SYAITAN BENCI KEPADA ORANG YANG MENDIRIKAN SOLAT


Syaitan cukup benci pada orang yang tekun mendirikan solat. Dia amat seteru dengan orang yang bergegas ke masjid dan ke surau setiap kali azan dikumandangkan. Bagi komuniti syaitan sedunia, merosakan solat seorang muslim merupakan agenda mereka yang paling penting dan utama sementara ter’lungkup’nya solat seseorang muslim merupakan keuntungan besar juga kejayaan cemerlang bagi sekelian makhluk yang terlaknat itu.

Menurut hadis Nabi saw, memang ada syaitan yang khusus datang mengganggu dan mahu merosakan solat yang didirikan. Selain mewas-waskan solat seseorang dengan kelupaan terhadap bacaan, pergerakan ataupun jumlah rakaat, syaitan tersebut berhempas pulas mengoyak rabakan saki baki kekhusyukan yang ada di dalam jiwanya.

Kita saja yang tidak nampak. Tapi syaitan punyalah sibuk dan bertungkus lumus untuk ‘memangsa’kan kita sejak permulaan solat lagi. Rutin tugasan jahat syaitan itu bermula seawal takbiratul ihram sehinggalah selesai salam. Hati orang yang bersolat mahu diterbalikan, kekhusyukan dan keimanannya mahu dirobohkan, minda dan hatinya mahu disibukkan dan dibiarkan menerawang ke sana kemari dengan kekalutan dan hambatan duniawi yang tidak pernah habis.

Lalu, jadilah solat seseorang itu bagaikan keadaannya terlena dan terbuai dek mimpi. Sedar sedar, imam sudahpun memberikan salam yang bermakna telah berakhirlah solat. Solat yang terbina adalah solat yang gagal, kaku bagaikan tidak bernyawa. Khusyuknya entang hilang ke mana. Tiada pahala yang tercatat di buku amalannya. Di sudut yang lain syaitan yang bertanggungjawab merosakan solat itu, duduk tersandar kepuasan, terkekeh-kekeh dengan hilai tawanya meraikan kemenangan berganda.

Siapakah nama syaitan si penghancur solat itu?

Rasulullah SAW telah mendedahkan namanya buat pengetahuan kita semua semenjak 1500 tahun yang lalu. Sama-sama kita ambil perhatian.

Dari Anas bahawa Ustman ibn Abi ‘As datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulallah, sesungguhnya syaitan merintangi (mengganggu) diriku, solatku serta bacaanku dengan cara mengaburinya.”

Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Itu adalah syaitan yang biasa disebut Khonzab. Bila engkau merasakan (kehadirannya) maka berlindunglah kepada Allah (yakni bacalah ta’awwuz) dan ludahlah ke arah (sisi) kiri sebanyak tiga kali."

‘Ustman berkata: “Akupun melaksanakannya (sebagaimana yang suruh Nabi SAW) dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku.” (Riwayat Imam Muslim dari Anas sebagaimana tercatat di dalam Mukhtasar Sahih Muslim).

Ya, namanya Khonzab..demikianlah gerak kerjanya yang berterusan tanpa aduan penat lelah maupun asyik memberi seribu alasan. Motivasi syaitan hanya satu! Dendam membara, permusuhan dan perseteruan terhadap Bani Insan yang tidak ada noktahnya. ‘Kalau aku masuk neraka, engkau pun kena masuk juga,” sumpah syaitan berulang kali.

Kerana solat itu merupakan tiang induk bagi agama seseorang muslim yang menjadikan dirinya terus gagah, berketerampilan serta mampu menempuh apa jua rintangan, maka tiang itulah jugalah yang mahu dirobohkan syaitan. Runtuh solat, maka runtuhlah agama. Runtuhnya agama seseorang itulah yang menjadi objektif syaitan.

Bilamana kita bersolat tanpa hadirnya kesedaran dan keinsafan di dalam hati betapa permusuhan tradisi ini masih membara, terus bergolak dan sentiasa berterusan, maka ketahuilah bahawa solat kita saat itu adalah di antara solat-solat yang berjaya dirosakan. Jesteru, berhati-hatilah!