JANGANLAH BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH S.W.T.



Allah S.W.T berfirman: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Az-Zumar 39:53)

"Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi). "
(Az-Zumar 39:54)

"Sesunggunya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar."
(An-Nisaa' 4:48)

ZIKIR YANG RINGAN DI LIDAH TETAPI BERAT TIMBANGANNYA DI MIZAN


Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Dua kalimah yang ringan di lidah,
berat di atas neraca timbangan dan disukai oleh Tuhan Yang Maha Pengasih ialah: SubhanAllahi wa bihamdih, SubhanAllahil-`Azim
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Maknanya:
1.SubhanAllahi wa bihamdih = Maha Suci ALLAH dan Segala Pujian BagiNYA
2.SubhanAllahil-`Azim = Maha Suci ALLAH Yang Maha Agung


Muslimin muslimat sekalian,
Ambillah peluang setiap masa yang terluang untuk kita mengingati ALLAH. Di dalam hadith di atas, Nabi S.A.W. telah menyatakan akan kelebihan kalimah zikir ‘SubhanAllahi wa bihamdih, SubhanAllahil-`Azim’ yang tidak sepatutnya kita abaikan.


Kalimah ini sangat mudah untuk disebut, tetapi subhanALLAH ganjaran pahalanya besar, malah disukai oleh ALLAH Ar-Rahman.
Justeru, janganlah kita membiarkan masa yang berlalu tanpa kita mengamalkannya. Samada sedang berjalan, sedang menunggu, sedang berehat, sedang memandu atau mana-mana ketika pun, janganlah kita biarkan masa berlalu pergi tanpa diisi dengan dzikrullah. Apatah lagi seperti kalimah zikir di atas. Mudah, tapi besar ganjarannya.

Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

SENTIASALAH MENGINGATI MATI


1) Mengingati mati bagi seorang Islam akan meningkatkan Iman seseorang. Dengan mengingati mati, ia membentuk penghidupan seorang Muslim itu dengan penuh kesederhanaan. Tidak berlebih-lebih didalam melakukan sesuatu. Mereka tahu bahawa apa yang ada didunia ini hanya bersifat sementara.

2) Mengingati mati juga merupakan motivasi bagi seseorang Muslim untuk mempertingkatkan amalan akhiratnya. Disamping melakukan amalan wajib, mereka juga menambah amalan-amalan sunat, yang akan menyediakan mereka menghadapi hari kematian. Orang Islam percaya bahawa setelah mati, mereka tidak dapat lagi melakukan amalan-amalan soleh, maka didunialah tempat melabur saham akhirat.

3) Ingat akan mati merupakan benteng kepada umat Islam dari terjebak diri melakukan dosa! Apabila terlintas didalam hati untuk melakukan dosa, seorang yang beriman akan berfikir, kalaulah semasa melakukan dosa tersebut, Allah mengambil nyawanya. Apa yang ingin dia jawab di hadapan Allah?? Ingat kepada mati menjadi benteng orang-orang yang beriman, antara maksiat dan amalan soleh.

GANGGUAN SYAITAN TERHADAP MANUSIA


Syaitan menganggu manusia tidak hanya dengan cara membisikkan suatu keburukan atau keraguan di hati manusia, namun Syaitan lebih jauh telah berani dengan secara terang-terang mengganggu manusia.

Gangguan Fisikal.
Syaitan berjalan pada aliran darah tubuh manusia, kadang ia berkerja dengan mempersempit atau menyumbat jalan darah. Ia mampu wujud nyata seperti menjadi daging atau lainnya. Tidak hairan bila sering kali seseorang yang sakit kepala bertahun-tahun sembuh setelah di-ruqyah, sampai barah ganas sembuh dengan izin Allah melalui ruqyah. Syaitan menyempitkan saraf atau menguasai saraf tertentu, hingga seorang lumpuh pada sebahagian anggota tubuh, bahkan boleh lumpuh seluruh badan. Banyak sudah yang meninggal dunia disebabkan gangguan jenis ini.

Gangguan Minda.
Syaitan membisikkan segala sesuatu ke telinga seseorang, hingga membuatnya bingung dan kacau, atau kadang membisikkan ke dalam hati. Bila dibiarkan atau ditangani dengan cara yang salah, biasanya orang tersebut akan terganggu saraf otaknya, dan menjadikannya gila. Juga dengan mempengaruhi emosi seseorang, hingga terjadi kelainan emosional. Mudah lupa dan tidak fokus, sering disebabkan gangguan ini.

