“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu'minun, 115).
BAYI BERCAKAP DENGAN IZIN ALLAH S.W.T.
Diriwayatkan dari Abi Hurairah, beliau berkata:
"Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada bayi berbicara di buaian selain Isa bin Maryam dan shahih Juraij".
Ada sahabat bertanya:
"Ya Nabi Allah, siapakah Shahih Juraij itu?".
Rasulullah S.A.W. menjawab:
"Juraij adalah seorang rahib di dalam sebuah rumah ibadat. Pada suatu hari ibunya datang kepadanya seraya berkata: "Hai Juraij!"
Tetapi Juraij sedang bersolat. Terlintas di dalam pemikirannya: "Ibuku atau solatku?"
Dia ingin mengutamakan solatnya.
Kemudian ibunya itu memanggilnya sekali lagi. Juraij berfikir lagi: "Ibuku atau solatku?".
Dia ingin mengutamakan solatnya.
Kemudian ibunya memanggil untuk kali ketiga. Juraij berkata dalam hati: "Ibuku atau solatku?".
Juraij ingin mengutamakan solatnya.
Tatkala Jurai tidak menjawab, ibunya berkata:
"Allah tidak membuatmu mati, hai Juraij, sehingga engkau melihat wajah pelacur".
Kemudian ibunya pergi.
Pada suatu hari, seorang wanita telah melahirkan anak hasil dari zina. Maka perempuan itu telah dibawa untuk menghadap raja.
Raja bertanya: "Siapakah bapanya?".
Wanita itu menjawab: "Juraij".
Raja bertanya: "Pemilik rumah ibadat itukah?".
Wanita itu menjawab: "Ya".
Raja berkata: "Robohkan rumah ibadatnya dan bawalah dia kepadaku".
Mereka pun merobohkan rumah ibadatnya hingga runtuh. Kemudian mereka mengikat tangan Juraij di lehernya dan membawanya menghadap raja.
Raja bertanya kepada Juraij: "Tahukah kamu apa kata wanita ini?"
Juraij berkata: "Apa katanya?".
Raja menjawab: "Perempuan itu berkata bahawa anaknya adalah hasil dari hubungan dengan kau".
Juraij berkata kepada wanita itu: "Adakah engkau mengatakan begitu?".
Wanita itu menjawab: "Ya".
Juraij kemudian menghampiri bayi itu sambil berkata kepada bayi tersebut: "Siapakah ayahmu?".
Dengan izin Allah S.W.T., maka bayi itu menjawab: "Ayah saya ialah penggembala lembu".
Kesemua manusia yang berada di situ terkejut dengan apa yang mereka lihat dan dengar.
Selepas dijatuhkan hukuman kepada wanita itu, Raja telah mengarahkan supaya mereka membina semula rumah ibadat Juraij.
Kisah ini merupakan peringatan betapa besarnya hak ibu. Tetapi perlu diingat bahawa hak Allah S.W.T. adalah lebih tinggi daripada hak kepada makhluk.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Tiada ketaatan terhadap makhluk dalam menderhakai Al Khaliq (Allah S.W.T)"