SOLAT SUBUH BERJEMAAH WALAUPUN DITIKAM OLEH MUSUH.



Imam Malik dalam al-Muwatta' meriwayatkan pada satu hari Umar al-Khattab r.a. telah mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk solat Subuh berjemaah. Pada pagi itu juga, Umar al-Khattab pergi ke rumah sahabatnya itu lalu bertanya kepada ibunya; al-Shifa':

"Saya tidak melihat Sulaiman semasa solat Subuh?".

Lalu al-Shifa' menjawab: "Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya".

Umar kemudian berkata: "Sungguh, berjemaah dalam solat Subuh itu lebih baik bagiku daripada solat malam".

Begitulah prihatinnya Sayidina Umar tentang solat Subuh berjemaah. Malah ketika beliau parah ditikam oleh Abu Lu'lu'ah dan keadaannya sangat kritikal sekali, namun solat Subuhnya tidak sekali-kali diabaikan.

Ketika dikejutkan oleh al-Miswar bin Makhramah untuk solat Subuh, beliau berkata:

"Ya, tidak akan mendapat keuntungan dalam islam bagi mereka yang meninggalkan solat". Padahal diriwayatkan pada waktu itu darah segar masih mengalir keluar dari lukanya.

Bukan mudah untuk bangun daripada tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi melaksanakan solat Subuh secara berjemaah. Bayangkan, seseorang terpaksa berperang dengan hawa nafsu dan syaitan sejak awal-awal lagi bagi memenuhi perintah Allah S.W.T.

Peperangan dalam diri itu diperjelaskan melalui hadis ini, yang bermaksud:

"Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: "Nikmatilah malam yang panjang ini". Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua. Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat. Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa lembab dan malas".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah S.A.W. menjadikan solat Subuh berjemaah sebagai penanda aras bagi membezakan tahap keimanan seseorang. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekalipun dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh melaksanakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan seseorang mengimami solat bersama orang lain. Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu terikat, mendatangi kaum yang tidak hadir solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah S.A.W. sangat sayang akan umatnya. Hadis tersebut menjelaskan betapa tingginya keinginan Baginda agar umatnya selamat daripada seksaan api Neraka.