MAHA SUCI ALLAH S.W.T. YANG TELAH MENCIPTAKAN DNA YANG SUNGGUH KECIL DAN SEMPURNA.



Kehebatan ciptaan Allah S.W.T. bukan sahaja dapat dilihat pada kejadian alam semesta, bumi, langit, bintang dan matahari serta planet-planet yang besar di alam ini, bahkan ia juga dapat dilihat pada sekecil-kecil perkara yang ada dalam kehidupan.

Kemajuan teknologi sains telah membuktikan bahawa benda-benda hidup di atas muka bumi ini sebenarnya terdiri daripada satu struktur yang kompleks dan terlalu sempurna. Mustahil untuk dikatakan ia terjadi dengan sendiri. Hal ini sekali gus membuktikan semua kehidupan dicipta oleh satu Kuasa Yang Maha Hebat.

Penemuan terbaru pada abad ini ialah penemuan satu struktur sempurna di dalam sel-sel manusia dan haiwan iaitu DNA. 

Ia hasil daripada kemajuan bidang genetik dan ini merupakan salah satu tanda kehebatan ciptaan Allah S.W.T. untuk disaksikan.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka al-Quran itu adalah benar. Tidakkah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?"
(Surah Fussilat 41: 53).

DNA ialah singkatan bagi Deoxyribonucleic acid.
Ia terletak di dalam nukleus (inti) setiap sel manusia dan haiwan termasuklah bakteria. Semua sel di dalam badan kita mengandungi DNA kecuali sel darah merah. DNA merupakan inti pati setiap sel dan ia mengandungi semua maklumat genetik asas mengenai seseorang manusia.

DNA juga dipanggil sebagai molekul warisan kerana ia mewariskan sifat-sifat organisma induk (ibu-bapa) kepada keturunannya. Setiap sel manusia mempunyai satu nukleus. Di dalam nukleus terdapat 46 pasang kromosom yang mengandungi 2 juta DNA dan 3 billion subunit-subunit DNA. Ia diumpamakan seperti sebuah bank data (maklumat) bagi seseorang manusia.

Maklumat yang tersimpan di dalam DNA bertindak untuk mengawal beribu-ribu perubahan fisiologi dan metabolisme yang tidak terkira jumlahnya dalam setiap hari. Ia juga bertindak untuk memberikan ciri-ciri fizikal kepada seseorang seperti warna rambut, warna anak mata, ketinggian, warna kulit, bentuk kuku, bentuk hidung dan pelbagai lagi. Malahan ia juga memberikan pengaruh kepada perubahan tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam darah seseorang.

Saintis -saintis di seluruh dunia telah menjalankan kajian dengan bersunguh-sungguh untuk menterjemahkan kira-kira 3 billion (3 ribu juta) kod-kod DNA yang terdapat pada satu sel. Hasilnya, sehingga kini kira-kira 85% daripada satu DNA manusia telah ditafsirkan dan diaturkan.

Maklumat-maklumat yang tersimpan di dalam DNA sungguh hebat. Jika ditulis pada helaian kertas, maklumat yang tersimpan di dalam DNA untuk satu sel boleh menyamai sehingga 1 juta halaman sebuah ensiklopedia. Ini bermakna satu sel pada badan manusia mengandungi kira-kira 1 juta halaman muka surat maklumat yang berkaitan dengan fisiologi dan fizikal seseorang. Segala tindak balas fisiologi dan matabolisme yang berlaku setiap hari ditentukan oleh maklumat yang terdapat di dalam DNA tersebut.

Sebagai perbandingannya, 23 jilid Encyclopedia Britannica yang merupakan ensiklopedia terbesar di dunia mengandungi 25,000 muka surat secara keseluruhan. Maka di dalam molekul nukleus yang saiznya terlalu kecil di tengah-tengah sel, tersimpan satu maklumat yang 40 kali ganda lebih banyak daripada ensiklopedia yang terbesar di dunia, ataupun menyamai 920 jilid ensiklopedia tersebut.

Jika semua jilid-jilid itu disusun di atas lantai, ia akan mencapai ketinggian 70 meter atau bersamaan dengan bangunan setinggi 20 tingkat. Jika ia ditulis di atas kertas-kertas dan kertas itu disambung dan direntangkan, ia boleh menjangkau jarak yang jauh seolah-olah merentasi lautan Atlantik.

Contoh-contoh tersebut adalah sebagai gambaran betapa banyaknya maklumat-maklumat yang tersimpan oleh DNA bagi satu sel. Ia bukanlah sebuah komputer canggih atau sebuah perpustakaan. Ia hanya satu molekul yang sangat kecil tersimpan di dalam sebuah sel dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Kehebatan teknologi manusia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan teknologi penyimpanan maklumat di dalam sel yang dicipta oleh Allah S.W.T.

