SEMOGA DOA KITA DIKABULKAN OLEH ALLAH S.W.T.


Syarat dikabulkan doa

1. Yakin bahawa Allah S.W.T. akan mengabulkannya
Sabda Nabi S.A.W.,”Berdoalah kalian kepada Allah S.W.T. dan kalian harus yakin akan dikabulkannya.”(HR Tirmidzi)
Nabi juga bersabda,”Jika salah sorang dari kalian berdoa, maka janganlah ia mengatakan,”Ya Allah,berilah ampunan kepadaku jika Engkau menghendakinya.” Tapi hendaknya ia bersungguh-sngguh dengan permintaannya itu.”(HR Bukhari dan Muslim)


2. Khusyuk ketika menghadap Allah S.W.T.
Sabda Rasulullah S.A.W.,”Ketahuiah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa dari hati-hati yang lalai dan bermain-main.” (HR Tirmidzi)


3. Tidak terburu-buru
Rasulullah S.A.W. bersabda,”Akan dikabulkan doa salah seorng di antara kalian selama ia tidak terburu-buru.”
Terburu-buru di sini bermaksud ketidaksabaran dalam menanti doa dimakbulkan hingga akhirnya membawa kepada putus asa dalam berdoa(memberhentikan doa).


4. Memakan makanan yang halal
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda,”Orang lelaki itu kelihatan kotor dan berdebu kerana perjalanan yang panjang. Kemudian dia mengangkat kedua tangannya ke langit dan berkata,”Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku1″, tetapi makanannya adalah haram, minumannya adalah haram, pakaiannya adalah haram, dan dia telah memakan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya akan dimakbulkan?”(HR Abu Daud, an-Nasa’i, Imam Ahmad)


Maka, sebelum kita mengeluh dan terus mengeluh dengan doa-doa kita, jom sama-sama betulkan diri dan berdoa dengan lebih baik lagi. Semoga sama-sama beroleh keredhaanNya dan segala yang dihajati.

PEGANGLAH API BILA TERINGATKAN ZINA


Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Israak, ayat 32:
``Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat".


Di dalam sebuah kitab ada mengisahkan tentang seorang soleh yang sangat patuh kepada perintah Allah S.W.T.dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan, sehingga pada satu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang wanita jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.


Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah pelita yang baru saja dinyalakan untuk menerangi rumah orang soleh itu.
Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu.
Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri; ``Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah! Aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu, kiranya ia tahu panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu."


Maka orang soleh itu pun meletakkan jarinya di atas sumbu tadi.
Dia cuba menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang dideritanya itu.
Lalu segeralah dia berteriak: `` Wahai jiwa, tahniahlah engkau! Rupanya engkau tidak tahan. Ini baru daripada kepanasan api dunia, engkau sudah tidak tahan, padahal api dunia ini telah disejukkan oleh Allah S.W.T. dengan air sebanyak 70 kali ganda agar manusia boleh bertentangan dengannya.
Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan, apatah lagi untuk menghadapi api neraka, yang panasnya 70 kali ganda lebih dasyat daripada api dunia ini."


Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak hari itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.

PERKAHWINAN HENDAKLAH NIAT KERANA ALLAH S.W.T.


Rasulullah S.A.W. bersabda,:
"1. Sesiapa yang mengahwini wanita kerana kehebatan dunianya , Allah hanya menambah kehinaan padanya.
2. Sesiapa yang mengahwini wanita kerana hartanya, Allah hanya menambah kepapaan kepadanya.
3. Sesiapa yang mengahwini wanita kerana keturunannya, Allah hanya menambah kerendahan padanya.
4. Sesiapa yang mengahwini wanita hanya kerana untuk menjaga pandangannya, memelihara farajnya atau untuk menyambung silaturrahim, Allah akan memberkati lelaki tadi pada isterinya dan memberkati isterinya pada lelaki tersebut."
(Hadis riwayat at-Thabrani)

ALLAH S.W.T. TIDAK AKAN PANDANG PADA SOLAT ORANG YANG TIDAK KHUSYUK

Imam Hassan Al-Basri telah berkata: ``Setiap sembahyang yang tidak ada khusyu' hati bersamanya adalah lebih hampir kepada siksaan".

