TANDA-TANDA MATI DALAM HUSN AL-KHATIMAH (KESUDAHAN YANG BAIK).



Mati dalam iman menjadi impian dan harapan setiap Muslim.

Husn al-Khatimah (kesudahan yang baik) perlu diusahakan dari awal usia kerana mati itu datang tiba-tiba. 
Usahakan agar biografi hidup kita tamat dengan "happy ending".

Kenali tanda-tanda husn al-Khatimah.
Antaranya ialah:

1. Diakhiri dengan lafaz syahadah.

Daripada Mu'az r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesiapa yang pada akhir kalimatnya mengucapkan LA ILAHA ILLALLAH maka dia dimasukkan ke dalam syurga".
(Riwayat Abu Daud dan al-Hakim).

2. Dahinya berkeringat (berpeluh).

Ini berdasarkan hadis daripada Buraidah Ibn al-Khasib berkata: "Allahu akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Matinya seorang Mukmin adalah dengan berkeringat dahinya".
(Riwayat Ahmad, al-Nasa'i, al-Tirmizi, Ibn Majah).

 3. Mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat.

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Tidaklah seorang Muslim  yang wafat (meninggal dunia) pada hari Jumaat atau malam Jumaat kecuali pastilah Allah S.W.T. akan menghindarkannya daripada seksa kubur".
(Riwayat Ahmad).

4. Mati dalam keadaan sedang melakukan ibadah seperti mati ketika sedang solat, puasa, umrah, haji atau berjihad.

5. Pujian daripada orang Islam terhadap si mati.

BAYI BERCAKAP DENGAN IZIN ALLAH S.W.T.



Diriwayatkan dari Abi Hurairah, beliau berkata:
"Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada bayi berbicara di buaian selain Isa bin Maryam dan shahih Juraij".

Ada sahabat bertanya:
"Ya Nabi Allah, siapakah Shahih Juraij itu?".

Rasulullah S.A.W. menjawab:
"Juraij adalah seorang rahib di dalam sebuah rumah ibadat. Pada suatu hari ibunya datang kepadanya seraya berkata: "Hai Juraij!" 

Tetapi Juraij sedang bersolat. Terlintas di dalam pemikirannya: "Ibuku atau solatku?"
Dia ingin mengutamakan solatnya. 

Kemudian ibunya itu memanggilnya sekali lagi. Juraij berfikir lagi: "Ibuku atau solatku?".
Dia ingin mengutamakan solatnya.

Kemudian ibunya memanggil untuk kali ketiga. Juraij berkata dalam hati: "Ibuku atau solatku?".
Juraij ingin mengutamakan solatnya.

Tatkala Jurai tidak menjawab, ibunya berkata:
"Allah tidak membuatmu mati, hai Juraij, sehingga engkau melihat wajah pelacur".
Kemudian ibunya pergi.

Pada suatu hari, seorang wanita telah melahirkan anak hasil dari zina. Maka perempuan itu telah dibawa untuk menghadap raja.

Raja bertanya: "Siapakah bapanya?".
Wanita itu menjawab: "Juraij".
Raja bertanya: "Pemilik rumah ibadat itukah?".
Wanita itu menjawab: "Ya".
Raja berkata: "Robohkan rumah ibadatnya dan bawalah dia kepadaku".

Mereka pun merobohkan rumah ibadatnya hingga runtuh. Kemudian mereka mengikat tangan Juraij di lehernya dan membawanya menghadap raja.

Raja bertanya kepada Juraij: "Tahukah kamu apa kata wanita ini?"
Juraij berkata: "Apa katanya?".
Raja menjawab: "Perempuan itu berkata bahawa anaknya adalah hasil dari hubungan dengan kau".
Juraij berkata kepada wanita itu: "Adakah engkau mengatakan begitu?".
Wanita itu menjawab: "Ya".

Juraij kemudian menghampiri bayi itu sambil berkata kepada bayi tersebut: "Siapakah ayahmu?".
Dengan izin Allah S.W.T., maka bayi itu menjawab: "Ayah saya ialah penggembala lembu".
Kesemua manusia yang berada di situ terkejut dengan apa yang mereka lihat dan dengar.

Selepas dijatuhkan hukuman kepada wanita itu, Raja telah mengarahkan supaya mereka membina semula rumah ibadat Juraij.

Kisah ini merupakan peringatan betapa besarnya hak ibu. Tetapi perlu diingat bahawa hak Allah S.W.T. adalah lebih tinggi daripada hak kepada makhluk.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Tiada ketaatan terhadap makhluk dalam menderhakai Al Khaliq (Allah S.W.T)"


ADAKAH ANDA SENTIASA MENJADI TETAMU ALLAH S.W.T?



Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Allah S.W.T. berfirman: "Rumah-Ku di bumi adalah masjid. Yang menziarahi-Ku di situ adalah orang yang memuliakannya. Untunglah bagi hamba yang bersuci di rumahnya lalu menziarahi-Ku. Sudah tentu orang yang diziarahi akan memuliakan orang yang menziarahi".


Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Jika kamu melihat lelaki yang membiasakan datang ke masjid, maka saksikanlah bahawa dia itu orang yang beriman".


Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Tidak ada solat bagi jiran masjid melainkan di masjid".


Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Para Malaikat membacakan selawat kepada salah seorang kamu selama dia dalam musholla (surau atau masjid) di mana dia solat. Para Malaikat itu berdoa: "Ya Allah, berkatilah dia, rahmatilah dia dan ampunilah dia". Selama dia belum berkata-kata atau keluar dari masjid".


Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Hanyalah yang meramaikan (memakmurkan) masjid itu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir".
(At-Taubah: 18)


APAKAH TIKET UNTUK KE NERAKA?



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Apakah sebabnya kamu masuk neraka?, Sahut mereka itu, "Kami tidak bersolat. Dan tidak pula memberi makan orang miskin. Dan kami telah masuk ke dalam yang batil bersama orang-orang yang masuk ke dalamnya".
(Al-Mudatstir: 42-45).


Dari Ubadah bin Shamit r.a.,
"Kekasihku, Rasulullah S.A.W. berwasiat padaku tujuh perkara :
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Jangan kau sekutukan sesuatu dengan Allah walaupun kau dipotong, dibakar, atau disalib. Jangan kau sengajakan tinggalkan solat. Sesiapa yang meninggalkannya, telah keluar dari agama ini. Jangan kau lakukan maksiat. Itu kemurkaan Allah. Jangan kau minum arak. Itu sumber segala kejahatan".


At-Thabrani merawikan:
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W. seraya berkata:
"Ya Rasulullah, ajarkan padaku amal yang jika ku lakukan dapat aku masuk syurga".
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Jangan kau sekutukan Allah dengan sesuatu walaupun kau di seksa dan dibakar. Taatlah kepada kedua ibubapa kamu meskipun mereka tidak memberimu harta. Dan jangan tinggalkan solat wajib dengan sengaja. Sesiapa yang sengaja meninggalkan solat, maka terlepas dia dari tanggungan Allah S.W.T"


 Telah berkata Ibnu Abi Syaibah:
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesiapa yang meninggalkan solat, maka kafirlah dia".


Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Amal yang mula-mula yang ditanyakan pada hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, sungguh beruntung dan selamatlah dia. Jika solatnya tidak dijaga, sungguh rugilah dia".