MAHA SUCI ALLAH S.W.T. YANG TELAH MENCIPTAKAN MAKHLUK YANG SENTIASA BERZIKIR DI DALAM AIR.



Inilah jenis labah-labah yang sepanjang hayatnya hidup di dalam air. 
Ia digelar “Argyroneta aquatic”. Ia hidup didalam kolam atau tasik terutama sekali di negara Eropah dan Asia.

Labah-labah ini akan membina “rumahnya” didalam air dan akan memenuhi “rumahnya” dengan bekalan oksigen. Ia tidak perlu timbul ke permukaan kerana “rumahnya” itu mampu menyedut oksigen dari air dan juga akan membuang karbon dioksida.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
(Hud : ayat 6 )

Labah-labah ini akan memakan serangga-serangga kecil yang hidup didalam air.
Jangka hayat labah-labah ini ialah selama 2 tahun.

Adakah anda berfikir bahawa jangka hayat selama 2 tahun itu adalah sia-sia untuk labah-labah? 
Jawapannya ialah TIDAK kerana labah-labah ini tidak pernah membazirkan masanya tetapi digunakan usianya selama 2 tahun itu untuk berzikir kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”
(Al-Israa', ayat 44)



ALLAH S.W.T. TELAH MELINDUNGI BUMI KITA DARI “ELEKTRON PEMBUNUH”.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah: "Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)".
(Al-An'aam 6:64)

Pada 31 ogos 2012 telah berlaku satu fenomena penting iaitu ketika matahari meletuskan radiasi elektron yang sungguh dahsyat sehinggakan radiasi itu telah menghala ke arah bumi. 

"Elektron pembunuh" itu telah bergerak pada kelajuan cahaya iaitu sekitar 100,000 batu sesaat dan mampu merosakkan ruang elektronik dan boleh meletakkan manusia dalam bahaya. TETAPI tidak ada sebarang malapetaka berlaku pada hari itu. KENAPA?

Kerana Allah S.W.T. telah melindungi bumi kita dengan 3 lapisan perlindungan yang mampu menahan dari sebarang radiasi elektron matahari. 
3 lapisan itu tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia dan ia berada pada jarak di antara 1,000 km sehingga 60,000 km dari bumiALLAHU AKBAR.




Para saintis telah terkejut dengan penemuan yang terbaru itu kerana sejak tahun 1958, para saintis telah menyangka bahawa hanya terdapat 2 perlindungan sahaja untuk bumi iaitu yang dipanggil “Van Allen belts”. Tetapi kini terbukti terdapat 3 lapisan perlindungan.

Allah S.W.T. telah menciptakan perlindungan yang ke 3 pada hari ketika meletusnya radiasi elektron matahari pada 31 ogos 2012.
ALLAHU AKBAR.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.”
(Al-Baqarah: 117)


INILAH BUKTI SAINTIFIK BAHAWA ALLAH S.W.T. TELAH MENCIPTAKAN MANUSIA DARI TANAH.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu disisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat) dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan)”.
(Surah Al an’aam, ayat 2)

Seorang saintis yang terkenal dari Amerika iaitu Prof. Lawrence M. Krauss telah mendedahkan satu penemuan yang sungguh menakjubkan. Beliau berkata:

"Setiap atom dalam badan anda adalah berasal dari bintang yang telah meletup. Dan atom di tangan kiri anda mungkin datang daripada bintang yang berlainan daripada atom di tangan kanan. Anda semua adalah debu dari letusan bintang.  Anda tidak akan wujud di sini jika bintang-bintang tidak meletup, kerana kesemua unsur-unsur  didalam badan anda seperti karbon, nitrogen, oksigen, dan sebagainya tidak dicipta pada awal waktu. Ia diwujudkan di dalam relau nuclear di dalam bintang-bintang, dan satu-satunya cara bagi unsur-unsur tersebut untuk masuk ke dalam badan anda adalah apabila bintang-bintang tersebut meletup”.

Prof. Lawrence M. Krauss

Kenapa beliau berkata begitu? Kerana ahli-ahli astronomi tahu bagaimana bintang berfungsi, dan mereka mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan mereka.

Apabila bintang meletus, maka akan tersebarlah segala isinya di ruang angkasa. Dari sisa letusan bintang tersebut maka terciptalah planet-planet. Bumi kita juga adalah tercipta dari sisa letusan bintang yang telah berlaku sejak berbillion tahun yang lalu.

Sisa letusan bintang 

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: "Jadilah engkau! Maka ia terus menjadi".
(Surah Yaasiin, ayat 82).

Tanah di bumi kita mengandungi berbagai jenis mineral seperti karbon, oxygen, nitrogen, hydrogen dan sebagainya hasil daripada sisa letusan bintang.

Allah S.W.T. telah menggunakan tanah dari bumi untuk menciptakan manusia yang pertama iaitu Nabi Adam a.s.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari ketul daging kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan) dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan)”.
(Surah Al mu’min, ayat 67)


RUGINYA BERBUAT JAHAT



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah- olah ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap gelita) dari malam yang gelap gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya".
(Surah Yunus: ayat 27).