Maka berusahalah untuk mendapatkan khusyu' dalam solat dengan menghadirkan hati pada setiap bacaan yang diucapkan dan tanamkan di dalam hati akan kebesaran Allah S.W.T. dan keagunganNya sambil memandang rendah kepada diri sendiri dan rasa malu kepada Allah S.W.T.

BAGAIMANAKAH ALLAH S.W.T MENCIPTAKAN ALAM INI?

Bila Allah S.W.T. berkehendak untuk mengadakan atau menciptakan sesuatu, Allah S.W.T. hanya mengucapkan satu perkataan yang bersifat perintah, iaitu 'kun', yang ertinya 'jadilah'. Dengan mengucapkan kata kata 'kun' itu, maka tercipta apa yang dikehendaki Allah S.W.T.

Dengan cara begitu, maka terciptalah bumi dengan lautan dan daratannya, bergunung ganang dan jurang, lengkap dengan tumbuh tumbuhan dan segala jenis haiwannya.


Terciptalah matahari dengan cahayanya yang terang benderang, bulan dengan sinarnya yang berkemilauan, dan bintang bintang dengan cahayanya yang gemerlapan. Semuanya beredar diangkasaraya dengan peredaran yang teratur, menurut sunnah (penetapan) Ilahi yang mencipta dan mengaturnya, tanpa cacat celanya.


Kemudian diciptakan Allah S.W.T. pula para Malaikat yang selalu patuh menjalankan segala perintah Allah S.W.T. yang menciptanya, mengerjakan ibadat dan tugas masing masing yang sudah ditetapkan Allah S.W.T. bagi mereka. Diantara mereka ada yang menjadi penjaga bumi, penjaga langit dan ada pula yang menjadi Pesuruh Allah, sebagai perantara antara Allah S.W.T. dengan makhlukNya. Dalam menjalankan berbagai tugas itu, mereka selalu bertasbih mensucikan Allah S.W.T.


Setiap sesuatu yang kita lihat sekarang ini dahulunya belumlah ada, dahulu tidak ada manusia dan binatang, tidak ada tumbuh tumbuhan, tidak ada bumi matahari, bulan dan bintang. Dengan kudrat dan iradatNya Allah S.W.T. lalu menciptakan segala apa yang ada dan kita lihat sekarang ini.


Diciptakan oleh Allah S.W.T. langit dan bumi dan apa yang terdapat antara keduanya didalam waktu enam hari. Hari yang bukan bererti siang dan malam seperti yang lazim kita pergunakan sekarang ini. tetapi had yang bererti proses pertumbuhan atau masa, yang lamanya hanya Allah S.W.T. saja yang Maha Mengetahui.

KESAN-KESAN MAKSIAT TERHADAP HATI ORANG MUKMIN


Berkata Imam Malik kepada Imam Syafie ketika mereka bertemu:
``Sesungguhnya aku dapat melihat bahawa Allah S.W.T. telah mencampakkan cahaya di dalam hati kamu. maka janganlah kamu padamkannya dengan kegelapan maksiat"

Cahaya yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. ke dalam hati seorang mukmin itu akan beransur-ansur lemah apabila perbuatan maksiat bermaharajalela.
Akhirnya cahaya itu akan padam dan hati akan diselaputi oleh kegelapan yang pekat. Berapa ramai yang telah binasa, jatuh dalam kegelapan disebabkan mereka tidak dapat melihat (cahaya kebenaran.).
Mereka umpama orang buta yang berjalan di waktu malam di jalan yang penuh ranjau dan duri.
Kemudian kegelapan itu bertambah kuat melimpah daripada hati ke anggota badan seluruhnya.
Tertutuplah wajah-wajah mereka dengan kehitaman disebabkan kekuatan kegelapan tadi.
Seterusnya jika mereka mati, kubur-kubur mereka dipenuhi kegelapan.

SIAPAKAH ORANG YANG TERCELA MENURUT SUDUT PANDANGAN IMAM AL -GHAZZALI?


Imam Al-Ghazzali telah berkata dalam bukunya ''MIZANUL AMAL'':
''Barangsiapa menyembah Allah S.W.T. kerana untuk mencari Syurga atau kerana takut azab Neraka, maka ia adalah orang yang tercela".

SIAPAKAH YANG BUKAN GOLONGAN UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W.?


