7 SUNNAH RASULLULLAH S.A.W.



1. TAHAJJUD
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah S.W.T.

2. MEMBACA AL-QURAN
Membaca al-quran sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca al-quran terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

3. JANGAN TINGGALKAN MASJID
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi kerana panggilan Allah S.W.T.

4. SOLAT DHUHA
Jaga solat dhuha kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

5. SEDEKAH
Jaga sedekah setiap hari. Allah S.W.T. menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.

6. WUDUK
Jaga wuduk terus menerus kerana Allah S.W.T. menyayangi hamba yang berwuduk.

7. ISTIGHFAR
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah S.W.T.



TUNJUKKANLAH SIFAT KEHAMBAAN MU DI HADAPAN ALLAH S.W.T.




Berkata Syaikh Ibnu Athaillah:

"Tunjukkanlah sifat-sifat (kehambaan) mu dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah S.W.T. akan menolongmu dengan Sifat-Sifat-Nya. Iaitu tunjukkanlah kehinaanmu, nescaya Allah S.W.T. akan menolongmu dengan Kemuliaan-Nya, tunjukkanlah kerendahanmu, nescaya Allah S.W.T. akan menolongmu dengan Kekuasaan (Kudrat)-Nya, dan tunjukkanlah kelemahanmu nescaya Allah S.W.T. akan menolongmu dengan upaya dan Kekuatan-Nya".

Sebagai hamba Allah S.W.T, kita ini adalah makhluk yang lemah, hina, miskin dan mempunyai banyak kekurangan. Oleh yang demikian, hendaklah kita menunjukkan dan mengakui kekurangan-kekurangan tersebut dengan bersikap rendah diri dan merasa selalu memerlukan pertolongan-Nya.

Dengan demikian, maka hati ini akan sentiasa bersih daripada sifat sombong, takbur, dengki, ujub, suka membanggakan diri serta sifat-sifat tercela lainnya.

Selanjutnya ia akan menimbulkan keyakinan bahawa segala sesuatu itu tiada memiliki daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah S.W.T. semata-mata.

MATA MANUSIA TIDAK MAMPU MELIHAT ALLAH S.W.T.



Lemah dan sangat terbatasnya kemampuan alat penglihatan manusia, menyebabkan mereka tidak mampu untuk melihat Allah S.W.T.

Seandainya Allah S.W.T. menampakkan wujud-Nya, nescaya mata manusia akan buta. Bahkan seluruh tubuh manusia itu akan rosak binasa disebabkan KeAgungan dan KeHebatan Dzat Allah S.W.T.

Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam Firman-Nya melalui sebuah hadis Qudsi (yang bermaksud):

"Hai Musa!, Engkau sekali-kali tidak akan dapat melihat-Ku. Sungguh mahkluk hidup pasti akan mati kerana melihat-Ku, yang basah pasti menjadi kering kontang, yang kering pasti bertaburan, yang dapat melihat-Ku hanyalah penghuni Syurga dan tidak akan mati pandangannya serta tidak akan hancur binasa tubuhnya".
(Diriwayatkan oleh al-Hakim dari Ibnu Abbas).

Berdasarkan kepada hadis Qudsi di atas, dapat kita ketahui bahawa yang dapat melihat Allah S.W.T. hanyalah penghuni Syurga. Kerana setelah mereka mati, diciptakan semula oleh Allah S.W.T. dengan sifat-sifat kesempurnaan, kekal selama-lamanya, dilenyapkan segala kelemahan-kelemahan manusia sehingga mereka sanggup untuk melihat Allah S.W.T. bahkan mereka memperolehi kenikmatan ketika memandang kepada-Nya.

Bagaimanapun, tiada seorang juapun yang mengetahui hakikat memandang tersebut dan cara-caranya. Sedangkan para ulama salaf berpendapat bahawa soal ru'yah (memandang) itu berpangkal pada `Bila Kaifa' (tidak tahu bagaimana caranya), sehingga kita tidak dapat memperkirakan atau menggambarkannya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka tiada seorangpun yang mengetahui apa-apa yang dirahsiakan untuk mereka, iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan".
(Surah al-Sajdah: 17).

IBADAH SELAMA 50 TAHUN YANG SIA - SIA



Wahab bin Munabbah bercerita:

Ada seorang Nabi telah menyembah kepada Allah S.W.T. selama 50 tahun. 
Kemudian dia mendapat wahyu dari Allah mengatakan: 

"Aku telah mengampunimu".

Dia (nabi) bertanya: "Mengapa Engkau mengampuniku sedangkan aku tidak pernah berdosa?".

Kemudian Allah S.W.T. memerintahkan agar sebatang pohon menimpanya sehingga dia kesakitan dan tidak tidur semalam suntuk.

Kemudian dia (nabi) mengadukan perihalnya itu kepada Allah S.W.T.
Maka pohon itu berkata:

"Sesungguhnya Allah berkata kepadamu bahawa ibadah 50 tahun itu belum cukup untuk menebus keluhan itu".

ALLAHU AKBAR!

Allah S.W.T. berfirman dalam sebuah hadis Qudsi (yang bermaksud):
"Barangsiapa tidak rela dengan keputusan-Ku dan tidak syukur pula dengan pemberian-Ku, hendaklah dia cari Tuhan selain Aku".



