MAHA SUCI ALLAH S.W.T. YANG TELAH MENCIPTAKAN GALAKSI YANG PALING BESAR DI ALAM SEMESTA





Galaksi merupakan kumpulan bintang-bintang yang terdapat dalam Alam Semesta. 

Terdapat kira-kira 170 billion galaksi yang mampu dilihat oleh teropong angkasa. Tetapi bagaimana pula bilangan galaksi yang tidak mampu dilihat oleh teropong angkasa? Tentu bilangannya tidak dapat dibayangkan oleh akal manusia. 

Galaksi sistem suria kita, iaitu bumi dan matahari yang berada di dalamnya dikenali sebagai Galaksi Milky Way.

Galaksi apakah yang paling besar yang pernah ditemui oleh manusia?.
Galaksi itu ialah Galaksi IC 1101,

Jaraknya dari bumi (Galaksi Milky Way) dianggarkan kira-kira 1 billion tahun cahaya, (Tahun cahaya merujuk kepada jarak yang direntasi oleh cahaya dalam tempoh satu tahun bersamaan 9,460,730,472,580.8 kilometer).

Paling besar bila diamati dengan teropong ruang angkasa, diameter galaksi ini (ICI 1101)  mencapai 6 juta tahun cahaya. Disana dianggarkan terdapat 100 trillion bintang bercahaya. Galaksi kita iaitu Milky Way hanya memiliki lebar diameter sekitar 100 ribu tahun cahaya.

Galaksi paling dekat dengan galaksi Milky Way adalah galaksi Andromeda (jiran kita) dan besarnya 2 kali dari Milky Way dengan panjang 200 ribu tahun cahaya.

Seterusnya yang besar lagi ialah  Messier 87 dengan diameter 500 ribu tahun cahaya
Sedangkan IC 1101 memiliki ukuran 50 kali lebih panjang iaitu 6 juta tahun cahaya panjangnya






Gambar diatas dimulai dari

1) Galaksi Milky way (Bumi kita berada didalamnya).
2) Galaski Milky Way dengan Galaksi Andromeda (jiran kita).
3)Disusul perbandingan dengan Andromeda, Messier 87,
4) Terakhir ialah Galaksi IC 1101
 (galaksi Milky Way paling kiri di gambar bawah terlihat sangat kecil)


ALLAHU AKBAR!!!


SIAPAKAH MANUSIA YANG PALING BERAT DITIMPA UJIAN?



Sebuah hadis oleh Imam At-Tirmizi, 
Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
"Siapakah orang yang paling berat cubaannya?".

Jawab baginda, "Di antara orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agama, beratlah ujian yang diterima. Jika agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya".

Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu merupakan bukti kasih sayang Allah S.W.T. kepada hamba-Nya. Ini juga untuk memastikan hamba-Nya memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan kesabaran.

Imam Al-Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub
"Sesungguhnya bala merupakan pelita orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar".

Selain bersabar, apa yang paling penting ialah ingat kepada Allah S.W.T. dan berdoalah selalu kerana Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. 

Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad dah' Wad Dawaa',
"Doa adalah musuh segala bencana. Ia dapat menolak malah dapat menghilangkannya ataupun sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang".

Akhir sekali, hayatilah pesanan Rasulullah S.A.W. daripada Imam Bukhari,
"Tiada seorang muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah S.W.T. akan menghapuskan keburukan sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya".

Semoga kita sentiasa bersabar, mengingati Allah S.W.T. dan berdoa selalu di dalam menghadapi apa sahaja bentuk ujian.


TIDAK SEMPAT...........



1) Tidak sempat buat maksiat sebab sibuk dengan ibadat dan taat.

2) Tidak sempat sifat mazmumah (sifat tercela dan keji) singgah dalam hati sebab sifat mahmudah (sifat terpuji) yang menguasai ruang hati.

3) Tidak sempat terpesona dengan harta haram sebab sibuk mengumpulkan harta halal.

4) Tidak sempat membazir sebab sibuk bersedekah.

5) Tidak sempat terlajak solat subuh sebab sibuk mengejar keberkatan bangun awal dan beribadah saat fajar menyingsing.

6) Tidak sempat mensia-siakan masa sebab sedang sibuk dengan agenda sebagai hamba dan khalifah Allah.

7) Tidak sempat buat jahat kepada manusia dan makhluk lain sebab sibuk menyebarkan kasih sayang.


Masya-Allah, Sungguh banyak pahala yang boleh dikumpul jika selalu tidak sempat membuat kemungkaran dan keburukan.


SOLAT SUBUH BERJEMAAH WALAUPUN DITIKAM OLEH MUSUH.



Imam Malik dalam al-Muwatta' meriwayatkan pada satu hari Umar al-Khattab r.a. telah mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk solat Subuh berjemaah. Pada pagi itu juga, Umar al-Khattab pergi ke rumah sahabatnya itu lalu bertanya kepada ibunya; al-Shifa':

"Saya tidak melihat Sulaiman semasa solat Subuh?".

Lalu al-Shifa' menjawab: "Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya".

Umar kemudian berkata: "Sungguh, berjemaah dalam solat Subuh itu lebih baik bagiku daripada solat malam".