Sabda Rasulullah S.A.W. ''Barangsiapa benci terhadap sunnahku, maka ia bukanlah golonganku(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

PERBEZAAN ANTARA MANUSIA DAN BINATANG DARI SUDUT PANDANGAN IMAM AL-GHAZZALI


Imam Al-Ghazzali telah berkata dalam bukunya "MIZANUL AMAL",
''Manusia itu diciptakan dalam darjat pertengahan diantara binatang dan malaikat. Manusia itu mempunyai sejumlah kekuatan dan sifat-sifat. Adapun keistimewaan ialah ia diciptakan mempunyai kekuatan akal dan kekuatan menemukan hakikat segala perkara. Maka sesiapa yang menggunakan seluruh kekuatannya sesuai mengikut jalan untuk mencapai ilmu dan pengetahuan, maka ia telah menyerupai Malaikat. Maka pantaslah ia menyamai malaikat dan pantas pula ia dinamakn malaikat yang mengenal Tuhan."

Allah S.W.T. telah berfirman: "Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia". (Yusuf : 31).

Imam Al-Ghazzali juga telah berkata dalam bukunya "MIZANUL AMAL",
"Sesiapa yang memusatkan perhatiannya untuk menuruti keinginan hawa nafsu dan kelazatan badan, ia makan seperti binatang, maka ia akan jatuh menurun (darjatnya) bersama kelompok binatang. Ia adakalanya menjadi bodoh seperti binatang, atau pelahap seperti babi, bergulat seperti anjing, dengki seperti unta, sombong seperti harimau, membuat liang membelak-belok seperti musang, atau mengumpulkan sifat-sifat tersebut seperti syaitan yang jahat."

FADHILAT MEMBACA DAN MENGHAYATI AL-QURAN

FADHILATNYA IALAH :

1. Ibadat yang paling utama dari segi bacaan, manakala sembahyang sebesar ibadat dari segi gerak laku atau perbuatan.

2. Pahala membaca Al-Quran: 1 huruf 10 kebajikan, dan menurut Ibnu Majah diganda sampai 400 dan menurut Ibnu Al-Jauzi diganda 700 kali.

3. Balasan satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga.

4. Juga dikatakan balasan sebatang pokok di syurga.

5. Pahala membaca satu huruf dari Al-quran:
- Dalam sembahyang = 100 kebajikan,
- Di luar sembahyang dalam keadaan berwuduk 50 kebajikan,

6. Pembaca Al-Quran adalah hartawan dan pahala membaca tidak akan putus mengikut pendapat Ibnu Abbas.

7. Untuk selamat daripada api neraka,

8. Mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama Malaikat,

9. Di hari Kiamat, Al-Quran menjadi petanda,

10 Pembaca akan memperolehi keamanan,

11 Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan Malaikat,

12 Pembaca dimasukkan ke dalam golongan Siddiqin Syuhada' dan Solihin,

13 Membaca Al-Quran secara berkumpulan akan diampun dosa mereka.

14. Pembaca akan dapat kemuliaan di syurga,

15. Mendapat cahaya di bumi dan menjadi sebutan oleh Malaikat di langit,

16. Jika dibaca di rumah, akan memberi cahaya kepada rumah itu,

17 Membaca secara tadarus (bergilir-gilir) mendapat kemenangan, rahmat dan dikelilingi oleh Malaikat,

18. Pembaca yang mahir dan baik diutamakan jadi imam sembahyang,

19 Seutama-utama manusia ialah yang mempelajari dan mengajar Al-Quran,

20. Mempelajari satu ayat Al-Quran lebih baik dari sembahyang sunat 1000 rakaat,

21. Mempelajari dan membaca mendapat keberkatan dan keharmonian hidup,

22. Mendapat perlindungan di padang Masyar,

23 Pembaca akan dilindungi dari godaan syaitan.

IBLIS DIUSIR DARI SYURGA KERANA MENDERHAKA KEPADA ALLAH S.W.T.


Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis laknatullah itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah S.W.T. telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah." Lalu Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki."
Oleh kerana iblis laknatullah memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong. Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis laknatullah tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis laknatullah tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.


Kemudian Allah S.W.T. merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T. membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.


Setelah itu, lalu Allah S.W.T. mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T. melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis laknatullah itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap empat, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.


Ketika Allah S.W.T. membalas tipu daya iblis laknatullah, maka menangislah Jibril a.s.dan Mikail. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" (Allah S.W.T. lebih mengetahui),

Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu."

