MATA MANUSIA TIDAK MAMPU MELIHAT ALLAH S.W.T.



Lemah dan sangat terbatasnya kemampuan alat penglihatan manusia, menyebabkan mereka tidak mampu untuk melihat Allah S.W.T.

Seandainya Allah S.W.T. menampakkan wujud-Nya, nescaya mata manusia akan buta. Bahkan seluruh tubuh manusia itu akan rosak binasa disebabkan KeAgungan dan KeHebatan Dzat Allah S.W.T.

Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam Firman-Nya melalui sebuah hadis Qudsi (yang bermaksud):

"Hai Musa!, Engkau sekali-kali tidak akan dapat melihat-Ku. Sungguh mahkluk hidup pasti akan mati kerana melihat-Ku, yang basah pasti menjadi kering kontang, yang kering pasti bertaburan, yang dapat melihat-Ku hanyalah penghuni Syurga dan tidak akan mati pandangannya serta tidak akan hancur binasa tubuhnya".
(Diriwayatkan oleh al-Hakim dari Ibnu Abbas).

Berdasarkan kepada hadis Qudsi di atas, dapat kita ketahui bahawa yang dapat melihat Allah S.W.T. hanyalah penghuni Syurga. Kerana setelah mereka mati, diciptakan semula oleh Allah S.W.T. dengan sifat-sifat kesempurnaan, kekal selama-lamanya, dilenyapkan segala kelemahan-kelemahan manusia sehingga mereka sanggup untuk melihat Allah S.W.T. bahkan mereka memperolehi kenikmatan ketika memandang kepada-Nya.

Bagaimanapun, tiada seorang juapun yang mengetahui hakikat memandang tersebut dan cara-caranya. Sedangkan para ulama salaf berpendapat bahawa soal ru'yah (memandang) itu berpangkal pada `Bila Kaifa' (tidak tahu bagaimana caranya), sehingga kita tidak dapat memperkirakan atau menggambarkannya.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Maka tiada seorangpun yang mengetahui apa-apa yang dirahsiakan untuk mereka, iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan".
(Surah al-Sajdah: 17).