ALLAHU AKBAR...... LUASNYA LANGIT YANG PERTAMA.



Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memerlihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah: Fussilat, Ayat: 12)

Setiap arah langit yang mampu dilihat oleh manusia adalah terletak dibawah langit yang pertama. Langit yang kedua dan seterusnya tidak akan dapat ditembusi oleh manusia. Hanya Rasulullah S.A.W. sahaja yang pernah menembusi langit yang pertama sehingga ke langit yang ketujuh iaitu ketika peristiwa Israk dan Mikraj.




Peta di atas menunjukkan kawasan dibawah langit yang pertama dimana terdapat berbagai superclusters (kumpulan galaksi) termasuk Virgo supercluster ditengah-tengahnya (supercluster kecil di mana galaksi kita adalah merupakan ahli yang kecil).

Tahukah anda bahawa sekiranya anda ingin sampai ke penghujung langit yang pertama (iaitu kawasan yang hanya mampu dilihat melalui teleskop angkasa lepas) maka anda akan mengambil masa selama 46.5 billion tahun walaupun anda bergerak dengan kelajuan cahaya.

Berikut adalah ciptaan-ciptaan Allah S.W.T. di bawah langit yang pertama dalam linkungan 1 billion tahun cahaya (iaitu kawasan yang mampu dilihat oleh manusia dengan menggunakan teleskop angkasa lepas yang terhebat):

1) Bilangan superclusters dalam 1 bilion tahun cahaya = 100
2) Bilangan Kumpulan galaksi dalam 1 bilion tahun cahaya = 240 000
3) Bilangan galaksi besar dalam 1 bilion tahun cahaya = 3 juta
4) Bilangan galaksi kecil dalam 1 bilion tahun cahaya = 60 juta
5) Bilangan bintang dalam 1 bilion tahun cahaya = 250 000 trilion

Angka-angka diatas adalah berdasarkan analisa para saintis terhadap kawasan di bawah langit pertama dalam linkungan yang mampu dilihat oleh manusia   
(1 billion tahun cahaya)

Cuba bayangkan bagaimana pula dengan kawasan lain dibawah langit yang pertama yang tidak mampu dilihat oleh manusia?


ALLAHU AKBAR!!

IBLIS MENDERHAKA KEPADA PENGIKUTNYA YANG SETIA



Di akhirat, Para penghuni neraka mula mencari Iblis dan mereka berkata:
"Engkau telah menyesatkan kami, lalu bagaimana kami boleh selamat?".

Lalu iblis mula berdiri di atas tanah dari api sambil menarik rantai-rantainya dan ia mula berkhutbah.  Dalam Khutbahnya ia berkata:

"Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu......."
(Surah Ibrahim, ayat 22).

".........Aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku, Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah)...."
(Surah Ibrahim, ayat 22).

Iblis berkata:
"Aku menyeru kamu, lalu kamu mematuhi seruanku iaitu dengan mengikuti hawa nafsumu. Oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri, kerana dialah yang memohon agar kamu mengikuti hawa nafsumu."

"Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku dengan Allah dan aku bebas dari (tuntutan) kamu."

Dalam keadaan demikian itu, mereka (ahli neraka) sangat membenci diri mereka sendiri. Lalu malaikat menyeru kepada mereka:

"Sesungguhnya kebencian Allah (kepadamu) lebih besar daripada kebencianmu kepada dirimu sendiri....."
(Surah  Al Mu'min, ayat 10).


ADAKAH ANDA BERSYUKUR DENGAN NIKMAT MATA YANG DIBERIKAN OLEH ALLAH S.W.T.?



Gambar mikroskopik di atas menunjukkan mata manusia dari jarak dekat.
Allah S.W.T dengan sifat Rahmat-Nya telah menganugerahkan kepada kita 2 biji mata yang sungguh hebat ciptaannya.

Setiap biji mata kita mengandungi 130 juta sel fotoreseptor dan setiap sel fotoreseptor tersebut pula mengandungi 100 trillion atom iaitu melebihi jumlah bintang di dalam galaksi Milky Way.




Apakah tujuan Allah S.W.T. menganugerahkan kepada kita mata yang begitu hebat ciptaannya?

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami)?”
(Surah: Al-Balad, Ayat : 8)

Tetapi, berapa ramaikah manusia yang bersyukur kepada Allah S.W.T.?
Berapa ramaikah manusia yang telah menyalahgunakan nikmat mata ini?
Tidakkah mereka merasa malu kepada Allah S.W.T. yang telah menciptakan mata meraka?

Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Surah : An-Nur,  Ayat : 30)

7 jenis mata yang dicintai oleh Allah S.W.T:

1- Mata mereka yang sentiasa berusaha ke arah melaksanakan perintah Jihad pada Jalan Allah S.W.T.
2- Mata yang menitis air mata kerana takutkan kebesaran Allah S.W.T.
3- Mata yang sentiasa bertahan atau bersabar daripada memandang perkara yang haram.
4- Mata yang memerhati kejadian Allah S.W.T.
5- Mata yang memandang Kitab Allah S.W.T, Al-Quran Al-Karim (Membaca, mengambil pengajaran dan mengamal dalam kehidupan).
6- Mata yang memandang mereka yang miskin dengan penuh kerahmatan dan kasih sayang.
7- Mata yang berjaga malam di jalan Allah. (Qiam)


MAKANAN TURUN DARI LANGIT DENGAN IZIN ALLAH S.W.T.



Apabila kaum bani Israil tidak menunaikan kewajipan jihad dan mereka mula menyakiti hati Nabi Musa a.s., maka Allah S.W.T. telah menyesatkan mereka selama 40 tahun di padang pasir yang luasnya sekadar beberapa batu persegi sahaja bagi memberi pengajaran kepada mereka.

Dalam keadaan sedemikian, Allah S.W.T. masih memberikan nikmat kepada mereka dengan menurunkan "al-mann" dan "as-salwa" dari langit.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
“Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): ", Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 57).

"Al-mann" ialah sejenis makanan yang manis yang diturunkan oleh Allah S.W.T. dari langit manakala "as-salwa" pula ialah sejenis burung yang lazat rasanya. Semua itu merupakan kurniaan dan rezeki yang mulia daripada Allah S.W.T.

Namun demikian, mereka meminta pula supaya Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah S.W.T. untuk memberikan kepada mereka makanan dari jenis yang lain pula.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan kacang dalnya, serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya) dan Mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.”
(Surah Al-Baqarah: ayat 61).