Firman Allah S.W.T. bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku."

Setelah diusir, maka iblis laknatullah pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."


Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum."

Berkata lagi iblis laknatullah, "Tambahkanlah lagi untukku."

 Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya."

Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Lalu Allah S.W.T. berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah."

Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Maka Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram."


"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka."
(Hal ini ada disebutkan dalamsurah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

MENUTUP AURAT TETAPI TIDAK MENGIKUT CARA ISLAM



MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH S.W.T.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya." Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."



Akhirnya Allah S.W.T. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril a.s. mengumumkan, ''telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut." Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)


Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad S.A.W. berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."


Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad s.a.w." Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah S.A.W. meraihnya. Berkata Jibril a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda S.A.W. mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah S.A.W. pun bertanya kepada Jibril a.s. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.


Telah bersabda Rasulullah S.A.W., " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

NASIB LIMA JENIS GOLONGAN DI AKHIRAT

Dikisahkan dalam sebuah kitab bahawa apabila tiba hari kiamat nanti maka akan keluar seekur binatang dari neraka Jahannam yang digelar Huraisy, yang mana panjangnya ialah jarak antara langit dan bumi dan lebarnya pula dari timur hingga ke barat. Apabila ia keluar maka malaikat Jibril a.s berkata, "Wahai Huraisy, kamu hendak ke mana dan kamu hendak mencari siapa?" Lalu berkata Huraisy : "Aku mencari lima jenis orang ."

1. Orang yang tidak mengerjakan solat.
2. Orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat.
3. Orang yang mendurhakai kedua orang tuanya.
4. Orang yang suka minum arak.
5. Orang yang sangat suka bercakap-cakap dalam masjid hal dunia.

KAIN KAFAN DARIPADA RASULULLAH S.A.W.


Seorang wanita datang kepada Rasulullah S.A.W.
Ia menyerahkan kain yang ditenunnya sendiri dan diserahkan kepada Rasulullah S.A.W sebagai rasa cintanya kepada Rasulullah S.A.W.
Dengan senang hati Rasulullah S.A.W. menerima pemberian itu dan memakainya.
Dengan memakai kain pemberian wanita itu, Rasulullah S.A.W keluar menemui sahabatnya.
Salah seorang daripada sahabat melihat begitu indahnya kain yang dipakai Rasulullah S.A.W,
lalu berkata, "Wahai Rasulullah, alangkah indahnya kain yang engkau pakai itu. Betapa senangnya jika aku memakainya," ujarnya.



"Baiklah," jawab Rasulullah S.A.W. ringkas. Setelah keluar dari suatu majlis,Rasulullah S.A.W. datang lagi ke tempat itu, tetapi tidak lagi menggunakan kain tenun yang baru dipakai itu.
Kain pemberian wanita itu berlipat di tangannya, dan kemudian diserahkan kepada sahabat yang memujinya tadi. "Terimalah kain ini dan pakailah," ujar Rasulullah S.A.W.
Melihat peristiwa itu, ramai sahabat yang mencela lelaki itu. Kain pemberian wanita itu sangat disenangi Rasulullah S.A.W. kerana itu dipakainya, tetapi Rasulullah S.A.W tidak pernah menolak permintaan seseorang.
"Mengapa engkau masih memintanya ?" sungut para sahabat.


Apa jawab sahabat yang meminta kain kepada Rasulullah S.A.W,
"Saya minta kain itu bukan untuk saya pakai, melainkan untuk saya gunakan untuk kain kafanku."

KEINSAFAN SEORANG PEMINUM ARAK


Pada suatu hari, Omar Al-Khatab sedang bersiar-siar di lorong-lorong dalam kota Madinah. Di hujung simpang jalan beliau terserempak dengan pemuda yang membawa kendi. Pemuda itu menyembunyikan kendi itu di dalam kain sarung yang diselimutkan di belakangnya.