Gangguan Dalam Mimpi.
Syaitan mampu masuk ke alam mimpi seseorang. Mengganggu manusia dengan cara menakut-nakuti, menampakkan kejadian keji, sadis dan mengerikan.

Gangguan Dalam Ibadah
Syaitan akan membuatkan kita lupa jumlah rakaat dalam shalat, susah nak khusyu’, mudah buang angin atau buang air, ragu-ragu ketika bersuci, menguap saat zikir atau ibadah lainnya. Takut naik pesawat ketika hendak pergi haji, takut fakir bila hendak sedekah dan sebagainya.

Penjagaan Diri dari Gangguan Syaitan

1) Iman dan Tawakal.
Sesungguhnya (terhadap) hamba-hamba-Ku, engkau (Iblis) tidaklah dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai Penjaga”. (Al isra’:65). Ibnu Abbas berkata (tentang ayat ini):… mereka adalah orang-orang mukmin.

Sungguh, Syaitan itu tidak akan berpengaruh terhadap orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhan”. (An Nahl: 99).

2) Menjahui Maksiat.
Sesungguhnya orang-orang yang berpaling di antara kamu ketika terjadi pertempuran antara dua pasukan itu, sesungguhnya mereka digelincirkan oleh Syaitan, disebabkan sebagian kesalahan (dosa) yang telah mereka perbuat (pada masa lalu)…”.(Ali Imran: 155).

3) Zuhud dan tidak terpedaya dunia.
Wahai manusia ! Sungguh, janji Allah itu benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah (Syaitan) yang pandai menipu, memperdayakan kamu terhadap Allah”. (Fathir:5).

4) Mohon Perlindungan Allah.
Dan jika Syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah…”.(Al A’raf:200).

Semoga kita meminta perlindungan Allah s.w.t dan kita mengiklaskan diri kita kepada Allah s.w.t semata-mata.

NIKMAT BERSOLAT TENGAH MALAM (TAHAJJUD)


Firman Allah Taala: “Hendaklah engkau gunakan sebahagian waktu malam itu untuk sembahyang tahajjud,sebagai sembahyang sunat untuk dirimu, mudah-mudahan Tuhan akan membangkitkan engkau dengan kedudukkan yang baik.” (al-Isra’:79)
 
Sabda Rasulullah s.a.w.:  “sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam.” (riwayat Muslim)


Terlalu banyak fadilat dan kelebihan sembahyang tahajud. Ini kerana tahajud merupakan suatu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya (paling kurang) hanya dua sahaja tetapi tidak semua orang mampu melakukan. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas tidur. oleh itu Allah dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajjud.

Antara kelebihan dan fadhilatnya ialah:

1. Di tempatkan di akhirat nanti di tempat yang terpuji.
2. Mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ ala.
3. Dapat mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala.
4. Dikabulkan doa dan permohonan serta diampunkan dosanya.
5. Terhindar daripada segala penyakit tubuh badan dan mencegah daripada melakukan dosa dan kejahatan.
6. Dijanjikan masuk syurga dengan selamat sejahtera.
7. Mendapat syafa‘at baginya dan ahli keluarganya.
8. Dijadikan orang yang bijaksana dengan dikurniakan pengetahuan yang tinggi.
9. Dibangkitkan daripada kubur dengan wajahnya yang putih bercahaya.
10. Diringankan hisabnya.
11. Dipermudahkan baginya meniti shirat (jambatan) seperti kilat.
12. Diberi buku amalan dengan tangan kanan di akhirat kelak

LIHATLAH KEHEBATAN IMAN SEEKOR SEMUT


Di zaman Nabi Sulaiman A.S, berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Sulaiman ternampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Sulaiman a.s pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki datang dari ALLAH, aku percaya rezeki datang dari ALLAH, aku yakin di atas batu kering di pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Sulaiman a.s pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Sulaiman a.s pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Sulaiman a.s pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa". Itulah Iman Sang Semut!!

BERTAUBATLAH KEPADA ALLAH S.W.T


Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya…sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa. Malah Allah al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )

Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa”. ( Surah al-Najm : 32 )

Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Maksud firman Allah SWT :
“Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31)

Maksud Firman Allah SWT :
"Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa." ( Surah Ali Imran :133)

Allah SWT juga berfirman:
"Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." ( Surah Hud: 114).