Bagi orang yang berbuat maksiat sepanjang hidupnya di dunia, apabila dia bangkit dari kubur kelak, dia akan bangkit dalam keadaan yang sangat hina. Walaupun di dunia dia di sanjung tinggi, dia dihormati, ditabik hormat dan dicium tangannya, tetapi di akhirat kelak dengan sebab kejahatannya itu, orang tidak lagi akan ambil kisah kepadanya.

Dia pula akan tersasar jauh daripada belas kasihan Allah S.W.T.
Walaupun wajahnya mungkin pernah berseri selama dia hidup di dunia; begitu tampan dan bergaya sekali; namun akan kelihatan penuh kehinaan. Dalam keadaan serba hodoh itu, dia akan dihimpit azab seksa daripada-Nya yang selama-lamanya.

Kita hendak menemui siapa apabila bangkit dari kubur kelak?
Jika di dunia, sekirannya kita tidak ada wang, kita boleh bertemu dengan orang itu dan orang ini bagi mendapatkan pertolongan. Kita boleh membuat pinjaman ataupun membuat gadaian. Tetapi di akhirat kelak, kita hendak bertemu siapa? Hendak mendapatkan pertolongan dari siapa?

Tidak ada sesiapapun di Padang Mahsyar kelak yang boleh menolong kita melainkan Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. sahaja. Hanya baginda Rasulullah S.A.W. sahaja yang boleh membantu umatnya. Itupun dengan syafaat yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepadanya.

Kita tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya Allah S.W.T. awal-awal lagi sudah mengingatkan kita bahawa di akhirat kelak kita tidak dibenarkan menemui-Nya. Kita tetap akan dikenakan azab. Di dunia ini, sekiranya terdesak kita boleh merasuah polis, lari ke negara jiran bagi mengelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Begitulah hakikat kehidupan di dunia. Masih ada ruang untuk bertolak-ansur atau berdalih.

Hal seperti ini tidak akan berlaku di akhirat. Sesiapa yang baik amalannya, mereka akan diberikan ganjaran syurga. Sesiapa yang berdosa akan diberikan balasan neraka, setimpal dengan perbuatannya ketika di dunia. Sesiapa yang bertaubat di atas setiap kesalahan yang dilakukannya sebelum ajal menjemputnya, dosanya akan diampunkan oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri".
(Surah Yunus: ayat 44).


KENAPA SIMBOL BULAN SABIT DAN BINTANG BERADA DI MASJID?



Pernahkah anda semua melihat lambang bulan sabit dan bintang di masjid? Dari mana lambang itu berasal? Dan mengapakah lambang itu dipilih? Siapakah yang memilih lambang itu? 

Adakah Rasullulah S.A.W dan sahabat menggunakan lambang tersebut untuk agama Islam? Adakah disebutkan di dalam hadis atau ayat Al-Quran supaya menggunakan lambang tersebut sebagai lambang agama Islam yang suci ini? Ohhh, semestinya TIDAK!

Pada zaman Rasullulah S.A.W. dan Khulafa Ar-Rasyidin (632-661 Masihi) tidak pernah ada lambang untuk agama Islam.  Al-Quran juga tiada menyebutkan hal tersebut. Rasullulah S.A.W.  hanya menggunakan panji-panji perang yang sangat sederhana dan hanya satu warna sahaja samada putih, hijau atau hitam. Tiada lambang bulan dan bintang seperti di kebanyakan negara Islam sekarang.

Sabda Rasullulah S.A.W :
“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

Jadi siapakah dalang yang mencipta simbol bulan sabit dan bintang itu? 

Sebenarnya simbol ini telah diperkenalkan oleh Sultan Muhammad II ke dalam bendera Kerajaan Uthmaniyyah setelah penaklukan Kota Istanbul (Constantinople) pada 1453 Masihi. Lambang Bulan dan Bintang itu adalah lambang bagi Kota Constantinople (Istanbul) yang sebelum itu berada di bawah kekuasaan Empayar Rom sejak sekian lama. 



Ekoran daripada keluasan wilayahnya yang luas merangkumi tiga benua dengan kepelbagaian peradaban yang ada di dalamnya. maka simbol bulan sabit digunakan sebagai METOPHORA untuk melambangkan posisi tiga benua itu. Sebelah hujung yang satu menunjukkan Benua Asia yang ada di Timur, hujung lainnya mewakili Benua Afrika yang ada di bahagian lain dan di tengahnya adalah Benua Eropah. Manakala lambang bintang menunjukkan posisi ibu kota yang kemudian diberi nama Istanbul yang bermakna: Kota Islam.           

Sebelum dikenali dengan nama Constantinople, kota tersebut terlebih dahulu dikenali sebagai Byzantium. Byzantium diambil sempena nama Raja Byzas (663 SM) dan dijadikan ibu negara untuk Empayar Byzantine sebelum empayar tersebut tewas kepada kerajaan Uthmaniyyah pada 1453 Masihi. Bulan sabit telah dijadikan simbol kota tersebut untuk didedikasikan kepada Dewi Artemis (Hunt God). 

Dewi Artemis merupakan simbol bulan sabit bagi kaum Nasrani

Lambang bintang pula ditambah sebagai simbol kota selepas kematian Maharaja Constantine pada 337 Masihi dan nama Byzantium telah ditukar kepada Constantinople sebagai tanda memperingati maharaja Constantine.  Lambang itu adalah dari simbol Dewi Ishtar (Star iaitu bintang dalam bahasa Inggeris diambil dari perkataan Ishtar ini).  Dewi Ishtar ialah tuhan kesuburan, kasih sayang, peperangan dan seks bagi kaum Babylon purba.  