Timbul syak di hati Omar AL-Khatab apabila terlihat keadaan itu, lantas bertanya, "Apa yang engkau bawa itu?" Kerana panik sebab takut dimarahi Omar yang terkenal dengan ketegasan, pemuda itu menjawab dengan terketar-ketar iaitu benda yang dibawanya ialah madu. Walhal benda itu ialah khamar. Dalam keadaannya yang bercakap bohong itu pemuda tadi sebenarnya ingin berhenti dari terus minum arak. Dia sesungguhnya telah menyesal dan insaf dan menyesal melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama itu. Dalam penyesalan itu dia berdoa kepada Tuhan supaya Omar Al-Khatab tidak sampai memeriksa isi kendinya yang ditegah oleh agama itu.



Pemuda itu masih menunggu sebarang kata-kata Khalifah, "Kendi ini berisikan madu." Kerana tidak percaya, Khalifah Omar ingin melihat sendiri isi kendi itu. Rupanya doa pemuda itu telah dimakbulkan oleh Allah S.W.T.  seketika itu juga telah menukarkan isi kendi itu kepada madu. Begitu dia berniat untuk bertaubat, dan Tuhan memberikan hidayah, sehingga niatnya yang ikhlas, ia terhindar dari pergolakan Khalifah Omar Al-Khatab, yang mungkin membahayakan pada dirinya sendiri kalau kendi itu masih berisi khamar.


Allah Taala berfirman:, "Seteguk khamar diminum maka tidak diterima Allah amal fardhu dan sunatnya selama tiga hari. Dan sesiapa yang minum khamar segelas, maka Allah Taala tidak menerima solatnya selama empat puluh hari. Dan orang yang tetap minum khamar, maka selayaknya Allah memberinya dari 'Nahrul Khabal'.


Ketika ditanya, "Ya Rasulullah, apakah Nahrul Khabal itu ?" Jawab Rasulullah s.a.w., "Darah bercampur nanah orang ahli neraka ! "

MENAHAN LAPAR KERANA MENGHORMATI TETAMU


Seorang telah datang menemui Rasulullah S.A.W. dan telah menceritakan kepada Baginda S.A.W. tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada ketika itu Baginda S.A.W.  tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri Baginda S.A.W.  mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu.

Baginda S.A.W.. kemudian bertanya kepada para sahabat,"Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku?" Seorang dari kaum Ansar telah menyahut, "Wahai Rasulullah S.A.W. , saya sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu."



Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan menerangkan pula kepada isterinya seraya berkata, "Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah S.A.W. Kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita." Lalu isterinya menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini ?"


Orang Ansar itu pun berkata, "Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka. Apabila saya duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini, dan apabila kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidak akan ketahui bahawa saya tidak makan bersama-samanya." Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga tersebut termasuk kanak-kanak itu sendiri terpaksa menahan lapar semata-mata untuk membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang.

Berikutan dengan peristiwa itu, Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud, "Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan." (Al-Hasy : 9)

BILAL DAN CINTANYA KEPADA ALLAH S.W.T.

Bilal r.a.hu adalah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling terkenal. Dia merupakan muazzin atau juru azan di Masjid Nabi. Dia merupakan seorang hamba Habshi yang dimiliki oleh seorang kafir di Mekah. Pengislamannya telah menimbulkan kemarahan yang tidak keruan didalam hati pemiliknya. Dia pun diazabkan tanpa perikemanusiaan.

Umayyah bin Khalaf, pemusuh ISLAM yang terkemuka yang memiliki Bilal akan membaringkannya atas pasir yang panas membakar serta meletakkan batu besar diatas dadanya sehingga ia tidak dapat menggerakkan tulangnya yang lapan kerat. Kemudian berkatalah Umayyah kepada Bilal:"Tinggalkanlah agamamu. Kalau tidak matilah kamu dalam kepanasan matahari yang tegak."


Bilal menjawab dengan berkata:"Ahad"-(Tuhan Yang Esa)-"Ahad-(Tuhan Yang Esa)."


Pada waktu malam ia didera dengan cemeti sehingga badannya luka. Pada waktu siang pula, dia dibaringkan diatas pasir yang panas. Tuannya berharap yang ia akan meninggalkan agamanya atau pun mati akibat luka-luka dibadannya. Namun demikian Bilal masih tetap dengan pendiriannya yang teguh. Umayyah, Abu Jahal dan pengikut-pengikut mereka menyiksa Bilal secara bergilir-gilir. Akhirnya Abu Bakar telah menebuskannya dan dari sejak itu hiduplah ia sebagai seorang Muslim yang bebas. Semenjak ia dibebaskan, dia sentiasa berdampingan dengan Nabi Muhammad s.a.w. sehingga Baginda s.a.w. wafat. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., Bilal pun meninggalkan Kota Madinah.


