MAHA SUCI ALLAH S.W.T. YANG TELAH MENCIPTAKAN DNA YANG SUNGGUH KECIL DAN SEMPURNA.



Kehebatan ciptaan Allah S.W.T. bukan sahaja dapat dilihat pada kejadian alam semesta, bumi, langit, bintang dan matahari serta planet-planet yang besar di alam ini, bahkan ia juga dapat dilihat pada sekecil-kecil perkara yang ada dalam kehidupan.

Kemajuan teknologi sains telah membuktikan bahawa benda-benda hidup di atas muka bumi ini sebenarnya terdiri daripada satu struktur yang kompleks dan terlalu sempurna. Mustahil untuk dikatakan ia terjadi dengan sendiri. Hal ini sekali gus membuktikan semua kehidupan dicipta oleh satu Kuasa Yang Maha Hebat.

Penemuan terbaru pada abad ini ialah penemuan satu struktur sempurna di dalam sel-sel manusia dan haiwan iaitu DNA. 

Ia hasil daripada kemajuan bidang genetik dan ini merupakan salah satu tanda kehebatan ciptaan Allah S.W.T. untuk disaksikan.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka al-Quran itu adalah benar. Tidakkah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?"
(Surah Fussilat 41: 53).

DNA ialah singkatan bagi Deoxyribonucleic acid.
Ia terletak di dalam nukleus (inti) setiap sel manusia dan haiwan termasuklah bakteria. Semua sel di dalam badan kita mengandungi DNA kecuali sel darah merah. DNA merupakan inti pati setiap sel dan ia mengandungi semua maklumat genetik asas mengenai seseorang manusia.

DNA juga dipanggil sebagai molekul warisan kerana ia mewariskan sifat-sifat organisma induk (ibu-bapa) kepada keturunannya. Setiap sel manusia mempunyai satu nukleus. Di dalam nukleus terdapat 46 pasang kromosom yang mengandungi 2 juta DNA dan 3 billion subunit-subunit DNA. Ia diumpamakan seperti sebuah bank data (maklumat) bagi seseorang manusia.

Maklumat yang tersimpan di dalam DNA bertindak untuk mengawal beribu-ribu perubahan fisiologi dan metabolisme yang tidak terkira jumlahnya dalam setiap hari. Ia juga bertindak untuk memberikan ciri-ciri fizikal kepada seseorang seperti warna rambut, warna anak mata, ketinggian, warna kulit, bentuk kuku, bentuk hidung dan pelbagai lagi. Malahan ia juga memberikan pengaruh kepada perubahan tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam darah seseorang.

Saintis -saintis di seluruh dunia telah menjalankan kajian dengan bersunguh-sungguh untuk menterjemahkan kira-kira 3 billion (3 ribu juta) kod-kod DNA yang terdapat pada satu sel. Hasilnya, sehingga kini kira-kira 85% daripada satu DNA manusia telah ditafsirkan dan diaturkan.

Maklumat-maklumat yang tersimpan di dalam DNA sungguh hebat. Jika ditulis pada helaian kertas, maklumat yang tersimpan di dalam DNA untuk satu sel boleh menyamai sehingga 1 juta halaman sebuah ensiklopedia. Ini bermakna satu sel pada badan manusia mengandungi kira-kira 1 juta halaman muka surat maklumat yang berkaitan dengan fisiologi dan fizikal seseorang. Segala tindak balas fisiologi dan matabolisme yang berlaku setiap hari ditentukan oleh maklumat yang terdapat di dalam DNA tersebut.

Sebagai perbandingannya, 23 jilid Encyclopedia Britannica yang merupakan ensiklopedia terbesar di dunia mengandungi 25,000 muka surat secara keseluruhan. Maka di dalam molekul nukleus yang saiznya terlalu kecil di tengah-tengah sel, tersimpan satu maklumat yang 40 kali ganda lebih banyak daripada ensiklopedia yang terbesar di dunia, ataupun menyamai 920 jilid ensiklopedia tersebut.

Jika semua jilid-jilid itu disusun di atas lantai, ia akan mencapai ketinggian 70 meter atau bersamaan dengan bangunan setinggi 20 tingkat. Jika ia ditulis di atas kertas-kertas dan kertas itu disambung dan direntangkan, ia boleh menjangkau jarak yang jauh seolah-olah merentasi lautan Atlantik.

Contoh-contoh tersebut adalah sebagai gambaran betapa banyaknya maklumat-maklumat yang tersimpan oleh DNA bagi satu sel. Ia bukanlah sebuah komputer canggih atau sebuah perpustakaan. Ia hanya satu molekul yang sangat kecil tersimpan di dalam sebuah sel dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Kehebatan teknologi manusia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan teknologi penyimpanan maklumat di dalam sel yang dicipta oleh Allah S.W.T.

"Komputer" yang Allah S.W.T. ciptakan ini terlalu kecil sehingga tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Namun kehebatannya menyimpan maklumat tidak dapat ditandingi oleh mana-mana komputer yang paling canggih yang pernah diciptakan oleh manusia.

ALLAHU AKBAR!!