Ada juga pendapat mengatakan lambang bintang ini diambil dari Star Of Virgin Mary kerana agama Kristian telah menjadi agama rasmi empayar Rom dengan Persidangan Nicea pertama pada 335 Masihi dan Persidangan Constantinople pada 381 Masihi.  Dan sejak dari itu Bulan Sabit dan Bintang telah menjadi lambang rasmi untuk kota tersebut.

Adakah simbol ini hanya digunakan untuk agama Islam sahaja? Oh, tidak sama sekali.  Ia juga digunakan oleh Freemason! Cuba lihat simbol logo Freemason yang diguna pakai oleh puak Jacques DeMolay. Kini simbol ini dikenali sebagai simbol DeMolay International iaitu salah satu cabang Freemason. Ia diambil dari Grand Master of The Knight Templar terakhir  iaitu Jacques de Molay (1240/1250 – Mac 1314) yang berkhidmat kepada Raja Philip IV bermula dari 20 April 1292 sehingga ia dibubarkan dengan perintah Paus Clement V pada tahun 1312.

Matlamat beliau sebagai Grand Master adalah untuk membuat reformasi dan menyesuaikan dengan keadaan di Tanah Suci selepas Perang Salib. Namun begitu, beliau telah difitnah dan dihukum bunuh kerana menentang kerabat raja. Untuk mengembalikan kegemilangannya, De Molay telah diangkat dan diagungkan sebagai LAGENDA kepada pengikut Freemason. 

Lihatlah betapa licik dan halusnya pihak Yahudi dan Nasrani menusuk jarum ke dalam MINDA umat Islam agar lalai dan alpa tentang asal-usul simbol bulan sabit dan bintang yang dijadikan IKON agama ISLAM. Jika kita terus hanyut dibuai dongeng dan lagenda berkaitan simbol ini maka ia secara tidak langsung menjerumus kita ke arah PENYEMBAHAN BERHALA SECARA LANGSUNG DI BAWAH SEDAR. 
Na’uzubillahi min zalik……



Oleh kerana kejahilan dan kenaifan umat Islam, simbol bulan sabit dan bintang diambil dan dijadikan SIMBOL BENDERA negara Islam secara meluas. Hinggakan MINDA umat Islam seperti dipukau atau dikawal secara sistematik. Hatta kita, akan melenting jika simbol ini dipijak atau diletakkan pada tapak kaki. Seolah-olah simbol ini SETANDING DENGAN TUNTUTAN AJARAN ISLAM yang melarang perkataan ALLAH S.W.T dan MUHAMMAD S.A.W tidak dibawa ke tempat yang boleh merosakkan IMEJ ISLAM.

Lihatlah betapa malangnya bila di sekeliling kita sekarang ini simbol apakah yang diagung-agungkan seperti di kubah masjid, sejadah dan hiasan bercorak Islam? Lambang apa yang digunakan? Kita seolah-olah telah didoktrin oleh masyarakat Islam yang jahil tentang asal-usul simbol ini. Mereka cuba menggambarkan kepada kita simbol ini adalah LEGASI WARISAN ISLAM. Hinggakan jika tiada simbol ini di surau, musolla, masjid dan pusat Islam macam TIDAK SAH SOLAT KALAU TIDAK ADA LAMBANG INI.



Jika dilihat di sekeliling kita sekarang, hampir di kebanyakan masjid mempunyai simbol ini. Sedangkan yang PASTI simbol ini sebenarnya adalah warisan dari kaum YAHUDI  dan NASRANI yang gigih menjalankan usaha mereka untuk menyelewengkan AQIDAH umat Islam dari menyembah Allah S.W.T yang MAHA ESA.    


BERSEDIAKAH ANDA UNTUK MENGHADAPI KESENGSARAAN DI PADANG MAHSYAR?



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Tujuh golongan yang akan bernaung di bawah naungan Allah S.W.T. pada hari tiada naungan melainkan naunganNya, (di antaranya) seorang lelaki yang hatinya sentiasa ingatkan masjid".
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dapatkan anda bayangkan keadaan manusia di Padang Mahsyar nanti?
Setiap daripada kita akan cuba mencari perlindungan bagi menyelamatkan diri dari panas terik matahari dan dari keadaan yang sungguh menakutkan itu, lebih-lebih lagi kehidupan manusia di Padang Mahsyar nanti dihitung amalan mereka mengambil masa ratusan tahun dan mungkin ribuan tahun.

Tetapi dengan berbekalkan "hati yang sentiasa ingatkan masjid", maka akan diberikan perlindungan yang bukan datangnya dari makhluk atau Malaikat, tetapi langsung dari Allah S.W.T, Tuhan sekelian alam, iaitu dilindungi dari panas terik dan ketakutan pada hari itu.

Soalnya sekarang ialah bagaimana untuk mengetahui bahawa hati kita memang sentiasa ingatkan masjid?