Pada suatu ketika dia telah melihat Nabi Muhammad s.a.w. dalam mimpinya. Berkata Nabi Muhammad s.a.w. kepada Bilal: "Wahai Bilal, mengapakah kamu tidak melawatku?"


Sebaik-baik sahaja dia bangun dari tidurnya, dia pun bersiap-siap untuk berangkat ke Madinah. Setibanya dia dikota itu dia telah berjumpa dengan Hassan dan Hussain, cucunda Nabi Muhammad s.a.w. Mereka menyuruh dia berazan.Permintaan orang yang dicintainya itu tidak dapat ditolak. Apabila suara Bilal berkumandang diruang angkasa Kota Madinah, penduduk-penduduknya pun tanpa segan dan silu menghamburkan air mata mereka kerana teringat zaman keemasan yang telah mereka lalui semasa hidupnya kekasih mereka Nabi Muhammad s.a.w.

Sekali lagi Bilal telah meninggalkan Kota Madinah dan akhirnya meninggal dunia di Damsyik pada tahun Hijiriah yang ke dua puluh.

ALLAH S.W.T. SUKA KEPADA AMALAN HAMBANYA YANG BERTERUSAN WALAUPUN SEDIKIT

Sabda Rasulullah S.A.W;

"Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya Allah tidak akan bosan sebelum kamu merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang ringan namun berterusan." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis Rasulullah S.A.W. di atas menyebut bahawa amalan yang paling dicintai oleh Allah S.W.T. adalah yang kekal walaupun sedikit. Para ulamak juga sentiasa mengingatkan kita peri pentingnya istiqamah dalam setiap amal perbuatan kita. Istiqamah juga terbukti merupakan kunci kepada kejayaan sesorang di dalam amalannya dan peningkatannya dari satu darjat ke satu darjat di sisi Allah S.W.T.

Seorang yang ibadahnya sekejap berkurang sekejap bertambah mana mungkin sama dengan seseorang yang ibadahnya kekal berterusan. Malahan seorang yang istiqamah pasti diberikan kelazatan amalan tersebut oleh Allah Taala, maka akan berusaha menambahkannya lagi

TEMPAT TINGGAL IBLIS LAKNATULLAH

Anas bin Malik r.a. berkata:



"Iblis telah bertanya pada Allah: katanya,
''wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan anak Adam tempat kediaman untuk mereka berteduh dan berzikir kepadaMu, oleh itu tunjukkanlah padaku tempat kediaman untukku."


Firman Allah:
"Tempat kediamanmu adalah di dalam tandas."

Iblis bertanya lagi:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan anak Adam berkumpul di masjid, di manakah pula tempatku berkumpul?"


Firman Allah:
"Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, pesta, pusat membeli belah, kelab malam, tempat hiburan serta majlis-majlis maksiat."

Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau berikan anak Adam itu kitab (al-Quran) untuk mereka membacanya, tunjukkanlah apa pula bahan bacaanku?"


Firman Allah:
"Bacaan untukmu ialah syair dan sajak yang melalaikan."

Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita benar, apakah pula cerita bagiku?"


Firman Allah:
"Cerita bagimu ialah kata-kata kesat dan dusta."


Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah berikan azan kepada anak Adam untuk mereka memanggil orang sembahyang, apa pula azan untukku?"


Firman Allah:
"Azan untukmu ialah seruling."


Iblis bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau telah menghantar utusan-Mu dari para rasul dan juga nabi, siapakah yang menjadi utusanku?"


Firman Allah:
"Para utusan mu terdiri daripada bomoh, tabib dan dukun yang menduakan Aku."

Iblis Bertanya:
"Wahai Tuhanku, Engkau berikan kitab suci al-Quran yang bertulis kepada mereka, apakah pula tulisan bagiku?"


Firman Allah:
"Tulisanmu ialah tatu, gincu serta lukisan di badan."


Iblis bertanya:
"Ya Tuhanku, Engkau berikan anak Adam perangkap, apakah pula perangkap bagiku?"


Firman Allah:
"Perangkap bagimu ialah wanita."


