HANYA ISLAM MERUPAKAN AGAMA YANG DIREDHAI OLEH ALLAH S.W.T.



Tiada keraguan lagi bahawa  hanya agama Islam yang merupakan agama paling sesuai untuk setiap manusia, kerana ia merupakan satu-satunya agama yang diredhai serta diterima di sisi Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”
(Surah A-li'Imraan: ayat 19)

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
(Surah A-li'Imraan: ayat 85)

Namun ironinya, satu-satunya agama yang diredhai Allah S.W.T. ini begitu tidak disenangi oleh ramai manusia, malah mereka turut membenci dan memeranginya.

Kemungkinan perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak benar-benar mengenali Islam. Jika seseorang itu benar-benar mengenali Islam, dia pasti akan sanggup berkorban apa saja kerananya.

Keistimewaan seorang muslim ini adalah dia memahami hakikat sebenar tentang dirinya. Dia tahu dari mana dia datang, mengapa dia berada di sini dan apa misi dan tujuan kewujudannya serta ke mana dia akan pergi selepas kehidupan ini dan apa kesudahan yang bakal menantinya.

Dia tahu dia harus membuat pilihan yang terbaik dalam kehidupan ini dan dia juga tahu bagaimanakah caranya untuk dia mencapai matlamat yang dipilihnya itu.
Paling penting adalah dia menyedari bahawa dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pilihan itu. 

Dia adalah insan yang “sedar” akan realiti dirinya, yang mempunyai fahaman yang jelas dan pendirian yang tegas serta dia yakin sepenuhnya terhadap prinsip hidupnya.

Dia tidak pernah kebingungan atau keliru dan tidak akan mudah goyang di hadapan sebarang cabaran yang dihadapinya.