Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan
memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa
matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia
menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain
(ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum
yang berfikir (untuk memahaminya)."
(Az-Zumar: Ayat 42).
Allah S.W.T. mengambil roh orang ketika matinya, dan Dia ambil juga roh orang yang ketika tidurnya, maksudnya orang yang sedang tidur juga Allah S.W.T. ambil rohnya, tetapi manusia masih terus bernafas (bernyawa) sekalipun roh itu sedang berada di dalam genggaman Allah.
Sekiranya orang yang tidur itu telah ditetapkan juga ajalnya, maka barulah roh itu ditahan terus oleh Allah S.W.T. ataupun dilepaskan semula sampai waktu ajal seseorang itu seperti yang ditetapkan.
Ertinya roh orang yang tidur juga ditahan sementara oleh Allah S.W.T, ketika itu roh tersebut tidak ada dalam tubuh manusia. Sepatutnya apabila roh tidak ada dalam tubuh bererti matilah orang itu, tetapi ternyata dalam keadaan roh tiada di dalam tubuh ketika tidur, manusia masih terus bernafas (bernyawa).
Inilah yang membuktikan bahawa roh itu bukannya nyawa seperti yang difahami oleh kebanyakan orang.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan:
"Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu
pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
(Al-Israa': ayat 85).