SIAPAKAH MANUSIA YANG PALING BERAT DITIMPA UJIAN?



Sebuah hadis oleh Imam At-Tirmizi, 
Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
"Siapakah orang yang paling berat cubaannya?".

Jawab baginda, "Di antara orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agama, beratlah ujian yang diterima. Jika agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya".

Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu merupakan bukti kasih sayang Allah S.W.T. kepada hamba-Nya. Ini juga untuk memastikan hamba-Nya memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan kesabaran.

Imam Al-Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub
"Sesungguhnya bala merupakan pelita orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar".

Selain bersabar, apa yang paling penting ialah ingat kepada Allah S.W.T. dan berdoalah selalu kerana Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. 

Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad dah' Wad Dawaa',
"Doa adalah musuh segala bencana. Ia dapat menolak malah dapat menghilangkannya ataupun sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang".

Akhir sekali, hayatilah pesanan Rasulullah S.A.W. daripada Imam Bukhari,
"Tiada seorang muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah S.W.T. akan menghapuskan keburukan sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya".

Semoga kita sentiasa bersabar, mengingati Allah S.W.T. dan berdoa selalu di dalam menghadapi apa sahaja bentuk ujian.