Begitulah prihatinnya Sayidina Umar tentang solat Subuh berjemaah. Malah ketika beliau parah ditikam oleh Abu Lu'lu'ah dan keadaannya sangat kritikal sekali, namun solat Subuhnya tidak sekali-kali diabaikan.

Ketika dikejutkan oleh al-Miswar bin Makhramah untuk solat Subuh, beliau berkata:

"Ya, tidak akan mendapat keuntungan dalam islam bagi mereka yang meninggalkan solat". Padahal diriwayatkan pada waktu itu darah segar masih mengalir keluar dari lukanya.

Bukan mudah untuk bangun daripada tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi melaksanakan solat Subuh secara berjemaah. Bayangkan, seseorang terpaksa berperang dengan hawa nafsu dan syaitan sejak awal-awal lagi bagi memenuhi perintah Allah S.W.T.

Peperangan dalam diri itu diperjelaskan melalui hadis ini, yang bermaksud:

"Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: "Nikmatilah malam yang panjang ini". Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua. Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat. Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa lembab dan malas".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah S.A.W. menjadikan solat Subuh berjemaah sebagai penanda aras bagi membezakan tahap keimanan seseorang. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekalipun dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh melaksanakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan seseorang mengimami solat bersama orang lain. Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu terikat, mendatangi kaum yang tidak hadir solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah S.A.W. sangat sayang akan umatnya. Hadis tersebut menjelaskan betapa tingginya keinginan Baginda agar umatnya selamat daripada seksaan api Neraka.

DETIK-DETIK TERAKHIR RASULULLAH S.A.W.



Rasulullah S.A.W. baru pulang dari satu perjalanan dan baginda merasakan badannya kurang segar. Atas permintaan baginda, isteri-isteri baginda telah mengizinkan baginda untuk tinggal di rumah Aisyah.

Pada suatu ketika, baginda meminta Aisyah memanggil para sahabat Nabi dan Aisyah segera melaksanakannya. Tidak lama kemudian berkumpullah mereka dengan duduk di samping tempat berehat Nabi.

"Salam sejahtera dan selamat datang", demikian Nabi memulakan bicara, Semua yang ada terdiam dan mendengar dengan teliti kata-kata baginda.

"Saat perpisahan kita telah hampir", Nabi membayangkan apa yang akan terjadi.

Selesai baginda berkata-kata, salah seorang bertanya: 
"Siapakah yang akan memandikan Nabi?".

"Yang paling dekat dari keluargaku", jawab Nabi.

"Dengan apa kami kafani?" datang pertanyaan lagi.

"Kain ku ini jika kamu mahu, atau kain Mesir, ataupun Yaman", jawab Nabi.

"Siapakah yang akan menyembahyangkan?"

Belum sempat Nabi menjawab, kesedihan hati sudah merata. Tiba-tiba Abu Zar menangis kerana tidak sanggup menahan pilu di hati. Sahabat-sahabat yang lain turut menangis dan akhirnya Nabi sendiri menitiskan air mata.

Dalam keadaan sedih itu, Nabi meneruskan bicaranya. Baginda terus menceritakan tentang memandikan, mengafani dan menyembahyangkan. Cara-cara dan betapa harus dikerjakan telah baginda gambarkan kepada sekelian sahabat yang hadir.

"Siapa yang akan memasukkan jasad Nabi ke kubur?" bertanya sahabat.

"Keluargaku, bersama-sama dengan malaikat yang ramai, mereka melihat kamu, tetapi kamu tidak melihat mereka", jawab Nabi S.A.W.

Suasana di tempat itu bertambah sedih. Abu Zar lebih tidak tertahan lagi lalu beliau keluar dari rumah Aisyah sesudah meminta diri. Suara Nabi dan menceritakan saat perpisahan itu amat menyayatkan hatinya.

Kekuatan Nabi semakin berkurangan dan baginda terus tinggal di rumah Aisyah. Para sahabat bersedih hati dan demikian juga penduduk Madinah yang mengetahui hal itu.

Sebelum ini Nabi S.A.W. pernah dalam pidatonya di masjid yang mengambarkan baginda akan berpisah dengan umat dan dunia ini.

Sekelian yang mendengar mencurahkan air mata dan merasa pilu dan sedih dan kini suasana kesedihan sudah merata-rata di kota Madinah.

Tetapi kesedihan mereka berkurangan sedikit apabila kelihatan Nabi dipapah oleh keluarganya untuk bersolat jemaah di masjid. Baginda menyuruh Abu Bakar menjadi Imam dan baginda solat di belakangnya. Selesai bersolat terasa suasana gembira di kalangan sahabat dan mengharap kesihatan Nabi beransur pulih. 

Nabi kemudian menyampaikan amanat kepada yang hadir, terutamanya tentang perkara yang harus diperhatikan sepeninggalan baginda iaitu berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah.

Sesudah itu baginda dipapah kembali ke rumahnya. Di rumah Aisyah keadaan baginda bertambah lemah. Akhirnya Rasulullah S.A.W. wafat di rumah Aisyah. 

Terdengar suara Fatimah berkata: "Abatah,,,,,,,,ya Abatah...(bapaku....oh bapaku...).

Nabi Muhammad S.A.W. telah wafat pada hari isnin bersamaan 13 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah atau 8 Mei 633 Masehi. 


(Sumber: Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah S.A.W, Ditulis oleh Nawawi Dusuki).