JANGAN BERPUTUS ASA KETIKA DIUJI OLEH ALLAH S.W.T.



Syaikh Ibnu Athaillah mengatakan:

"Barangsiapa yang menyangka terlepasnya kasih sayang Allah daripada Kudrat-Nya, maka yang demikian itu (menandakan) kedengkalan pengetahuannya.".

Sebagaimana yang dinyatakan, bahawa Allah S.W.T. mencurahkan Kasih Sayang-Nya dengan mendatangkan berbagai cubaan kepada hamba-Nya. Oleh yang demikian, jika ada orang yang merasakan dirinya tidak memperolehi rahmat atau kasih sayang daripada Allah ketika dia menerima cubaan, bererti iman dan keyakinannya amat lemah sekali.

Allah S.W.T. menyindir orang yang berfikiran seperti ini dengan firman-Nya (yang bermaksud);

"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah dengan berada di tepi-tepi. Maka andainya dia memperolehi kebajikan, maka tetaplah dia dalam keadaan tersebut. Jika dia ditimpa oleh sesuatu bencana maka berpaling dia ke belakang, maka rugilah dia dunia dan akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata".  (Surah al-Hajj: 11).

Menurut al-Nadawi, kebanyakan manusia itu menganggap bahawa cubaan atau ujian hidup itu boleh melemahkan cita-cita dan melumpuhkan keyakinannya. Kerana pada dasarnya manusia itu hanya mengingini yang mudah-mudah dan tidak mahu menghadapi kesusahan apalagi cubaan hidup.

Bagaimanapun, bagi orang-orang yang beriman dan yang mahu memperkukuh serta menyempurnakan akidahnya, cubaan atau ujian itu akan semakin memperkukuh semagatnya untuk mengabdi kepada Ilahi serta meningkatkan ketakwaannya kepada Allah S.W.T.

Lebih lanjut, al-Nadawi mengatakan, jika cubaan-cubaan hidup yang dialami semakin sering menimpa seseorang, maka mereka percaya bahawa yang mendatangkan semuanya itu adalah Allah S.W.T. yang merupakan iradah Ilahiyyah dan hikmah Rabbaniyyah.



TANDA-TANDA ORANG YANG MENDAPAT HIDAYAH DAN ORANG YANG DISESATKAN OLEH ALLAH S.W.T.




Di antara tanda-tanda orang yang telah disesatkan atau dihinakan oleh Allah S.W.T adalah seperti berikut:

1) Merasa berat dan susah hendak mengerjakan perintah-perintah-Nya, walaupun dia sudah berusaha ke arah itu.

2) Mudah tergoda untuk melanggar larangan-larangan-Nya, walaupun sudah berusaha untuk menghindarinya.

3) Merasakan bahawa dirinya tidak lagi memerlukan pertolongan Allah, sehingga dia tidak pernah berdoa kepada-Nya.


Manakala di antara tanda-tanda orang yang memperolehi taufik dan hidayah dari Allah pula ialah seperti berikut:

1) Merasa mudah dan ikhlas hatinya dalam mengerjakan perintah-perintah Allah S.W.T.

2) Tidak mudah tergoda untuk mengerjakan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.

3) Sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon pertolongan-Nya dalam menghadapi setiap masaalah yang dihadapinya, baik berkaitan dengan dunia, terutama berkenaan dengan masaalah akhirat.

Demikianlah perbezaan antara orang-orang yang sesat dengan orang-orang yang memperolehi taufik dan hidayah dari Allah S.W.T.

Mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mendapat taufik dan hidayah dari Allah S.W.T.


HANYA SEORANG YANG MASUK KE SYURGA DARIPADA SETIAP SERIBU ORANG



Setelah datang arahan daripada Allah S.W.T supaya orang-orang mujrimun (kafir) berpisah daripada orang-orang yang beriman maka kedudukan manusia di padang Masyar telah terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan mukminun dan golongan mujrimun. 

Ketika puak mujrimun (kafir) dipisahkan daripada orang-orang yang beriman, mereka mula merasai ketakutan yang terlalu amat.

Ketika itu, datang seruan kedua yang memerintahkan Nabi Adam A.S;
"Wahai Adam, hantarkanlah kiriman untuk ke neraka".

Kemudian Nabi Adam A.S. bertanya semula kepada Allah S.W.T.
"Sebanyak mana wahai Tuhan?".

Lalu Allah S.W.T menegaskan;
"Bahawa daripada seribu orang, sembilan ratus sembilan puluh sembilan untuk neraka, hanya satu daripada seribu yang dimasukkan ke syurga".

Mulai dari saat itu, puak-puak yang menyeleweng daripada ayat-ayat Allah S.W.T. diheret keluar daripada kumpulan orang-orang yang beriman oleh para Malaikat, yang berbaki hanya satu genggaman yang akan dimasukkan ke syurga Allah S.W.T.
Sebesar manakah genggaman Tuhan itu? Hanya Allah S.W.T. sahaja yang Maha Mengetahui.

Ketika Abu Bakar As-Siddiq r.a. mendengar hadis tersebut disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. lalu Abu Bakar berdoa kepada Allah S.W.T;

"Semoga kita termasuk kedalam genggaman Tuhan itu". iaitu dalam kalangan orang-orang mukmin yang bakal menikmati syurga Allah S.W.T.