Di antara tanda-tandanya ialah sentiasa solat berjemaah di masjid dan merasa rindu jika tidak menjejakkan kaki ke masjid dalam sehari.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"........Dan apabila seseorang masuk ke masjid, maka dia di dalam keadaan bersolat selagi solatnya itu menyebabkannya menunggu, dan para Malaikat berselawat (berdoa) ke atasnya selama dia di tempat solatnya: "Ya Allah ampunkanlah dosanya, Ya Allah rahmatilah baginya" selagi dianya tidak berhadas".
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ini satu lagi kelebihan besar bagi mereka yang menunggu untuk solat berjemaah di masjid, dengan hanya duduk menunggu untuk bersolat, Allah S.W.T. memberikannya pahala sama seperti orang yang bersolat, bahkan mendapat doa dan selawat dari para Malaikat.

ALLAHU AKBAR…… CANTIKNYA MAKHLUK CIPTAAN ALLAH S.W.T.



Kita tidak akan jumpa sebarang kecacatan didalam makhluk ciptaan Allah S.W.T.

Cubalah perhatikan sebarang makhluk ciptaan Allah S.W.T dan tanyalah diri sendiri: “Adakah aku nampak sebarang kecacatan pada makhluk ini?”

Cubalah lihat Tapak Sulaiman didalam laut dan anda pasti akan terpegun dengan kecantikkannya.

Tapak Sulaiman ialah sejenis hidupan laut dari jenis Asteroidea. Bentuknya bercabang lima (atau lebih) dan kulitnya agak keras dan menggerutu. Di bahagian atas terdapat corak berwarna-warni yang sungguh cantik. 

Lengan Tapak Sulaiman yang putus atau tercabut boleh tumbuh semula.




Selepas anda puas menikmati kecantikannya, jangan lupa untuk memuji penciptanya Yang Maha Agung dan Maha Berkuasa.


ALLAHU AKBAR.

MAHA SUCI ALLAH S.W.T. YANG TELAH MENCIPTAKAN UBAT UNTUK SEGALA PENYAKIT.



Dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda,
"Tidaklah Allah menurunkan sesuatu penyakit melainkan menurunkan pula ubatnya."
(HR. Al Bukhari dan Muslim)

Kita semua maklum bahawa sehingga kini belum ada penawar semulajadi untuk menyembuhkan penyakit-penyakit yang merbahaya seperti Kanser otak, Kanser buah dada, Kanser kulit, Sawan, Diabetes (kencing manis), Alzheimer (hilang ingatan) dan Parkinson (tidak mampu mengurus diri sendiri).

Ubat moden yang diberikan oleh pihak doktor hanyalah sekadar untuk menahan sakit dan mengurangkan risiko merebaknya penyakit tersebut manakala kos perubatan untuk penyakit-penyakit tersebut adalah amat tinggi dan menakutkan.


Pada tahun 1974, Para penyelidik perubatan di Medical College Of Virginia di Amerika telah membuat kajian mengenai bahaya Marijuana. Tetapi mereka telah menemui bukti bahawa Marijuana mengandungi THC yang mampu menyembuhkan kanser kepada seekor tikus. Selepas kajian itu, pihak DEA (Drug Enforcement Administration) dengan serta-merta telah menutup kajian yang dibuat oleh Medical College Of Virginia.

Pada tahun 1976, President Amerika iaitu Gerald Ford telah tidak lagi membenarkan sebarang kajian dibuat mengenai Marijuana dan memberikan hak utama kepada syarikat-syarikat perubatan moden di Amerika untuk membuat sebarang kajian tetapi syarikat perubatan itu tidak meneruskan kajian tersebut.

Pada tahun 1983, President Ronald Reagan telah menyuruh pihak Universiti untuk memusnahkan segala kajian yang pernah dibuat pada tahun 1974 mengenai Marijuana.


Tahukah anda bahawa Marijuana merupakan ubat semulajadi yang mampu untuk menyembuhkan penyakit-penyakit merbahaya seperti Kanser otak, Kanser kulit, Kanser buah dada, Diabetes (kencing manis), Sawan, Asthma, Leukemia, Alzheimer (hilang ingatan) dan Parkinson (tidak mampu mengurus diri sendiri). Kos untuk berubat dengan menggunakan Marijuana adalah sungguh murah berbanding dengan ubat-ubatan moden yang dijual di pasaran.

Tahukah anda bahawa Industri perubatan moden merupakan industri yang kedua terbesar didunia selepas industri minyak? Sekarang tahukah anda mengapa President Amerika dan juga DEA (Drug Enforcement Administration) tidak membenarkan Marijuana dijadikan kajian?

Pada September 18, 2014, Seorang doktor di Amerika yang bernama Stephen Bloomer telah dihukum penjara selama 5 tahun hanya kerana mengubati seorang pesakitnya dengan menggunakan Marijuana sedangkan pesakitnya yang menghidapi kanser itu telahpun sembuh selepas itu. 


Allah S.W.T. telah menciptakan ubat untuk segala penyakit tetapi ubat itu tidak sampai ke tangan para pesakit kerana dihalang oleh manusia-manusia yang tamakkan kekayaan dan kuasa.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” 
(Surah Yunus: ayat 44)


MANUSIA MELUPAKAN ALLAH S.W.T. SELEPAS HAJAT MEREKA TERCAPAI.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan), samaada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.”
(Surah Yunus: ayat 12).

Itulah sifat manusia! Allah S.W.T. menceritakan mengenai sikap dan perangai manusia di dalam kitab-Nya. Apabila menghadapi kesusahan barulah mereka mengingati Allah S.W.T. Pada ketika itu masing-masing menadah tangan memohon doa dan pertolongan daripada-Nya. Namun, apabila sudah merasa senang, mereka kembali melupai-Nya.

