DETIK-DETIK TERAKHIR RASULULLAH S.A.W.



Rasulullah S.A.W. baru pulang dari satu perjalanan dan baginda merasakan badannya kurang segar. Atas permintaan baginda, isteri-isteri baginda telah mengizinkan baginda untuk tinggal di rumah Aisyah.

Pada suatu ketika, baginda meminta Aisyah memanggil para sahabat Nabi dan Aisyah segera melaksanakannya. Tidak lama kemudian berkumpullah mereka dengan duduk di samping tempat berehat Nabi.

"Salam sejahtera dan selamat datang", demikian Nabi memulakan bicara, Semua yang ada terdiam dan mendengar dengan teliti kata-kata baginda.

"Saat perpisahan kita telah hampir", Nabi membayangkan apa yang akan terjadi.

Selesai baginda berkata-kata, salah seorang bertanya: 
"Siapakah yang akan memandikan Nabi?".

"Yang paling dekat dari keluargaku", jawab Nabi.

"Dengan apa kami kafani?" datang pertanyaan lagi.

"Kain ku ini jika kamu mahu, atau kain Mesir, ataupun Yaman", jawab Nabi.

"Siapakah yang akan menyembahyangkan?"

Belum sempat Nabi menjawab, kesedihan hati sudah merata. Tiba-tiba Abu Zar menangis kerana tidak sanggup menahan pilu di hati. Sahabat-sahabat yang lain turut menangis dan akhirnya Nabi sendiri menitiskan air mata.

Dalam keadaan sedih itu, Nabi meneruskan bicaranya. Baginda terus menceritakan tentang memandikan, mengafani dan menyembahyangkan. Cara-cara dan betapa harus dikerjakan telah baginda gambarkan kepada sekelian sahabat yang hadir.

"Siapa yang akan memasukkan jasad Nabi ke kubur?" bertanya sahabat.

"Keluargaku, bersama-sama dengan malaikat yang ramai, mereka melihat kamu, tetapi kamu tidak melihat mereka", jawab Nabi S.A.W.

Suasana di tempat itu bertambah sedih. Abu Zar lebih tidak tertahan lagi lalu beliau keluar dari rumah Aisyah sesudah meminta diri. Suara Nabi dan menceritakan saat perpisahan itu amat menyayatkan hatinya.

Kekuatan Nabi semakin berkurangan dan baginda terus tinggal di rumah Aisyah. Para sahabat bersedih hati dan demikian juga penduduk Madinah yang mengetahui hal itu.

Sebelum ini Nabi S.A.W. pernah dalam pidatonya di masjid yang mengambarkan baginda akan berpisah dengan umat dan dunia ini.

Sekelian yang mendengar mencurahkan air mata dan merasa pilu dan sedih dan kini suasana kesedihan sudah merata-rata di kota Madinah.

Tetapi kesedihan mereka berkurangan sedikit apabila kelihatan Nabi dipapah oleh keluarganya untuk bersolat jemaah di masjid. Baginda menyuruh Abu Bakar menjadi Imam dan baginda solat di belakangnya. Selesai bersolat terasa suasana gembira di kalangan sahabat dan mengharap kesihatan Nabi beransur pulih. 

Nabi kemudian menyampaikan amanat kepada yang hadir, terutamanya tentang perkara yang harus diperhatikan sepeninggalan baginda iaitu berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah.

Sesudah itu baginda dipapah kembali ke rumahnya. Di rumah Aisyah keadaan baginda bertambah lemah. Akhirnya Rasulullah S.A.W. wafat di rumah Aisyah. 

Terdengar suara Fatimah berkata: "Abatah,,,,,,,,ya Abatah...(bapaku....oh bapaku...).

Nabi Muhammad S.A.W. telah wafat pada hari isnin bersamaan 13 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah atau 8 Mei 633 Masehi. 


(Sumber: Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah S.A.W, Ditulis oleh Nawawi Dusuki).