang demikian itu untuk melemahkannya dari dirinya sendiri, dan itulah orang-orang munafiq dan itulah orang-orang yang Allah murka ke atasnya".
(Riwayat Muslim).

Uqbah bin Amir r.a. berkata: Sesungguhnya  dia telah mendengar Nabi S.A.W. bersabda:
"Sesungguhnya anggota badan manusia yang pertama bercakap ketika mulut-mulut ditutup ialah peha sebelah kaki kiri."
(Riwayat Ahmad dan at-Thobarani).


KIAMAT AKAN BERLAKU SECARA MENGEJUT




Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Dan pasti akan berlakunya kiamat, sedangkan pada ketika itu dua orang lelaki sedang tawar menawar pakaian, maka mereka tidak sempat melakukan urusan jual beli dan tidak sempat melipatnya. Dan pasti akan berlakunya kiamat, sedangkan pada ketika itu seorang lelaki telah memerah susu dari untanya, maka ia tidak sempat memakannya (meminumnya). Dan pasti akan berlakunya kiamat, sedangkan pada ketika itu dia sedang membaiki dan memperelokkan kolamnya, maka ia tidak sempat memberi minum darinya. Dan pasti akan berlakunya kiamat, sedangkan pada ketika itu dia sedang mengangkat makanan ke mulutnya, maka ia tidak sempat memakannya."


Kesimpulannya, kiamat akan berlaku secara mengejut tanpa disedari oleh manusia. Maka bersegeralah bertaubat kepada Allah dan jangan menangguhkannya lagi kerana Malaikat Israfil sudahpun bersedia semenjak dahulu lagi untuk meniup angin sangkakala, hanya menunggu arahan daripada Allah S.W.T.


JANGAN TINGGALKAN SOLAT TAHAJJUD (QIYAMULLAIL) WALAUPUN KETIKA SEDANG SAKIT.




Dari Abdullah bin Abi Qais, dia mengatakan bahawa Aisyah r.a. berkata kepadanya:

"Jangan pernah meninggalkan qiyamullail kerana Rasulullah S.A.W. tidak pernah meninggalkannya. Apabila sedang sakit atau kepayahan, baginda solat sambil duduk".

Demikianlah Rasulullah S.A.W., walaupun Allah S.W.T.  telah mengampuni segala dosa baginda yang telah lalu mahupun yang akan datang. Akan tetapi, baginda tidak pernah meninggalkan qiyamullail (solat malam).

Hal ini menunjukkan kepentingan qiyamullail dan pahalanya yang besar di sisi Allah S.W.T.
Jadi, mengapa kita yang sihat dan kuat tetapi meremehkan dan malas mengerjakan qiyamullail? Padahal, kita mempunyai dosa sebesar gunung.

Kita seharusnya bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan qiyamullail kerana kita lebih memerlukan rahmat dan keampunan Allah S.W.T.


Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Pada sebahagian malam hari laksanakanlah solat tahajjud sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji".
(Al-Isra' : 79).


Dari Jahir bin Abdillah r.a. beliau mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Ibu kepada Sulaiman bin Daud berkata kepada Sulaiman: "Wahai anakku, janganlah kamu memperbanyakkan tidur pada waktu malam hari, sebab banyak tidur di malam hari akan menjadikan seseorang lelaki fakir (miskin) pada hari kiamat",
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi).


RASULULLAH S.A.W. DAN KISAH DUA ORANG PEMUDA YANG SEDANG BERGADUH




Pada suatu ketika, sedang Nabi S.A.W. berjalan , tiba-tiba datang seorang pemuda lalu menarik tangan Baginda.

Pemuda itu berkata:

"Ya Rasulullah, tolong saya, ya Rasulullah......Ada seorang sedang mengejar saya.........saya akan menyorok di celah-celah pohon kurma dan rumah-rumah di sana. Dan kalau orang itu nanti jumpa engkau dan tanyakan tentang aku..........maka engkau katakan bahawa engkau tidak nampak aku".

 Belum sempat Rasulullah S.A.W. bercakap, si pemuda tadi terus lari dan hilang di celah-celah pohon kurma dan rumah-rumah.

Tidak lama kemudian, datanglah orang yang dimaksudkan .........terus orang itu memegang tangan Rasulullah S.A.W. dan berkata:

"Ya Rasulullah, tolonglah aku, aku sedang mencari seorang lelaki yang rupanya begini dan begini......Aku nampak tadi dia berlari berdekatan kawasan ini.........orang itu telah berbuat jahat kepadaku, aku hendak membalasnya".

Agak keliru Rasulullah S.A.W. dibuatnya.........

(1) Orang yang pertama berkata "Jangan beritahu" manakala orang yang kedua pula minta beritahu.
(2) Seandainya Baginda kata: "Minta maaf, saya tidak nampak pun orang itu", .....maka ini bermakna Baginda menipu.
(3) Seandainya Baginda berkata: "Orang itu ada di sebalik pohon kurma dan rumah-rumah itu".......maka sudah pasti mereka berdua akan saling bertumbuk dan bergaduh.

Akhirnya, Baginda pun bergerak beberapa tapak meninggalkan tempat yang mula-mula Baginda berdiri........ kerana semasa Baginda berdiri di tempat mula-mula itu, ketika itulah orang yang pertama dan kedua datang berjumpanya dan memegang tangannya.

Setelah bergerak beberapa tapak meninggalkan tempat yang mula-mula, maka Rasulullah S.A.W. berkata:

"Sejak saya berdiri di tempat yang sekarang ini, memang saya tidak nampak orang yang engkau maksudkan itu".

Maka selesailah masalah........

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. tidak pernah menipu, tidak akan menipu dan tidak suka menipu.


MUKJIZAT RASULULLAH S.A.W.




Di antara mukjizat Rasulullah S.A.W. adalah keluarnya air dari celah-celah jari baginda dan menjadikan air yang sedikit menjadi banyak sebab berkatnya. Hal ini telah diriwayatkan dari beberapa hadis yang sahih.

Ibnu Masud menceritakan, katanya:
"Kami bersama-sama Rasulullah S.A.W. tetapi tidak ada air. Maka Nabi S.A.W. memerintahkan untuk mencari sesiapa yang mempunyai kelebihan air, kemudian ada seorang sahabat datang dengan membawa sedikit air lalu dituangkannya ke dalam sebuah bekas, kemudian Nabi S.A.W. meletakkan telapak tangannya di dalam bekas itu lalu keluarlah air dari celah-celah jari-jari Nabi S.A.W."

Jabir menceritakan, katanya:
"Pada waktu perjanjian Hudaibiyah, orang-orang kehausan. Maka mereka berjumpa Nabi S.A.W. dan melaporkan keadaan mereka kepada Nabi S.A.W. dan di hadapan beliau terdapat bekas yang berisi sedikit air. Maka Nabi S.A.W. meletakkan tangannya ke dalam bekas itu. Dari celah jari-jari beliau mengalirlah air bagaikan mata air. Dikatakan kepada Jabir: "berapa jumlah kamu semua". Jabir berkata: "Seandainya kami berjumlah seratus ribu orang pasti cukup untuk kami. Kami sekarang berjumlah seribu lima ratus orang".