MALAIKAT MENJADI SAKSI TERHADAP SETIAP AMALAN MANUSIA




Dalam Tafsir al-Khazin tersebut sebuah Hadis sahih dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

"Ada beberapa Malaikat yang mengiringi kamu bergilir-gilir, iaitu Malaikat pada waktu malam dan Malaikat pada waktu siang. Mereka berhimpun dalam masa solat Subuh dan solat Asar. Kemudian naiklah ke langit Malaikat-malaikat yang tadinya tinggal bersama-sama kamu, lalu Allah bertanya kepada mereka sedangkan Allah lebih mengetahui tentang mereka, Kata-Nya: "Bagaimana keadaan hamba-hamba-Ku ketika kamu meninggalkan mereka?" Jawab Malaikat: "Kami pergi, mereka sedang bersolat. Dan kami datang mereka juga sedang bersolat"

Ini bermakna bahawa pada setiap hari Malaikat itu memberi laporan sebanyak dua kali tentang amalan setiap anak Adam terutama mengenai solat, adakah dikerjakannya atau pun tidak, Malaikat ada menyaksikannya.

ALLAH S.W.T. KEKAL UNTUK SELAMA-LAMANYA.



Allah S.W.T. wajib mempunyai sifat Baqa' ertinya kekal ataupun tidak berkesudahan, wujud Allah kekal untuk selama-lamanya, tidak ada batasan waktu ataupun  masa.

Orang yang beriman kepada Allah S.W.T. meyakini bahawa yang menciptanya itu terus ada , kekal untuk selama-lamanya. Ini bererti bahawa setiap makhluk akan kembali kepada Penciptanya yang tidak pernah lenyap.

Semua makhluk atau segala sesuatu yang ada di alam semesta ini bermula dari ada kemudian menuju kepada kehancuran atau mati akhirnya tiada. Begitu juga manusia pada mulanya ia lahir ke dunia akhirnya meninggal dunia. Adanya alam akan menempuh kebinasaan dan kehancuran sedangkan adanya Allah S.W.T.  kekal untuk selama-lamanya.

Setiap insan harus beriman bahawa Allah S.W.T. bersifat kekal dengan tiada berkesudahan. Begitu juga setiap insan harus percaya bahawa kehidupan makhluk akan berakhir dengan kehancuran dan akan kembali kepada Allah S.W.T. Yang Maha Kekal.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan".
(Ar Rahman: 26-27).



AZAB API NERAKA UNTUK ORANG YANG MEMBUNUH SEORANG MUKMIN



Dari Abu Sa'id dan Abu Hurairah,
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Seandainya penduduk langit dan bumi bersekongkol untuk membunuh seorang mukmin, niscaya Allah akan menelungkupkan mereka ke dalam Neraka"
(Hadis Riwayat At Tirmidzi).


Dari Ubadah bin Ash Shoomit,
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Barangsiapa membunuh seorang mukmin lalu dia bergembira dengan pembunuhan tersebut, maka Allah tidak akan menerima amalan sunnah juga amalan wajibnya".
(Hadis Riwayat Abu Daud).


SIAPAKAH TETAMU TERAKHIR KITA?



Tahukah siapa tetamu terakhir yang akan mengunjungi kita? 
Tahukah anda apa tujuan ia menziarahi dan menemui kita? 
Apakah hajatnya dari kita?

Ketahuilah! Ia tidak datang kerana dahagakan hartamu, atau kerana ingin menikmati hidangan lazat bersamamu, atau meminta bantuanmu untuk membayar hutangnya, atau memintamu memberikan sokongan kepada seseorang atau untuk menyelesaikan urusan yang tidak mampu ia selesaikan!!

Tetamu ini datang untuk satu urusan penting yang telah ditetapkan. Anda dan keluarga anda malah seluruh penduduk bumi ini tidak akan mampu menggagalkannya dalam misinya tersebut.

Walaupun anda tinggal di istana-istana yang tinggi, berlindung di benteng-benteng yang kukuh dan di menara-menara yang kuat, dikawal dengan ketat, anda tidak dapat mencegahnya masuk untuk menemuimu dan menunaikan urusannya denganmu!!

Untuk menemuimu, ia tidak perlu pintu masuk, atau meminta izin, dan membuat temujanji terlebih dahulu sebelum datang. Ia akan datang bila-bila dan dalam keadaan apapun; ketika kamu sedang sibuk ataupun lapang, sedang sehat ataupun sedang sakit, semasa kamu masih kaya ataupun sedang melarat, ketika kamu sedang bermusafir atau pun tinggal di tempatmu!!

Saudaraku! Pengunjungmu ini tidak memiliki hati yang lemah. Ia tidak akan terpengaruh oleh ucapan-ucapan dan tangisanmu bahkan oleh jeritanmu dan sahabat-sahabat yang menolongmu. Ia tidak akan memberimu kesempatan untuk menilai semula perhitungan-perhitunganmu dan meninjau kembali urusanmu!

Kalau pun kita berusaha memberinya hadiah atau menyogoknya, ia tidak akan menerimanya sebab seluruh hartamu itu tidak bererti apa-apa baginya dan tidak membuatnya mundur dari tujuannya!

Sungguh! Ia hanya menginginkan dirimu saja, bukan orang lain! Ia menginginkanmu semuanya bukan separuh badanmu!.

Siapakah dia?

Dialah Malaikat Maut!!!

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah, 'Malaikat Maut yang ditugaskan untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan".
(As-Sajadah: 11)

MENGAPA NERAKA MEMPUNYAI 7 PINTU?



Menurut pendapat Syeikh Mahmud bin Abdillah al-Alusi (wafat pada 1207 Hijrah) dalam tafsirnya Ruh al-Ma'ani:

"Hikmah pembatasan bilangan pintu-pintu neraka itu kemungkinan kerana sebab-sebab kebinasaan manusia berpunca pada lima pancainderanya (mata, telinga, hidung, lidah dan kulit) juga syahwat dan emosi".

Ini membawa maksud, penyebab manusia masuk ke dalam neraka adalah pada tujuh anggotanya, maka pintu-pintu neraka juga berjumlah sebanyak tujuh buah pintu.

Setiap orang ahli neraka akan dicampakkan melalui pintu-pintu yang disesuaikan dengan amalan masing-masing.

Jika seseorang itu suka bermaksiat dengan matanya di dunia, maka dia akan dilemparkan ke dalam neraka melalui salah satu daripada pintu yang dikhaskan untuknya. Dan sesiapa yang suka bermaksiat dengan lidahnya, maka telah disediakan pintu khas untuknya. Begitulah seterusnya sehingga ia meliputi semua orang yang telah ditetapkan masuk ke dalam neraka.

Sebaliknya, sesiapa yang selalu menjaga ketujuh-tujuh anggota ini daripada maksiat, maka tertutuplah pintu-pintu neraka itu di hadapannya. Untuk orang seperti ini, syurga adalah tempat yang paling sesuai baginya,.

Dalam hadis riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim, Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Jaminlah bagiku enam perkara maka aku menjamin untukmu syurga, Jujurlah jika kamu berbicara, tepatilah jika kamu berjanji, sampaikanlah jika kamu diberi amanat, jagalah kemaluanmu, tundukkanlah pandanganmu dan jagalah tanganmu".