ALLAH S.W.T. ADALAH MAHA MENDENGAR




Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata:

"Suatu ketika, aku bersembunyi di sebalik Ka'bah dan aku terjumpa dua orang musyrik. Lalu aku mendengar salah seorang dari mereka berkata kepada yang lain,

"Apakah Tuhan Muhammad (Allah S.W.T.) mendengar perbicaraan kita?".

Maka saudaranya yang buta itu berkata kepadanya,: 

"Apabila kita mengeraskan suara, maka Dia (Allah S.W.T) akan mendengarnya dan apabila kita merendahkan suara, maka Dia (Allah S.W.T) tidak akan mendengarnya".

Maka turunlah ayat berikut:

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Tiada perbicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dia-lah keempatnya. Tiada (perbicaraan antara) lima orang, melainkan Dia-lah keenamnya. Tiada (pula) perbicaraan antara jumlah yang kurang dari itu atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di manapun mereka berada. Kemudia Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu".
(al-Mujadilah (58) : 7).



ADAKAH KITA AKAN MASUK SYURGA KERANA IBADAT KITA ATAU KERANA RAHMAT DARI ALLAH S.W.T.?




Ada seorang lelaki dari Bani Israil, dia tinggal di sebuah pulau untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Setiap hari, dia sentiasa beribadah dan mengasingkan diri dari orang lain. 

Sewaktu Allah S.W.T. mencabut nyawanya setelah lima ratus tahun dari peribadatannya itu, (Manusia pada zaman itu memiliki umur yang panjang), 

Allah S.W.T. berfirman kepadanya:
"Apakah kamu akan masuk syurga kerana ibadahmu atau kerana rahmat-Ku"?

Lelaki itu menjawab: "Dengan ibadahku, kerana ibadahku sangat banyak iaitu selama lima ratus tahun".

Maka Allah S.W.T. berfirman:
"Wahai Malaikat-Ku, bandingkanlah amal ibadahnya dengan jumlah nikmat-Ku kepadanya".

Malaikat pun menghitungnya, lalu mereka mendapati bahawa solatnya, ibadahnya dan rasa syukurnya selama lima ratus tahun itu belum seimbang dengan nikmat mata (penglihatan).

Maka Allah S.W.T. berfirman:
"Seretlah lelaki ini ke dalam api neraka".

Maka lelaki itu pun menangis dan berteriak bagaikan histeria dan berkata: "Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam syurga kerana rahmat-Mu".

Maka Allah S.W.T. merahmatinya dan memasukkannya ke dalam Syurga.




Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Seseorang di antara kamu itu tidak akan masuk syurga dengan amalnya kecuali dengan rahmat Allah S.W.T"
Para sahabat r.a. bertanya: "Engkau juga wahai Rasulullah?".
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Ya, aku juga, kecuali apabila Allah meliputiku dengan rahmat-Nya".

(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim).


JANGAN CUBA UNTUK MEMBAYANGKAN ZAT ALLAH S.W.T.




Untuk mengenali Allah S.W.T. ialah dengan mengenali sifat-sifat-Nya.
Ada 20 sifat yang wajib bagi Allah yang mesti kita kenali.

Perlu diingat bahawa, kita tidak boleh mengenal Allah S.W.T. melalui zat-Nya kerana Allah S.W.T. itu tidak menyerupai segala sesuatu, yakni tidak menyerupai sebarang makhluk.
Zat Allah S.W.T. bukan benda, bukan jisim yang boleh kita lihat dan kita pegang.

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Tidak ada yang menyerupai-Nya segala sesuatu jua".
(As Syuraa: 11 ).

Dan kita pula tidak boleh membayang-bayangkan bagaimana rupa zat Allah itu kerana Allah S.W.T. itu tidak berupa dan tidak berbentuk.
Adalah salah sama sekali kalau kita membayang-bayangkan rupa Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Renungilah pada ciptaan Allah, nescaya kamu akan mengenal Allah. Dan jangan kamu renungi (mencari) zat-Nya, nescaya kamu akan sesat".

Kita akan sesat kalau kita cuba membayang-bayangkan zat Allah S.W.T.
Sebab itulah orang-orang bukan islam dihukum sesat kerana mereka merupa-rupakan Tuhan Maha Pencipta.

Mereka ukir batu -bata dan mereka lintaskan fikiran pada pokok, pada bulan, matahari dan sebagainya.
Sedangkan, apa saja yang terlintas pada fikiran kita tentang zat Allah S.W.T., Tuhan bukan demikian.

Jadi, bagaimanakah kita hendak mengenal Allah S.W.T.?
Iaitulah melalui sifat-sifat-Nya. Kita kena pelajari sifat-sifat-Nya dan kemudian kita hayati setiap yang kita ketahui itu. Kaedahnya ialah dengan dalil-dalil akal (aqli) dan dalil-dalil Al-Quran dan hadis Nabi (naqli).

Dua cara inilah yang kita patut lakukan untuk mengkaji sifat-sifat yang wajib bagi Allah S.W.T.
Setelah kita mengkaji dua kaedah ini, In Shaa Allah (dengan izin Allah), kita akan dapat mengenali Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya.