Iblis bertanya:
"Ya Tuhanku, Engkau berikan mereka minuman yang halal yang disebutkan nama-Mu, apakah pula minuman untukku?"


Firman Allah:
"Minumanmu ialah sesuatu yang memabukkan serta tidak disebutkan nama-Ku padanya."

NASIHAT IBLIS KEPADA NABI NUH A.S.

Di antara manusia yang mendapat umur yang sangat panjang di dunia ini adalah Nabi Nuh as. Al-Quran mengatakan bahawa dia pernah hidup di sekitar kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun. Sepanjang masa itu Nabi Nuh telah menyeru mereka pada jalan Allah S.W.T., namun hanya sedikit dari mereka yang kemudian mengikuti jalannya. Melihat kaumnya yang sengaja mengingkari agama Allah S.W.T., bahkan sering mengganggunya, Nabi Nuh memohon kepada Allah S.W.T. agar ditimpakan bencana kepada mereka. Allah S.W.T. mengabulkan permohonannya.



Nabi Nuh diperintahkan untuk membuat kapal besar yang boleh memuat semua jenis makhluk hidup. Allah S.W.T. akan menurunkan hujan yang sangat lebat dan mengalirkan banjir yang sangat besar sehingga tidak satu pun dari mereka yang kafir akan tertinggal.


Tiba waktunya apa yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Bersama semua pengikutnya dan segenap pasangan makhluk melata lain Nabi Nuh naik ke atas kapal. Hujan mulai turun membasahi bumi. Nabi Nuh memperhatikan satu persatu dari mereka yang hadir di kapal. Tiba-tiba matanya memandang seorang lelaki tua yang tidak dikenalnya.


“Siapa anda?” tanya Nabi Nuh ingin tahu.


“Aku Iblis,” jawabnya.


Dasar Iblis, dia tahu saja bagaimana cara masuk ke dalam kapal Nabi kekasih Allah itu. Dia boleh hadir di mana saja dia mahu. Bukan kerana dia makhluk ajaib, tetapi dia memang sangat gigih memperjuangkan usahanya.


“Mengapa engkau mahu ikut kami?” tanya Nabi Nuh lagi.


“Aku bukan mahu ikut kapalmu dan ingin selamat bersamamu. Aku hanya ingin mengganggu hati para pengikutmu. Biarlah tubuh mereka bersamamu asal hati mereka bersamaku,” jawab Iblis terus terang.


Iblis memang tidak pernah menyembunyikan niat jahatnya untuk mencelakakan manusia. Fikirnya, semua manusia sudah tahu siapa dia. Sejak zaman Adam sampai hari kiamat. Mengapa harus berbohong lagi, kerana tidak semua yang manusia ketahui pasti akan diikuti.


“Keluarlah dari kapalku, wahai musuh Allah!” kata Nabi Nuh kepada Iblis.


Iblis tidak menjawab apakah mahu keluar atau akan tetap di sana. Sebelum Nabi Nuh, Allah S.W.T. juga pernah mengusirnya keluar dari syurga. Tetapi, dia masih saja membangkang perintah Allah S.W.T. dan terus berusaha menggoda Adam sampai berhasil.


Dia hanya berkata, “Wahai Nuh, aku menyimpan lima strategi yang dengannya aku akan boleh mencelakan umat manusia. Aku akan sebutkan padamu yang tiga, tapi akan menyembunyikan darimu dua lainnya.” Kemudian Allah mewahyukan pada Nuh agar tidak usah mendengarkan yang tiga, tapi dengar saja dua yang lainnya.


“Aku tidak berminat mendengar tiga strategi yang akan engkau sebutkan itu, tapi sebutkan dua strategi yang engkau sembunyikan dariku,” jawab Nuh.


Iblis berkata, “Wahai Nuh aku akan berusaha membinasakan manusia dengan dua cara: pertama, dengan cara menanamkan sifat dengki dalam hati mereka; dan kedua dengan cara menanamkan sifat serakah dalam jiwa mereka. Kerana dengki maka aku dilaknat oleh Allah dan dijadikannya sebagai syaitan yang terkutuk. Dan kerana serakah maka Adam menghalalkan segala makanan di syurga sehingga dia dikeluarkan. Dengan dua sifat ini, kami semua dikeluarkan dari syurga.


