MENGAPAKAH ALLAH S.W.T. MEMBERIKAN NIKMAT KEPADA ORANG YANG TIDAK MENGINGATI ALLAH S.W.T. ?



Imam Ahmad berkata: "Telah menceritakan kepada kami Yahya ibn Ghailan, juga Rusdain ibn Saad daripada Harmalah ibn Imran At-Thayibi daripada Uqbah ibn Muslim ibn Amir, bahawa: 

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Bila engkau melihat Allah memberikan seorang hamba apa-apa yang dia sukai sedangkan hamba itu melakukan maksiat, maka itu tidak lain adalah istidraj."

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)".
(Surah: Al-An'am: ayat 44).

Sebahagian kaum Salaf berkata: 
"Bila engkau melihat Allah memberikan nikmat kepadamu secara terus-menerus, sedang engkau tetap melakukan maksiat, maka hati-hatilah, sebab perkara (nikmat) itu hanya merupakan istidraj daripada Allah, Iaitu, Dia (Allah S.W.T) menuruti semua kehendakmu agar kamu memasuki kemaksiatan yang engkau lakukan secara lebih jauh lagi".

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesungguhnya Allah memberikan dunia (kekayaan) untuk orang yang Dia cintai dan juga kepada orang yang tidak Dia cintai. Namun, Dia tidak memberi keimanan kecuali kepada orang yang Dia cintai".
(Riwayat Tirmizi).

JANGAN SEKALI-KALI KELUAR DARI AGAMA ISLAM



Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa puak Quraisy berusaha untuk mempengaruhi Rasulullah S.A.W. dengan menawarkan harta kekayaan agar baginda menjadi seorang yang paling kaya di kota Makkah, dan akan  dikahwinkan dengan perempuan yang baginda kehendaki.

Usaha ini disampaikan oleh mereka (puak Quraisy) dengan berkata:
"Inilah yang kami sediakan bagimu hai Muhammad, dengan syarat agar engkau jangan memaki-maki tuhan kami dan menjelekkannya, atau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun"

Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa kaum kafir Quraisy berkata kepada Rasulullah S.A.W:
"Sekiranya engkau tidak keberatan mengikuti kami (menyembah berhala) selama setahun, kami akan mengikuti Agamamu selama setahun pula". 

Rasulullah S.A.W. menjawab:
"Aku akan menunggu wahyu dari tuhanku".

Maka turunlah Surah Al-Kaafiruun.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"(1) Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!
(2) "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
(3) "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
(4)  "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
(5) "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
(6)  "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku."
(Surah Al-Kaafiruun, ayat 1-6).


BIDADARI - BIDADARI DI SYURGA



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Allah S.W.T. menjadikan muka bidadari daripada empat warna, ada yang putih, ada yang hijau, ada yang kuning dan ada yang merah. Tubuh badannya ada yang daripada kasturi, ada daripada anmbar, ada dari kafur, ada dari kamkama. Rambut mereka dari sutera menarik. Daripada anak jari kaki hingga ke lututnya dari kamkama dan bau-bauan. Dari lutut hingga ke dadanya dari kasturi. Dari dada hingga ke tengkuknya dari anmbar dan dari tengkuk ke kepala dari kafur. Jika ia berludah ke dunia nescaya dunia akan berbau kasturi semuanya."

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Bidadari-bidadari tersimpan di dalam khemah-khemah".
(Surah Ar Rahman: 22).

Maksudnya, duduk di sebalik tirai-tirai. Tiap-tiap seorang memakai tujuh puluh lapis pakaian. Tiap seorang lelaki mukmin (ahli syurga) ada tujuh puluh katil daripada yaqut merah. Tiap katil ada tujuh puluh hamparan dan tiap hamparan ada seorang bidadari serta seribu khadam.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Bidadari-bidadari itu elok parasnya seperti lukluk yang tertutup di dalam tempat khasnya".
(Surah Ar Rahman: 53).

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Mereka berupa gilang-gemilang seperti yaqut dan marjan."
(Surah Ar Rahman: 58).

Tiap seorang lelaki (ahli syurga) akan mempunyai tujuh puluh dua orang isteri bidadari sekurang-kurangnya dan lapan puluh ribu khadam-khadam (wildan mukhlladun).

Bila lelaki (ahli syurga) itu melihat muka isterinya, dilihat mukanya lebih bersih daripada cermin. Mutiara yang dipakainya sangat bersinar- sinar yang menerangi antara masyriq dengan maghrib.


MAHA SUCI ALLAH S.W.T. YANG TELAH MENCIPTAKAN MAKHLUK YANG MAMPU HIDUP TANPA MAKANAN SELAMA 10 TAHUN.



Lihatlah betapa hebatnya Allah S.W.T. menciptakan suatu makhluk yang walaupun bersaiz kecil (cuma 1 mm panjangnya) tetapi memiliki "kekuatan" yang luar biasa yang tidak dapat ditandingi oleh sebarang makhluk yang hidup di bumi.

 Makhluk ini digelar  "Tardigrades" atau "beruang air".

"Tardigrades" mampu hidup walaupun dibekukan, dipanggang , dididih, didedahkan dengan sinar-x, dimasukkan dalam botol tanpa udara, didedahkan dengan tekanan udara yang tinggi tetapi masih boleh hidup untuk terus berzikir kepada Allah S.W.T.

Ia mampu untuk menghadapi keadaan radiasi sinaran "gamma", kekurangan oksigen, boleh menahan dari tiupan angin yang kencang.



Ia boleh hidup tanpa makanan dan air selama 10 tahun.
Ia mampu hidup dengan selesa dalam suhu mendidih atau suhu beku (-458*F atau -272*C).
Ia boleh menghadapi kesemua ujian ini tanpa memberi sebarang kesan sampingan kepada dirinya.

Bagaimanakah ia boleh menghadapi kesemua cabaran ini?
Mudah sahaja.
Apabila ia menghadapi situasi yang tegang atau suhu yang melampau, ia akan bertindak balas dengan "mematikan dirinya" untuk sementara waktu. 
Ia boleh berada dalam keadaan "mati" untuk beberapa tahun.

Selepas situasi atau cuaca menjadi tenang semula, ia akan "hidup" kembali untuk meneruskan "tugasnya" sebagai makhluk Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia di simpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)”.
(Surah Hud, ayat 6).