BAGAIMANAKAH SYAITAN MENGGANGGU KITA KETIKA KITA SEDANG BERSOLAT?



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; (Al-Mu'minuun: 2-3)

Pernahkah anda diganggu pemikiran anda ketika anda sedang bersolat? Pernahkah anda terbayang wajah sesiapa atau terdengar bisikan ketika sedang bersolat? Bagaimanakah wajah atau bisikan itu  boleh terbayang di kepala kita ketika sedang bersolat?

Seorang saintis dari United Kingdom yang bernama Barrie Trower telah mendedahkan suatu penemuan penting tentang cara otak kita bekerja. Beliau berkata:

Otak manusia sentiasa mengeluarkan gelombang yang dikenali sebagai “beta waves” di sekitar kepala. Gelombang yang dihasilkan oleh otak kita boleh diceroboh oleh gelombang asing yang mempunyai frekuansi yang hampir sama dengan frekuansi otak kita iaitu sekitar 17.6 Hz sesaat.”

Ini bermakna otak kita (atau pemikiran kita) boleh diganggu oleh sesiapa saja yang mempunyai kemampuan atau teknologi untuk menceroboh gelombang otak kita. Teknologi ini telahpun wujud dan sedang giat digunakan oleh musuh-musuh Islam dan ia dikenali sebagai “Mind Control”.

Syaitan juga menggunakan kaedah “Mind Control” untuk mengganggu hamba Allah yang sedang bersolat. Bisikan syaitan berlaku dengan cara yang sama iaitu dengan mengganggu gelombang frekuensi otak kita. Apabila gelombang otak kita terganggu maka kita akan terbayang macam-macam dan akan terdengar bisikan yang pelik-pelik.

Jadi, Bagaimanakah untuk kita melawan gangguan syaitan itu?

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Apabila engkau mengerjakan solat, maka solatlah seakan-akan solatnya orang yg hendak berpisah (dengan dunia)".
[Hasan, HR Ahmad: 5/412, Ibnu Majah: 4171, ash-Shahihah: 401]

Syarat khusyuk yang paling utama adalah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenal Allah S.W.T.  dan memperteguh keimanan kepada-Nya.



ALLAHU AKBAR..... SUNGGUH CANTIK DAN SEMPURNA SEGALA CIPTAAN ALLAH S.W.T.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadaNya."
(Yunus: 101).












MEMBUAT MAKSIAT TETAPI BERCITA-CITA UNTUK MENDAPAT PENGAMPUNAN DARI ALLAH S.W.T.



Jika anda berdosa, tetapi tidak segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, malah anda mengharapkan pula agar Allah mengampunkanmu. Kemudian anda malas pula beramal saleh, sentiasa sibuk dengan urusan dunia sepanjang masa, lalu anda bercita-cita bahawa Allah S.W.T. akan memuliakanmu dan mengangkat darjatmu di dalam syurga bersama-sama orang-orang yang berbuat amal saleh, maka nyatalah bahawa anda adalah seorang yang berangan-angan kosong dan terpedaya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh, yaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka sangka itu."
(Al-Jatsiah: 21).

Ketahuilah, bahawa orang yang berangan-angan kosong, lagi terpedaya oleh hawa nafsunya tidak punya apa-apa alasan sama sekali. Sekiranya dia berkata: "Sesungguhnya Allah S.W.T. tiada menjadi mudharat dengan dosaku, atau beroleh manfaat dengan ketaatanku. Dia adalah Kaya dan tidak berhajat kepada amalanku". 

Jawabnya memang benar, akan tetapi dosa-dosa itu akan mendatangkan mudharat kepada anda manakala ketaatan akan mendatangkan manfaat kepada anda, sedangkan anda adalah seorang fakir yang sangat berhajat kepada amal saleh.

Al-Hassan Al-Basri r.t. berkata:
"Sesungguhnya mencita-citakan pengampunan itu telah memperdaya banyak orang, sehingga mereka meninggalkan dunia ini dalam keadaan muflis".
Yakni tiada mempunyai bekalan amal sama sekali.

Al-Hassan Al-Basri r.t. berkata:
"Sesungguhnya orang Mukmin itu berbakti seraya gementar terhadap Allah S.W.T., manakala seorang Munafik pula membuat kejahatan seraya merasa aman dan sentosa sepanjang masa".

Sepatutnya sifat takut itu lebih layak disifati oleh orang yang membuat kesalahan, kerana dikhuatiri akan ditimpa kemurkaan Allah. Tetapi kini ia merasa aman dan sentosa, kerana hatinya telah terbalik dan mata hatinya telah buta.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
".....Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya."
(Al-Kahfi: 17).

Ya Allah! Ya Tuhanku! Berikanlah kami petunjuk, dan pimpinlah kami ke jalan yang Engkau cintai dan ridhai. Sebenarnya kami telah menyerahkan diri kami kepadaMu. Wafatkanlah kami sebagai orang-orang Muslimin serta golongkanlah kami bersama-sama orang-orang salihin!


KHUSYUK DIDALAM SOLAT SEPERTI PARA SAHABAT RASULULLAH S.A.W.



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sekiranya hati orang ini khusyuk, nescaya khusyuklah seluruh anggotanya".

Dalam satu peristiwa, pernah tiang masjid Jami' di Basrah runtuh, menyebabkan orang-orang di sekitar masjid itu riuh-rendah. Secara kebetulan pula di dalam masjid ketika itu ada seorang dari para salaf sedang asyik bersolat. Lantaran teramat kusyuk di dalam solatnya sehingga beliau tidak merasakan sebarang keresahan sepertimana yang dirasakan oleh orang-orang di sekitarnya tadi.

Dalam peristiwa lain, apabila rumah Saidina Ali Ibnul-Husain r.a. terbakar, padahal beliau sedang khusyuk di dalam solatnya. Orang ramai menjerit-jerit memanggilnya:
"Wahai cucu Rasulullah! Api! Api!."
Saidina Ali Ibnul-Husain r.a. masih terus bersujud juga, tidak mengangkat kepalanya dari sujud. Setelah selesai solat, beliau diberitahu tentang peristiwa yang berlaku, maka beliau menjawab:
"Saya sedang dimasyghulkan oleh api Hari Akhirat pada ketika itu".

Dalam peristiwa lain, ketika Ar-Rabi' bin Khaitsam sedang bersolat, tiba-tiba datang seorang pencuri, lalu mencuri kudanya. Orang ramai menyumpah-nyumpah terhadap si pencuri itu tetapi berkata Ar-Rabi:
"Saya nampak dia ketika dia sedang membuka tali ikatan kuda itu".
Orang ramai bertanya: "Mengapa engkau tidak mengejar dia dan merampas kuda itu semula".
Jawab Ar-Rabi: "Solatku lebih aku utamakan dari seekor kuda.".