BERIBADATLAH KEPADA ALLAH S.W.T. KERANA CINTA KEPADA-NYA, DAN BUKAN KERANA HENDAK MASUK SYURGA ATAU KERANA TAKUT MASUK NERAKA.



Syeikh Ibn `Atha'illah al-Sakandari Rahimahullah berkata:
"Sesiapa yang menyembah Allah S.W.T. untuk mendapat sesuatu yang dia harapkan daripada Allah S.W.T. atau untuk mengelakkan dirinya daripada ditimpa balasan azab, maka sebenarnya dia belum menunaikan hak sifat-sifat-Nya."

Pembetulan dan penyucian niat dalam melakukan amalan soleh supaya ia dilakukan kerana Allah S.W.T. semata-mata sangatlah wajib dan amatlah perlu. Selain kewajipan mengikhlaskan segala amalan kepada Allah S.W.T, kita juga mesti mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. supaya amalan yang dikerjakan diterima oleh Allah S.W.T.

Tanpa keikhlasan kepada Allah S.W.T. dan tanpa mengikut sunnah Rasulullah S.A.W, sesuatu amalan itu akan ditolak oleh Allah S.W.T.

Matlamat sebenar ibadat ialah untuk menunaikan hak `ubudiyyah kepada Allah S.W.T. semata-mata, bukanlah untuk tujuan-tujuan yang lain.

Abu Hazim al-Madani Rahimahullah berkata:
"Sesungguhnya aku benar-benar malu kepada Tuhanku jika aku beribadat kepada-Nya kerana takutkan azab. (Jika aku buat begitu), jadilah aku hamba yang jahat, yang jika tidak takut, dia tidak akan beramal. Aku juga malu (kepada Tuhanku jika) aku beribadat kepada-Nya untuk mendapat pahala. (Jika aku buat begitu), jadilah aku seperti pekerja yang jahat, yang jika tidak diberi upah kerjanya, dia tidak akan bekerja. Tetapi aku beribadat kepada Tuhanku kerana kasih kepada-Nya jua".

Inilah martabat golongan `arifin, yang benar-benar mengenali Allah S.W.T, lalu mereka menunaikan hak `ubudiyyah kepada-Nya dengan matlamat yang suci.