Hadis-hadis Nabi saw juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah ; Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Sabda Nabi saw :
Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali”. ( Imam Muslim)

Rasulullah saw yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah saw kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa. Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak.

Allah SWT yang bersifat Maha Penyayang telah mensyariatkan ibadat yang menjanjikan dosa-dosa diampunkan. Antaranya ;

1- Berwuduk

Rasulullah saw bersabda :
“Tidaklah salah seorang daripada kamu mendekati air wuduknya, kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidungnya lalu mengeluarkannya kembali, melainkan gugurlah dosa-dosa di (rongga) mulut dan rongga hidungnya bersama air wuduknya, kemudian (tidaklah) ia membasuh mukanya sebagaimana yang Allah perintahkan, melainkan gugurlah dosa-dosa wajahnya melalui hujung-hujung janggutnya bersama titisan air wuduk, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua tangannya sampai ke siku, melainkan gugurlah dosa-dosa tangannya bersama air wuduk melalui jari-jari tangannya, kemudian (tidaklah) ia menyapu kepalanya, melainkan gugur dosa-dasa kepalanya bersama air melalui hujung-hujung rambutnya, kemudian (tidaklah) ia membasuh kedua kakinya, melainkan gugur dosa-dosa kakinya bersama air melalui hujung-hujung jari kakinya.” (Imam Muslim)

2. Solat fardu, solat Jumaat dan Puasa Bulan Ramadan.

Rasulullah saw bersabda :
"Salat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa di antaranya selama dosa-dosa besar dihindari." (Imam Muslim)

3. Puasa Sunat Asyura’ dan puasa sunat wukuf.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyur (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.”( Imam Muslim )

4. Tasbih, tahmid dan takbir

Sabda Rasulullah saw :
“ Sesiapa yang menyebut setiap kali selepas solat dengan tasbih, tahmid dan takbir ( 33x) di akhiri dengan ucapan Laa ila ha illa Allah….. maka diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. ( Imam Muslim)

Para ulama’ mentafsirkan dosa-dosa yang diampunkan di atas ialah hanyalah dosa kecil sebagai mana pendapat Imam al-Nawawiy dalam kitab syarh Muslim. Dosa besar hanya diampunkan bila dilakukan taubat nasuha.

Begitulah perancangan Allah yang bersifat al-Hakim ( Maha Bijaksana ) menyusun ibadat-ibadat untuk menghapuskan dosa-dosa hambaNya. Solat fardu atau puasa Ramadan yang kita lakukan dengan ikhlas akan memberi kebaikan kepada kita sendiri. Dengan kata lain Allah mewajibkan amalan-amalan tertentu bukan untuk membebankan hamba-hambaNya tetapi sebagai ujian sama ada taat atau ingkar dan untuk menyucikan rohani mereka daripada kegelapan dosa.

Betapa ruginya mereka yang mengabaikan solat fardu dan puasa wajib. Tanpa mereka sedari golongan ini membuat koleksi dosa-dosanya dari semasa ke semasa. Mereka tiada peluang untuk menyucikan jiwa mereka daripada dosa. Lebih malang sekiranya mereka dijemput oleh Malakul Maut secara mengejut tanpa taubat, Na’uzubillah.

LIMA PENAWAR HATI


Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash.
Katanya penawar hati itu ada 5 :

1) Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya
2) Mengosongkan perut
3) Bangun bersolat malam
4) Bertadharruk (memohon doa) kepada Allah pada waktu sahur
5) Duduk di majlis orang-orang soleh.

Pertama : Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah ramai di kalangan umat Islam yang melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.


Kedua : Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi SAW sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.


Ketiga : Ramai orang boleh bangun malam. Bangun sebab hendak kencing, atau kerana anak menangis, atau juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau 2 rakaat, memang sangat berat.


Keempat : Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sebelum berpuasa dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya, antara waktu mustajab doa ialah ketika waktu sahur.


Kelima : Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang baik tentu menenangkan jiwa. Ia jauh lebih mulia berbanding berada di disko, kedai kopi atau di padang bola.

Anda ingin menjadikan hati tenang dari resah gelisah?
 5 perkara ini adalah penawarnya.


Firman Allah : “…ingatlah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang”.

