KHUSYUK DIDALAM SOLAT SEPERTI PARA SAHABAT RASULULLAH S.A.W.



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sekiranya hati orang ini khusyuk, nescaya khusyuklah seluruh anggotanya".

Dalam satu peristiwa, pernah tiang masjid Jami' di Basrah runtuh, menyebabkan orang-orang di sekitar masjid itu riuh-rendah. Secara kebetulan pula di dalam masjid ketika itu ada seorang dari para salaf sedang asyik bersolat. Lantaran teramat kusyuk di dalam solatnya sehingga beliau tidak merasakan sebarang keresahan sepertimana yang dirasakan oleh orang-orang di sekitarnya tadi.

Dalam peristiwa lain, apabila rumah Saidina Ali Ibnul-Husain r.a. terbakar, padahal beliau sedang khusyuk di dalam solatnya. Orang ramai menjerit-jerit memanggilnya:
"Wahai cucu Rasulullah! Api! Api!."
Saidina Ali Ibnul-Husain r.a. masih terus bersujud juga, tidak mengangkat kepalanya dari sujud. Setelah selesai solat, beliau diberitahu tentang peristiwa yang berlaku, maka beliau menjawab:
"Saya sedang dimasyghulkan oleh api Hari Akhirat pada ketika itu".

Dalam peristiwa lain, ketika Ar-Rabi' bin Khaitsam sedang bersolat, tiba-tiba datang seorang pencuri, lalu mencuri kudanya. Orang ramai menyumpah-nyumpah terhadap si pencuri itu tetapi berkata Ar-Rabi:
"Saya nampak dia ketika dia sedang membuka tali ikatan kuda itu".
Orang ramai bertanya: "Mengapa engkau tidak mengejar dia dan merampas kuda itu semula".
Jawab Ar-Rabi: "Solatku lebih aku utamakan dari seekor kuda.".