ADAKAH ANDA BERSEDIH KERANA DOA ANDA TIDAK DIQABULKAN OLEH ALLAH S.W.T.?



Syaqiq Al Balakhi berkata, ketika Ibrahim bin Adham berjalan di pasar kota Basrah, berkerumunlah orang-orang, dan salah seorang bertanya kepadanya:

"Wahai Aba Ishak (panggilan Ibrahim bin Adham), Allah S.W.T. berfirman di dalam Al-Quran yang mengatakan, "Berdoalah kamu, pasti akan Kukabulkan.", Tetapi saya telah lama memanjatkan doa kepada Allah dengan berulang-ulang kali, namun hingga kini tidak pernah Allah mengqabulkan permohonan saya".

Kemudian Ibrahim bin Adham menjawab:
"Wahai penduduk Basrah, bagaimana Allah hendak mengqabulkan doamu jika telah mati mata hatimu dalam 10 perkara:

1) Kamu mengaku bahawa Allah S.W.T. itu ada, tetapi kewajibanmu kepada-Nya tidak dipenuhi.

2) Kamu baca Al-Quran tetapi tidak diamalkan.

3) Kamu nyatakan bahawa syaitan adalah musuh utama Bani Adam, tetapi kamu setujui dan ikuti jejaknya.

4) Kamu mengatakan sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. tetapi tidak mengamalkan sunnah-sunnahnya.

5) Kamu mengakui adanya syurga dan menginginkannya, tetapi tidak mengerjakan amal-amal untuk mencapainya.

6) Kamu selalu memohon agar diselamatkan dari api neraka, tetapi amalan-amalanmu menjerumuskan ke dalamnya.

7) Kamu mengatakan bahawa kematian adalah sesuatu yang hak dan pasti, tetapi tidak mempersiapkan amalan-amalan sebagai bekalnya.

8) Kamu pandai melihat dosa-dosa orang lain, tetapi tidak menyedari dosa-dosamu sendiri.

9) Kamu selalu makan dari nikmat dan rezeki Allah, tetapi tidak bersyukur kepada-Nya.

10) Kamu sering ikut menguburkan jenazah, tetapi tidak membawa pengaruh pada hatimu untuk lebih dekat kepada Allah."