APAKAH ITU NERAKA SAQAR?



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;”
(Al-Mudatsir : 42-43)

Menurut Quraishihab dalam tafsir Al-Misbah, 
"kata Saqar terambil dari kata saqara yang bererti menyengat atau mencop untuk menandai binatang. Kata saqar juga diertikan sebagai sengatan terik matahari atau besi panas yang digunakan untuk mencop binatang. Kata ini digunakan oleh Al-Qur’an sebagai salah satu tempat penyiksaan (neraka) dihari kemudian, atau nama bagi salah satu tingkat dari tempat penyiksaan itu." 

Menurut Al-Qurthubi, berdasarkan satu riwayat yang dinisbahkan kepada sahabat Nabi S.A.W,  Ibn ‘Abbas,  "Saqar adalah tingkat keenam dari tujuh tingkat neraka".

Digambarkan dalam surah Al-Mudatsir tersebut bahawa Neraka Saqar adalah tempat penyiksaan dengan siksaan yang sangat pedih. Bentuk penyiksaan di dalamnya berupa sengatan api yang membakar kulit manusia hingga kulit mereka menghitam. Seperti kata Ibn ‘Abbas, "Saqar membakar kulit lalu menghanguskan dan mengubah warnanya.”(baca tafsir Al-Maraghi).

Jadi, Siapakah calon utama penghuni Neraka Saqar yang mengerikan itu?
Mereka adalah golongan yang melalaikan solat mereka.

Solat merupakan ibadah wajib dalam Islam. Ia adalah pengakuan tentang keagungan Allah S.W.T.  dan kewajaran-Nya untuk disembah dan dimohon bantuan-Nya. Dengan demikian pengakuan bahawa mereka tidak termasuk golongan hamba-hamba Allah yang solat mencerminkan buruknya hubungan mereka dengan Allah. Yang dimaksudkan tentunya solat wajib.

Allah S.W.T  berfirman (yang bermaksud):
“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku."
(Surah Thaha: ayat 14)

Allah S.W.T  berfirman (yang bermaksud):
“Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya bumiKu adalah luas (untuk kamu bebas beribadat); oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu ikhlaskan ibadat kamu kepadaKu.”
(Al-'Ankabuut :ayat 56)

Solat Merupakan Amalan Pertama yang Dihisab

Ali bin Nashr bin Ali Jahdhami menceritakan, Sahal bin Ahmad memberitahukan, Hammam memberitahukan kepada dari Al Hasan, dari Harits bin Qabishah, dia berkata :

" Aku datang ke kota Madinah sambil berdoa, " Ya Allah, mudahkanlah bagiku untuk berteman dengan orang yang Salih"

Dia berkata lagi " Lalu aku bertemu dengan Abu Hurairah, maka aku berkata, 
"Sesungguhnya aku meminta kepada Allah untuk diberi rezeki berupa teman yang salih yang mau menceritakan kepadaku hadis yang dia dengar dari Rasullullah SAW, yang dengan Hadis itu Allah akan memberikan manfaat kepadaku"

Abu Hurairah berkata" Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda:
 "Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah Azza Wajalla Berfirman:

" Lihatllah ( hai para malaikat ) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?' Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu "
 (Sahih Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425,1426 )

Solat adalah ibadah yang paling penting dan utama kepada setiap Muslim. Solat juga menentukan sama ada seseoraang itu menjadi seorang Muslim yang baik ataupun sebaliknya.



APABILA HATI TELAH DITERANGI OLEH CAHAYA IMAN...........



Sesungguhnya apabila hati manusia telah diterangi oleh cahaya iman, maka terdedahlah kepadanya hakikat sebenar dunia dan akhirat. Ekoran itu, dia nampak akhirat lebih hampir dan lebih baik dari dunia. Dia juga akan nampak kehinaan dunia dan kemusnahan segala keindahannya. Lantaran itu, dia akan sibuk dengan akhirat dan tidak memandang kepada dunia.

Diriwayatkan daripada Sayyidina Abdullah Mas'ud r.a bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesungguhnya apabila cahaya (yakin dan iman) telah masuk ke dalam sesuatu hati, maka hati itu menjadi luas, terang dan lapang". Ada yang berkata: "Wahai Rasulullah! Adakah bagi hati itu sesuatu tanda yang boleh dikenali dengannya" Baginda menjawab: "Ya. Tandanya ialah menjauhkan diri daripada (dunia yang merupakan) alam tipu daya, kembali ke alam kekal abadi, dan bersedia untuk menghadapi kematian sebelum kedatangannya".
(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman"

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."
(Surah Al-Hadiid: ayat 20).

Sayyid Qutub Rahimahullah berkata: 
"Apabila kehidupan dunia diukur dengan ukuran dunia dan ditimbang dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar. Tetapi apabila diukur dengan ukuran akhirat dan ditimbang dengan neraca akhirat, maka ia akan kelihatan seperti mainan kanak-kanak kecil sahaja jika dibandingkan dengan kebesaran dan kesungguhan kehidupan akhirat, di mana berakhirnya kesudahan nasib manusia setelah berakhirnya hidup di dunia".