"Komputer" yang Allah S.W.T. ciptakan ini terlalu kecil sehingga tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Namun kehebatannya menyimpan maklumat tidak dapat ditandingi oleh mana-mana komputer yang paling canggih yang pernah diciptakan oleh manusia.

ALLAHU AKBAR!!

MENGENAL ALLAH S.W.T. DALAM MASA 5 MINIT.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakan olehmu (wahai Muhammad!): Allah itu Maha Esa. Dialah tempat bergantung segala makhluk dan tempat memohonkan segala hajat. Dialah Allah, yang tiada beranak dan tiada diperanakkan dan tiada seorangpun atau sesuatu yang sebanding dengan Dia".
(Al-Ikhlas : 1 - 4)

Bahawa Allah itu Esa, tiada bersekutu. Tiada permulaan, berkekalan wujudNya dan tiada berpenghabisan. 

Abadi, tidak ada bagiNya kesudahan, kekal, tidak ada putus-putusnya. Bersifat dengan kebesaran, tidak fana, tiada lenyap dan tiada binasa. 

Dialah yang awal dan Dialah yang akhir. 

Dia mengetahui segala sesuatu.

Bahawa Allah itu, bukan tubuh yang berupa, tiada menyamai sesuatu makhluk dan  tidak ada makhluk yang menyamaiNya. 

Dia tiada diliputi oleh sudut penjuru, tiada dilingkungi oleh langit dan bumi.

Bahawa Allah itu, di atas arasy dan langit, di atas segala sesuatu. Dia beristiwa' di atas arasy menurut cara yang Allah sendiri kehendaki. Walaupun demikian, Ia amat berdekatan dengan segala sesuatu, bahkan Allah lebih dekat kepada hambaNya dari urat manusia kepada manusia sendiri.

Bahawa Allah itu, tidak bertempat dan tidak dibatasi oleh masa. Ia sekarang sebagai keadaanya dahulu. 

ZatNya diketahui adanya dengan perantaraan akal fikiran dan dapat dilihat zatNya kelak di syurga, sebagai satu nikmat yang besar untuk hamba-hambaNya yang berbuat bakti.


TAKUTLAH KEPADA HIMPITAN KUBUR



Hudzaifah berkata, "Bersama Nabi S.A.W., kami pernah mendatangi seorang jenazah. Ketika sampai di kubur, beliau duduk di tepi lubang kubur dan berkali-kali memandang ke dalamnya. Lalu Baginda bersabda, "Di dalamnya, seorang mukmin dihimpit dengan himpitan yang menghancurkan anggota tubuhnya sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka".
(Hadis riwayat Ahmad, al-Hakim, at-Tirmidzi dan al-Baihaqi).

Dalam sebuah hadis dari Jabir ibn 'Abdullah disebutkan, "Ketika Sa'ad ibn Mu'adz dikebumikan, Rasulullah bertasbih dan diikuti oleh para sahabat beberapa saat. lalu bertakbir dan juga diikuti oleh mereka. Kemudian mereka bertanya, "Ya Rasulullah, mengapa engkau bertasbih?" Baginda menjawab, "Kubur orang soleh ini telah menghimpit lalu Allah melapangkannya".
(hadis riwayat Ahmad, al-Hakim, at-Tirmidzi, at-Tabrani dan al-Baihaqi)

Abu al-Qasim as Sa'di mengatakan, "Tidak ada seorang pun, baik yang soleh mahupun yang jahat, yang boleh selamat dari himpitan kubur. Namun, ada perbezaan antara himpitan terhadap orang Muslim dengan orang kafir. Bagi orang kafir, himpitan itu berlaku untuk selama-lamanya. Sementara bagi orang Muslim, himpitan itu terjadi pada awal dia diletakkan di dalam kubur. Setelah itu, kuburnya kembali lapang untuknya".

Lebih lanjut dia mengatakan, " Yang dimaksudkan dengan himpitan itu adalah pertemuan antara satu sisi kubur dengan sisi lainnya, sementara si mayat berada di tengah-tengahnya".

At-Tirmidzi mengatakan, "Himpitan itu kerana tidak seorang pun yang meninggal melainkan dia akan merasakan sakit akibat suatu kesalahan, meskipun dia itu sebagai seorang yang soleh. Himpitan tersebut dimaksudkan sebagai balasan untuknya, tetapi setelah itu diberikan rahmat kepadanya. Oleh kerana itu, Sa'ad ibn Mu'adz mendapatkan himpitan kerana dia tidak bersih dari air kencingnya".

Mengenai seorang mukmin yang taat, as-Subki mengatakan, " Dia tidak mendapatkan azab kubur tetapi hanya mendapat himpitan kubur, sehingga dia merasakan ketakutan kerana itu. Hal itu dialaminya kerana dia telah mendapatkan nikmat dari Allah S.W.T. tetapi dia tidak mahu mensyukurinya".

