JANGAN BERPUTUS ASA KETIKA DIUJI OLEH ALLAH S.W.T.



Syaikh Ibnu Athaillah mengatakan:

"Barangsiapa yang menyangka terlepasnya kasih sayang Allah daripada Kudrat-Nya, maka yang demikian itu (menandakan) kedengkalan pengetahuannya.".

Sebagaimana yang dinyatakan, bahawa Allah S.W.T. mencurahkan Kasih Sayang-Nya dengan mendatangkan berbagai cubaan kepada hamba-Nya. Oleh yang demikian, jika ada orang yang merasakan dirinya tidak memperolehi rahmat atau kasih sayang daripada Allah ketika dia menerima cubaan, bererti iman dan keyakinannya amat lemah sekali.

Allah S.W.T. menyindir orang yang berfikiran seperti ini dengan firman-Nya (yang bermaksud);

"Dan di antara manusia ada orang yang menyembah dengan berada di tepi-tepi. Maka andainya dia memperolehi kebajikan, maka tetaplah dia dalam keadaan tersebut. Jika dia ditimpa oleh sesuatu bencana maka berpaling dia ke belakang, maka rugilah dia dunia dan akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata".  (Surah al-Hajj: 11).

Menurut al-Nadawi, kebanyakan manusia itu menganggap bahawa cubaan atau ujian hidup itu boleh melemahkan cita-cita dan melumpuhkan keyakinannya. Kerana pada dasarnya manusia itu hanya mengingini yang mudah-mudah dan tidak mahu menghadapi kesusahan apalagi cubaan hidup.

Bagaimanapun, bagi orang-orang yang beriman dan yang mahu memperkukuh serta menyempurnakan akidahnya, cubaan atau ujian itu akan semakin memperkukuh semagatnya untuk mengabdi kepada Ilahi serta meningkatkan ketakwaannya kepada Allah S.W.T.

Lebih lanjut, al-Nadawi mengatakan, jika cubaan-cubaan hidup yang dialami semakin sering menimpa seseorang, maka mereka percaya bahawa yang mendatangkan semuanya itu adalah Allah S.W.T. yang merupakan iradah Ilahiyyah dan hikmah Rabbaniyyah.