Untuk mengenali Allah S.W.T. ialah dengan mengenali sifat-sifat-Nya.
Ada 20 sifat yang wajib bagi Allah yang mesti kita kenali.
Perlu diingat bahawa, kita tidak boleh mengenal Allah S.W.T. melalui zat-Nya kerana Allah S.W.T. itu tidak menyerupai segala sesuatu, yakni tidak menyerupai sebarang makhluk.
Zat Allah S.W.T. bukan benda, bukan jisim yang boleh kita lihat dan kita pegang.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Tidak ada yang menyerupai-Nya segala sesuatu jua".
(As Syuraa: 11 ).
Dan kita pula tidak boleh membayang-bayangkan bagaimana rupa zat Allah itu kerana Allah S.W.T. itu tidak berupa dan tidak berbentuk.
Adalah salah sama sekali kalau kita membayang-bayangkan rupa Allah S.W.T.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Renungilah pada ciptaan Allah, nescaya kamu akan mengenal Allah. Dan jangan kamu renungi (mencari) zat-Nya, nescaya kamu akan sesat".
Kita akan sesat kalau kita cuba membayang-bayangkan zat Allah S.W.T.
Sebab itulah orang-orang bukan islam dihukum sesat kerana mereka merupa-rupakan Tuhan Maha Pencipta.
Mereka ukir batu -bata dan mereka lintaskan fikiran pada pokok, pada bulan, matahari dan sebagainya.
Sedangkan, apa saja yang terlintas pada fikiran kita tentang zat Allah S.W.T., Tuhan bukan demikian.
Jadi, bagaimanakah kita hendak mengenal Allah S.W.T.?
Iaitulah melalui sifat-sifat-Nya. Kita kena pelajari sifat-sifat-Nya dan kemudian kita hayati setiap yang kita ketahui itu. Kaedahnya ialah dengan dalil-dalil akal (aqli) dan dalil-dalil Al-Quran dan hadis Nabi (naqli).
Dua cara inilah yang kita patut lakukan untuk mengkaji sifat-sifat yang wajib bagi Allah S.W.T.
Setelah kita mengkaji dua kaedah ini, In Shaa Allah (dengan izin Allah), kita akan dapat mengenali Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya.
Kalau dapat kita hafalkan 20 sifat yang wajib bagi Allah S.W.T. itu dalam memori kita, sebahagian daripada persoalan mengenai sifat-sifat Allah telah kita selesaikan.
Marilah kita kenali sifat-sifat Allah S.W.T, iaitu:
1) Wujud = ertinya ada.
2) Qidam = ertinya dahulu, sedia.
3) Baqa' = ertinya kekal.
4) Mukholafatuhu Ta'ala lil Hawadith = ertinya Allah S.W.T. bersalahan (tidak sama) dengan segala yang baru (iaitu makhluk).
5) Qiamuhu Ta'ala Binafsih = ertinya Allah yang berdiri dengan sendirinya.
6) Wahdaniah = ertinya yang Maha Esa.
7) Al Qudrat = ertinya yang Berkuasa.
8) Al Iradat = ertinya yang Berkehendak.
9) Al Ilmu = ertinya yang Mengetahui.
10) Al Hayat = ertinya yang Hidup.
11) As-Samaq = ertinya yang Mendengar.
12) Al -Basar = ertinya yang Melihat.
13) Al-Qalam = ertinya yang Berkata-kata.
14) Kaunuhu Qadiran = ertinya Keadaaan-Nya yang Berkuasa.
15) Kaunuhu Muridan = ertinya Keadaan-Nya yang Berkehendak.
16) Kaunuhu Aliman = ertinya Keadaan-Nya yang Mengetahui.
17) Kaunuhu Hayyan = ertinya Keadaan-Nya yang Hidup.
18) Kaunuhu Sami'an = ertinya Keadaan-Nya yang Mendengar.
19) Kaunuhu Basiran = ertinya Keadaan-Nya yang Melihat.
20) Kaunuhu Mutakalliman = ertinya Keadaan-Nya yang Berkata-kata.
Demikianlah 20 sifat yang wajib bagi Allah S.W.T. yang wajib kita mengetahuinya.