Muhammad at-Taimi, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunya, mengatakan bahawa pernah disebut, "Sesunguhnya himpitan kubur itu seperti himpitan seorang ibu kerana dari sanalah seseorang diciptakan, kemudian si anak itu lama menghilang. Setelah kembali kepada ibunya, dia dipeluk seperti pelukan orang tua kepada anaknya yang telah lama hilang. Oleh kerana itu, barangsiapa yang berbuat taat kepada Allah, dia akan dihimpit dengan penuh kelembutan dan belas kasihan. Sementara orang yang berbuat maksiat kepada-Nya, dia akan dihimpit dengan himpitan yang keras kerana murka Allah kepadanya".


SIAPAKAH MANUSIA YANG PALING BAIK?



Abu Bakrah meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W.

"Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling baik?".

Rasulullah S.A.W. menjawab:
"Orang yang panjang umur dan baik amalnya".

Lelaki itu bertanya lagi:
"Lantas, siapakah orang yang paling buruk?".

Rasulullah S.A.W. menjawab:
"Orang yang panjang umurnya dan buruk amalnya".

(Hadis riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi yang disahihkan oleh al-Hakim).

TERBONGKARNYA RAHSIA SULIT SYAITAN



Dalam kitab Nasoihul Ibad, karangan Imam Ibnu Hajar Al Asqalani. 
Beliau ada menyatakan bahawa Saidina Umar Ibnu Khattab r.a. berkata:

"Sesungguhnya anak dan cucu syaitan ada sembilan keturunan".

Atau dengan erti kata yang lain, syaitan mempunyai sembilan menteri kabinet khas. Melalui menteri-menteri kabinet ini, syaitan merancang, menyusun pelan tindakan untuk merosak serta menyesatkan manusia. Mereka ialah:

1) Syaitan Zalitun

Syaitan Zalitun, tugasnya ialah menggoda, menghasut serta menipu -daya orang yang berada di pasar-pasar, di pusat-pusat membeli belah. Zalitun akan cuba menipu-daya agar manusia melakukan kejahatan dalam jual-beli.

2) Syaitan A'wan

Syaitan A'wan ialah syaitan yang suka menipu-daya serta memujuk rayu para pemimpin, seperti raja-raja dan seumpamanya.

3) Syaitan Haffat

Syaitan Haffat pula ialah syaitan yang mendorong manusia agar suka meminum arak serta apa-apa yang memabukkan.

4) Syaitan Murrah

Syaitan murrah ialah syaitan yang cuba merosakkan manusia melalui hiburan. Seperti menggoda manusia agar sukakan muzik yang melampau serta menghayalkan.

5) Syaitan Masuth

Syaitan Masuth ialah syaitan yang cuba merosakkan manusia melalui kejahatan lidah. Seperti mencetuskan fitnah, berita bohong, berita palsu dan seumpamanya.

6) Syaitan Laqqus

Syaitan Laqqus ialah syaitan yang cuba merosakkan manusia dengan cara menggoda agar meninggalkan agama islam. Laqqus akan menghasut manusia agar mensyirikkan Allah S.W.T.

Laqqus akan menghasut manusia agar menganut agama Majusi, Yahudi dan seumpamanya. Yang penting Laqqus akan berusaha untuk menyimpangkan manusia dari jalan kebenaran.

7) Syaitan Watsin

Syaitan Watsin ialah syaitan yang akan mengganggu, merosakkan bayi dan anak-anak.

8) Syaitan Dasim

Syaitan Dasim ialah syaitan yang sungguh disayangi oleh Iblis. 
Dasim akan merosakkan manusia dengan cara memecah-belahkan rumah tangga. Dasimlah yang akan menggoda serta menghasut si suami agar berlaku jahat pada isteri dan akhirnya melafas cerai. Dasimlah yang akan menggoda serta menghasut si isteri agar derhaka pada suami dan mencari jalan untuk minta di cerai.

9) Syaitan Walhan

Syaitan Walhan pula ialah syaitan yang akan mengganggu serta merosakkan manusia dengan cara mengacau manusia yang sedang melakukan ibadah. Sama ada mengacau ketika wuduk, solat dan seumpamanya.

Selain itu, Ada satu lagi syaitan iaitu syaitan bernama Abyah. 
Dia ini akan datang kepada ahli ibadah, para wali dan para alim ulama lalu berusaha untuk menyesatkan mereka. Bermakna bila besar serban si ahli ibadah, maka lagilah besar pangkat si syaitan yang akan datang menyesatkannya.

Hebat dan memang hebat sungguh bentuk kerja syaitan, kerana mereka mempunyai kabinet menteri yang tersusun rapi. Bagi mereka, yang penting manusia mesti dirosakkan, di sesatkan, di dorongkan kepada kejahatan. Agar di akhirat nanti manusia yang ramai akan sama-sama di humban ke dalam api neraka.