RASULULLAH S.A.W. SANGGUP BERPERANG UNTUK MENJAGA MARUAH SEORANG MUSLIMAH.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
(Al-Ahzaab: ayat 59) 

Bani Qainuqa’ adalah kaum yahudi yang paling kuat dan kaya, kerana itu Rasulullah S.A.W. lebih mendahulukan perhitungan dengan mereka. Beliau pergi ke pasar mereka dan mengumpulkan mereka serta menawarkan Islam kepada mereka.

Mereka menolak tawaran tersebut dengan cara yang keji, bahkan mereka berkata:
“Jangan engkau besar kepala dengan mengalahkan bangsa yang tidak mengerti perang (maksudnya: kabilah Quraisy dalam perang Badar), Demi Allah! Andai engkau mencuba kekuatan kami, nescaya engkau akan mengetahui bahawa kami adalah manusia sejati”.

Lalu Rasulullah S.A.W. meninggalkan mereka dengan rasa marah.

Setelah itu terjadi suatu peristiwa, dimana seorang wanita muslimah datang ke pasar mereka, lalu mereka mengikat hujung pakaian wanita tersebut, sehingga tersingkaplah auratnya, lalu wanita itu berteriak meminta tolong kepada kaum muslimin.

Lalu salah seorang muslim melompat dan membunuh orang yang melakukan hal tersebut. Orang-orang yahudi mula berkumpul dan terus membunuh orang muslim tersebut. Kemudian Rasulullah S.A.W. mengepung perkampungan mereka selama 15 hari. Mereka berjumlah 700 pasukan.

Lalu Rasulullah S.A.W. hendak mula berperang dengan mereka, tetapi sekutu mereka iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul memohon agar mereka tidak dibunuh dan meminta kepada Rasulullah S.A.W. agar mereka diampuni. Kemudian Rasulullah S.A.W. mengusir mereka dari Madinah.

(Sumber: At-tarikh As-Syamil, oleh: Dr.Abdulbasith, jilid 1 hal.165-166).

Begitulah tingginya maruah seorang wanita muslimah disisi Islam pada zaman Rasulullah S.A.W sehingga mereka sanggup berperang untuk menjaga maruah seorang muslimah.

Tetapi kini pada akhir zaman ini, maruah para muslimah telah tidak lagi dihiraukan oleh sesiapapun kecuali segelintir umat islam yang beriman. Lihatlah tingkah laku wanita islam di zaman ini terutamanya di bandar yang besar, mereka tidak lagi menghiraukan tentang aurat mereka malah sanggup berpakaian mendedahkan aurat.

Dimanakah hilangnya perasaan malu mereka? Adakah mereka tidak sedar bahawa pada 1400 tahun dahulu Rasulullah S.A.W. sanggup berperang hanya kerana untuk menjaga maruah seorang muslimah? Adakah mereka tidak malu pada Rasulullah S.A.W.? Adakah mereka tidak malu pada Allah S.W.T. yang telah menciptakan mereka?