MENGAPAKAH ALLAH S.W.T. MEMBERIKAN NIKMAT KEPADA ORANG YANG TIDAK MENGINGATI ALLAH S.W.T. ?



Imam Ahmad berkata: "Telah menceritakan kepada kami Yahya ibn Ghailan, juga Rusdain ibn Saad daripada Harmalah ibn Imran At-Thayibi daripada Uqbah ibn Muslim ibn Amir, bahawa: 

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Bila engkau melihat Allah memberikan seorang hamba apa-apa yang dia sukai sedangkan hamba itu melakukan maksiat, maka itu tidak lain adalah istidraj."

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)".
(Surah: Al-An'am: ayat 44).

Sebahagian kaum Salaf berkata: 
"Bila engkau melihat Allah memberikan nikmat kepadamu secara terus-menerus, sedang engkau tetap melakukan maksiat, maka hati-hatilah, sebab perkara (nikmat) itu hanya merupakan istidraj daripada Allah, Iaitu, Dia (Allah S.W.T) menuruti semua kehendakmu agar kamu memasuki kemaksiatan yang engkau lakukan secara lebih jauh lagi".

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesungguhnya Allah memberikan dunia (kekayaan) untuk orang yang Dia cintai dan juga kepada orang yang tidak Dia cintai. Namun, Dia tidak memberi keimanan kecuali kepada orang yang Dia cintai".
(Riwayat Tirmizi).