TANDA HATI KITA MATI



Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :


1) Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya

2) Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda

3) Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya

4) Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya

5) Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya

6) Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya

7) Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya

8) Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya

9) Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri

10) Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya:


Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.


Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.


Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.


Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah ( berzikir ).


Firman Allah:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ (٢٨)


(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Al-Rad, Ayat 28)


Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,

Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,

Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,

...dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Zat yang Memiliki mu."


Hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.


Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud:

ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحۡسَنَ ٱلۡحَدِيثِ كِتَـٰبً۬ا مُّتَشَـٰبِهً۬ا مَّثَانِىَ تَقۡشَعِرُّ مِنۡهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخۡشَوۡنَ رَبَّہُمۡ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمۡ وَقُلُوبُهُمۡ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكَ هُدَى ٱللَّهِ يَہۡدِى بِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَمَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُ ۥ مِنۡ هَادٍ (٢٣)

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya."


Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.


Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

"Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati."


Kalaulah begitu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? Ini kerana ia beriktikad bahawa tiada di sana kecuali kehidupan dunia sahaja dan maddi(kebendaan).


Justeru, ia cuba mendapatkannya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif. Inilah puncanya.

TANDA-TANDA HATI KITA KERAS



Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan. Ia juga adalah tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil serta ketenangan dan kebimbangan.

Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1) Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan.
 Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat. Allah telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud;

"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." - [Surah At-Taubah:54]

2) Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran.
Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberikan peringatan;

"Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3) Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat.
Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4) Kurang mengagungkan Allah.
Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

AZAB API NERAKA


Diriwayatkan daripada An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya orang yang paling ringan azabnya pada Hari Kiamat ialah seorang lelaki yang diletakkan pada tapak kakinya dua biji batu dari Neraka, ianya akan menyebabkan otaknya mendidih iaitu lelaki yang tidak pernah kena tanah semasa berjalan". (Bukhari).


Diriwayatkan daripada Adiy bin Hatim r.a katanya: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: " Sesiapa di antara kamu yang mampu membuat pendinding iaitu penghalang dari azab Neraka walaupun hanya dengan sebelah buah kurma maka lakukanlah." (Bukhari).


Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.a, katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Seorang lelaki telah dihumban ke Neraka pada Hari Kiamat, terpancul keluar ususnya dan dia berputar dalam Neraka seperti seekor kaldai berputar mengelilingi pengisar gandum dalam kandang. Ahli Neraka mengerumuninya dan mereka bertanya: Hai kamu! Apa yang telah terjadi kepadamu? Bukankah kamu dahulu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar? Dia menjawab: Memang benar, Aku telah menyuruh orang melakukan kebaikan tetapi aku (sendiri) meninggalkannya dan aku mencegah manusia dari melakukan perkara mungkar sedangkan aku melakukannya". (Bukhari).


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: " Api (ini) yang dinyalakan oleh anak Adam adalah sepertujuh puluh dari kepanasan api Neraka Jahanam." Para sahabat berkata: Demi Allah, dengan kepanasan inipun sudah memadai wahai Rasulullah! Baginda bersabda, " Sesungguhnya kepanasan api Neraka Jahanam melebihi kepanasan api ini sebanyak enam puluh sempilan bahagian (kali ganda), Setiap satu bahagian, kepanasannya sama dengan api ini". (Bukhari).


ALAM KUBUR



Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila si mati dikuburkan, datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya). Kemudian mereka menyoalnya: Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?

Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud:
Mereka bertanya kepadanya: Apa yang engkau pernah sembah?
Maka kalau Allah memberi hidayah petunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: Aku menyembah Allah!

Kemudian ia ditanya lagi: Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?

Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga:

Mereka menyoalnya dengan berkata: Siapa Tuhanmu?
Ia menjawab: Tuhanku ialah Allah!
Mereka bertanya lagi: Apa agama mu?
Ia menjawab: Agamaku ialah Islam!
Mereka bertanya lagi: Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu?

Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!

Mereka berkata kepadanya: Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian.

Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga."

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya; kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: Tidurlah! Lalu ia berkata: Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?

Dua Malaikat itu berkata kepadanya: Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu.

Jika si mati itu seorang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak.

Lalu dua Malaikat itu berkata: Memang kami tahu engkau berkata demikian.

Dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia pakaian dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya; kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya." (Abu Hurairah r.a)