Itulah kita. Mari kita perhatikan kepada diri kita sendiri. Apabila kita menghadapi kesusahan, kita bersolat hajat, kita baca Al-Quran, bahkan kita sanggup lakukan apa sahaja bagi memohon petunjuk dan supaya kesusahan yang kita hadapi itu akan segera dihilangkan.

Tetapi, apabila kita kembali senang kita mula tinggalkan semua amalan yang kita lakukan ketika kita susah dahulu. Lebih malang lagi, selepas kita mendapat kesenangan, kita mendekati maksiat pula.


MENGAPAKAH ALLAH S.W.T. MENANGGUHKAN AZAB TERHADAP ORANG YANG MELAKUKAN KEZALIMAN?



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya."
(Surah Yunus, ayat 11).

Dalam suatu hadis Qudsi; dinyatakan bahawa kalau tidak kerana orang tua yang masih sujud dan rukuk kepada Allah, kalau tidak kerana anak-anak kecil yang masih ramai yang menyusu dengan ibunya, kalau tidak kerana binatang yang masih lagi meragut rumput, sudah tentu Allah telah mencurahkan azab-Nya ke atas dunia ini tanpa meninggalkan sedikitpun.

Allah S.W.T. mampu menurunkan azab-Nya. Dia juga boleh menenggelamkan dunia ini dengan azab yang menyebabkan semua manusia binasa. Apatah lagi Allah S.W.T. mempunyai bukti perbuatan maksiat dan kekejaman yang dilakukan oleh manusia di atas muka bumi-Nya.

Namun, lantaran tiga faktor ini, Allah S.W.T. tidak bertindak menurunkan azab-Nya secara menyeluruh. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa apabila hati manusia itu dikeras atau dimatikan, ia juga adalah sejenis azab. Azab ini menyebabkan hati manusia itu kering atau tidak berfungsi, sehingga melupakan akhirat.

Akibatnya mereka akan berbuat sesuatu mengikut kehendak hati mereka tanpa mengikut aturan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. 

Mereka tidak akan  gerun dengan balasan azab neraka.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup".
(Surah Taha, ayat 74).

HIDAYAH ADALAH SUATU ANUGERAH DARI ALLAH S.W.T.




Pada 6 Desember 1992, Puak pelampau hindu di india telah meruntuhkan masjid Babri yang terletak di Ayodhya, India. Dalam kejadian itu, beberapa orang hindu telah memanjat kubah masjid Babri untuk merobohkannya




Gambar di atas menunjukkan dua orang pemuda berbangsa sikh sedang berdiri di atas kubah masjid Babri, seorang bernama Dharmindar Singh dan seorang lagi bernama Balbir Singh.

Dharmindar Singh telah membuang air kencing di atas kubah masjid Babri semasa sedang merobohkan kubah. Akibatnya dengan izin Allah S.W.T, dia telah menjadi gila dan berkelakuan tidak siuman sehingga susah untuk dikawal oleh ibu bapanya.

Ibu bapa Dharmindar telah berikhtiar sedaya upaya untuk menyembuhkan anaknya yang gila itu tetapi tidak berjaya malah menjadi semakin teruk.

Akhirnya ibu bapa Dharmindar telah membawa anaknya yang gila itu untuk pergi berjumpa dengan seorang ulamak yang terkenal di India iaitu Maulana Kaleem Siddiqi. Mereka menceritakan kisah sebenarnya kepada ulamak tersebut.

Ulamak itu pun terus berdoa kepada Allah S.W.T. untuk menyembuhkan Dharmindar yang gila itu. Akhirnya dengan izin Allah S.W.T, orang gila itu pun sembuh.

Kini Dharmindar telah menjadi seorang Islam yang taat kepada perintah Allah S.W.T. dan namanya telah bertukar menjadi Muhamad Umar.

Balbir Singh pula telah menghadapi berbagai musibah dalam keluarganya sehingga ayahnya sendiri telah memulaukan anaknya. Ayahnya pernah bertanya kepada Balbir singh, "Kenapa awak merobohkan rumah tuhan?". Itu adalah perkataan terakhir ayahnya sebelum meninggal dunia.

Akhirnya Balbir Singh telah mendapat ilham untuk berjumpa dengan ulamak Maulana Kaleem Siddiqi dan kini Balbir Singh telahpun menjadi seorang Islam dan namanya bertukar menjadi Muhamad Amir.

Muhamad Umar dan Muhamad Amir kini telah menjadi pendakwah yang sedang giat menyebarkan islam.


Muhamad Amir (Balbir Singh)

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah pertunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit- sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman"
(Surah Al-An'aam: ayat 125)


TAKUTLAH KEPADA ALLAH S.W.T. WALAUPUN KETIKA MANUSIA TIDAK MELIHATMU



Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar."
(Surah: Al-Mulk, ayat 12).

As-Syekh Majdi Muhammad As-Shahwi menceritakan tentang seorang hamba Allah yang bernama Abu Bakar Al-Miski yang soleh yang takut kepada Allah walaupun ketika tidak dilihat orang.