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"(Demi Allah), sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka manusia yang paling tamak kepada hidup (yang panjang di dunia), (ketamakan mereka itu lebih teruk) daripada (ketamakan) golongan musyrikin. Seseorang mereka bercita-cita sekiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang sebegitu tidak akan dapat menjauhkannya daripada azab (pada Hari Kiamat). Allah Maha Melihat segala apa yang mereka lakukan".
(Surah Al-Baqarah: ayat 96).



ADAKAH ANDA BERSEDIH KERANA DOA ANDA TIDAK DIQABULKAN OLEH ALLAH S.W.T.?



Syaqiq Al Balakhi berkata, ketika Ibrahim bin Adham berjalan di pasar kota Basrah, berkerumunlah orang-orang, dan salah seorang bertanya kepadanya:

"Wahai Aba Ishak (panggilan Ibrahim bin Adham), Allah S.W.T. berfirman di dalam Al-Quran yang mengatakan, "Berdoalah kamu, pasti akan Kukabulkan.", Tetapi saya telah lama memanjatkan doa kepada Allah dengan berulang-ulang kali, namun hingga kini tidak pernah Allah mengqabulkan permohonan saya".

Kemudian Ibrahim bin Adham menjawab:
"Wahai penduduk Basrah, bagaimana Allah hendak mengqabulkan doamu jika telah mati mata hatimu dalam 10 perkara:

1) Kamu mengaku bahawa Allah S.W.T. itu ada, tetapi kewajibanmu kepada-Nya tidak dipenuhi.

2) Kamu baca Al-Quran tetapi tidak diamalkan.

3) Kamu nyatakan bahawa syaitan adalah musuh utama Bani Adam, tetapi kamu setujui dan ikuti jejaknya.

4) Kamu mengatakan sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. tetapi tidak mengamalkan sunnah-sunnahnya.

5) Kamu mengakui adanya syurga dan menginginkannya, tetapi tidak mengerjakan amal-amal untuk mencapainya.

6) Kamu selalu memohon agar diselamatkan dari api neraka, tetapi amalan-amalanmu menjerumuskan ke dalamnya.

7) Kamu mengatakan bahawa kematian adalah sesuatu yang hak dan pasti, tetapi tidak mempersiapkan amalan-amalan sebagai bekalnya.

8) Kamu pandai melihat dosa-dosa orang lain, tetapi tidak menyedari dosa-dosamu sendiri.

9) Kamu selalu makan dari nikmat dan rezeki Allah, tetapi tidak bersyukur kepada-Nya.

10) Kamu sering ikut menguburkan jenazah, tetapi tidak membawa pengaruh pada hatimu untuk lebih dekat kepada Allah."




BERIBADATLAH KEPADA ALLAH S.W.T. KERANA CINTA KEPADA-NYA, DAN BUKAN KERANA HENDAK MASUK SYURGA ATAU KERANA TAKUT MASUK NERAKA.



Syeikh Ibn `Atha'illah al-Sakandari Rahimahullah berkata:
"Sesiapa yang menyembah Allah S.W.T. untuk mendapat sesuatu yang dia harapkan daripada Allah S.W.T. atau untuk mengelakkan dirinya daripada ditimpa balasan azab, maka sebenarnya dia belum menunaikan hak sifat-sifat-Nya."

Pembetulan dan penyucian niat dalam melakukan amalan soleh supaya ia dilakukan kerana Allah S.W.T. semata-mata sangatlah wajib dan amatlah perlu. Selain kewajipan mengikhlaskan segala amalan kepada Allah S.W.T, kita juga mesti mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. supaya amalan yang dikerjakan diterima oleh Allah S.W.T.

Tanpa keikhlasan kepada Allah S.W.T. dan tanpa mengikut sunnah Rasulullah S.A.W, sesuatu amalan itu akan ditolak oleh Allah S.W.T.

Matlamat sebenar ibadat ialah untuk menunaikan hak `ubudiyyah kepada Allah S.W.T. semata-mata, bukanlah untuk tujuan-tujuan yang lain.

Abu Hazim al-Madani Rahimahullah berkata:
"Sesungguhnya aku benar-benar malu kepada Tuhanku jika aku beribadat kepada-Nya kerana takutkan azab. (Jika aku buat begitu), jadilah aku hamba yang jahat, yang jika tidak takut, dia tidak akan beramal. Aku juga malu (kepada Tuhanku jika) aku beribadat kepada-Nya untuk mendapat pahala. (Jika aku buat begitu), jadilah aku seperti pekerja yang jahat, yang jika tidak diberi upah kerjanya, dia tidak akan bekerja. Tetapi aku beribadat kepada Tuhanku kerana kasih kepada-Nya jua".

Inilah martabat golongan `arifin, yang benar-benar mengenali Allah S.W.T, lalu mereka menunaikan hak `ubudiyyah kepada-Nya dengan matlamat yang suci.