Setelah kapal Nabi Nuh mendarat dengan segenap penumpangnya, tiba-tiba si Iblis datang lagi menghampirinya. Dengan suara yang amat merdu dia berkata pada Nuh, “Aku sangat berterima kasih padamu, lebih dari semua makhluk yang ada di bumi ini.”


“Terima kasih dari apa?” tanya Nabi Nuh ingin tahu.


“Permohonanmu agar orang-orang kafir itu dicelakakan telah dikabulkan oleh Allah. Dengan cara itu bererti engkau telah meringankan bebanku,” kata Iblis.


“Wahai Nuh, jangan sekali-kali engkau mendengki kerana ia telah mengantarku pada keadaan seperti ini. Dan jangan sekali-kali engkau serakah kerana ia telah menghantar Adam seperti yang dialaminya.”


Allah S.W.T. berfirman: ''Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawas tiap-tiap sesuatu."(Saba 21)

SYAITAN MENGELILINGI MANUSIA BAGAIKAN LALAT




Dipetik dari Kitab Hikam Ibni Athoillah As-Kandari (halaman 25)

Seorang lelaki daripada Bani Israil telah berpuasa ia selama 70 tahun lamanya. Dalam tiap-tiap tahun, lelaki berkenaan hanya akan berbuka pada dua hari raya dan tiga hari tasyrik.


Maka memohon ia kepada Allah Taala supaya diperlihatkannya bagaimana derhaka dan tipu dayanya syaitan terhadap manusia. Maka setelah lama sekali berpanjangan masa hajat dan niatnya untuk melihat syaitan itu, namun tiada diperkenankan pintanya.


Maka kata lelaki tersebut;
"Maka jikalau aku minta nyatakan atas kesalahanku dan dosaku antaraku dan Tuhanku, nescaya adalah terlebih baik daripada pekerjaannya(hajatku) untuk melihat syaitan".


Mendengar kata-kata itu, Allah Taala telah memerintah seorang malaikat kepada lelaki tersebut. Maka berkata malaikat kepadanya;
"Bahawasanya Allah 'Azzawajalla telah menyuruh ia akan daku kepadamu supaya menyampaikan firmanNya kepadamu yang bermaksud :


"Kata-kata mu itu(untuk melihat kesalahan dan dosa) itu terlebih baik kepada Allah daripada yang telah lalu daripada segala ibadatmu. Maka telah dibukakan Allah Taala akan penglihatanmu untuk melihat syaitan. Maka lihatlah olehmu akan dia(syaitan)".


Maka dilihat oleh lelaki tersebut berduyun-duyun beberapa tentera malaun (syaitan) dalam bumi ini dan tiadalah seseorang daripada manusia melainkan syaitan berada di sekelilingnya seperti keadaannya beberapa lalat (yang menggerumumi bangkai).

Maka kata lelaki tersebut; "Hai Tuhanku....bagaimana orang boleh selamat daripada keadaan ini?".

Maka firman Allah Taala: "Warak".


Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya [Saad : 82]

BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT

Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Ubaid bin Umair berkata: "
Adam a.s. berkata: "Ya Robbi, Engkau telah memenangkan Iblis atasku sehingga aku tidak dapat mengelakkan diri padanya kecuali dengan pertolonganMu."

Firman Allah S.W.T..: "Tiada lahir seorang anak keturunanmu melainkan telah aku datangkan kepadanya yang menjaganya dari tipu daya iblis, dan dari jin-jin yang jahat."

Adam berkata: "Tambahkan bagiku."

Jawab Allah S.W.T.: "Aku beri pahala setiap hasanat sepuluh lipat ganda dan ada harapan ditambah, sedang kejahatan satu lawan satu, dan ada harapan dihapuskan."

Adam berkata: "Tambahkan bagiku."

Firman Allah S.W.T.: "Taubat tetap diterima selama roh dikandung badan."

Adam berkata: "Tambahkan bagiku."

Firman Allah S.W.T..: "Qul ya ibadziyal ladzina asrafu ala anfusihim lataq nathu min rahmatillahi innallaha yagh firudzdzunuha jami'a, in nahu hauwal ghafururrahiem." Yang bermaksud: "(Katakanlah: Hai hambaKu yang telah memboros dari menggunakan masa hidup untuk amal yang tidak berguna) kamu jangan putus harapan dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah dapat mengampunkan semua dosa, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi penyayang.)"