1 HARI DALAM NERAKA ADALAH BERSAMAAN DENGAN 50,000 TAHUN.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dalam satu hari yang kadarnya lima puluh ribu tahun".
(al-Ma'arij: 4).

Ini bermakna, andainya hukuman terhadap orang yang diazab dalam neraka itu dijalankan dalam satu hari ukuran Akhirat, bererti ia terpaksa menjalani hukuman selama 50,000 tahun.

Bayangkanlah sekiranya seseorang itu menjalani hukuman seribu tahun Akhirat, sedangkan setahun itu mempunyai 366 hari dan setiap hari pula bersamaan dengan 50,000 tahun.

Jika manusia tidak berasa gerun dengan ancaman azab neraka dan jarak masa sesuatu hukuman yang mesti dijalani oleh orang-orang yang berdosa, maka tidak ada apa-apa yang boleh menyedarkan mereka sehingga mereka bertemu dengan hari Akhirat itu sendiri.

"Ya Allah, lindungilah kami daripada azab api neraka".


TIDAK ADA SESUATUPUN YANG SETARA DENGAN ALLAH S.W.T.



Daripada Ubai bin Ka'ab r.a., 

Orang-orang musyrik berkata kepada Nabi S.A.W:
"Cubalah kamu lukiskan untuk kami Tuhanmu itu".

Maka turunlah ayat berikut:

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah (Wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tidak beranak dan Ia tidak pula diperanakkan; Dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya"
(Al-Ikhlas: 1-4).

Sesungguhnya orang-orang musyrik itu memandang kepada Allah dengan  akal mereka yang sempit dan mereka bandingkan wujudNya yang mutlak dengan wujud manusia yang terbatas hingga menurut sangkaan mereka Dia (Tuhan) mempunyai permulaan.

Padahal keadaan tidaklah sedemikian kerana wujudnya kita mempunyai permulaan. Manakala wujudnya Allah S.W.T. tidak ada permulaannya.