JANGANLAH BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH S.W.T.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Nabi Ibrahim berkata: "Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat".
(Surah Al-Hijr: ayat 56).

Sifat putus asa dengan sebab berlakunya maksiat boleh menghalang seseorang daripada mencapai istiqamah bersama Tuhannya. Sebaliknya dia hendaklah segera bertaubat kepada Allah S.W.T. dengan penuh kesal dan berazam untuk tidak kembali kepada maksiat itu lagi.

Adapun hati orang yang beriman dan berhubung rapat dengan Allah S.W.T. yang Maha Penyayang, tidak akan berputus asa, biarpun dahsyatnya dia dikepung kesusahan, biarpun hebatnya malapetaka menghitam di sekelilingnya, biarpun mendungnya suasana di sekitarnya, dan biarpun samarnya harapan dalam kegelapan yang menyelubungi, kerana rahmat Allah S.W.T. amat dekat kepada hati orang yang beriman dan mendapat hidayah-Nya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah Az-Zumar: ayat 53).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
"Setiap anak Adam banyak melakukan kesalahan. Sebaik baik orang yang banyak melakukan kesalahan ialah orang yang banyak bertaubat".
(Riwayat Imam Ahmad, al-Tirmizi, al-Baihaqi, al-Hakim).

Syeikh Ibn Ajibah berkata:
"Apabila sesuatu dosa terjatuh daripadamu, maka janganlah dosa itu menjadi sebab kamu putus asa daripada terhasilnya istiqamah bersama Tuhanmu (selepas dosa itu). Boleh jadi, ia dosa terakhirnya yang ditakdirkan ke atasmu".


MAHA SUCI ALLAH S.W.T. YANG TELAH MENCIPTAKAN "TENTERA" DI DALAM BADAN MANUSIA.




Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya". 
(At-Tin :ayat 4).

Tahukah anda bahawa Sel darah putih merupakan “Askar” atau “tentera” yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T. untuk melawan musuh (virus) yang menceroboh masuk ke dalam badan manusia?

Apabila sel darah putih hampir mati diserang oleh musuh (virus), sel darah putih akan “meletupkan” dirinya untuk memberikan “amaran” kepada sel-sel putih yang lain supaya berjaga-jaga.

Saintis dari “La Trobe University”, Melbourne, telah berjaya merakam gambar sel darah putih yang sedang menghadapi kematian. Sebelum sel darah putih itu mati, ia sempat menghantar maklumat kepada sel – sel yang lain tentang kehadiran musuh

ALLAHU AKBAR!!



"Macrophages" adalah "Ketua" dalam sistem pertahanan badan dan akan sentiasa memberikan arahan kepada "Tentera" untuk melawan  musuh (virus).

Virus pula akan menghasilkan "Nagalase" iaitu sejenis enzim yang akan menghalang penghasilan vitamin "D" dalam "Macrophages" dan mengakibatkan "Macrophages" menjadi lemah dan tidak aktif.

Maka pada ketika itu, badan kita pula akan menghasilkan"GcMAF" iaitu sejenis protin dalam darah. "GcMAF" akan menolong untuk mengaktifkan semula "Macrophages".

Para pesakit kanser akan mempunyai "Nagalase" yang terlalu banyak dalam badan mereka kerana "Nagalase"dihasilkan oleh virus. Oleh itu, "Macrophages" tidak akan aktif dan tidak dapat melawan penyakit.. Jadi para doktor perubatan akan menyuntik "GcMAF" untuk mengaktifkan semula "Macrophages" supaya dapat melawan penyakit kanser.

Ini membuktikan bahawa bukannya para doktor yang menyembuhkan penyakit manusia tetapi Allah S.W.T. Yang Maha Agung Lagi Maha Perkasa yang menyembuhkan segala penyakit manusia.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?".
(Ar-Rahman: ayat 13).

ALLAHU AKBAR!!


INILAH BUKTI BAHAWA ROH ITU BUKANLAH NYAWA.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)."
(Az-Zumar: Ayat 42).

Allah S.W.T. mengambil roh orang ketika matinya, dan  Dia ambil juga roh orang yang ketika tidurnya, maksudnya orang yang sedang tidur juga Allah S.W.T. ambil rohnya, tetapi manusia masih terus bernafas (bernyawa) sekalipun roh itu sedang berada di dalam genggaman Allah.

Sekiranya orang yang tidur itu telah ditetapkan juga ajalnya, maka barulah roh itu ditahan terus oleh Allah S.W.T. ataupun dilepaskan semula sampai waktu ajal seseorang itu seperti yang ditetapkan.

Ertinya roh orang yang tidur juga ditahan sementara oleh Allah S.W.T, ketika itu roh tersebut tidak  ada dalam tubuh manusia. Sepatutnya apabila roh tidak ada dalam tubuh bererti matilah orang itu, tetapi ternyata dalam keadaan roh tiada di dalam tubuh ketika tidur, manusia masih terus bernafas (bernyawa). 

Inilah yang membuktikan bahawa roh itu bukannya nyawa seperti yang difahami oleh kebanyakan orang. 

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
(Al-Israa': ayat 85).