Kalau dapat kita hafalkan 20 sifat yang wajib bagi Allah S.W.T. itu dalam memori kita, sebahagian daripada persoalan mengenai sifat-sifat Allah telah kita selesaikan.

Marilah kita kenali sifat-sifat Allah S.W.T, iaitu:

1) Wujud = ertinya ada.

2) Qidam = ertinya dahulu, sedia.

3) Baqa' = ertinya kekal.

4) Mukholafatuhu Ta'ala lil Hawadith = ertinya Allah S.W.T. bersalahan (tidak sama) dengan segala yang baru (iaitu makhluk).

5) Qiamuhu Ta'ala Binafsih = ertinya Allah yang berdiri dengan sendirinya.

6) Wahdaniah = ertinya yang Maha Esa.

7) Al Qudrat = ertinya yang Berkuasa.

8) Al Iradat = ertinya yang Berkehendak.

9) Al Ilmu = ertinya yang Mengetahui.

10) Al Hayat = ertinya yang Hidup.

11) As-Samaq = ertinya yang Mendengar.

12) Al -Basar = ertinya yang Melihat.

13) Al-Qalam = ertinya yang Berkata-kata.

14) Kaunuhu Qadiran = ertinya Keadaaan-Nya yang Berkuasa.

15) Kaunuhu Muridan = ertinya Keadaan-Nya yang Berkehendak.

16) Kaunuhu Aliman = ertinya Keadaan-Nya yang Mengetahui.

17) Kaunuhu Hayyan = ertinya Keadaan-Nya yang Hidup.

18) Kaunuhu Sami'an = ertinya Keadaan-Nya yang Mendengar.

19) Kaunuhu Basiran = ertinya Keadaan-Nya yang Melihat.

20) Kaunuhu Mutakalliman = ertinya Keadaan-Nya yang Berkata-kata.

Demikianlah 20 sifat yang wajib bagi Allah S.W.T. yang wajib kita mengetahuinya.



KATAK MEMBERI NASIHAT KEPADA NABI DAUD A.S.




Pada suatu masa, Nabi Daud a.s. telah keluar ke pesisir untuk beribadat dan apabila telah genap setahun, dia berdoa:

"Ya Rabbi Ya Tuhanku, telah bengkok belakangku dan lemah mataku serta kering air mataku, tetapi aku belum juga mengetahui nasibku".

Maka Allah S.W.T. memerintahkan seekor katak untuk menjawab doa Nabi Daud a.s. itu, lalu katak itu berkata:

"Hai Nabi Allah, apakah anda mengungkit pada Tuhan ibadatmu yang setahun?  Demi Allah yang mengutusmu menjadi Nabi, saya di hutan ini selama 30 tahun atau 60 tahun bertasbih, bertahmid kepada Allah, sedangkan persediaan ku tetap gementar kerana takutkan Tuhanku".

Maka menangislah Nabi Daud a.s.




ALLAH S.W.T. TELAH MENENTUKAN REZEKI KEPADA SETIAP MAKHLUK CIPTAANNYA.




Abul Faraj Ibnul Jauzi mengisahkan bahawa ada seorang lelaki yang setiap hari melihat seekor burung yang datang membawa sepotong daging, lalu memindahkannya dari suatu tempat di kota dan membawanya menuju puncak sebuah pohon kurma.

Lelaki itu kehairanan kerana burung itu sama sekali tidak mungkin bersarang di atas pohon kurma tersebut.

Lelaki itu pun berusaha untuk memanjat pohon kurma itu. Setelah sampai di puncak, dia menemui seekor ular yang buta.

Setiap kali ular itu merasa lapar, maka burung itu pun datang membawakan sepotong daging untuknya. Burung itu akan mendekatinya lalu ular itu akan membuka mulutnya. Burung itu pun menjatuhkan sepotong daging itu ke dalam mulut ular buta itu.

Maha Suci Allah S.W.T, yang telah menundukkan burung tersebut kepada seekor ular yang buta itu dan menunjuki ular itu kepada rezekinya.

ALLAHU AKBAR!


SOLAT BERJEMAAH DI MASJID WALAUPUN KETIKA SEDANG SAKIT




Ketika Amir bin Abdullah bin Zubair r.a. berada di ambang kematian dengan sisa-sisa nafas yang dimilikinya.

Keluarganya menangis di sebelahnya. 

Ketika sedang Nazak, dia mendengar azan.

Dia berkata kepada orang di sebelahnya:
"Angkatlah aku".

Mereka bertanya:
"Engkau hendak kemana?"

"Ke masjid", jawabnya.

"Dalam keadaan seperti ini?" tanya orang ramai.

Dia menjawab:
"SubhanAllah, adakah patut aku tidak menyahut azan padahal aku mendengarnya?, Angkatlah diriku".

Kemudian mereka memapahnya ke masjid.

Dia sempat solat satu rakaat dibelakang imam sebelum meninggal dunia dalam keadaan bersujud.

Allahu Akbar!

(Sumber: Malam Pertama di Alam Kubur, tulisan Dr. A'idh Al-Qarni M.A.)