Dikatakan kepada Abu Bakar Al-Miski:
"Sesungguhnya kami sentiasa mencium bau wangian kasturi darimu, maka apakah sebabnya?".

Abu Bakar berkata:
"Demi Allah, sudah bertahun-tahun aku tidak menggunakan haruman kasturi itu, tetapi badanku tetap mengeluarkan baunya ialah disebabkan:  Ada seorang perempuan telah memperdayakan aku sehingga aku masuk ke dalam rumahnya, lalu ditutup semua pintu dan dia mengajak aku berzina, maka aku terkejut kehairanan dan cuba memikirkan cara untuk mengelak darinya".

Maka aku berkata kepadanya: "Aku hendak ke tandas untuk menunaikan hajat". 

Lalu perempuan itu menyuruh hambanya mengawasiku ke tempat menunaikan hajat. Apabila aku masuk ke tandas lalu aku membuang air besar dan selepas itu aku mengambil najisku sendiri lalu aku melumurkannya di seluruh badanku, kemudian aku kembali menemuinya dalam keadaan berlumuran dengan najis dan busuk.

Maka perempuan itu terkejut apabila melihatku, lalu memerintahkan hambanya untuk menghalauku dari rumahnya. Aku pun pulang ke rumah dan terus mandi. Apabila aku tidur pada malam tersebut lalu aku bermimpi, seseorang telah berkata kepadaku:

"Kamu telah melakukan satu amalan yang orang lain tidak akan melakukannya, nescaya Allah akan mengharumkan bau badan kamu di dunia dan juga di akhirat".

Maka apabila aku bangun pagi keesokan harinya, aku dapati tubuhku mengeluarkan haruman kasturi sehingga sekarang."

Wahai hamba Allah, berjaga-jagalah dan berhati-hatilah daripada melakukan maksiat yang sembunyi-sembunyi sebagaimana kamu berjaga-jaga dan berhati-hati daripada melakukan maksiat yang terang-terangan.

Justeru itu semua perbuatan yang kita lakukan tidak ada bezanya di sisi Allah, kerana Allah S.W.T. itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui akan segala isi hati yang terkandung di dalam dada.


KESAKITAN SAKARATUL MAUT



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesungguhnya mati itu adalah amat pedih umpama ditetak dengan pedang beberapa kali atau digergaji dengan gergaji atau umpama dipotong dengan gunting beberapa kali guntingan".
(Riwayat Abu Na'im).


MAKHLUK AJAIB YANG TERSEMBUNYI DI BAWAH BATU SALJI YANG TEBAL.



Antartika merupakan tempat yang paling sejuk di bumi dan dipenuhi oleh berbagai makhluk-makhluk ciptaan Allah S.W.T.

Makhluk yang paling utama di Antartika ialah burung Penguin, anjing laut dan berbagai lagi.

Tetapi tahukah anda bahawa di bawah lapisan salji yang tebal itu iaitu kira-kira 800 meter ke bawah, terdapat  hampir 4000 jenis organisma-organisma kecil yang hidup tanpa mendapat cahaya matahari sejak berjuta-juta tahun. 




Para saintis telah berjaya membuat kajian di Tasik Whillans, yang terletak 800 meter di bawah aras salji di Antartika Barat dan mereka menemui bukti yang kukuh bahawa memang terdapat organisma-organisma kecil hidup disitu.

Siapakah yang mencipta dan memberi rezeki kepada organisma-organisma itu?

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluknya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.”
(Adz-Dzaariyaat: 58)

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia di simpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
(Hud: 6)


ALLAHU AKBAR...... LUASNYA LANGIT YANG PERTAMA.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memerlihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah: Fussilat, Ayat: 12)

Setiap arah langit yang mampu dilihat oleh manusia adalah terletak dibawah langit yang pertama. Langit yang kedua dan seterusnya tidak akan dapat ditembusi oleh manusia. Hanya Rasulullah S.A.W. sahaja yang pernah menembusi langit yang pertama sehingga ke langit yang ketujuh iaitu ketika peristiwa Israk dan Mikraj.




Peta di atas menunjukkan kawasan dibawah langit yang pertama dimana terdapat berbagai superclusters (kumpulan galaksi) termasuk Virgo supercluster ditengah-tengahnya (supercluster kecil di mana galaksi kita adalah merupakan ahli yang kecil).

Tahukah anda bahawa sekiranya anda ingin sampai ke penghujung langit yang pertama (iaitu kawasan yang hanya mampu dilihat melalui teleskop angkasa lepas) maka anda akan mengambil masa selama 46.5 billion tahun walaupun anda bergerak dengan kelajuan cahaya.

Berikut adalah ciptaan-ciptaan Allah S.W.T. di bawah langit yang pertama dalam linkungan 1 billion tahun cahaya (iaitu kawasan yang mampu dilihat oleh manusia dengan menggunakan teleskop angkasa lepas yang terhebat):

1) Bilangan superclusters dalam 1 bilion tahun cahaya = 100
2) Bilangan Kumpulan galaksi dalam 1 bilion tahun cahaya = 240 000
3) Bilangan galaksi besar dalam 1 bilion tahun cahaya = 3 juta
4) Bilangan galaksi kecil dalam 1 bilion tahun cahaya = 60 juta
5) Bilangan bintang dalam 1 bilion tahun cahaya = 250 000 trilion

Angka-angka diatas adalah berdasarkan analisa para saintis terhadap kawasan di bawah langit pertama dalam linkungan yang mampu dilihat oleh manusia   
(1 billion tahun cahaya)

Cuba bayangkan bagaimana pula dengan kawasan lain dibawah langit yang pertama yang tidak mampu dilihat oleh manusia?


