MAKANAN TURUN DARI LANGIT DENGAN IZIN ALLAH S.W.T.



Apabila kaum bani Israil tidak menunaikan kewajipan jihad dan mereka mula menyakiti hati Nabi Musa a.s., maka Allah S.W.T. telah menyesatkan mereka selama 40 tahun di padang pasir yang luasnya sekadar beberapa batu persegi sahaja bagi memberi pengajaran kepada mereka.

Dalam keadaan sedemikian, Allah S.W.T. masih memberikan nikmat kepada mereka dengan menurunkan "al-mann" dan "as-salwa" dari langit.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
“Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): ", Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 57).

"Al-mann" ialah sejenis makanan yang manis yang diturunkan oleh Allah S.W.T. dari langit manakala "as-salwa" pula ialah sejenis burung yang lazat rasanya. Semua itu merupakan kurniaan dan rezeki yang mulia daripada Allah S.W.T.

Namun demikian, mereka meminta pula supaya Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah S.W.T. untuk memberikan kepada mereka makanan dari jenis yang lain pula.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan kacang dalnya, serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya) dan Mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 61).