APABILA ALLAH S.W.T. MENCINTAIMU..........



Diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Kudri r.a. bahawa seseorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W, lalu berkata:

"Wahai Rasulullah! Hartaku telah musnah, dan badanku pula sakit"

Maka, Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Tiada apa-apa kebaikan pada seorang hamba yang tidak musnah hartanya, dan tidak sakit badannya. Sesungguhnya, apabila Allah cinta kepada seseorang hamba, Dia akan mengujinya, Apabila mengujinya, Allah menjadikannya sabar (dalam menghadapi ujian itu)".

Berhubung dengan perkara ini, Syeikh Ibn A'tha'illah berkata:
"Boleh jadi Allah memberi kepadamu (kekayaan dan kesenenangan dunia), tetapi Dia menghalangmnu (daripada mendapat taufik dan hidayah-Nya). Boleh jadi Dia menghalangmu (daripada kesenangan dan kemewahan dunia), tetapi Dia memberi kepadamu (taufik dan hidayah-Nya)".

Boleh jadi Allah S.W.T. mengurniakan kepadamu apa yang disukai hati dan nafsumu. Tetapi sebenarnya, Dia menghalangmu daripada memperolehi taufik untuk taat dan menjadi dekat kepada-Nya. Sedangkan nikmat yang lebih besar dan mulia ialah taufik Allah S.W.T. kepadamu untuk melakukan amalan taat dan menjadi hampir kepada-Nya.

Sebaliknya, boleh jadi Allah S.W.T. menghalangmu daripada mendapat apa yang diinginkan nafsumu. Tetapi Dia mengurniakan kepadamu taufik yang menjadi matlamat para salikin di jalan Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
(Surah al-Fajr: 15-16)

Kesimpulannya ialah:

1) Apabila Allah S.W.T. tidak memberi nikmat dunia tetapi yang diberikan olehnya ialah nikmat taufiq dan petunjuk kepada orang taat dan beribadah, bererti itu adalah kurnia yang paling baik.

2) Apabila Allah S.W.T. memberi nikmat dunia, tidak memberi nikmat taufiq dan petunjuk ke jalan benar, bererti itu bukan kurnia yang hakiki dan bukan nikmat atau rahmat.