ALLAHU AKBAR!!

IBLIS MENDERHAKA KEPADA PENGIKUTNYA YANG SETIA



Di akhirat, Para penghuni neraka mula mencari Iblis dan mereka berkata:
"Engkau telah menyesatkan kami, lalu bagaimana kami boleh selamat?".

Lalu iblis mula berdiri di atas tanah dari api sambil menarik rantai-rantainya dan ia mula berkhutbah.  Dalam Khutbahnya ia berkata:

"Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu......."
(Surah Ibrahim, ayat 22).

".........Aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku, Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah)...."
(Surah Ibrahim, ayat 22).

Iblis berkata:
"Aku menyeru kamu, lalu kamu mematuhi seruanku iaitu dengan mengikuti hawa nafsumu. Oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri, kerana dialah yang memohon agar kamu mengikuti hawa nafsumu."

"Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku dengan Allah dan aku bebas dari (tuntutan) kamu."

Dalam keadaan demikian itu, mereka (ahli neraka) sangat membenci diri mereka sendiri. Lalu malaikat menyeru kepada mereka:

"Sesungguhnya kebencian Allah (kepadamu) lebih besar daripada kebencianmu kepada dirimu sendiri....."
(Surah  Al Mu'min, ayat 10).


ADAKAH ANDA BERSYUKUR DENGAN NIKMAT MATA YANG DIBERIKAN OLEH ALLAH S.W.T.?



Gambar mikroskopik di atas menunjukkan mata manusia dari jarak dekat.
Allah S.W.T dengan sifat Rahmat-Nya telah menganugerahkan kepada kita 2 biji mata yang sungguh hebat ciptaannya.

Setiap biji mata kita mengandungi 130 juta sel fotoreseptor dan setiap sel fotoreseptor tersebut pula mengandungi 100 trillion atom iaitu melebihi jumlah bintang di dalam galaksi Milky Way.




Apakah tujuan Allah S.W.T. menganugerahkan kepada kita mata yang begitu hebat ciptaannya?

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami)?”
(Surah: Al-Balad, Ayat : 8)

Tetapi, berapa ramaikah manusia yang bersyukur kepada Allah S.W.T.?
Berapa ramaikah manusia yang telah menyalahgunakan nikmat mata ini?
Tidakkah mereka merasa malu kepada Allah S.W.T. yang telah menciptakan mata meraka?

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Surah : An-Nur,  Ayat : 30)

7 jenis mata yang dicintai oleh Allah S.W.T:

1- Mata mereka yang sentiasa berusaha ke arah melaksanakan perintah Jihad pada Jalan Allah S.W.T.
2- Mata yang menitis air mata kerana takutkan kebesaran Allah S.W.T.
3- Mata yang sentiasa bertahan atau bersabar daripada memandang perkara yang haram.
4- Mata yang memerhati kejadian Allah S.W.T.
5- Mata yang memandang Kitab Allah S.W.T, Al-Quran Al-Karim (Membaca, mengambil pengajaran dan mengamal dalam kehidupan).
6- Mata yang memandang mereka yang miskin dengan penuh kerahmatan dan kasih sayang.
7- Mata yang berjaga malam di jalan Allah. (Qiam)


MAKANAN TURUN DARI LANGIT DENGAN IZIN ALLAH S.W.T.



Apabila kaum bani Israil tidak menunaikan kewajipan jihad dan mereka mula menyakiti hati Nabi Musa a.s., maka Allah S.W.T. telah menyesatkan mereka selama 40 tahun di padang pasir yang luasnya sekadar beberapa batu persegi sahaja bagi memberi pengajaran kepada mereka.

Dalam keadaan sedemikian, Allah S.W.T. masih memberikan nikmat kepada mereka dengan menurunkan "al-mann" dan "as-salwa" dari langit.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
“Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): ", Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 57).

"Al-mann" ialah sejenis makanan yang manis yang diturunkan oleh Allah S.W.T. dari langit manakala "as-salwa" pula ialah sejenis burung yang lazat rasanya. Semua itu merupakan kurniaan dan rezeki yang mulia daripada Allah S.W.T.

Namun demikian, mereka meminta pula supaya Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah S.W.T. untuk memberikan kepada mereka makanan dari jenis yang lain pula.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan kacang dalnya, serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya) dan Mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 61).



POMPEII - SEBUAH BANDAR MAKSIAT YANG TELAH DIHANCURKAN OLEH ALLAH S.W.T.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Katakanlah (wahai Muhamad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu".
(An-Naml, ayat 69).

1500 tahun yang lalu, terdapat sebuah bandar yang digelar Pompeii yang terletak berhampiran Naples di rantau Itali.

Pompeii merupakan sebuah bandar jajahan Rom yang maju dan padat dengan penduduk. Dianggarkan terdapat 11,000 orang penduduk pada tahun 79 masihi.



Pompeii juga merupakan sebuah pusat pelacuran yang terkenal pada zaman itu. Malah pelacuran menjadi suatu perkara biasa kepada penduduk Pompeii.
Bukan sahaja pelacuran, tetapi juga aktiviti homoseksual dan lesbian telah menjadi adat kepada penduduk Pompeii.  

Apakah kesudahan mereka?
Adakah Allah S.W.T. terus membiarkan mereka merosakkan kesucian bumi Allah dengan maksiat dan zina yang melampaui batas kemanusian?

Pada bulan Ogos, tahun 79 masihi, iaitu ketika zaman kemuncak kemaksiatan di Pompeii, berlakulah suatu malapetaka yang sungguh dahsyat di Pompeii.

Sebuah gunung berapi yang bernama Vesuvius yang terletak berhampiran bandar Pompeii telah meletus dengan dahsyatnya. Kuasa letusan itu adalah bersamaan dengan 100 ribu kali ganda letupan bom di Hiroshima, Jepun.



Hampir kesemua penduduknya telah mati tertimbus oleh debu dan batu dari sisa letusan gunung berapi tersebut.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu), maka sangat buruklah hujan (yang ditimpakan) pada orang-orang yang diberi peringatan itu (tetapi tidak mengindahkan)”.
(Surah An-Naml, ayat 58).




Kini Pompeii menjadi sebuah tempat yang tidak mempunyai sebarang manusia melainkan runtuhan bangunan dan mayat-mayat manusia yang telah menjadi batu.

YA ALLAH, LINDUNGILAH KAMI DARI SERANGAN DARI LANGIT.......



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintah Nya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya, sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.”
(Al-Hajj, Ayat : 65)

Apakah yang akan berlaku sekiranya Asteroid menghentam bumi?
Sejak 10,000 tahun yang lalu, bumi telah diserang oleh Asteroid kira-kira 350 kali dan telah membunuh berjuta-juta manusia. Malah pupusnya dinasour adalah juga berpunca dari serangan Asteroid.




Cuba bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya Asteroid menyerang bumi kita hari ini?

Adakah anda sempat melarikan diri? Adakah anda sempat bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan? Adakah anda sempat mengqodho segala solat dan puasa yang tertinggal?  Adakah anda sempat menulis wasiat?
  
Allah S.W.T. dengan rahmatNya telah menahan langit dan benda-bendanya (Asteroid) agar tidak jatuh menimpa manusia. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia, di mana Dia lebih Penyayang kepada mereka daripada ibu bapa mereka dan diri mereka sendiri.




Setiap kali Asteroid hendak menghala ke arah bumi, maka Allah S.W.T. akan menukar arah Asteroid tersebut untuk menghala ke arah bulan. Sebab itulah terdapat banyak kesan hentakkan Asteroid pada permukaan bulan.

Oleh itu, sentiasalah bersyukur kepada Allah S.W.T. 


DUNIA INI TIDAK ADA NILAINYA DISISI ALLAH S.W.T.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
(Al-'Ankabut: Ayat 64)


Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud)
"Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi, dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian mahkluk)."
(An-Nur: Ayat 42)


Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. berjalan melewati pasar sementara orang-orang berjalan di kanan kiri beliau. Beliau melewati seekor anak kambing yang telinganya kecil dan sudah menjadi bangkai. Beliau lalu mengangkatnya dan memegang telinganya, seraya bersabda : 
Siapa diantara kalian yang mahu membeli ini dengan satu dirham (saja)?
Mereka menjawab, “Kami tidak mahu membelinya dengan apapun. Apa yang kami boleh perbuat dengannya?” 
Kemudian Rasulullah S.A.W. bertanya, Apakah kamu suka ia menjadi milikmu?”
Mereka menjawab, Demi Allah, seandainya ia hidup ia adalah aib (cacat), ia bertelinga kecil, apalagi setelah ia menjadi bangkai?”. 
Maka Rasulullah S.A.W. bersabda, "Demi Allah, dunia lebih hina bagi Allah melebihi hinanya (bangkai) ini bagi kalian."
(Shahih Muslim 2957-2)


APABILA MALAIKAT PENCATAT AMAL BERBICARA DENGANMU........




Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula".
(Surah Az-Zalzalah: ayat 7-8)

Wuhaib berkata:
"Telah sampai kabar kepada kami, seseorang tidak akan mati hingga ditampakkan kepadanya dua malaikat pencatat amalannya. Maka, jika ia adalah seorang yang taat, kedua malaikat itu akan berkata kepadanya, "Semoga Allah membalasmu kerana kami dengan kebaikan. Kerana berapa banyak majlis kebenaran yang engkau perlihatkan kepada kami dan berapa banyak amal saleh yang  telah engkau datangkan kepada kami."

Adapun jika ia adalah seorang yang fasik, maka kedua malaikat pencatat amal akan berkata kepadanya, "Semoga Allah tidak membalasmu kerana kami dengan kebaikan. Kerana berapa banyak majlis keburukan yang engkau perlihatkan kepada kami, berapa banyak amalan buruk yang engkau datangkan kepada kami, dan berapa banyak perkataan buruk yang engkau perdengarkan kepada kami. Maka, semoga Allah tidak membalasmu dengan kebaikan".

Pada saat itulah pandangan mata jenazah terbuka mengarah kepada kedua malaikat tersebut dan tidak akan kembali ke dunia selama-lamanya.

(Sumber: Detik-detik sakaratul maut, tulisan Shalahudin As-Said).